18 December 2016

Alam Remaja 1983 : Pengalaman bekerja di kedai basikal.

Awal Januari tahun 1983, Setelah agak beberapa lama kembali ke pangkuan keluarga, satu hari ayah mendatangiku dan bertanya samada aku ingin bekerja di sebuah kedai basikal di pekan Kroh.Rupa-rupanya ayah telah merancang dengan tauke kedai basikal itu supaya mengambil aku bekerja di kedainya.Katanya tauke kedai itu pun sudah bersetuju.Apa yang aku tahu,  di kedai itulah tempat ayahku membeli basikal jenama Hercules pertamanya dulu .Kalau tak silap aku tahun 1972.

Aku tidak bertangguh lama kerana sememangnya aku tidak membantah kehendak ayahku.Kepada ayah aku nyatakan  persetujuan. Dan keesokanya aku pergi bersendirian ke kedai basikal yang dinyatakan dan terus berkerja di situ.Hari pertama tauke kedai berbangsa cina itu mengajar aku cara menampal tiub basikal bocor.Upahnya dalam tiga puluh sen saja bagi setiap tampalan.

Keluarga tauke cina itu tidaklah ramai.Apa yang kunampak cuma beliau mempunyai seorang isteri dan dua orang anak perempuan.Seorang bersekolah menengah tingkatan satu dan seorang masih lagi bersekolah rendah.Tauke pula lembut dan pendiam orangnya.Anak gadisnya pun begitu.Selama berkerja di situ aku tidak pernah bercakap dengan anaknya. Aku  hanya berbual dengan auntie, ibunya dan tauke saja.Auntie sangat baik kepadaku.Kadang-kadang dijamunya aku dengan kuih apam berwarna-warni dan teh ‘o’ sebagai minum petang.Kami duduk di dapur dan berbual-bual  sementara anak daranya duduk di bengkel menanti pelanggan.

Auntie cina yang peramah itu memang suka berbual.Macam-macam kisah yang dibualkan.Terutama mengenai keluarganya yang kecil dan saudara mara yang berada di Pulau Pinang.Aku hanya mendengar.Mungkin sifatku yang pendiam dan malu-malu pada awalnya membuatkan auntie  terpaksa memulakan cerita.Sekali-sekala anak gadisnya masuk ke ruangan dapur melihat kami berbual.

Aku seronok berkerja di bengkel basikal itu.Bermacam ragam pelanggan yang kujumpa.Ada makcik dan pakcik yang tidak tahu mengisi angin basikal lantas meminta bantuan.Ada yang meminta tampal tiub tayar yang bocor walhal tiub sedia ada telah beberapa kali ditampal.Bila diberitahu supaya menggantikan dengan tiub yang baru alasannya tidak mampu lagi.

Ada juga rakan-rakan persekolahan yang datang melihatku dan mengisi angin tayar basikal mereka.Seronok kerja di situ kerana pelanggan tidaklah ramai dan pada masa tertentu. Di kesempatan itu aku hanya duduk dan memerhatikan orang lalu lalang di kaki lima kedai.Ada juga aku ke kedai bersebelahan dan melihat-lihat kasut-kasut terbaru yang dijual.

Dan selama berkerja di bengkel, aku perasan ada anak gadis cina kedai kasut bersebelahan selalu datang dan berbual dengan anak gadis tauke bengkel basikal tempat aku berkerja.Kemungkinan mereka kawan sebaya kerana pulang bersama dari bersekolah pada setiap petang, fikirku.Anak gadis tauke ku tinggi lampai orangnya macam ayahnya juga berbanding autie yang sedikit rendah.Bila aku berseorang di bengkel sementara ayahnya masuk ke dapur untuk makan, anak gadis tauke akan menggantikan  ayahnya dan duduk di meja sambil mengulangkaji kerja-kerja sekolahnya.Mungkin aku masih belum boleh dipercayai agaknya.Waktu itu juga aku mencuri pandang anak tauke di meja ayahnya.Maklumlah anak muda.Menarik juga anak tauke aku ni fikirku.Begitu juga bila kawannya dari kedai sebelah bertandang mereka akan berbual-bual sambil memandang kepadaku diiringi ketawa kecil.Mungkin ketawakan aku agaknya.Kelakar pada pandangan mereka.

Begitulah seterusnya sehingga sebulan berlalu.Bila aku sudah cekap tauke mengajarku cara memasang jejari rim tayar basikal yang agak susah sikit.Kami akan membuat sebuah basikal untuk jangkamasa seminggu.Pengalaman ini sedikit sebanyak mengajar aku berinteraksi dengan orang yang di luar kebiasaan pergaulanku.Bertemu dengan berbagai karenah dan ragam orang mendewasakan cara pemikiran dan tindakan.Syukur.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...