10 May 2017

Julai 1983 : Minggu Suaikenal yang tak kenal.

Minggu orientasi menuju penghujungnya.Hari terakhir itu kami diasingkan mengikut bidang pengajian yang kami pilih atau terpilih.Aku dan Sariman mengambil barisan paling kanan.Barisan yang menghimpunkan pelajar-pelajar senilukis dan senireka.Di situ aku mula mengenali wajah rakan-rakan sekuliahan yang akan berjuang di bidang yang sama.Oleh kerana masih baru kami tidak banyak berbual dan rata-rata membisu dan menantikan saja arahan selanjutnya.Paling belakang pula barisan pelajar perempuan.

Setelah beberapa penerangan ringkas kami dimaklumkan akan dipimpin oleh senior Art And Design untuk ke bangunan senilukis dan senireka.Yeaayyy..tak sabar rasanya melihat bangunan senilukis yang gah dan terhimpun di situ berbagai karya seni pelajar-pelajar terdahulu.Antara mereka telah mencipta nama besar di bidang senilukis.Aku meminati seni halus dan aku akan mempelajari banyak perkara tentang subjek yang aku minati itu nanti.

Pagi itu kami pun bergerak perlahan ke arah bangunan yang dimaksudkan.Melalui bukit yang dikelilingi pohon-pohon  dan suasana pagi yang panas sedikit.Dari jauh aku dapat melihat bangunan seni yang tersergam di bawah bukit itu.Sepanjang melalui jalan pintas ada antara rakan-rakan yang sempat bergurau dan mengusik sesama kami.Katanya laluan itu ada pacatlah.Aku hanya tersenyum melihat tingkah mereka.Semua mereka itu terdiri dari anak-anak muda Melayu.Sementara aku , Sariman dan GK dari kaum Orang Asli Semenanjung.

Kami memasuki bangunan itu melalui pintu di kiri bangunan dan melalui beberapa studio dan jabatan.Sangat teruja melihat karya-karya seni yang sedang dipamer, sambil mataku mengelak dari memandang senior yang kelihatannya seperti bengis dan mengecutkan ulu hati itu.Senior yang memimpin menerangkan suasana yang ada pada ketika itu.Kami diterangkan mengenai beberapa studio dan jabatan seni.Ada jabatan seni halus, grafik, textile, fesyen, seni industry, seni halus logam dan seni halus pottery.Pandangan yang mengagumkan pada perkiraanku kerana segalanya bermain dengan warna-warna dan dipersembahkan dengan karya yang tersendiri.Sebelum ini aku tidak pernah tahu cabang seni yang pelbagai yang boleh dipelajari.Bagiku yang daif ini, senilukis hanyalah melukis saja.

Kami dibawa berjalan di sekitar dalam bangunan sambil diterangkan jabatan seni yang wujud pada masa itu.Seronok melihat setiap studio-studio seni ada saja karya seni yang indah pada pandangan mata.Ada juga arca logam pelbagai bentuk dan paling menarik semua hasil karya seni pelajar terdahulu dipamer di ruangan yang dipanggil foyer.Pelbagai hasil kerja seni ada di situ.Ukiran, lukisan, pintalan,anyaman dan catan.Tapi kami pelajar baru lebih tertarik kepada objek biasa yang terdapat di rumah dan pusat membeli belah.Ada seterika, peti sejuk, rice cooker turut dipamer.Tetapi apabila didekati ternyata ia adalah hasil kerja tangan yang amat halus yang dihasilkan melalui medium kertas saja.Semuanya dihasilkan dari bahan-bahan biasa untuk projek industrial design.Mengagumkan.

Di foyer itu kami asyik memerhati karya seni setiap satu yang dipamerkan.Aku rasa sungguh bertuah kerana telah memilih bidang yang sesuai dengan jiwaku.Aku berazam untuk mendalami bidang ini sejauh yang mungkin.Aku telah berada di dunia yang aku idamkan.Aku berada di institusi yang disanjung tinggi oleh pada pengkarya kerana di sini lahirnya insan-insan seni yang dipimpin oleh mereka yang hebat dalam sejarah kesenian tampak Malaysia.

Di akhir aktiviti, pelajar senior memaklumkan bahawa sebagai tradisi art and design kami akan melalui pula minggu suaikenal di peringkat kajian atau sekolah.Aku tidak berapa ingat berapa hari, minggu suaikenal yang akan dijalankan.Kami akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan akan dipimpin oleh sekurang-kurangnya dua orang senior lelaki dan perempuan sebagai fasilitator.Kebanyakan aktiviti lebih kepada latihan dalam kumpulan.Kami juga diasingkan kepada grup study atau kelas selepas tamat minggu suaikenal nanti.Aku telah dipilih masuk ke kumpulan 2 dan kelasku terletak di tingkat bawah bersebelahan grup 1.

Kami juga diminta memberikan persembahan atau sketsa di akhir minggu itu sebagai hiburan santai dan penutup minggu suaikenal.Begitu juga pelajar perempuan diminta untuk memberikan satu sketsa.Terpulang bagaimana kami menyelaraskan dan mengaturkan sketsa yang melibatkan semua pelajar baru.Kecut perut bila mendengar arahan dari senior yang kadangkala lagak seperti pegawai tentera.Bermula dari situ hubunganku dan pelajar lain semakin mesra.Kami berbincang mengenai idea sketsa yang akan dipersembahkan dan melantik seseorang sebagai leader , pengarah sketsa.

Dalam kumpulan latihan dalam kumpulan atau biasa disebut LDK aku bersama dengan pelajar lelaki dari kumpulan lain dan pelajar perempuan juga.LDK satu wadah yang menyatukan kami dari segi hubungan dan toleransi komunikasi.Kadang-kadang timbul perasaan malu dan segan kerana ketika itu aku masih berasa rendah diri.Namun ia juga satu perkara yang baik kerana aku dapat mengenali rakan-rakan seperjuangan dalam bidang yang ku minati.Mujur GK tidak sekumpulan denganku.Jika tidak pasti aku tidak akan jemu menatap wajah chinese looks itu.Rakanku, Sariman aku pun tak ingat lagi.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...