28 February 2012

kenangan lalu..Mac 1992


Aku ceritakan sesuatu di sini yang mungkin juga akan menjadi iktibar kepada yang sudi membaca.Kisah ini bukanlah terlalu istimewa lantaran ingin sangat kupaparkan di sini.Kisah biasa yang boleh kalian dengarkan dari pengalaman hidup manusia.Kerana ia juga berkait denganku maka apa salahnya aku berkongsi dengan kalian.

Sedari kecil aku dibesarkan dengan kasih sayang ibu.Aku melihat ibu sebagai idolaku kerana ibulah satu-satunya insan yang hampir denganku.Memanjai aku,memenuhi keperluan asas hidupku sebagai anak.Maka tidak hairanlah ibu dan aku memiliki perwatakan yang sama.Mudah beralah demi melihat anak-anaknya selesa.Tanpa aku sedari aku membesar dengan sifat yang kuwarisi dari ibu.Begitulah jua aku dengan adik-beradik.Dalam pergaulan kami aku abang sulung yang mudah beralah.Sehingga kini mereka menghormati aku sebagai abang kandung yang disegani walaupun aku dan mereka berlainan akidah.

Aku masih ingat ketika kecil-kecil dulu aku melakonkan watak badot dan adik-adikku menjadi penonton sandiwara lucu.Kami dirikan pentas di tengah rumah dengan menyidai kain cadar sebagai tirai pentas.Aku senang melihat mereka tertawa kerana aksiku.Itulah kepuasan namanya.Aku gembira seketika dan tenggelam dalam perasan dek kegembiraan adik-adikku.Sehingga kini kalau aku berkesempatan menziarahi mereka pasti aku akan bergurau.Dan mereka faham perangaiku walaupun di kalangan rakan aku seorang yang pendiam.Sewaktu kecil aku tidak pernah sekalipun memukul mereka jika terlalu marah atas kesalahan yang mereka lakukan.

Sifat ini terzahir kerana salinan dari watak ibuku dan aku tahu Aki (datukku sebelah ibu) lah punca warisan watak penyabar dan mudah beralah ini.Tanpa terduga sikap perwatakan ini dibawa sepanjang aku bergelar remaja dan menuju alam dewasa.

Sehinggalah bila cinta mula menjadi sebahagian tujuan hidup aku telah ketemukan hidayah yang mengubah hidup dan asas-asas peribadi itu telah sebati menjadi identiti diriku.Aku mengejar cinta ilmu kerana telah tertanam sejak dulu aku diajar mengejar dan mencintai ilmu.Sayangnya aku sedikit lembab dalam perjalanan menghadam ilmu.Namun sifat sabar yang banyak menjadikan aku orang yang punya ilmu…(sedikit saja.)

Sehinggalah aku ditakdirkan mencintai seorang insan yang pada pandanganku tidak jauh bezanya denganku.Atas desakan dan pujukkan seorang kawan aku melapangkan hamparan hati buat si gadis yang sudi duduk bersimpuh menantiku.Andai kesudian itu telah ditakdirkan milik hati, aku akan sudi menerimanya.Maka bermulalah saat perkenalan singkat yang membawa kepada mengenali budi.Entah kali ke berapa aku mengenali perempuan namun si gadis ini membawa makna yang dalam.Jiwa bagai dibuai pelangi yang bisa dijejak.Dunia bagai berada di bawah kaki.Membawa aku ke mana saja.Itulah dunia cinta.

Oktober 1991…detik yang mempertemukan dua hati yang misteri.Aku dengan kisahku yang lalu dan si gadis yang tidak pernah aku tahu kewujudannya walaupun senegeri dan bersebelahan kampung.Apalagi jika mahu ditanya riwayat hidupnya.Tentunya.

Sebetulnya aku mentaarufkan diri,memperkenalkan sisi manisku dan memasang angan agar si gadis tertarik mendengarkan kisah-kisah laluku.Dan harapan agar akan tiba juga si gadis mensuakan kisahnya untuk aku hayati.Pada awal perkenalan..dia memohon tempoh untuk memikirkan samada mahu menerimaku atau kami hanya berkawan.Aku akui sikap itu baik untuknya sebagai berhati-hati menerima cinta.Kami berhubung dan dia memohon tempoh setahun untuk berfikir.Perkiraanku waktu itu terlalu lama.Kerana kata guruku jika terjumpa seseorang yang baik perwatakannya jangan biarkan ia pergi dengan harapan yang tak tergapai.Aku pernah nyatakan aku menyukai gadis bertudung labuh.Ini ciri kemestian yang sudah aku rencanakan dalam memilih jodoh.

Dia menyatakan bahawa lamaranku akan difikirkan.Dengan pertolongan Ustaz Jaafar dan kawan-kawan sekeliling akhirnya kami bernikah juga pada 12/03/1992.

Episod 2

Satu petang yang hangat…usia pernikahanku telah seminggu dua berlalu.Aku capai beg sandang sulaman rotan.Aku selongkar milik peribadi si gadis yang telah sah menjadi isteriku.Kerana beg sandang itu menjadi keinginanku sejak mula-mula kahwin.Aku keluarkan satu persatu isinya.Lalu pandangan ku terarah kepada loket berlambang hati (love).Aku buka loket itu dan tersimpan baik wajah seorang perempuan dan seorang lelaki sebahagian dari belahan hati tadi…..

Dan perempuan itu adalah isteriku.Waktu isteriku keluar dari kamar mandi aku bertanyakan dia tentang pemuda di sisi loket.Isteriku memberitahu bahawa itu kawannya semasa belajar dulu.Lalu aku tutup dan memasukkan kembali.Nun jauh di sudut hati terdetik juga hati ku sebagai suami bahawa tentu istimewanya pemuda itu kerana tertutup dalam loket hati seperti mana istimewanya juga kenangan bersama di dalam hati isteriku.

Aku tidak banyak cakap hari itu dan itulah juga sikapku dulu..dan itulah juga sifat ibuku dulu dan itulah juga sifat aki ku dulu.Aku bukan lahir dari jenis yang pemarah.Aku bukan mudah menjadi pemarah.Sebagai suami sifat itu ada kerasionalannya.Perlu banyak sabar.Ini mungkin dugaan.Dan aku belajar mengenali erti hidup berkelamin dan asasnya sabar.Tidak payah dan susah untukku belajar sabar kerana memang itu identitiku dulu dan kini.

Di masa yang lain aku terjumpa gambar isteri berdua dengan lelaki yang sama.Semasa mereka bergelar pelajar.Dan sebagai suami aku tiada hak mempertikaikan gambar itu.Kenangan mereka waktu alam pendidikan.sepertinya aku…Cuma…

Aku bertanyakan isteri tentang itu dan isteriku akui sememangnya pemuda itu terlalu istimewa di hatinya sebelum mengenaliku.Bahkan mereka telah 4 tahun saling mengenali.Bandingan denganku yang hanya 4 bulan..Tragis.Aku tutup segala kemungkinan yang boleh membahayakan rumahtanggaku.Alasannya …kerana itu temannya semasa belajar.Teman istimewa! dan tidak pernah aku cuba mempertikaikan dan bersangka bahawa isteriku sanggup menduakan ku selepas berkahwin kerana dia telah rela menerimaku seadanya..pemuda merempat ini.Tidak punya apa-apa untuk jaminan ketika itu.Keluargaku bukan Islam.Aku tidak bisa membawa isteri tinggal bersama mereka.Tidak punya rumah untuk melayari bahtera berdua.Semuanya atas ihsan seorang ustaz juga kami bernaung di sebuah rumah milik MAINS.

Cerita itu telah lama berlalu hampir 20 tahun,setua usia pernikahan ku.Dalam usia sebegini aku cuba juga mengenali siapa isteriku sebelum dia kunikahi.Melalui foto-foto lama kami berbual mesra diselit gurau-gurauan nakalku sambil isteri menceritakan kisah di sebalik foto-foto lama alam pendidikannya dulu.Aku ungkitkan foto yang telah lama tidak aku temui di sebalik foto-foto umrahnya.Foto dia dan pemuda itu serta loket berlambang hati emas.Kemungkinan isteri telah membuangnya demi rumahtangga yang bahagia.Lalu aku cuba memecahkan rahsia pemuda itu.Memang itulah pemuda yang bertakhta di hatinya sebelum mengenaliku…

Sayu dan terkilan aku mendengarkan penjelasan satu persatu keluar dari bibir isteriku.Betapa tidak, sememangnya dulu mereka saling berhubung sebelum aku “merampas” tempat di hati isteriku.Sehinggakan pemuda itu merajuk meninggalkan dia.Aku tidak tahu bahwa percintaan dalam diam mereka telah terancang dari awal bergelar pelajar.

Aku termanggu dan ada ketika aku memandu jauh menyusuri jalanraya…aku benar-benar terkilan.Aku seorang yang mudah beralah.Aku tidak suka menyakiti hati insan lain.Itu sifat yang tertanam waktu kecilku.Dan yang penting selesakan hati orang di sisi ku.Jangan biarkan mereka terasa terkilan dengan sikapku.Sebenarnya isteriku telah memberi tempoh kepadaku sewaktu awal perkenalan kerana mengharapkan pemuda itu meluahkan isi hatinya kepada nya.Namun isteriku tidak menyatakan alasan untuk diberi tempoh setahun kerana ketika aku mendekati hatinya rupa-rupanya mereka sedang cuba mendalami hati masing-masing.Sungguh aku benar-benar terkilan.Jika pada awalnya dulu diberitahu bahawa telah ada yang istimewa di hatinya..aku sedia berundur.Beralah.

bersambung….

3 comments:

  1. menanti sambungan..

    ReplyDelete
  2. kisah yg sangat menarik disusun dengan ayat-ayat indah...sambunglah lagi ustaz

    ReplyDelete
    Replies
    1. Salam Cikgu...lama tak ke sini sejak berumahtangga ya..terima kasih atas komen tu..insyaAllah akan disambung....sekarang sibuk sikit dengan kerja.dan sedang menyiapkan kenangan lain pulak.hehehee....

      Delete

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...