08 February 2009

Aku terima nikahnya..Mac 1992

Awal 1992,   hubunganku dengan Ustazah F bukan lagi setakat sebagai rakan sekerja.Padanya telah kuceritakan kisah laluku.Aku bersedia menerimanya sebagai isteri jika dia sanggup hidup denganku yang tidak punya apa-apa ini.Begitu juga aku.Aku akan menerima dia seadanya.Waktu itu hanya di pejabat saja tempat bertemu.Itupun atas urusan kerja.Tidak ada peluang bertemu di luar waktu itu.Walaupun berjauhan dari keluarga namun segalanya terbatas.Tidak ada janji temu.Dan tidak perlu.

Aku ingin menjaga hubungan itu dengan sebaik-baiknya sebagaimana fahamanku adab berhubungan sesama insan dalam Islam.Aku tidak mahu meletakkan makhluk lebih besar di hati.Pengalaman lalu biarlah berlalu.Ustaz J pula gembira apabila mengetahui aku mengambil keputusan menerima cadangannya memilih F sebagai teman hidup.Maka bermula perancangannya yang aku sendiri tidak pernah terfikir.

Aku punyai perasaan belas dan simpati yang dalam.Aku dapat tahu F anak yatim.Ayahnya meninggal dunia pada tahun 1989 lalu.Lalu kepadanya dan UJ kukhabarkan bahawa aku bersedia memperisterikannya.Dia seorang yang berjiwa kasar.Puncanya kerana tidak mendapat perhatian dari ibu yang telah bersuami lain.Ayahnya juga telah berpisah dan hidup sendiri dengan isteri baru.Hidup hanyalah di sisi kakak sulung dan abangnya yang juga berlainan bapa.Dia tidak mahu hidup seperti ibu dan amat membenci lelaki...ayah tirinya.

12/3/1992 aku terima nikahnya dengan berwalikan hakim kerana dalam keluarganya tidak ada seorangpun yang muslim.Ijab dan qabul berlansung sekali lafaz di Masjid Qariah Paroi Jaya, Ampangan Seremban yang baru 5 bulan siap pembinaannya.Aku orang pertama mengakhiri zaman bujangku di situ.Hidupku ketika itu amat sederhana.Aku telah menerima ketentuan ini dengan redha.Aku menyukai dia kerana sifat tegas.Berbeza dengan aku...seorang yang mudah simpati.Dan sesuatu yang paling aku suka, F pandai menguruskan rumahtangga, hemat berbelanja.Terus terang aku katakan bahawa aku tidak pernah menikmati makanan seenaknya sebelum kahwin.Sebagai orang bujang, aku makan ala kadar dan kerap pula sekali dalam sehari.Namun selepas nikah sehingga kini aku makan apa saja yang disediakan olehnya.Itulah rahmat.Itulah barakah.

F seorang yang matang berfikir.Mungkin kerana sepanjang bergelar anak dara tidak ada istilah menganggur baginya.Pengalaman bekerja seawal usia muda membantunya banyak bergaul dengan masyarakat.Apa yang kutahu dia juga pernah menjadi guru kelas memasak sewaktu di KEMAS dulu.Mengajar menjahit, menyulam, tekat menekat pendek kata yang berkaitan dengan seni rumahtangga.Aku sangat berterima kasih kerana dianugerah seorang isteri yang sudah melengkapi sebahagian hidupku yang kosong.

Kerja dakwah dan ziarah kami juga bertambah mudah.Unit Ukhuwah tidak lagi bimbang kerana aku dan isteri boleh menjalankan program tersebut berdua.Kursus-kursus kefahaman Islam kepada saudara baru pula UJ serahkan kepada kami sebagai pengelola merangkap pemudahcara.Tanpa perlu memikirkan batasan syarak, aku dan F berjaya mengadakan dan membantu program unit Ukhuwah berjalan lancar.

Aku telah menjadi suami kepada seorang gadis yang kukenal sejak lima bulan yang lalu.Singkat.Tidak sempat mengenal hati dan budi dulu sebagaimana istilah zaman ini.Tidak ada istilah dating.Cinta...??, kurasa nikmatnya setelah berumahtangga.Dia, memberitahuku saat mula terpandang aku hatinya mudah berdebar walau sehingga ke hari ini.Melihatku hati jadi kasihan.Entahlah..muka kesian kot.

Rakan dan taulan mengucapkan tahniah.Ada yang bergurau.Antara aku dan F seperti air dan api.Manakan tidak aku lembut dan mudah simpati sementara F, tegas.Mungkin ketidaksamaan itulah rahmat.Ujian memang sentiasa ada selama kita bergelar manusia.Dan yang penting aku terima nikahnya...!

2 comments:

  1. tahniah semoga berkekalan hingga ke syurga

    ReplyDelete
  2. terima kasih....sampai syurga..akan kutuntut nikmat cinta yang sebenar-benarnya.

    ReplyDelete

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...