31 January 2009

Ziarah dan Dakwah

Di samping menyampaikan ilmu melalui pertemuan kursus-kursus kepada saudara baru aku juga berpeluang mengikuti program ziarah dan dakwah di bawah unitku.Ketika awal 1992 itu hanya aku , Ustaz Jaafar ,Ustazah Fatimah dan Ustazah Norkamalawati (Mala) sahaja yang ikut serta.Peringkat awal program memang kekurangan tenaga.Hanya jika unit lain tidak terlibat dengan sebarang program barulah ada tenaga tambahan yang turut serta.Kumpulan sasaran adalah penduduk Orang Asli (Muslim) di perkampungan sekitar Negeri Sembilan.

Kami akan bermalam di perkampungan tersebut.Mengadakan ceramah dan tazkirah.Solat berjemaah dan mengambil tahu kebajikan saudara Muslim yang sudah menjadi tanggungjawab unit ukhuwah.Aku selesa begitu kerana aku dapat mengenali permasalahan saudara baru yang lain yang tidak jauh bezanya dengan peringkat awal aku memeluk agama ini.Menyelami rintihan dan kesusahan mereka.Bezanya kami mendatangi dan mendengar masalah mereka.Sedangkan aku dulu berusaha mencari ilmu di mana-mana tempat yang boleh aku dapat.Alhamdulillah ,syukur puji bagi Allah.Aku masih teringat kata-kata guru yang mengajarku dulu...jika kamu datang(berjalan) kepada Allah,nescaya Allah datang dengan berlari kepadamu.

Program ziarah dan dakwah diisi dengan pemantapan di sudut jiwa.Di samping mengajar asas-asas fardhu ain.Peringkat awal dulu,memang hampir tiada guru yang mengajar mereka di sebabkan kedudukan perkampungan dan kurangnya maklumat berkaitan pengislaman mereka.Hanya Jabatan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Sembilan saja yang tahu segala perkembangan Islam di kalangan orang asli.Di peringkat Jabatan Agama Islam pula memang aku akui guru-guru agama tidak ramai yang mahu menyebarkan kefahaman agama di kalangan orang asli.Dari situ timbullah kesedaran untuk memberi kefahaman kepada mereka tentang kesucian Islam.Dalam sebulan aku juga ditugaskan mengajar dan berceramah kepada mereka.Sesuatu yang belum pernah aku lalui dalam hidupku dulu.Teringat juga waktu di tingkatan 5 aku (Pengerusi Persatuan B.Malaysia) biasa berceramah.Kadang-kadang berbahas dan berpidato tapi bidang itu sudah lama ditinggalkan.Rasa malu dan gemuruh memang ada.

Ketika itu pengisian kehidupanku sudah semakin bermakna.Dipenuhi dengan program-program berunsurkan agama.Fokus hanya kepada saudara baru agar kefahaman Islam di kalangan mereka lebih jitu dan mantap.Sekurang-kurangnya mereka dapat mendirikan solat tanpa tunjuk ajar dari kami.Aku juga mengucapkan terima kasih kepada UJ dan UF kerana melalui mereka aku dapat mempelajari berinteraksi dengan golongan ini.

Dan dalam masa yang sama aku dapat tahu sebenarnya UJ memang berniat hendak menjodohkan aku dan UF seawal mungkin agar program ziarah dan dakwah boleh dilaksanakan tanpa kehadirannya.Agar juga  tidak timbul fitnah antara aku dan UF. 

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...