09 July 2017

Warkah Yang Tidak Kesampaian

Seronok melalui alam remaja dan mengenang kembali perjalanan yang dilalui. Lebih menyeronokan bila bergelar pelajar. Di situlah dapat mengenali rakan dan taulan, sahabat dan teman. Ada antaranya menjadi rapat dan berkongsi rahsia kehidupan. Bergurau, bersenda gelak ketawa. Bersedih, menangis dan menyimpan duka. Setiap orang pasti merasai indahnya bergelar remaja. Bertambah indah apabila mula mengenali seseorang dan menyukainya.

Antara ribuan pengalaman hidup yang indah zaman itu, aku tidak terkecuali. Masing-masing dengan kisah dan pengalaman sendiri. Aku menyukai gadis si mata sepet sejak zaman persekolahan sehingga remaja. Waktu sekolah dulu, rakanku itu duduk di sebelah kiriku. Dia tidak banyak bercakap pada awalnya. Namun bila sudah berkenal mesra, banyak perkara yang dikongsikan. Dia meminta aku mengajarkan subjek matematik, katanya aku pandai matematik. Aku membalas balik, setahu aku orang cina lebih bijak dalam matematik. Rakanku itu hanya senyum dan menunjukkan lesung pipit di pipinya yang tembam.


Aku no.5 berdiri di belakang kiri gambar.Dia berdiri di depanku berambut china doll.


Aku hanya menyukainya dan tidak untuk jatuh cinta, belum lagi. Maklumlah cinta sewaktu alam persekolahan cinta monyet diistilahkan orang. Dia gemar bercerita hal kerja sekolah. Katanya bahasa Malaysianya agak susah, walaupun kutahu tidaklah seteruk mana dan payah.

Bila aku sepi melayan kerjaku sendiri, dia akan cuba menarik perhatianku dengan meniup-niup juntaian rambutnya yang menutupi dahi itu atau menyelak rambut dan diselitkan di celah telinganya. Aku suka bila dia berbuat sebegitu.

Kemuncak perkenalan bila dia memberitahu akan memberi gambarnya kepadaku. Meminta aku melukis potret wajahnya. Insiden aku melukis potret guru kelas telah menarik perhatiannya. Pujinya,  aku pandai melukis. Hati tersangat riang dan teruja, seorang amoi rakan sekolah akan memberi gambarnya. Maklumlah zaman itu istilah rakan perempuan amat tertutup. Masih dikawal paling tidak oleh norma-norma kehidupan yang mementingkan adab dan adat. Lebih-lebih lagi untuk rapat dengan seseorang. Tidak seperti di zaman ini yang serba bebas percampuran tanpa mengira batas.

Ketika menjejakkan kaki sebagai pelajar di institut pengajian tinggi seperti ITM pada tahun 1983. Perwatakan serupa kutemui lagi. Bermata sepet orangnya dan gemar menyelitkan rambutnya ke telinga. Orangnya lembut. Jarang dapat berbual kerana sikapku yang sukar bersosial. Hanya bila ada perkara penting, barulah komunikasi mempunyai tujuan.

Aku menyukai gadis bernama KGK ketika itu kerana ciri-ciri seperti yang dicari muncul di sana. Tambahan pula aku mengenali rakan lelaki satu persekolahan dengannya. Dari rakan yang bernama Meng Kee, banyak rahsia yang aku perolehi mengenai KGK. Satu pagi hari cuti, aku berjumpa dengan Meng Kee di Kolej Jati Blok C. Kami berbual-bual mesra bercerita. Entah macam mana Meng Kee mencabar aku supaya mendekati KGK. Saat itu memang kutunggu, kerana aku memang sudah lama menyimpan hasrat. Samada benar atau tidak Meng Kee mengajar aku supaya memanggil KGK, “Salmah”, katanya lagi KGK anak tokeh balak. Dia menyuruh aku menulis surat menghulurkan salam perkenalan.

Balik ke penginapanku Kolej Jati Blok D (sekarang telah dirobohkan) aku mengarang sebuah warkah yang mudah. Tiada bahasa puitis laksana surat cinta yang romantis. Hanya salam perkenalan yang ingin kuhulurkan. Menyukainya sebagai gadis pilihan. Mungkin untuk seterusnya, bisik hati menyulam impian.

Hari berikut, tanpa perancangan aku bertembung dengan KGK pulang dari kafeteria sesudah minum pagi. Di laluan itu, KGK menghulurkan senyum dan aku membalasnya, kami bertegur sapa dalam nada yang ramah. Tapi aku hilang arah, tak tahu apa dan hilang bicara. Tidak semena-mena, aku terus mengatakan, bahawa Meng Kee meminta aku memanggilnya “Salmah”.KGK hanya senyum dan menidakkan kata-kata Meng Kee. Atau aku telah dipermainkan Meng Kee, aku tidak tahu. Aku tidak tahu butir apa lagi yang mahu keluar, lantas aku meminta diri untuk beredar. KGK berlalu dan aku terlepas satu saat yang indah. Aku terlupa sebuah warkah.

Sukar menafikan yang aku tidak menaruh hati pada KGK. Warkah dikarang tidak kesampaian. Tidak sampai ke empunya badan. Itulah kali terakhir pertemuan. Boleh saja jika aku ingin bertemunya lagi, tapi aku tetap aku. Sikap pemalu dan naif waktu itu membatas segala keinginan. Tidak mengapa bisikku, untuk semester akan datang. Siapa tahu mungkin aku lebih berani atau terdesak untuk mendekati.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...