16 April 2018

Jun 1984 : Penantian

Penghujung Mei 1984, aku sudah berada di kampung di Jelebu Negeri Sembilan. Usai cuti sem atau part 2 pengkuliahan  bidang seni lukis seni reka, kini menanti untuk menyambung ke tahun kedua atau lebih tepat lagi part 3. Di situlah nanti penentuan jabatan mana akan ditempatkan. Seni Halus, Tekstil, Seni Logam, Grafik atau Senireka Industri. Entahlah, aku pasrah.

Penantian menerima keputusan muktamad untuk menyambung ke sem berikut terasa panjang. Aku menanti dan terus menanti. Hari ke hari, dari hari beralih minggu. Seminggu berlalu hingga genap sebulan. Namun masih tiada kunjung jawapan. Aku menanti hanya sepucuk surat jawapan keputusan. Ibu bertanya masih tiadakah surat yang nanti. Aku menjawab lemah.


Penantian Jun 1984 telah berlalu. Namun aku masih di kampung menanti. Sehinggalah satu hari aku berbisik pada diri. Inilah pengakhiran penantian. Aku terima takdirnya bahawa aku telah gagal untuk ditawarkan ke semester berikutnya. Perkiraanku jika tiada keputusan bersurat bererti aku tidak lagi mendapat tempat di sekolah pengajianku.

Ayah  juga pernah bertanya mengapa aku tidak teruskan pengajian. Orang tuaku juga cemas melihatkan aku masih tidak menerima sebarang jawapan. Jawabku mudah. Aku gagal. Itulah kenaifan remaja berusia 18 tahun ini pada tahun 1984 dulu. Terasa pedih dan kecewa saat itu tidak dapat digambarkan. Bidang yang menjadi hobi satu waktu dulu ketika di alam persekolahan terpaksa ku lepaskan.

Julai 1984, aku tidak lagi menanti. Penantianku telah bernoktah. Kecewa saat itu bila mengenangkan banyak perkara yang aku lepaskan dalam menjalani usia remaja. Bakat dan minat, kawan-kawan seperjuangan dalam bidang seni yang diminati dan seseorang yang menjadi pujaan di dalam diam. Pasrah.

Waktu itu aku menjadi buntu. Aku menjalani kehidupan desa yang agak janggal kerana hampir dua abad kehidupanku mengenal dunia hanya kehidupan di pekan. Jauh bezanya kehidupan di pekan satu waktu dulu dengan desa ayahku. Bangun pagi setelah semua penghuni tiada di rumah. Adik adik ke sekolah. Ibu ayah ke kebun, makcik dan sepupu juga ke kebun. Aku tinggal berseorangan di rumah. Mendengar lagu sambil mengemas rumah. Memetik gitar kesayangan. Memasak dan membasuh pinggan mangkuk yang diguna malam sebelumnya. Memasak pula masih menggunakan kayu api. Apalagi rumah makcikku masih belum mendapat bekalan eletrik.

Aku terpaksa melupakan suasana rakan-rakan yang ceria menjalani kehidupan sebagai pelajar. Semakin ingin dilupakan semakin sayu pula hati mengenangkan. Mendengar lagu dan bernyanyi adalah rutin pagiku untuk melupakan semuanya tentang kehidupan di kampus satu waktu dulu. Begitulah hari-hari yang berlalu. Punahlah cita-cita dan terbantutlah setiap harapan. Seusia remaja belasan tahun penantianku telah kecundang sebelum semuanya bermula.

Begitulah berakhirnya perjuanganku untuk mendalami bidang senilukis dan senireka di ITM 1984 dulu. Tersimpan kemas hanya gambar-gambar yang sebahagian besarnya telah hilang dalam koleksi kenangan. 


No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...