01 March 2017

1982: Antara Chinese looks dan China Doll.

 Kenangan Meja Hadapan dan Gadis Berambut China Doll

Tahun 1982, sewaktu di Tingkatan Lima, tempat kegemaranku di dalam kelas adalah barisan paling hadapan, sebelah kanan, dekat pintu masuk. Sejak Tingkatan Satu, aku memang memilih untuk duduk di situ – sebaris meja dan kerusi tunggal, tidak berkembar.

Di sebelah kananku, duduk seorang gadis Cina. Dia berbeza daripada rakan-rakan Cina yang lain; matanya tidak sepet, rambutnya lurus melepasi bahu, digayakan ala china doll. Dia seorang yang pendiam, sesekali sahaja mahu berbual denganku yang juga pemalu.

Hari demi hari, aku suka memerhatikannya bermain-main dengan juntaian rambut halus yang menutupi keningnya. Dia akan meniup-niup hujung rambut itu sehingga ia berterbangan, mengulangnya sehingga puas. Aku tak pasti sebabnya, mungkin itu satu tabiat. Aku tidak mengambil kisah sangat kerana dia jarang menegurku. Perkara itu sering diulanginya sebaik sahaja sesi permulaan kelas pagi. Aku hanya melirik pandang.

 

Potret Cikgu Amin dan Soalan Maut

Suatu hari, kebosananku kuisi dengan melukis potret Cikgu Amin, guru kelasku. Menggunakan pensel 2B dan kertas lukisan, aku cuba membayangkan raut wajahnya setepat mungkin. Gaya sisir rambutnya dibelah tengah, fesyen popular era 80-an. Aku sendiri kadang-kadang cuba meniru gaya itu, tapi oleh kerana rambutku ikal kerinting, ia memang tak sesuai. Lebih menyerupai Bobby Farrel dari kumpulan Boney M pula! Jadi, fesyen menyisir rambut ala Hail Amir lebih cocok untukku.

Setelah leka melukis, seorang rakan sekelas lelaki datang melihat hasil lukisanku. "Nah... sebijik raut wajah guruku telah berjaya diabadikan di atas kertas putih." Dia menjaja hasil kerjaku ke seluruh kelas. "Weyy... tengok ni Leh lukis Cikgu Amin!" Semua mata tertumpu ke arahku. Aku malu. Rakan gadis Cina di sebelahku mendongak, cuba memahami situasi.

"Leh, awak lukiskan?" Dia bertanya kepadaku. Aku menjawab "ya" sambil tersenyum kelat, senyuman yang tidak menjadi. "Awak pandai melukis Leh," pujinya lagi. Aku hanya tersengih.

A terus menjaja lukisanku, sementara aku melayan pertanyaan si gadis. Pelbagai soalan dilontarkan: bagaimana aku melukis tanpa rujukan foto? Apa medium yang aku gunakan? Ada lukisan lain? Fuhh... sudah tak ingat lagi. Akhirnya, soalan maut darinya: "Leh, awak boleh lukis gambar saya tak...?" Aku terkedu, entah pura-pura atau memang benar-benar terkedu mendengar rayuan lembut suaranya. Sambil menyembunyikan rasa seronok melayan soalan gadis itu, aku selamba menjawab, "Boleh!"

"Nanti esok, saya bagi awak gambar saya ya," cadang si gadis Cina itu. Wah, amoi nak bagi gambar! Aku menyimpan rasa suka kerana esok rakanku yang manis ini akan menyerahkan fotonya dan meminta aku melukis.

Gelang dan 'Cinta Monyet'

Sejak itu, dia semakin mesra. Ada sahaja pertanyaannya. "Kerja rumah dah siapkah?" "Itulah inilah." Pernah sekali dia meminta aku mengajarnya matematik, sebab aku sudah siapkan kerja rumah sebelum diserahkan kepada cikgu. Aku hanya berseloroh, "Eh, awak Cina memang lagi pandai matematik." Dia hanya ketawa.

Ada juga, kerana waktu remaja aku suka memakai gelang berwarna hitam di lengan kiri, dia turut berminat untuk memakai gelang yang sama. Mulalah bertanya di mana beli? Boleh tak aku belikan untuknya satu? Aku melayan sahaja pertanyaan dengan memberi cadangan gelang seperti itu banyak terjual di pasar Khamis. "Kalau nak datanglah ke Kroh," kataku (kerana dia duduk di Klian Intan).

Sebenarnya, aku juga meminati dirinya dalam diam. Aku suka melihat dia bermain dengan anak rambut di dahinya, meniup-niup anak rambut yang mencecah dahi. Timbul juga rasa ingin menegur tetapi rasa malu masih menebal. Rambut ala china doll dan wajah Chinese looks dalam impian zaman remajaku, sememangnya aku meminati gadis sebegitu.

Namun, perbualan mesra kami cepat sahaja dihidu rakanku bernama A. A mengatakan gelang itu sebenarnya gelang penyendal tong minyak! Alamak, kantoi pula. Mungkin itu yang dikatakan cinta monyet agaknya. Tetapi bagiku, itulah permulaan aku menyukai gadis berwajah chinese looks. 

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

      Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu...