04 June 2017

1983:Pulang Membawa Rindu

Menelusuri jalan ke utara mengingatkan aku ketika zaman anak-anak waktu pulang ke kampong di Pahang dan Negeri Sembilan suatu ketika dahulu. Tahun 1970’an yang membawa ke awal tahun 1980’an kami sekeluarga biasa pulang ke kampong selepas ayahku mendapat cuti sebaik off duty dari operasi askar di hutan belantara sempadan Kelantan dan Perak. Bezanya ketika itu kami sekeluarga pulang menaiki keretapi kerana kakitangan kerajaan mendapat waran perjalanan menaiki kenderaan awam.

Tetapi kali ini aku pulang sendirian ke Kroh, di utara tanahair dengan menaiki bas ekspres. Satu kemudahan perjalanan yang telah disediakan oleh pihak swasta pada tahun itu. Kalau tidak salah nama bas itu Satria atau Restu. Aku pulang sendirian bersama kenangan mengutip ilmu di ITM. Banyak yang akan kuceritakan nanti kepada ibu dan ayah. Kerinduan juga sudah semakin reda. Perit juga bila mengenangkan kerinduan yang tiba-tiba datang. Apatah lagi aku dan adik beradik memang rapat. Begitupun antara perjalanan pulang dan rakan yang ditinggalkan sesekali terlintas jua wajah seseorang yang telah bertapak di hati.




Perjalanan panjang malam itu bermula jam 8 lebih. Melalui jalan lama ke utara kerana belum ada lebuhraya utara selatan lagi. Seperti biasa bas akan berhenti untuk memberi laluan penumpang meneguk secawan teh atau kopi dan makan makanan ringan di restoren yang dibuka 24 jam sepanjang perjalanan. Kebanyakan perjalanan itu aku tidak turun sama, hanya memerhati dari jauh gelagat penumpang lain menjamu selera. Cuma jika aku rasa hendak melepaskan hajat baru aku turun.

Perjalanan sampai di sekitar Kulim, Sungai Petani dan Baling, bila satu-persatu penumpang turun. Hanya yang tinggal aku dan dua atau tiga orang sahaja penumpang untuk ke pekan Kroh.

Bas tiba di pekan Kroh ketika hari masih lagi gelap. Suasana masih sunyi dan dingin. Setelah turun dari perut bas lebih kurang jam 5 pagi aku berjalan kaki berseorangan ke kem BN 19 dan 20 yang terletak lebih kurang sekilometer jauhnya. Sepanjang jalan yang sunyi dan aku seorang diri melangkah dalam gelap. Melepasi pokok di depan pejabat pos yang satu ketika dulu pernah ternampak kelibat perempuan sedang duduk di pangkal pokok pada waktu malam. Tapi rasa seram itu sudah tiada lagi.  Aku sudah jadi remaja yang berani pada gelap malam.

Aku memasuki gate pos kawalan dan askar-askar berkawal hanya memandang dengan senyum kerana mereka masih mengenaliku. Aku senyum dan terus menuju ke rumah keluarga. Adik-adikku masih tidur ketika aku tiba di muka pintu. Ibu membuka pintu dan terkejut bila mendapati aku pulang. Tangan ibu kukucup dan aku masuk ke rumah untuk merehatkan diri. Penat dan tidur.

Sepanjang dua hari berada di rumah aku berbual-bual dengan ibu dan adik-adik. Aku bercerita tentang pertemuan dengan saudara ibuku di Gombak. Tentang keadaanku ketika memulakan pembelajaran dan suasana di Shah Alam tahun itu. Aku banyak bercerita dengan ibu, rasa puas kerana dapat menatap wajah ibu dan adik-adik. Cuma ayahku tidak selalu berada di rumah kerana duty. Aku faham. Puas rasanya dapat pulang dan bermesra dengan mereka walau sebentar. Kawan-kawan pula ada seorang dua datang bertanya khabar.

Pada ketika yang lain aku paling tidak boleh melupakan untuk mendengar lagu. Apalagi itulah hobi sebelum aku berangkat ke Gombak dulu. Habis satu kaset kumainkan kaset yang lain pula. Kadang-kadang hingga ke tengah malam.

Namun ada satu perkara yang aku tidak bersetuju ketika berada di rumah. Aku luahkan kepada ibu bahawa aku tidak bersetuju ayahku membenarkan askar-askar bermain judi di rumah. Aku rasa terganggu kerana mereka masih di dalam tugas tetapi berada di rumahku kerana bermain daun terup.

Namun kepulangan aku buat kali pertama itu sudah cukup mengubat rindu pada keluargaku. Pada pagi Isnin aku dihantar oleh ayah ke pekan Kroh. Ayah mengiring basikal Herculesnya dengan begku di letakkan di belakang. Kami berjalan beriringan. Teringat zaman sekolah rendah darjah satu hingga darjah tiga , ayahku selalu menunggu di pintu pagar menjemputku balik sekolah. Itupun jika ayah tidak masuk operasi di hutan. aku membonceng di belakang. 

Bas akan bertolak jam 9 pagi hari itu. Setelah membeli tiket dan berbual seketika dengan ayahku, aku pun bertolak ke Kuala Lumpur. Cukuplah sudah rinduku terubat dengan kepulangan pada kali itu. Perasaan itu telah hilang dengan sendirinya.

Aku tiba di Kuala Lumpur  lebih kurang jam 9 malam. Menapak dari Puduraya ke Hentian Bas Kelang. Manusia masih belum berkurang, masih sibuk dengan hal-hal mereka. Berselisih dan berlaga bahu memang telah menjadi adat. Masing-masing sudah faham. Setiba di hentian itu, masih ada juga manusia yang menunggu bas. Mungkin bas terakhir fikirku. Ada di antara mereka seperti pelajar pusat pengajian tinggi. Dari cara gaya memang mudah dikenali.

Bila bas Sri Jaya tiba untuk ke seksyen 14, kami berebut untuk naik. Segalanya mudah ketika hidup sebagai remaja apatah lagi bagi mereka yang bergelar siswa. Mudah mendapat kawan pada ketika sebegitu kerana masing-masing mudah mengenali dengan melihat cara berpakaian. Aku tidak terkecuali. Di dalam bas ada seorang gadis yang asyik memerhatiku. Aku tahu kemungkinan dia juga pelajar sepertiku. Tekaan kutepat kerana kami turun di perhentian yang sama dan gadis itu juga turun dan ke arah yang sama. Dia menegurku dan kami berkenalan seketika. Dia meminta aku menemaninya ke Kolej Jati kerana jarak berjalan kaki lebih kurang 1 kilometer dan melalui lorong perumahan yang masih sunyi pada ketika itu. Aku turut mengatakan aku juga hendak ke destinasi yang sama. Sepanjang perjalanan kami berbual-bual berkongsi maklumat kursus masing-masing. Setiba di perkarangan pagar kolej jati, seperti biasa penghuni asrama masih melepak di tangga dan motor masing-masing. Kedengaran lagu-lagu hits era itu masih berkumandang dan belum ada tanda manusia mahu tidur. 1983, lagu-lagu cinta menjadi permintaan di corong radio dan dan aku tahu rakan-rakan sebilik ketika itu sedang menanti di sisi radio untuk mendengarkan.

2 comments:

  1. Anonymous7:32 AM

    Assalam. Nama syarikat bas tu adalah Setia Express. Laluan perjalanan Kroh-Baling-Kulim -KL. Terkenang kenangan di asrama Perindu...tahun yang sama dengan tuan..

    ReplyDelete
  2. Terima kasih.aku terkhilaf oleh jarak kenangan yang panjang.ya Setia Ekpress yang ketika itu hanya satu-satunya bas yang membawa kita dari Pengkalan Hulu ke Kuala Lumpur.aku rasa kenal tuan ?

    ReplyDelete

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...