05 December 2010

misteri...

Ya,..dalam coretan yang lalu aku pernah catatkan betapa aku tidak punyai ramai kawan selain ibu.Seingat aku ,aku lebih suka bermain sendirian.Maka tidak hairanlah sehingga aku meningkat remaja aku lebih suka menyendiri.Pendiam.Kadangkala sangat kuat berfantasi.Bukan tidak ramai kawan-kawan di kem BN 19 masa itu.Tapi memang diri ini yang lebih selesa bersendiri.Itulah hakikat personaliti yang masih terbawa-bawa sehingga kini.

Suatu ketika sebelum aku menginjakkan kaki ke sekolah rendah.Berlaku satu kejadian yang misteri bagiku dan ibu.Ibu ketika itu sedang membasuh kain baju di bilik air sementara aku di luar sedang bermain-main di kawasan tanaman keluargaku.Di situ terdapat sebatang pokok betik,deretan pokok tebu yang tidak sampai enam batang rasanya dan tanaman sayuran yang lain seperti pokok cili dan terung.

Sedang asyik melayani dunia kanak-kanak,tiba-tiba aku terpandang sebuah kotak berwarna ungu kemas terselit di celah dedaun tebu.Ibu ku masih di bilik air membasuh.Aku pelik dan teruja dengan barangan yang belum pernah kulihat.Lalu kurapati deretan tebu dan mencapainya dengan penuh rasa suka.Fikirku mungkin ini mainan baru.Aku ambil dan belek seketika.Berat.Perlahan kotak itu kubuka dan dalamnya barang-barang kemas dari emas.Seingat aku seutas rantai dan loket seperti kon.Yang lain tidak berapa pasti lagi.Lalu kotak itu kuberi pada ibu.

Ternyata barang kemas itu terlalu berharga.Ibu menyimpannya.Menunggu jika ada yang mahu bertanya-tanya jika harta miliknya hilang dan tersua oleh insan lain.Lalu jika ada ,dipulangkan kembali.Aku pasti sehingga meningkat remaja tiada orang bertanya dan ibu tidak menemukan empunya barang.Dan yang tidak kupasti ke mana barang kemas itu.Kata ibu barang itu digadainya..tetapi tidak dapat ditebus lagi kerana tiada wang memandangkan kesusahan kami waktu itu.

04 December 2010

Cerita Hantu...


Entah mengapa ,dewasa ini kebanyakan siri tv menayangkan cerita-cerita berunsur seram.Mengambil kira jumlah tayangan di pawangan yang juga semakin berlambak samada terbitan tempatan dan luar negara.Sebagai seorang ayah aku sebenarnya lebih memilih merungut di benak jiwa bila melihat anak-anak lelakiku telah membiak sifat takut kepada kegelapan.Walau hanya memasang suis di kamar masing-masing.Terpaksalah si adik perempuan menemani abangnya ke pintu kamar beradu.Mereka telah menjadi penakut seawal usia muda.Dan aku tidak mahu mereka menjadi seperti aku yang dulu...

Sewaktu kecil...aku juga seorang penakut.Takut kepada malam.Tahun 1970'an ketika itu banyak menayangkan filem-filem Melayu di kaca-kaca tv kerana itu sajalah hiburan yang ada untuk kami menikmati malam.Dan hanya satu saja tajuk yang paling menggerunkan aku.Kalau bukan "Pontianak" dan rentetan siri-sirinya..apalagi?.Masih ingat jika tv menayangkan filem itu aku akan berselubung di belakang ibu dari awal sehingga tamat filem.Muzik iringan saja sudah boleh membuatkan degup jantung bertambah kencang.Membikin tidurku sering terganggu.

Sebenarnya aku pernah terserempak dengan makhluk dinamakan hantu.Namun tidak jelas wajahnya dalam jarak 10 meter.Aku hanya perasan makhluk itu berkain putih labuh.Dan berdiri di celah pangkal pohon sena.Kisah ini aku tidak ingat tahunnya namun berlaku pada awal remajaku.Pada waktu malam ketika pulang berdua dengan seorang rakan(namanya Tori) dari pekan Kroh (Pengkalan Hulu) menghala ke kem batalion 19, berbasikal.Rakanku di depan sementara aku di belakang.Aku tidak pasti samada rakanku yang berada di depan perasan ada seorang perempuan berdiri di pangkal pohon sena.
(Pokok sena kedua sebelah kiri foto:ihsan dari http://hadihazalbum.blogspot.com )

Anehnya pohon itu masih ada lagi sehingga kini sejak kali terakhir aku bercuti di Kroh pada pertengahan Disember tahun 2006 yang lalu.Ya ..pohon sena itu yang kedua selepas pohon yang pertama dari Kroh di mana terdapat patung gajah di persimpangan jalan ke Grik.Aku hanya melihat dia berdiri tanpa bergerak lalu aku terus memecut basikal mendahului rakanku tadi.Sampai di kem rakanku bertanya apa yang berlaku.Aku hanya diam.Dan tidak menceritakan apa yang terjadi.Kisah ini tidak pernah aku ceritakan kepada sesiapa sehingga kisah ini ditulis.

Kini aku bukan lagi seorang penakut kepada kegelapan.Dan aku tidak mahu anak-anaku juga menjadi seperti aku dulu.Tetapi siri-siri tv seperti itu (siri seram) tidak langsung membantu untuk anak-anak menjadi seorang yang berani.Bagaimanakah...?


01 September 2010

Renungan saat berlalunya usia...45 tahun

Hari ini aku bersujud dengan doa yang sedikit panjang.Memuji kebesaran Tuhan.Berterima kasih atas semua limpah kurniaan.Memanjang sekadar waktu lagi agar segar udara ini kusedut memenuhi rongga jantungku.Agar masa yang diberi dapat kuisi mengenang jejak perjalanan berjinjing dosa.Menyingkir daki-daki noda.Kelak menemuiNya dengan "hati yang tenang sejahtera"

Aku patut selalu berasa kurang dan hina.Agar aku dapat merasai nikmat menjadi hamba.Tentang umurku yang dianugerahkan sekali lagi.Untuk menikmati manisnya malam-malam Ramadhan yang berbetulan berulangnya tarikh lahirku.Peluang ini tentunya kugunakan sebanyak ucapan yang termampu untuk mengucap syukur.

Kawan-kawan dan sahabat taulan jauh dan dekat berkirim doa.Berpesan moga umurku membawa berkat senada dan selari kebaikan.Terima kasih semuanya.Mungkin ada juga kealpaan.Ingatan tuan pastiku sematkan.

27 April 2010

Kuala Klawang :1994


Dua tahun bertugas di daerah sunyi ini aku mula mengutip kisah dan sejarah setempat.Kerana aku pernah bergaul dengan masyarakat N.Sembilan pada awal pengislamanku dapatlah aku memahami bahasa N.Sembilan yang sebelum ini sungguh asing.Apalagi pernah tinggal bersama seorang ustaz/tabib yang biasa ku panggil abang jak atau Ustaz Razak dari Kampung Parit Mainau,Kuala Pilah.Aku mulai memahami bahasa dan budaya minang.malah bahasanya yang mudah memberi kesempatan kepadaku mengajuk-ajuk bila berbual dengan Ustaz razak.

Pengalaman itu sungguh berguna bila aku mula bertugas di Jelebu.Berdepan dengan orang-orang luar bandar kadangkala perkataannya sangat pekat(istilah bagi merujuk dialek yang sukar difahami) untuk difahami.Aku pasrah namun bila memikirkan inilah hikmah mengapa aku Islam di sini aku tahu ilmu ini adalah untuk memudahkan kerjaku juga.N.Sembilan memang terkenal dengan adat dan budaya yang kuat.Ada masa terluang aku ke Perpustakaan Awam di Kuala Klawang waktu itu untuk mendalami lagi pengetahuan tentang N.Sembilan,tempat kelahiran bapaku dulu.

Ramai juga kenalan dan imam-imam kampung yang kukenal.Mereka yang kadangkala datang berurusan dengan pejabat Agama Islam Jelebu yang bersebelahan dengan pejabatku menjadi rujukan apabila timbul masalah berkaitan kerja-kerja.Alhamdulillah inilah pengalaman awal sebagai penjawat awam.

10 April 2010

Sebuah catatan.

Sebulan dua ini, terasa kenangan lalu kembali melintas di ruang hati. Entah khabar apa yang mahu diulang kembali. Kotak mesej dalam facebook mula terisi dengan khabar dari mereka yang pernah menjadi sebahagian perjalanan hidup. Amat indah sesekali cerita lama masih lagi ingin dikongsi bersama. Kembali bernostalgia. Mengenang zaman remaja dan kanak-kanak. Kawan-kawan sepermainan yang sempat jengah ke alam siber lalu bertandang berkongsi berita suka dan duka. Melalui mereka ada juga pesan dan cerita tragis tentang rakan-rakan yang sudah dulu meninggalkan alam fana' ini. Moga-moga mereka juga tergolong dalam impian menuju rahmat Ilahi.

Telah juga aku ceritakan. Kepada mereka yang sudi bertanya, aku masih seperti dulu. Mungkin sifat pendiamku sedikit mendinding mesra tapi kalian tidak pernah kupinggirkan. Aku telah banyak belajar sejak mengenali kalian. Kalian menjadi ukuran kebaikan yang aku ikut turut sehingga kini. Aku lemah. Banyak daif dari sempurna. Juga kepada mereka bergelar kaum hawa, maaf bukan aku sombong dan tidak melayan kalian sejak dulu. Sedari kecil aku memang tidak punya kawan sebaya bergelar perempuan. Bagiku mereka insan lain  yang berjaya menundukkan maluku. Jadinya amat payah untuk menunjuk mesra. Satu-satunya perempuan yang rapat denganku waktu kecil dulu..hanyalah ibu.

Tapi itu cerita dulu. Sekarang telah banyak yang membentang, yang telah kukutip menjadi kekuatan diri. Sifat segan dan malu sedikit demi sedikit dapat kukikiskan. Mungkin ada sisa-sisa yang tertinggal. Maaf jika itu masih menjadi penghalang kalian mengenal aku. Tegurlah. Aku tidak lagi seperti dulu.

Kawan datang dan kawan pergi. Segala-galanya melukiskan irama yang indah sepanjang memori ini. Kalian yang masih di hati adalah lukisan yang indah kekal abadi.Ketemu lagi. 

16 March 2010

Zainal Mohd Saghir..


Ini bekas Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kroh.Namanya Zainal Mohd Saghir.Aku punya pengalaman yang tidak manis bila mengenangkan guru ini.Namun jasanya mendidik aku dan rakan-rakan membawa kepada apa yang aku ada pada hari ini.Cikgu Zainal pernah memanggil aku ke biliknya kerana aku disyaki menceroboh sekolah pada waktu petang.Ketika itu aku di darjah 4.Aku disiasat bersama dengan dua orang rakan yang lain.

Aku menafikan kerana memang aku tidak melakukan.Setelah puas didesak, akhirnya Cikgu Zainal menerima pengakuanku.Aku dilepaskan.Tapi aku tak tahu apa nasib dua rakanku yang lain kerana apa yang aku tahu selepas kejadian menceroboh itu memang mereka terlibat.

Dalam kejadian lain yang aku masih  ingat sewaktu darjah lima.Kelas menulis dan membaca jawi.Nama aku dijadikan contoh.Leh dieja dengan "Lam..Ba.. Ha"...lebah.Semua rakan sekelas tergelak.Cikgu Zainal sengaja menulis begitu kerana nak membezakan "Ya" dengan "Ba"..satu dan dua titik di bawah.Aku tersipu malu.Tapi dengan didikannya ketika itu aku sudah pandai membaca dan menulis jawi.

Sekarang Cikgu Zainal sudah lama meninggal dunia.Semoga Allah cucuri rahmatnya dengan rahmat dan barakah.

10 March 2010

Terima kasih.


Selama dua puluh tahun, aku memendam sebuah penyesalan. Setiap kali teringat, aku selalu menitipkan dalam doa yang tulus kepada Ilahi agar permohonanku diterima. Niatku hanyalah untuk memohon kemaafan. Bukan untuk mengungkit kisah lama, namun rasa bersalah inilah yang menjadi detik hitam dalam jiwa yang telah lama kusimpan. Benar, jika kesalahan itu berkaitan dengan mengingkari perintah Tuhan, maka ampunilah kepada-Nya. Namun, kesalahanku terhadap sesama manusia hanya dapat dimaafkan jika manusia itu sendiri sudi memaafkan.

Terima kasih atas pengertianmu. Kini rasanya seperti disiram air hujan yang sejuk setelah lelah menempuh gurun tandus. Sepatah maaf itu ibarat setitik cahaya yang menyinari dunia yang gelap, memberikan penerangan. Terima kasih kerana sudi bertanya khabar. Kita telah dewasa melalui berbagai pengalaman. Kini, kita telah memiliki anak-anak untuk dicurahkan kasih sayang, serta rumah tangga yang bahagia dipmbahkan di hadapan Ar-Rahman. Mawaddah wa rahmah, mengecap sakinah.

InsyaAllah, aku akan menjadi suami yang penuh kelembutan untuk isteriku tercinta, dan engkau akan menjadi isteri mithali di sisi suami sehingga ke kamar syurga. Kemaafan ini seolah-olah merungkai belenggu sesal yang mengikat jiwa. Terima kasih. Masa remaja telahajarkan siapa diri kita. Akhirnya, takdir Allah melebihi segala, kerana di situlah tersembunyi rahsia Ilahi yang tidak akan kitaami. Dialah Allah, penentu segala.

Kepada Allah aku panjatkan rasa syukur, kerana kegundahan jiwa ini akhirnya terhenti.

23 January 2010

1993: Monolog

Tahun 1993, aku bertugas sebagai orang nombor dua di Mahkamah Syariah. Tugas itu menuntut aku tahu hampir segalanya — dari selok-belok pentadbiran hinggalah ke cabang-cabang perundangan yang berteraskan syariah. Segala urusan pejabat seperti sistem surat-menyurat, penyelenggaraan fail, inventori, dan automasi peralatan adalah di bawah pengawasanku. Bahkan sistem perakaunan pun aku yang selenggarakan sendiri.

Masih segar dalam ingatan, setiap hari Khamis aku akan membawa kutipan hasil ke bank. Semuanya aku buat sendiri, dari mula sampai selesai. Namun, di daerah kecil dan terpencil seperti Jelebu, Negeri Sembilan ini, kutipan hasil bukanlah sesuatu yang besar atau konsisten. Kadang-kadang tiada langsung.

Bertugas di sini membuka satu sisi dunia yang selama ini aku tidak sedar — pelanggan Mahkamah Syariah ini rupanya majoritinya adalah wanita. Isteri-isteri yang ditinggal suami, hidup mereka seolah-olah terapung tanpa arah. Nafkah tidak diberi, perhatian jauh sekali. Suami pula sudah bernikah lain, sedangkan kemampuan menyara keluarga yang sedia ada pun belum mencukupi. Lalu, atas nama sunnah — yang kadangkala ditafsir mengikut nafsu, bukan ilmu — mereka mencari keadilan yang selalu tidak berpihak kepada mereka.

Aku melihat sendiri keretakan jiwa manusia dalam bentuk yang paling jelas. Ramai wanita yang datang kepadaku dengan wajah muram dan mata yang sudah lelah menangis. Anak-anak kecil pula hanya memandangku dengan senyuman polos, tidak mengerti apa sebenarnya yang sedang berlaku. Mata mereka bening, tidak seperti ibu-ibu mereka yang basah dengan air mata. Mungkin mereka terlalu kecil untuk faham, atau terlalu biasa dengan kesedihan hingga sudah kebal.

Dalam aku mendengar dan mencatat, aku cuba bersikap waras dan seimbang. Simpati itu ada, tapi aku tidak boleh membiarkan emosi mengatasi rasional. Aku perlu adil, walau bukti di depan mata kadang-kadang seakan memaksa aku berpihak.

Sesekali, selepas mendengar cerita pahit seorang isteri, aku termenung sendiri. Tersandar dan merenung jauh. Cerita-cerita ini bukan sekadar aduan — ia peringatan. Jika aku leka, aku juga boleh jadi sebahagian daripada kisah malang itu. Wajah isteriku sendiri menjadi cerminan – mengingatkan aku di mana aku berpijak, ke mana langkahku seharusnya dituju. Lelaki yang aku benci kerana mencuaikan keluarganya… sebenarnya adalah sisi diriku juga, jika aku tidak berhati-hati. Itu gelaran yang aku tidak mahu bawa ke liang lahad.

Melihat kehidupan orang lain dari dekat mengajar aku tentang kematangan — bukan sekadar dalam tindakan, tapi juga dalam rasa. Di sini, aku bukan sekadar penjawat awam. Aku menjadi pendengar, penasihat, pemudahcara untuk jiwa-jiwa yang hampir tenggelam. Segala solusi aku cari berpandukan agama. Jika aku rasa aku belum cukup mampu, aku rujuk mereka kepada ustaz dan ustazah yang lebih arif. Aku ini baru setahun jagung — tidak mahu menyelesaikan sesuatu yang aku sendiri belum pasti jalannya.

20 January 2010

It's So Easy To Begin



SO EASY TO BEGIN
Art Gurfunkel
Jules Shear
I've been so far away from you while standing by your side.
There were nights we were so in love, that lovin' made us blind.
But that time is so far below us now, the memory's so thin.
It's So Easy To Begin, but it's so hard to stop, this love,
It's just so hard to stop.
When a heart that's lookin' for lovin' leads you in,
It's So Easy To Begin.
I know I've saved some lessons from the time I fell apart.
And I know you've been wondering why I look at you so hard.
It's 'cause I never want to wake up some day and wonder where we've been.
It's So Easy To Begin, but it's so hard to stop, this love,
It's just so hard to stop.
When a heart that's lookin' for lovin' leads you in,
It's So Easy To Begin.
It's So Easy To Begin.
It's So Easy To Begin.
lama betol tak dengar lagu ni.

08 January 2010

Allah...tidak ada satupun yang sebanding denganNya

Lewat semalam aku berbaring sambil menatap siling.Membuka kembali helaian kenangan di mana suatu ketika dulu aku takut menyebut nama Tuhan,Allah SWT.Ketika itu aku masih lagi remaja dan belum bergelar Muslim.Entah apa yang aku fikirkan mengenai Allah,Maha Hebat,Perkasa..dan Maha Esa.Aku tidak mahu menyebut nama Allah sembarangan.Walaupun jauh di sudut hati amat teruja dengan nama itu.Lidah kelu namun hati berdenyut membesarkan namaMu yang satu.

Sehingga aku bergelar Muslim nama Allah yang sudah terpateri dalam diri masih juga kusimpan seperti barang berharga.Bimbang seperti butiran mutiara di mulut akan terlepas bertaburan tika ucapan dan bualan bersama taulan.Ilmu yang kuhadamkan mengenali nama itu melalui Risalah Tauhid..sifat 20 yang lazim aku bertalaqqi bersama guru menyinarkan alam kelam jahilku tentang Allah suatu ketika dulu.Nama itu sungguh indah dengan cantuman sifat-sifat Maha Agung..Maha Esa.

Katakan Dialah Allah yang Esa(tunggal)...Allah tempat bergantung sekelian makhluk...Tiada beranak dan tidak diperanakkan...Dan tidak satu pun yang sebanding dengan Nya.Betapa indah bila terjemahan jawinya kufahami.Dia ,Allah tidak ada permulaan..dan tidak akan ada akhirnya.Sesuatu yang tidak terjangkau akal makhlukMu ini.Bagiku Allah SWT,Tuhan menurut agama yang Maha suci ini terlalu ideal,sempurna.Tidak ada hujjah yang dapat menyanggah konsep ketuhananNya.Maha Suci dari apa yang mereka sangkakan.

Kini muncul pula di bumi bertuah ini Liberalisme yang mendokong kesamaan ketuhanan.Dengan iman aku menolak.Dan atas nama iman..aku bermohon agar nama Mu yang Maha Suci tidak akan menjadi mainan sebagaimana aku takut menyebutnya dulu.

Menulis.

      Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu...