17 January 2017

Warkah seorang kawan dan didera rakan perempuan.

"Leh!!..mari sini."  Tiba-tiba namaku dipanggil sebaik saja aku melewati pejabat sekolah.  Waktu itu waktu rehat sudah pun habis dan aku dalam perjalanan untuk masuk ke kelas.  Aku melihat seorang pelajar perempuan yang aku kenal bernama Marina dan beberapa orang lagi pelajar perempuan yang menjadi rakannya tercegat menantiku. Mereka tersengih bila melihatku tergamam. Aku langkahkan kaki mendekati mereka dengan sedikit perasaan segan.  Maklumklah tak biasa dengan rakan pelajar perempuan.

“Ini ada surat untuk Leh.” Aku nampak di tangannya ada sehelai sampul surat putih berbelang merah biru.

“Surat marka ya?” soal Marina kepadaku.
“Dah pandai main surat ya.. sapa bagi ni?. bagi tau cepat!”.soalnya lagi.
Aku terkejut dan tergamam bila disergah begitu.  Tak pernah aku bermain surat dengan mana-mana pelajar perempuan di sekolah. Apalagi sekelas.
Aku cuba melihat surat di tangannya tapi Marina menyembunyikannya dariku.
“Eh mana ada” kataku menafikan.

Sebenarnya aku sudah lama mengenali pelajar perempuan bernama Marina. Sejak dari kami sekolah rendah lagi. Cuma ketika itu aku tidak pernah bercakap dengannya. Maklumlah aku ini terkenal dengan berat mulut dan pemalu. Keadaan berubah ketika kami di tingkatan satu pada tahun 1978. Kami sekelas dan aku melihat penampilan dia telah banyak berubah. Ayahnya seorang anggota polis berpangkat inspektor polis di Balai Polis Kroh.  Tinggi lampai orangnya dan rambut ala-ala Lady Diana yang famous ketika 1980'an itu.

Pengalaman pertama, ketika dia menegur aku dan menyuruh aku duduk di hadapannya sementara aku membelakanginya.  Ketika pemilihan ketua kelas aku sama-sama diundi dengan pelajar lain termasuk Marina.  Di mana akhirnya dia menjadi ketua kelas dan aku sebagai penolong.  Ketua kelas tingkatan 1A2. Sekolah Menengah Tun Saban, Kroh tahun 1978.

Pengalaman kedua yang aku tidak pernah bercerita kepada sesiapapun termasuk kawan rapatku ialah bila mana dia memanggilku untuk membantu menulis nama-nama pelajar yang ingin mengikuti rombongan ke Pulau Pinang.  Pada pagi itu aku lalu di hadapan kelas tingkat bawah berhadapan court badminton bersama kawan-kawan lelaki. Tiba-tiba dia memanggilku dan meminta pertolongan untuk menulis nama-nama pelajar di dalam satu senarai panjang. Aku hairan kerana tiada seorangpun pelajar lelaki dalam kelas itu cuma dia dan beberapa pelajar perempuan yang menjadi kawan rapatnya. Mereka semua memandangku sementara rakan lelakiku pun beredar setelah aku menuruti Marina.

Dia meminta aku menulis senarai nama-nama pelajar.  Pelik, dalam ramai rakan-rakan yang mengelilinginya mengapa pula dia meminta aku yang menulis. Fikirku.

“Tulisan Leh cantik…”, tiba-tiba Marina memuji.
"Eh, mana ada.", jawabku spontan.

Tanpa banyak bicara aku duduk berhadapan rakan perempuan yang lain sambil mereka mengelilingi dan memerhati aku menulis sementara Marina berdiri di belakang sebelah kananku dan memerhati dari belakang.

Sedang aku asyik menulis sehingga ke akhir tulisan kertas, sikuku tersentuh ke pahanya yang sedang berdiri di belakang. Aku tergamam dan berhenti menulis. Takut pun ada. Dengan debar aku menoleh ke belakang dan memandangnya, aku meminta dia ke belakang sedikit. Dia senyum dan akur.  Kawan-kawan di hadapan tidak tahu apa puncanya aku meminta dia berbuat demikian.  Aku pun meneruskan tulisan.  Ketika asyik menulis nama-nama pelajar, sekali lagi sikuku tersentuh ke pahanya. Aku mula panik.  Gemuruh jantungku dibuatnya. Aku mula rasa tidak selesa dan dengan perlahan, aku meminta diri untuk kembali bersama rakanku yang lain tanpa banyak soal.

Itulah pertama kali berlaku sentuhan fizikal dengan pelajar perempuan di sekolah. Marina seorang pelajar perempuan yang mesra dan rajin menegurku jika sesekali bertembung.  Pernah juga , aku pergi berhari raya ke rumahnya yang terletak di kuarters Klinik Kesihatan Daerah Kroh bersama rakan lain atas jemputannya. Waktu itu aku telahpun mendengar berita bahawa Marina akan bertunang dengan seorang pegawai polis juga sebaik tamat SPM 1982.

“Ok.. kalau nak surat ni, aku nak Leh tabik spring kat aku.”, tiba-tiba Marina bersuara. Dalam hati berkata-kata. Beraninya dia mengarahkan aku tabik spring. Mungkin dia tahu aku juga anak polis lantas mengeluarkan arahan sebegitu.

Aduh hai… bisik hati kecilku. Dia seakan menderaku. Aku bukannya rapat sangat dengannya pun. Memang kami tak pernah bertegur sapa apalagi berbual tapi kali ini memang dia berani bergurau sebegitu.  Tanpa banyak bicara dan perasaan hendak tahu juga siapa gerangan yang menulis surat dan dihantar pula ke alamat sekolah, aku pun turut sajalah kehendaknya. Takut juga sebab aku tidak pernah menerima surat dari sesiapa di sekolah. Manalah tahu surat dari pelajar perempuan hendak berkenalan. Kantoi. 

Sesudah aku tabik spring kepadanya, Marina menghulurkan sampul surat dan aku berlagak seperti menerima watikah. Bila surat di tangan, aku teliti setem dan cop posnya ternyata dari Ipoh, Perak. 

“Ohh..ini, Saiful yang bagi ni.”, kataku kepada Marina.

“Saiful Azman kan dah tukar ke Ipoh.”

Saiful Azman Bin Ahmad. Seorang rakan baikku waktu persekolahan yang jarang dapat berbual dengannya sejak darjah satu pada tahun  1972 tetapi menjadi rakan bual yang mesra sewaktu di tingkatan 4. Perkenalan kami pada tahun 1981 itu merupakan tahun terakhir dia di Sekolah Menengah Tun Saban, Kroh, Perak. Tahun 1982 beliau akan bertukar ke Ipoh mengikuti bapanya yang berpindah ke sana.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...