16 May 2009

Hari Guru...

Tidak menidakkan apatah lagi melupakan jasa setiap guru yang pernah berjasa, aku kembali mengimbas perjalanan yang panjang.Aku pernah mengutip biji-biji saga, saranan dari cikgu ilmu hisab tentunya.Buat si lembab seperti aku.Payah membilang.Tudung-tudung botol, cengkerang kerang-kerangan.Entah apa lagi yang semuanya menjadi mainan.Memori biji saga memang sentiasa dekat denganku bahkan mereka yang belajar sezaman dengan ku.

Seni lukisan pula membuat kami sibuk mencantas daun pisang.Mengambil batangnya lalu dikerat secara 45 darjah.Memetik daun bunga raya dan bunganya sekali.Wah, cantik coraknya jika ditekap ke atas kertas lukisan.Idea kreatif cikgu zaman 70'an.Tidak terlintas langsung meneka di benak yang bengap ini tika itu kepandaian seorang guru seni.

Sehingga aku mengagumi "Teachers is God" mereka serba tahu dari sudut mata ku.Dunia ku disinar terang oleh kehadiran insan bernama guru.

Namun satu nama yang masih utuh lekat kuat, terpahat dalam memori ini tidak lain Ustaz Hassan Basri.Cikgu yang mengajar matapelajaran agama Islam ketika aku di darjah tiga hingga enam dalam tahun 1974 hingga 1976 dulu.Ustaz Hassan wajahnya memang jelas di ingatan.Dialah satu-satunya cikgu menjadi sebab aku mendalami Islam zaman di awal remajaku.Walhal ketika aku menerima ilmu itu aku bukan muslim.Butir mutiara yang pernah cikgu itu tabur telah kukutip menjadi perhiasan di nuraniku.Atas sebab barakahnya ilmu, aku langsung menerima hidayah dan aku tidak berpaling lagi.


Kini 23 tahun menjadi Muslim...wajah Ustaz Hassan masih tetap di ingatan dan aku  membawa bersama title sepertinya..

Selamat Hari Guru!!!

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...