Kroh, sekembalinya aku ke daerah itu sebaik tamat semester 1 hujung tahun 1983, membangkitkan rasa kerinduan terhadap kehidupan zaman kanak-kanak dan awal remaja. Bagaimana tidak, kerana di sinilah aku membesar sepanjang 14 tahun yang lalu. Setiap pelosok daerah ini telah kuterokai—lorong denai, sungai, bukit, belukar, hutan, paya tasik—semuanya telah kulalui bersama rakan sebaya. Belum lagi cerita melastik, menjerat dan mengetah burung, mengail ikan, memasang jaring, bubu, dan memanah.
Memang, orang sering teruja apabila disebut pulang ke kampung, tetapi bagiku, pulang ke daerah ini adalah harapan yang sentiasa diidamkan. Walaupun aku dilahirkan di Selangor, Kroh ku seperti tanah kelahiran. Pulang ke sini ibarat kepulangan seorang perantau ke desa asalnya. Di sini aku mengenal kawan dan sahabat, lelaki dan perempuan. Di sini aku belajar erti setiakawan. Permusuhan memang ada, tetapi pada zaman kanak-kanak dan remaja, kebencian itu tidak pernah berpanjangan.
Rakan-rakan pula terdiri daripada pelbagai suku kaum—Melayu, Cina, India, Sikh, Orang Asli, dan Siam. Apabila pulang pengajian, terasa diri sudah remaja dan mampu hidup berdikari di perantauan. Sudah mampu hidup sendiri jauh dari ibu bapa dan adik-beradik. Senja ketika tiba di itu, aku berjalan sambil mengusung beg dan fikiran yang dipenuhi kisah di ITM. Aku pasti akan menceritakan kepada ibu bapaku bahawa sejak kembali ke pangkuan mereka ketika dahulu aku tidak sanggup menanggung rindu, kini aku sudah terbiasa hidup jauh dari mereka semua. Kerinduan kepada rakan sepermainan sudah perlahan-lahan pudar; yang tinggal hanyalah sisa rindu kepada seseorang yang kukenal semasa awal pengajian.
Daerah itu sungguh mendamaikan. Beberapa lukisan kedamaian sempat kulukis sebelum aku ke ITM pada Julai 1983 dahulu. Pemandangan bukit-bukau yang mengelilinginya, tasik takungan yang terletak di tengah-tengah daerah ini dengan taman permainan kanak-kanak di pinggirnya. Memancing di tebingnya sambil melihat orang berehat di tebing sebelah sana.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.