14 May 2017

Kenangan Lalu..(sebuah koleksi peribadi 1983)


Bas nombor 37 berhenti di hujung simpang.Aku turun dan mengucapkan terima kasih kepada pemandunya.Dia senyum lalu mengucapkan selamat jalan kepadaku.Ku balas ucapan itu dengan senyuman juga.Bas berlalu dan aku masih lagi terpaku buntu.Berdiri mencari arah pulang ke kampung halaman.Tidak ada siapa yang sudi menyambutku petang itu.Justeru aku juga tidak berharap akan ada sesiapa menantiku.Mereka sudah tidak lagi mengenaliku.Sedang aku telah lama di rantau. Pasti tiada sesiapapun akan mengenaliku.

Bas  berlalu pergi sambil mataku menghantarnya hingga hilang di balik jejeran pokok kelapa sawit.Bas itu masih menabur khidmat baktinya.Ada kenangan lama yang sukar ditepis melihat bas itu berlalu.Bas pergi dan aku pun melangkahkan kaki.

Kumulakan langkah dengan rasa hati yang amat berat.Bagai memikul bebanan di pundak bertan-tan rasanya.Begitupun rinduku tidak pernah reda.Rindu bertemu insan yang telah lama kutinggalkan.Mereka menanti dengan penuh senyuman.Insan-insan yang terpateri di hati. Sanggupkah aku menahan rasa duka di jiwa.

Sekilometer lagi langkahan kaki ini ke destinasi akan menemukan aku dengan istanaku.Istana yang kubina bersama gadis pujaan 16 tahun lalu.Gadis yang kugilai sejak usia remajaku.Kelembutan, kecantikan gadis desa yang tiada bandingan.Paling memikat kepandaiannya mengaji ketika kami anak desa mengadap Ustaz Hashim di suraunya.Lunak dan fasih bacaan dan rindu padanya mekar berkembang.

Aisyah, itulah dara pujaan kampung yang menjadi idaman pemuda sebayaku.Masing-masing cuba menonjolkan diri ingin mencuri perhatian gadis itu.Aku tidak mahu terjebak dalam perebutan lantaran kekurangan diri, lantas aku hanya memujanya dalam diam.Namun satu peristiwa yang tidak akan dapat aku lupakan bila gadis itu sendiri mencurahkan rahsia hidupnya yang selama itu terbuku.

Aku sangat menginginkan dirinya meskipun terpaksa bersaing dengan Azman, pemuda sebaya yang lebih bergaya dan berharta.Kawan paling rapat sejak zaman kanak-kanak lagi.Azman seorang yang berdisiplin, bercita-cita besar dan pintar.Di sekolah sering mendapat markah tertinggi di hujung setiap peperiksaan.Aku kadang-kadang cemburu namun aku akur kelemahan.Azman pula tidak pernah membezakan aku dengan rakan yang lain.Kami berkawan rapat sejak kecil sehinggalah masing-masing menamatkan SPM.Keputusan yang cemerlang membawa Azman ke menara gading dan aku masih di ceruk kampung menunggu jawapan permohonan ke jawatan kerajaan.

Aisyah pastinya akan terpikat dengan kelebihan yang ada pada Azman.Aku sudah mula pandai cemburu tika itu, lalu tidak mahu lagi meneruskan persaingan itu.Selepas itu Aisyah juga berjaya menjejakkan kaki ke maktab perguruan di ibu kota.Cita-citanya untuk menjadi pendidik akhirnya tercapai dan sejak itu desa ini menjadi sunyi kerana tiada lagi bunga yang menyerikan hari-hari kami.

Langkahan kakiku petang itu menjadi perlahan ketika sampai di jambatan kayu merentangi sungai.Di bawahnya sungai jernih mengalir.Masih macam dulu.Cuma airnya tidak lagi deras.Aku berhenti di tengah jambatan itu.Merenung jauh, sejauh kenangan yang lama tersimpan.Cerita indah pernah berlaku di bawah jambatan ini.

Di situlah aku, Azman, Din Gagap, Ali Hashim, Deris Gemuk dan Lokman mandi-manda sambil menanti anak dara kampung lalu.Di sanalah juga peristiwa kepalaku berdarah dibaling batu kerana mengusik Aisyah.Aku sangkakan Aisyah dan rakannya cuma bergurau tapi sangkaanku meleset.Aisyah pohon maaf tapi aku tidak menyalahkan dirinya.Kamilah puncanya. Aisyah dan rakannya mengadu kepada bapa masing-masing namun  kepalaku berdarah demi kerana Aisyah.

Aku kembali mengatur langkah.Rasanya tidak mahu mengenang lebih jauh peristiwa itu.Memang hatiku remuk dan kecewa ketika ini.Bayangan semalam bagaikan terasa baru berlalu.Tidak sangka begitu cepat waktu berjalan meninggalkan aku kembali mengutip sisa-sisa kenangan.Benar sepanjang jalan masuk ke kampung ini begitu banyak kenangan yang tercipta.Aku masih ingat waktu kami di sekolah rendah.Berjalan ramai-ramai pulang dari sekolah menuju rumah masing-masing.Kami telusuri jalan ini sambil bergurau dan bercerita peristiwa di sekolah yang melucukan.

Hari itu Azman kawan baikku tidak ke sekolah kerana demam.Aku yang ketinggalan bas pulang bersama pelajar perempuan sekampung. Aku melihat Aisyah berbisik sesuatu ke telinga Suhana sambil memandang ke arahku di belakang. Entah apa yang dibisikkan Aisyah hingga membuat Suhana ketawa lantas senyum menoleh kepadaku.Aku hanya diam merenung telatah mereka berdua.“Amir…Aisyah suka awak..!!” tiba-tiba Suhana menjerit lantas berlari meninggalkan Aisyah terpinga.Melihat itu Aisyah jadi malu lantas mengejar rakan baiknya dari belakang.Aku tergamam.

Mungkin itu agaknya yang dikatakan Aisyah kepada Suhana tadi.Aku lihat dari kejauhan Aisyah mencubit bahu Suhana.Gelihati melihat tingkah dua sahabat itu.Mereka dua bersahabat baik sejak darjah 1 lagi.Di mana ada Suhana di situ ada Aisyah begitulah sebaliknya.Aku kagum dengan sikap mereka berdua yang punyai ikatan sepupu itu.Tidak pernah aku terlihat mereka bermasam muka apalagi bergaduh sesama sendiri.

Sehinggalah kami melangkah ke sekolah menengah, Suhana dan Aisyah masih seperti dulu.Aku tidak lagi rapat dengan mereka seperti waktu di sekolah rendah.Mungkin masing-masing sudah tahu erti malu.Batas sempadan lelaki dan perempuan yang sudah menginjak ke alam remaja.Suhana dan Aisyah sudah mula mengenakan tudung baik ke sekolah mahupun ketika berjalan-jalan di desa ini.Mereka berdua makin manis begitu.Mereka sudah menjadi anak gadis yang menjadi bualan pemuda kampung. Sejak itu juga aku mula berangan dan berperasaan ingin berkawan dengan Aisyah.Ah cinta monyet.

Aku berjalan lagi, mencari arah mengikut hati.Hati yang pilu seperti waktu dulu ketika aku terpaksa meninggalkan desa ini.Meninggalkan seribu kenangan yang terpendam.Berhenti di bawah bayangan pohon sena petang itu hati bertambah sebak.Suatu ketika dulu di bawah rimbun pepohonan sena aku dan rakan berlindung dari basahan hujan sewaktu pulang dari sekolah.Aisyah dan sepupunya juga sudah tercegat di situ mencari teduh.Aisyah memandangku dengan senyum, mata kami bertentang lalu aku tunduk mengalah.Di situlah saat hati berbisik bahawa gadis remaja itu punya senyum yang manis berlesung pipit dan sepasang mata yang cantik di balik tudung putih.Lalu dalam diam cintapun berputik.

Deretan pohon sena menuju desa sudah tua benar.Tidak seperti dulu bila waktu kami anak desa menuju hentian bas berasa kagum dengan hamparan kuning angsana desa yang gugur lewat subuh.Kabut pagi mendingin dan hamparan sena menguning, mengajak kami menikmati keindahan itu.Bagai salji sepanjang jalan keluar desa dipenuhi bunga halus kuning apalagi ditiup angin lembut lalu gugurnya bagai panorama musim sejuk di negara barat.Indahnya waktu itu sehingga kami terpegun.

Kenangan itu sudah lama berlalu.Azman, Aisyah, Suhana sudah tidak ada di sini untuk berkongsi cerita. Setahun selepas itu akupun berjaya ditawarkan ke jawatan kerajaan.Sebagai kerani di pejabat daerah di Bandar.

Setiap inci bumi desa ini aku lewati.Setiap langkahan aku berhenti, merenung panjang pada sebuah kenangan yang lama tersimpan.Kadang-kadang semacam lelaki kurang siuman bila aku berdiri memandang sepi kepada suatu tempat yang masih kuingat.Aku mula mencari pangkal kisah mula pertama kali aku mengenal dan mencintai Aisyah.Ya di sini mulanya, di bawah pohon sena ini juga sewaktu pulang dari kerja di bandar.Aisyah juga pulang lewat bercuti tahunan dari sekolah tempat mengajarnya di ibukota.Sewaktu turun dari bas petang itu Aisyah menyapaku..“Amir…??”
“Amir..??”
Kutoleh dan senyum.Aisyah membalas senyum.Senyum yang bisa menggetarkan hatiku.Degup jantung bertambah laju ketika Aisyah mendekati.
“Aisyahhh..” balasku perlahan.“Amir boleh tolong tak?” Aisyah senyum lagi.Sedikitpun tidak pernah kulupakan senyuman berlesung pipit itu.Usia kami ketika itu sudah mencecah pertengahan dua puluhan dan saat memandang Aisyah itu hati jadi bergetaran.Masih kurindukan senyummu, Aisyah.
“Boleh..”
“Bawak beg ni,boleh.?”
“Banyak begnya ni..Aisyah”
“Ha..ah,Aisyah dapat tukar sini.Jadi bawak la sikit.Beli barang kat Bandar  tadi tak sedar dah banyak pulak.Takpakan Amir..?”
“Ok jer”
“Terima kasih”

Sepanjang jalan masuk ke kampung menemaninya, kami bercerita.Tentang kerja, tentang kawan-kawan lama Suhana, Azman ,Lokman, Din Gagap, Deris gemuk, Ali anak Ustaz Hashim dan kenangan.Aku seronok mendengar Aisyah bercerita.Ada-ada saja ceritanya.Memang patutlah dia menjadi cikgu, pandai mengolah dan menarik perhatianku.Aku bertanya padanya tentang Suhana, sahabat baiknya itu.Kata Aisyah ,Suhana sudah menjadi guru di selatan tanahair.Katanya lagi Suhana akan bertunang hujung tahun itu.Mendengar berita itu lalu aku jadi teruja ingin menguji dirinya.

“Aisyah pula bila..?”
“Bila apa…?
“Ya la..bila nak ikut jejak Suhana..?
“Aisyah tunggu Amir..!”ketawanya kecil tapi bermakna.

Aku terdiam.Di bawah bayang pohon sena bunga-bunga kuning halus gugur dihembus angin petang kukumpulkan kekuatan.Panorama dulu berulang kembali.Kali ini suasana sungguh romantis.Aku tidak tahu gurauan Aisyah itu sungguh-sungguh atau sekadar mainan.Tapi aku akui memang selalu memujanya.Meskipun Aisyah jauh di ibukota bertahun lamanya.Lalu aku luahkan bahawa aku menyukainya sejak dulu juga.Sejak bertentang mata di bawah pohon sena itu.Aisyah senyum malu.Rupanya masih segar di ingatan gadis manis itu peristiwa kami dibasahi hujan.

Aisyah, sebenarnya sudah lama menyimpan rasa.Memandangku menjadi debar, katanya, kehilanganku menjadi gusar.Satu rasa yang tiada pada rakanku yang lain.Setiap ketika hatinya dihambat rasa sayu bila mengenangkanku.Sejak dulu, katanya aku pemuda yang bertakhta di jiwa.Namun malu gadis itu menyekat niat.Aku terpaku.Alam juga kaku.Aku bungkam bahasa terdiam seribu rasa.Petang itu rahsiaku dan rahsia Aisyah bersatu.

Setahun mencurah kasih.Menitip sayang.Menyiram cinta agar kembang bugar sentiasa.Rindu yang tiada berkesudahan.Surat-surat penghubung kata, gambaran jiwa.Di sanalah ayat-ayatnya membenih cinta.Akhirnya ,Aisyah menyatakan sedianya menjadi suriku.Tahun kedua mencintainya aku paterikan ikatan itu dengan tautan syarak.Sahlah Aisyah menjadi isteriku di dunia dan akhirat selamanya.Istana yang dibina bertambah seri dengan lahirnya dua putera dan seorang puteri.

Aku tiba di laman istana waktu fikiranku ligat mengingatkan wajah putera puteriku.Tiada yang indah lagi di sini.Hanya tinggal tunggul kayu dan rimbunan lalang.Belakangnya belukar kecil telah tumbuh meliar.Aku memandang dari kejauhan dan sejauh itu juga kenangan silam yang hitam satu persatu menghentam fikiran.Malam yang jahanam memusnahkan segala yang aku miliki.Istanaku musnah dijilat api.Sedang aku longlai hanyut dalam syurga dunia.Melayan nafsu menjamu najis dadah.

“Abang ke mana dah dua malam tak balik ni?”
“Ala abang keluar sekejap saja!,kau jangan sibuklah, jaga anak kita”
“Tapi abang dah dua hari tak kerja, sudahlah bang, jangan campur dengan budak dadah tu”
“Kau jangan sibuk!,jaga rumah!”
Itulah kali terakhir aku keluar dari istana yang dibina bersama Aisyah.Tengah hari aku pulang setelah ketagihan ku reda dengan kepala yang berpinar-pinar ,aku tidak nampak lagi sergam indah istanaku.Cuma yang tinggal tiang-tiang kayu yang hangus terbakar dan asap kecil dari timbunan arang.Segalanya hilang lenyap,sunyi sepi dunia kurasakan.

“Kau ke mana Amir..? rumah kau habis terbakar.Celaka betul kau ni.Hidup tak seperti manusia, lebih baik kau yang mampus dulu.”Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telingaku.Umpatan, kejian, sumpah seranah semua dihamburkan kepadaku.Istanaku terbakar ketika aku khayal di port kebun kelapa sawit pinggir hutan.Aku tunduk menangis.Segalanya telah hancur.Petang itu juga aku ditangkap polis kerana ketagihan najis dadah.Ujian dadah positif dan aku ditahan di pusat serenti selama dua tahun.Aisyah, puteri dan puteraku dan desa itu, kutinggalkan.Belum sempat aku bertanyakan hal dan menatap wajah mereka lalu aku dibawa pergi bersama maruah diri yang telah punah.

Sebak di dada tidak tertahan lagi.Hatiku berbaur kesal.Laman istanaku kutinggalkan sepi.Aku cuba mencari silapku dulu berpunca di mana.Bermula kerana dicabar juga rasa ingin tahu nikmat berada di syurga khayalan.Mula hanya suka-suka tetapi menjadi ketagih dan semakin parah jika tidak mendapat bahan terlarang itu.Amanah tuhan telah kuabaikan.Kalaulah aku akur kata-kata Aisyah dan mentaatinya.Isteriku yang baik hati dan melayan karenahku selama itu.Tentu….ahh.

Aku tiba di laman damai destinasi terakhir.Hening petang itu dengan redup cahaya mentari tersirna di balik awan tebal.Angin semilir tidak lagi sedingin dulu.Masih membenciku agaknya.Aku pulang memujuk hati merindui kalian yang pergi.Sepi tapi dalam hati menangis kesal.Kesal yang tidak berkesudahan.

“Salam atas penghuni kubur, mukminin dan muslimin, engkau telah mendahului kami dan insyaAllah kami akan menyusulmu….”
Di hujung sebelah kanan sana tegak nisan isteriku, Aisyah dan batu-batu nisan kecil sebelahnya tersusun sepi.Mereka menungguku dengan damai.Tiada lagi salam lembut Aisyah menyapa seperti selalu ketika menyambutku pulang dari kerja.Tiada lagi laungan abah balik dari putera-puteraku.Lenyap sudah rengekan manja puteriku minta didukung kala melihatku setiap petang pulang ke pangkuan.Airmataku bergenang lalu jatuh deras membasahi janggut nipisku.Sebak dan hancur hati tidak tertahan lagi.Hilanglah kini senyuman lesung pipit yang manis dan sepasang mata yang cantik itu.Tersimpan kemas ia dalam kotak fikiranku bersama kenangan lalu.
  

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...