Kerana terlalu meminati lagu-lagu nyanyian Sohaimi Mior Hassan, rakan-rakan dulu memanggil aku dengan nama “Sohaimi”. Katanya ada iras—rambut ikal kerinting, kulit gelap manis, bibir tebal. Bezanya cuma, aku ada tahi lalat di atas bibir kanan dan satu lagi di hidung. Hahahaha…
Lagu-lagu SMH memang mudah menyentuh perasaan. Liriknya puitis, melodinya perlahan dan mendayu. Ia membelai jiwa remaja yang dahagakan makna, membawaku terbang dalam dunia fantasi cinta. Walaupun tiada siapa yang benar-benar aku cintai waktu itu, lagu-lagu itu menjadikan aku rasa seperti sedang mencintai seseorang.
Aku ingat lagi, satu pagi aku berbasikal ke padang luas di Kroh — kini sudah berubah menjadi padang golf — semata-mata mahu menyelami nikmat alam yang terbentang. Aku sukakan lanskap yang terbuka, luas tak bertepi. Di sana, aku serap hangatnya mentari pagi, aku hirup lembutnya angin yang lalu, aku pandang kehijauan padang lalang yang menari. Jiwaku terasa bebas.
Aku baring di tengah padang, memandang langit biru dengan awan yang berarak perlahan. Mata pun kupejam. Yang tinggal hanya suara alam. Sunyi. Tapi indah.
Sejak kecil, daerah Kroh seperti menyimpan seribu harapan buatku. Setiap pagi, cahaya matahari menjelma dari timur, menyusup masuk melalui tingkap bilikku — satu rutin alam yang mengisi jiwa. Bila malam menjelma, bulan pula mengambil giliran. Perlahan ia muncul di sebalik bukit, disulami bayang pepohon. Geraknya yang perlahan aku tunggu penuh teruja. Keindahan itu bukan sekadar pemandangan, ia satu rasa yang menyentuh.
Bila hujan reda, itulah saat paling aku nantikan. Aroma bumi basah dan kabus tipis yang menari di celah pepohon, semuanya mengilhamkan kedamaian. Di situlah aku rasa aku hidup. Tenang.
Kadang-kadang, aku masuk ke belukar kecil di tepi padang golf. Duduk sendirian, merenung jauh — bukan pada langit, tetapi pada perjalanan diri. Aku imbas satu per satu kenangan, persoalan, dan impian. Aku fikirkan tentang keluarga, tentang kawan-kawan, tentang daerah bertuah ini yang membentuk siapa aku. Di sana, aku belajar menjadi seorang pentafsir — naluri halusku menyingkap rasa yang sukar dituturkan. Inilah retrospektif diriku.
Di sinilah aku mula sedar — aku ada jiwa seni. Jiwa yang halus dan mudah tersentuh. Aku cintakan keindahan, bukan semata rupa tapi rasa. Aku lukis lanskap, cuba luahkan isi hati, namun kadang-kadang warna dan garis tak mampu menampung apa yang bergelora dalam.
Teman-teman sering melihat aku sendirian. Benar, aku seorang penyendiri. Tapi bukan bererti aku tak suka berkawan. Cuma bila usia menginjak remaja, aku semakin hanyut dalam monolog jiwa — mencari sesuatu yang tak dapat aku lafazkan… sesuatu yang mungkin hanya difahami oleh hati yang pernah merasa.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.