18 January 2009

Inilah perjuanganku

Awal Disember 1991 aku melapurkan diri ke Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan.Pagi itu suasana agak sibuk sedikit.Aku berurusan dengan beberapa bahagian bagi menyelesaikan urusan perlantikanku ke jabatan kerajaan ini.Aku dilantik sebagai Pembantu Dakwah Sambilan dengan gaji RM 400.00 sebulan.Alhamdulillah cukuplah bagi kegunaan diriku ketika itu.Nampak macam tidak mencukupi .Gajinya kecil mungkin, tapi aku tidak kisah lagipun aku ada juga mengambil upah mengajar muqaddam dan mengaji  anak jiran di taman tempat tinggalku.Jadi dapatlah sedikit sebanyak menampung hidupku di bandar Seremban ketika itu.

Ustaz Jaafar ceria menerima kehadiranku.Aku diperkenalkan dengan lain-lain kakitangan di Bahagian Dakwah.Ketua bahagian Ustaz Zakaria Hitam kulihat agak serious orangnya tapi mesra bila aku diajak berbual.Aku tidak lagi memakai serban.Hanya mengenakan ketayap ala kumpulan nasyid Hijjaz.Ustazah Fatimah hanya tersenyum bila kami bertentang mata..Aku sedikit malu.

Selain UF ada lagi dua orang ustazah dan 5 orang ustaz di Bahagian Dakwah.Aku diletakkan di bawah unit Ukhuwah.Siapa lagi kalau bukan Ustaz Jaafar bossku.Unit aku bertanggungjawab secara terus mengendalikan dakwah dan kebajikan kepada saudara-saudara baru.Hari pertama aku diberi sedikit penerangan oleh UJ berkenaan tugas yang bakal aku lakukan.

Alhamdulillah segalanya berjalan dengan baik.Sekurang-kurangnya aku telah bekerja.Aku tidak mahu menjadi muslim yang tidak punya matlamat hidup.Walaupun matlamat kehidupan abadi akhirat nanti tapi nasib di dunia perlu difikirkan.Punya ilmu,pengalaman itu adalah modalnya.Aku mahu menjadi seorang pemuda Islam yang sempurna.Mendapat rezeki dari hasil titik peluh sendiri dan bukan menjadi peminta-minta seperti kisah yang pernah aku lihat sepanjang hidup sejak bergelar muslim.

Aku ada Allah.Kepadanya segala harapan kusandarkan.Aku pernah susah,daif hidup seorang diri di rantau orang.Mencari ilmu agama atas ikhtiar sendiri.Alhamdulillah aku berasa yakin dengan diri kerana aku dapat menguasai asas-asas fardhu ain,malah dapat pula menyampaikan kepada orang lain.Tiba masanya pula untuk aku berbakti kepada golongan muallaf yang senasib dengan diriku.

Seorang muslim yang baik adalah yang banyak memberi manfaat kepada kehidupan saudaranya yang lain.Aku mahu menjadi manusia seperti itu.Berkerja di unit Ukhuwah memberi peluang kepadaku merealisasikan niatku.Setiap bulan unit Ukhuwah akan mengadakan kursus kefahaman Islam untuk saudara baru yang baru memeluk agama Islam.Mereka kami kumpulkan dalam sebuah rumah dua tingkat  yang disewa oleh pihak Majlis Agama Islam dan dinamakan Darul Ukhuwah.Lelaki tidur di tingkat bawah sementara perempuan di tingkat atas.Kami masak bersama-sama.Seronok begitu kerana kami membiasakan mereka berinteraksi  sesama mereka yang terdiri dari pelbagai kaum.

Jadi peringkat awal mereka tidak merasa janggal mengenal Islam sementara aku pula diarah menyelia dan tinggal di rumah tersebut.Juga bertindak sebagai tenaga pengajar,menjaga kebajikan dan pemudahcara dalam kebanyakan slot praktikal.Hanya kadangkala saja dua orang ustazah datang membantu.

Itulah duniaku ketika itu.Pengisian hidup banyak merealisasikan ilmu yang kupelajari dulu.Begitu terasa berkatnya ilmu yang dituntut.Menjaga saudara baru pula bukanlah perkara yang mudah.Kebanyakan mereka masih terbiasa dengan kehidupan jahiliah sebelumnya.Malah ada juga masih mahu menyamakan Islam dengan agama nenek moyang mereka.Tauhid mereka masih lemah.Apalagi jika ada pertanyaan tentangnya.Bagaimana mahu diterangkan dan memahamkan konsep alam malakut dan ghaib sedang mereka berfikir secara logik .Inilah cabaran.

 Inilah perjuanganku.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...