April 1983, keputusan SPM 1982 kuterima dengan rasa yang bercampur-baur. Kecewa, ya... kerana hanya sekadar Gred 3, cukup layak menerima Sijil Am Pelajaran. Tapi dalam kekecewaan itu, terselit juga sedikit rasa bangga kerana aku mendapat kepujian dalam mata pelajaran Seni Lukis dan beberapa subjek lain. Keputusan itu tidaklah seteruk mana jika dibandingkan dengan rakan-rakan sebaya dan sepermainan yang turut menduduki peperiksaan sama.
Sejak itu, aku mula memikirkan hala tuju — apakah langkah seterusnya? Perlukah aku mengulang SPM atau cukup sekadar ini menjadi noktah perjuangan akademikku? Dunia pekerjaan mula bermain di benak, dan antara laluan terbuka ialah menyertai pasukan keselamatan. Sebagai anak polis, peluang ke arah itu masih luas. Tentera? Aku pernah terfikir ke arah itu juga.
Sebenarnya, pada tahun 1981 aku pernah memohon untuk menyertai Perantis Putera di bawah kendalian Angkatan Tentera Malaysia. Tapi, hasrat itu ditentang oleh ayah kepada salah seorang rakanku. Bukan sahaja membantah, malah memarahi kami berdua kerana berniat untuk menjadi tentera. Katanya, “Kami anak askar… kami tak mahu anak-anak kami juga jadi askar.” Kata-kata itu melekat dalam ingatanku hingga ke hari ini. Mungkin pengalaman hidup mereka yang pahit sebagai anggota tentera membuatkan mereka tidak mahu kami merasai perkara yang sama.
Sebenarnya, menyertai Perantis Putera bukanlah ideaku pun — cadangan itu datang daripada anaknya sendiri. Aku pula, selepas tamat SRP tahun 1980, lebih cenderung untuk menyambung pelajaran ke tingkatan empat.
Beberapa hari selepas keputusan diumumkan, aku terbaca dalam Berita Harian tentang pengambilan pelajar ke Institut Teknologi MARA (ITM) Shah Alam yang akan diumumkan tidak lama lagi — tetapi iklannya hanya akan dikeluarkan dalam Utusan Malaysia. Di situlah harapanku kembali menyala. Ini peluang untuk aku meneruskan pelajaran dalam bidang Seni Lukis, satu-satunya bidang yang aku benar-benar minati dan mendapat markah cemerlang. Maklumat ini aku dapat daripada seorang rakan senior yang kini sedang menuntut dalam bidang seni di ITM Shah Alam.
Tahun 1983 menjadi tahun penantian. Hari demi hari aku menunggu iklan itu keluar. Empat bulan lebih aku hanya duduk di rumah — melukis, mendengar lagu-lagu kesukaan, berbual santai dengan kawan-kawan. Petang-petang, kami bermain bola sepak di padang luar kawasan kem BN 19, Kroh (kini dikenali sebagai Pengkalan Hulu), Perak. Kadang-kadang kami merayau sekitar pekan Kroh, atau sekadar menonton televisyen di rumah.
Indahnya zaman remaja waktu itu. Bebas. Tidak banyak perkara yang perlu dirisaukan. Dunia masih luas di hadapan — penuh harapan, dan aku bersedia menunggu peluang yang akan mengubah masa depanku.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.