Penghijrahan Pertama
Setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun
1982, hari-hariku di rumah diisi dengan alunan muzik dari radiogram baharu
ayah. Aku melayan lagu-lagu hits era 80-an dari kumpulan popular seperti
Alleycats, Black Dog Bone, Carefree, Kembara, Blues Gang, dan Flybait. Meskipun
aku menikmati muzik, aku bukanlah peminat fanatik yang menggantung poster artis
di dinding bilik. Minatku sekadar pendengar biasa.
Aku lebih menyukai lagu-lagu berentak sentimental atau easy listening tanpa mengira genre atau penyanyi. Kebetulan,
minat ini turut dikongsi dengan beberapa rakan lelaki. Salah seorang rakan
rapatku, AN, mencadangkan agar kami mencari pekerjaan di
kilang-kilang berhampiran kampungnya di Parit, Perak. Setelah mendapat izin
dari orang tuaku, bermulalah episod penghijrahan pertamaku, melangkah keluar
dari kepompong keluarga dan pengawasan mereka.
Pengalaman di Perantauan
Setibanya di kampung AN di Parit, Perak, aku ditumpangkan di rumah
saudara AN, sementara dia dirumah keluarganya. Aku tinggal bersama keluarga
yang tidak kukenali.
Selama tiga hari di sana, tiada perancangan untuk mencari
pekerjaan. Mungkin kesibukan mereka membuat persiapan untuk sambutan
perayaan yang aku sendiri tidak pasti perayaan apa. Yang pasti, ia sangat
meriah! Setiap rumah menyediakan juadah, dan mereka saling berkunjung seperti
sambutan Hari Raya Aidilfitri. Di rumah tempat aku menumpang, aku mendapati
keluarga itu beragama Kristian, kerana pada pagi Ahad mereka menjalankan ritual
biasa penganut Kristian, dan ada bingkai gambar yang didakwa Jesus. Pada masa
itu, perkara ini tidak membawa makna apa-apa bagiku kerana aku tidak berminat
dan tidak mengambil tahu aktiviti mereka. Aku hanya menganggap kemungkinan
ritual biasa mereka.
Aku sempat bergambar dengan anak gadis tuan rumah atas permintaan
AN. Dia manis, berkulit cerah, dan berambut pendek paras bahu—sepupu kepada
rakanku. Namun, aku hanya menurut dan kurang berinteraksi, mungkin kerana masih
segan dengan mereka.
Pulang ke Pangkuan Keluarga
Lama-kelamaan, aku mula merasakan rindu kepada keluargaku.
Hari-hari berlalu hanya dengan melepak dan merayau di perkampungan. Rasa bosan
mula menguasai diri, dan aku akhirnya membuat keputusan untuk pulang ke
pangkuan keluarga. Aku menyatakan hasratku kepada AN, dan dia memahami serta
tidak menghalang.
Pada suatu pagi, aku dihantar oleh AN ke pekan Parit. Aku menaiki
bas ke Ipoh dan kemudian kembali ke utara, ke Kroh. Aku tidak menyesal dengan
pengembaraan ini. Mungkin ini pengalaman pertamaku berjauhan dari keluarga,
belajar hidup berdikari di perantauan, dan mengenali pelbagai ragam manusia.
Ini adalah pengajaran penting bagi seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam
era 80-an.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.