24 May 2017

Rahsia

Semasa zaman kanak-kanak, aku berbeza daripada rakan-rakan sebaya. Pada waktu petang, suasana di penempatan kem askar BN 19 dan BN 20, Senoi Praaq (Pasukan Polis Hutan), penuh dengan keriuhan suara kanak-kanak bermain di padang yang terletak tidak jauh dari rumahku. Namun, aku hanya menghabiskan waktu menonton televisyen. Semua rancangan televisyen menjadi tontonan wajibku, dari berita semasa hingga rancangan kartun.

Dalam rancangan berita, pasti ada satu berita yang melekat kuat di ingatanku. Ketika itu adalah era puncak perang antara Vietnam Utara dan Selatan. Aku mengikuti perkembangan kisahnya. Manakala rancangan kartun kegemaranku pula sudah tentu Roadrunner dan Sinbad Jr.



Namun, apabila Ramadan tiba, aku pasti akan menantikan drama bersiri Arab mengisahkan nabi-nabi terdahulu. Setiap petang di bulan Ramadan, aku tidak pernah gagal menunggu drama itu. Walaupun aku tidak memahami bahasa yang dituturkan, tetapi jalan ceritanya dapat kufahami kerana terdapat sarikata di bawah skrin. Mungkin minatku terhadap kajian sejarah nabi dan Islam semasa di sekolah membuatkan aku teruja apabila kisah yang kubaca berkaitan dengan jalan cerita di televisyen, dan itulah yang menyebabkan aku terpaku di depan skrin.

Ketika cerita dan kisah nabi menjadi kegemaranku sewaktu berusia 8 atau 9 tahun, minatku terhadap kajian Islam semakin mendalam. Selain itu, rakan-rakan Melayu yang rapat denganku sering bercerita tentang Islam. Aku juga mengambil subjek Pengetahuan Agama Islam dan bacaan jawi dari darjah satu hingga darjah lima. Oleh itu, minatku semakin bertambah kerana apa yang aku pelajari selari dengan apa yang aku tonton di televisyen. Setiap tahun, aku tidak pernah lupa menonton kisah para nabi di televisyen setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Dalam darjah tiga (tahun 1974), aku sudah pandai membaca jawi dan mengaji sedikit-sedikit serta mengenali huruf-huruf Arab. Aku masih ingat Ustaz Hassan Basri, seorang yang selalu memberi peluang kepadaku untuk belajar tentang agama Islam. Rakan-rakan sekelasku juga sangat baik dan sentiasa membantuku memahami subjek itu. Suatu hari, Ustaz Hassan memimpin kami dalam praktikal amali solat di Masjid Iskandari yang berdekatan dengan sekolah rendahku. Namun, aku tidak dibenarkan menyertainya kerana menurut ustaz, aku bukan seorang Muslim. Rakan-rakanku tidak berpuas hati dan memujuk Ustaz Hassan agar membenarkanku turut serta dalam amali solat. Akhirnya, atas desakan rakan-rakanku, ustaz bersetuju dan memberikan izin.

Di masjid, aku berwuduk dan bersolat. Aku mengamati satu persatu apa yang dilakukan oleh rakanku ketika berwuduk, lalu aku mengikutinya. Melafazkan niat dan berwuduk. Ketika solat juga demikian. Kami berbaris bersama-sama dan melakukan amali solat. Ketika tiba waktu sujud, rakanku yang nakal tiba-tiba terkentut dan terus ketawa. Aku yang hanya mengikuti perlakuannya tidak dapat menahan lucu, lalu ikut tertawa juga.

Apabila bersendirian, aku sering merenung tentang apa yang telah aku lalui pada hari tersebut. Hidayah Allah hadir juga, aku kerap mengalami dan bermimpi sesuatu yang meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa kanak-kanakku ketika itu. Sejak itu, aku tidak lagi berpaling. Fikiranku hanya tertumpu kepada Islam sahaja di hati. Aku bertekad untuk menjadi seperti rakan-rakanku yang beragama Islam. Mereka bukanlah rakan yang baik, kenakalannya tetap sama, tetapi bagiku ajaran Islam jauh lebih sempurna. Soal rakan, mereka bukanlah teladan bagiku. Aku hanya suka berkawan.

Aku merasa bertuah kerana Ustaz Hassan Basri merupakan seorang yang lembut dalam mendidik kami. Aku banyak memperoleh ilmu agama peringkat awal di sekolah daripadanya.

Barangkali ketika itu (belajar di ITM-1983) selama empat tahun mendatang sepanjang 8 semester yang bakal aku lalui merupakan waktu untuk aku merealisasikan keazaman dan niat untuk memeluk Islam. Siapa tahu? Aku sudah remaja. Aku bebas melakukan apa sahaja yang aku suka. Sewaktu menunggu keputusan SPM 1982 diumumkan, pernah juga aku suarakan kepada Bah (abah). Suatu hari nanti, aku akan memeluk Islam. Abah marah. Katanya, aku perlu habiskan belajar dahulu. Selepas itu, terpulanglah. Orang tua itu, dalam marah-marahnya dia tetap redha jika aku memeluk Islam.

Dan mungkin juga, apa yang NZ sampaikan dan aku akan merealisasikan hasrat hati, sambil berusaha mengajak GK arah yang sama. Gadis sentiasa ada dalam fikiranku. Mungkin juga sepanjang tempoh pengajian ini, aku akan cuba mencari rahsia tentang dirinya terlebih dahulu. Aku telah menjadi seorang pemuja dalam diam (Secret admirer). Ciri-ciri idaman memang sudah ada padanya. Cuma aku tidak pasti sama ada hatinya telah dimiliki.

Pada pertemuan pertama kali di Gombak, aku sudah jatuh hati kepadanya. Rambut panjang melepasi bahu yang sering diselitkan ke cuping telinga. Juntaian rambut menutupi dahi bak china doll (itulah yang menarik perhatian). Bermata sepet dan berkulit cerah. Tinggi lampai dan peramah. Semua ciri itu mengingatkanku kepada rakan sekelas berketurunan Tionghua sewaktu tingkatan 5 dahulu. Itulah rahsia pilihanku.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

      Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu...