05 January 2017

Alam Remaja : Mencari Identiti Diri.

Aku akhirnya bertekad. Cukuplah sebulan ini menampal tiub, menyimpan rindu, dan menahan rasa. Rindu pada jeritan dan tawa di padang bola. Rindu pada wajah-wajah yang tumbuh bersamaku sejak kami belum tahu erti dunia.

Saban petang, aku duduk di bengkel melihat bayang orang bersilih ganti di hadapan kedai, namun tiada satu pun membawa sisa kenangan yang aku cari. Sedang teman-temanku di sana—menyambung riuh padang hingga ke bilik mandi berek askar, bersimbah air dan sabun, gelak tawa yang bersambung seperti pita kaset yang tiada noktah.

Betapa aku rindukan saat itu. Waktu kami mandi sambil menyimbah air, menyapukan syampu ke mata kawan, menjerit seakan tiada esok. Waktu kami menjadi budak-budak, tanpa gundah, tanpa beban.

Petang itu, di penghujung pengabdianku sebagai penampal tiub, aku menerima gaji pertamaku—RM70.00. Jumlah kecil pada kertas, tapi besar dalam hatiku yang belum pernah merasa erti duit sendiri. Dengan senyum dan ucapan terima kasih, aku melangkah keluar dari kedai.

Di seberang jalan, aku singgah di kedai yang lama aku intai. Tanganku pantas mengambil dua batang aiskrim Cornetto Walls. Aiskrim yang selama ini cuma jadi angan, kini menjadi nyata. Satu untukku. Dan satu lagi? Aku lupa untuk siapa, tapi mungkin untuk bahagiaku yang hilang sejak lama.

Aku juga beli aiskrim murah untuk adik-adikku di rumah. Waktu itu, RM70.00 terasa seperti harta yang mampu beli dunia. Tapi tak mampu beli semula masa bersama kawan-kawan yang telah lama aku lepaskan.

Sejak hari itu, aku tak lagi bekerja. Ayah ada bertanya, tapi aku cuma menjawab pendek, “Malas.” Ayah diam. Dia faham tanpa perlu kata. Mungkin dia tahu, tempatku bukan di bengkel itu. Tapi di padang. Di bawah langit petang. Bersama kawan-kawan yang tak pernah menjauh dari hatiku.


Februari 1983

Aku kembali jadi remaja biasa. Menganggur sementara menunggu keputusan SPM. Dan seperti yang sepatutnya, aku habiskan masa dengan mereka yang pernah aku tinggalkan sebentar dulu. Kami memancing di parit dan tali air, menjerat burung, menggetah pokok untuk mencari getah beku, dan bila malam tiba—kami akan duduk mendengar lagu, berkongsi cerita, ketawa seperti dunia ini cuma milik kami.

Ayah pula mula memperkenalkan teknologi VHS—video player yang digilai waktu itu. Kami sekeluarga menyewa kaset filem dari Hollywood, Bollywood, malah dari negara jiran. Dari situ, terlahirlah idea: kenakan bayaran 50 sen untuk sesiapa yang mahu menonton bersama. Aku secara tidak langsung menjadi taukeh jajan—menjual makanan ringan sambil mengaut untung kecil demi keseronokan bersama.


Lagu-Lagu Jiwa

Aku juga mula menghabiskan banyak masa mendengar muzik. Tahun 1983 masih dibaluti irama disco dan dance music, dihiasi remix dari DJ yang tak dikenali. Tapi jiwaku bukan untuk rentak itu. Aku lebih cenderung kepada melodi yang lembut dan puitis, yang membuatkan hati bergetar.

Lagu-lagu cinta yang romantik, yang seolah berbicara dengan perasaanku yang belum sempat mengenal cinta sebenar. Lagu seperti "And I Love Her" dari The Beatles benar-benar menyentuh ruang hati yang aku sendiri belum tahu wujudnya. Setiap not, setiap bait lirik seolah menyulam kisah yang belum terjadi, tapi sudah mula aku rasakan.

Aku tiada pengalaman bercinta. Tapi lagu-lagu itu mencipta dunia yang manis untuk aku bayangkan. Mungkin kerana aku, remaja yang masih mencari diri, menemukan pantulan jiwaku dalam muzik yang lembut dan bahasa yang indah. Jiwa yang halus, sensitif, dan sentiasa terbuka pada keindahan rasa.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

      Sudah lama jemari ini tidak menari di atas papan kekunci. Rindu menulis kadang-kadang datang menyelinap, mengetuk perlahan-lahan pintu...