21 June 2017

Some Memories never Fade

Aku kembali dengan semangat baru.Aku telah tinggalkan keluargaku tanpa sedikitpun wujud perasaan rindu lagi.Ketika itu, aku tidak lagi memikirkan sangat tentang mereka.Aku tidak lagi bersedih hati dan segala kerisauan di hati telah kubuangkan jauh. Tekadku untuk menumpukan pengajianku sebaik mungkin.Maka bermulalah hari yang penuh dengan ujian sebagai  pelajar yang jauh dari keluarga.

Pada suatu pagi, kami berkumpul di hadapan Kolej Seroja menantikan bas untuk ke Gombak.Hari itu kami pelajar sem 1 akan menjalani praktikal melukis di sekitar kawasan  belukar yang terdapat sungai  di sekitar  Batu 12 Gombak.Sungguh teruja.Dalam berkumpul beramai-ramai sambil bergurau senda sempit juga menjeling si dia.



Perasaan masih malu hendak bertegur sapa.Aku, sebenarnya terperangkap dalam emosi diri.Aku sukakannya dalam masa yang sama, aku mahu berkawan saja dulu.Masih jauh, masih panjang lagi perjuangan.Usiaku pun masih terlalu muda.Baru 18 tahun.Hendak menolak perasaan yang datang, jiwa remaja memang selalu menafikan.Selalu bergelora.Hendak menerima saja rindu padanya, masih terlalu awal untuk bercinta.Pemalu pula.

Bila bas tiba kami pun naik berasak-asak.Bila semua pelajar lelaki dan perempuan sudah mengambil tempat duduk.Aku dan rakanku S terpaksa berdiri kerana tempat duduk sudah tiada yang kosong.Sepanjang perjalanan kami terpaksa berdiri nanti.Jauh tu menghala ke Gombak.S memberitahuku, kalau begitu jadinya tak payah pergi.Aku menurut saja katanya tanpa banyak alasan.Hari itu aku dan S tak turut sama ke Gombak.Kami kembali ke asrama Kolej Jati dan lepak.Sejak itu aku rapat dengan S, rakan siswa dari Pulau Mutiara itu.

Aku risau dan resah kerana ini pengalaman melukis di luar kampus yang pertama bagiku.Aku suka melukis tema alam.Tetapi akibat mengikut kata kawan, kasihan pun ada kepadanya, maka hari itu aku tidak turut serta bersama rombongan.Hari itu menjadi hari malang buat kami berdua.Ketika pelajar lain menyerahkan hasil lukisan kepada pensyarah, kami berdua tidak.Sudahnya, kami diminta menyerahkan juga assignment, jika tidak tiada markah diberi.

Hendak tak hendak terpaksa juga melukis.Bersengkang mata la nampaknya.Aku menggunakan imaginasi melukis alam.Aku masih ingat lagi lukisan itu.Bersengkang mata sampai ke pagi untuk disiapkan kerana pagi keesokannya wajib diserahkan.Bila lukisan siap tanpa tidur yang cukup, aku ke kuliah seperti biasa.

Bila lukisan diserahkan, pensyarah En Joseph Tan memuji lukisanku.Cantik.Lalu dikoyaknya di depanku.Berderau rasa hati. katanya,  dia tahu takda lokasi lukisan itu di sekitar ITM.Aduh.Terkena aku.Sebenarnya memang lukisanku itu berdasarkan belukar di sebelah blok D Kolej Jati (waktu itu masih belukar).Aku cuma melukis dari jauh dan selebihnya aku berimiginasi sahaja.Teruk.Aku dan S diminta melukis kembali dan diberi masa seminggu untuk menyiapkan.Lega.

Maka terpaksalah aku dan S melukis di sekitar bangunan art design.Ketika itu juga, pada satu pagi, aku dan S mendaki bukit sebelah kiri banguan art.Kami berdua bertekad untuk melukis di lokasi yang masih kedapatan pohon-pohon kayu yang besar di situ.Sambil bercerita tentang diri dan perjalanan hidup, kami mencari sudut pandangan yang menarik untuk mengabadikan tema alam di atas kertas putih.

Dalam asyik melukis, sesekali pandangan kami terarah kepada pelajar-pelajar yang lalu lalang menuruni bukit menghala ke art building.Ada antara mereka yang kami kenal.Kalau siswi, biasalah, S akan menyapa sementara aku duduk memerhatikan saja.Aku tidak seberani S yang happy go lucky.Cuma mampu tersenyum melihat gelagat S yang kelakar itu.

Tiba-tiba lalu sekumpulan tiga orang pelajar perempuan menuruni bukit dan salah seorang darinya GK.Aku berhenti melukis dan asyik memerhatikan GK dari jauh.Lembut langkahnya. Aku suka melihat rambut GK ala china doll itu diselitkan di belakang cuping telinganya.GK memakai seluar panjang hitam dan berbaju labuh cerah.Tersandang di bahunya beg.Sayu dan rindu pula datang menyapa.S yang turut melemparkan pandangan ke arah mereka tiba-tiba bertanya kepadaku.”Leh, hang suka GK kan?”.Aku yang berseloroh dalam nada bergurau tanpa segan menjawab “Suka!”

“GK.!!.”, tak semena-mena, S memanggil GK.Gadis itu terkejut dan berhenti melangkah lalu menoleh ke arah kami."Leh suka kat hang.!!” jerit S kepada GK,  aku terpaku, tiba-tiba S berkata begitu kepada GK.Sambil tersipu-sipu menahan malu, aku melihat GK tersenyum pada kami.Aduhhh..terus aku menampar bahu S."Din..kau ni.", bentak ku.Malunya aku.Hati berasa berdebar menunggu respond GK tapi berasa gembira apabila melihat GK tersenyum.GK terus melangkah pergi dan aku mengekori pandangan  ke arahnya sehingga dia menuju ke art building.Bilakah agaknya dapat berjumpa lagi.

Petangnya, aku tidak dapat melupakan peristiwa itu.Sehingga tersenyum sendirian tatkala berbaring dan mengingatinya sewaktu di kolej.Tidak tahu bagaimana hendak memulakan dulu.Menghulurkan salam perkenalan dan berkawan dengannya.Sanggupkah aku berterus-terang kepadanya bahawa aku sukakannya.Biar masa yang menentukan.Aku tidak tahu.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...