24 January 2009

1992: Darul Ukhuwah dan istikharah..

Rumah 2 tingkat yang disewakan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan dijadikan pusat aktiviti dakwah kepada saudara baru.Aku dipertanggungjawabkan menjaga dan menyelia segala kemudahan asas di dalamnya.Ketika itu pihak majlis atas permohonan unit Ukhuwah memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi menjayakan  program dakwah.Aku mendapat tahu pihak majlis juga akan membeli 2 unit rumah teres 2 tingkat untuk dijadikan pusat tetap aktiviti dakwah seterusnya.

Tinggallah aku berseorangan menjaga Darul Ukhuwah sejak aku menerima tugasan sebagai Pembantu Dakwah sambilan.Menemaniku sebuah radio yang kubeli di Kroh(Pengkalan Hulu)sewaktu aku berkunjung ke sana tahun 1986 dulu.Lagu-lagu nasyid dari kumpulan Nadamurni (sekarang Rabbani) menjadi halwa telingaku.Kadang-kadang aku layan juga lagu-lagu pop yang popular sekitar tahun 1992 ketika itu.Selesai solat Isyak di Masjid Kariah Paroi Jaya yang jarak 100 meter saja dari rumah itu ,malam adalah saat yang amat sepi bagi yang tidak berteman.Jujurnya, sangat sepi.

Bilik kecil tingkat bawah sebelah ruang dapur kujadikan bilik istirehatku.Di situ ada alas dari toto dan selimut nipis.Sedikit buku-buku keagamaan untuk dibaca kala minda terarah ke situ.Tiada peti televisyen untuk menikmati siri-siri drama yang pernah kuikuti dulu.Tiada berita dan maklumat terkini mengenai apa yang terjadi pada dunia saat itu.Pun begitu mengelamun dan mengenang adalah pengalaman indah.

Masih terkenangkan seseorang.Janji kepada diri tidak mungkin dapat aku laksanakan.Lebih baik begitu dari memberi harapan kepadanya.Bimbang jika suatu hari nanti tidak tertunai ,aku dikatakan seorang pemungkir.Kehidupanku yang baru bermula ketika itu akan kupenuhi dulu dengan mencari bekalan.Menyiapkan diri dan keperluan hidup sebelum menerima seseorang sebagai suri penyejuk mata jiwa.Siapa...?

hendak gugur,gugurlah nangka
jangan menimpa dahan yang rapuh
hendak tidur,tidurlah mata
jangan dikenang orang yang jauh 

Ya Allah… Seandainya telah engkau catatkan… Dia milikku tercipta buatku…Satukanlah hatinya dengan hatiku… Titipkanlah kebahagian antara kami…. agar kemesraan itu abadi… Dan ya Allah… ya tuhanku yang maha mengasihi… Seiringkanlah kami melayari hidup ini… Ketepian yang sejahtera dan abadi…

Tetapi ya Allah… Seandainya telah engkau takdirkan… dia bukan miliku… Bawalah ia jauh dari pandanganku… Luputkanlah ia dari ingatanku… Dan peliharalah aku dari kekecewaan….

Serta ya Allah ya tuhanku yang maha mengerti… Berikanlah aku kekuatan… Melontar bayangannya jauh ke dada langit… Hilang bersama senja nan merah… agar aku bahagia… Walaupun tanpa bersama dengannya…

Dan ya Allah yang tercinta… Gantillah yang telah hilang… Tumbuhkanlah kembali yang telah patah… Walaupun tidak sama dengan dirinya…Ya Allah ya tuhanku… Pasrahkanlah aku dengan takdirmu… Sesungguhnya apa yang telah engkau takdirkan… Adalah yang terbaik buat ku… kerana Engkau maha mengetahui… Segala yang terbaik buat hamba Mu ini…

Ya Allah… Cukuplah engkau sahaja yang menjadi pemeliharaku… Di dunia dan di akhirat… Dengarlah rintihan dari hamba Mu yang daif ini… Jangan engkau biarkan aku sendirian… Di dunia ini mahupun di akhirat… Menjuruskan aku kearah kemaksiatan dan kemungkaran…

Maka kurniakanlah aku seorang pasangan yang beriman… Supaya aku dan dia sama-sama dapat membina kesejahteraan hidup… Ke jalan yang Engkau redhai… dan kurniakanlah padaku keturunan yang soleh….
Amin.. Ya Rabbal A’lamin.


No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...