03 April 2018

Sketsa Merisik Yang Tidak Kesampaian.

          April datang lagi.  34 tahun dulu ia membawa kenangan yang sukar dilepaskan. Semakin menjarak usia meniti hari, semakin terhakis jua kenangan. Sedikit demi sedikit ia hilang bersama mereka yang tidak mahu aku ingatkan lagi. Walaupun, adakalanya hati menafikan kewujudan mereka tetapi ia tetap segar dalam usia bergelar remaja. Keseronokan melalui zaman itu pasti tidak mudah luput begitu saja. Apatah lagi wajah seorang gadis bermata sepet yang kupuja dalam diam itu.

Tahun itu, tahun penuh keseronokan. Aku menikmati alam remaja dan kerja harian sebagai pelajar seni. Bidang lukisan yang sangat diminati. Aku menulis sajak dan bernyanyi. Aku dapat rasakan aku telah menyempurnakan segala assignment dengan hasil kerja terbaik. Rakan sekuliahan memuji hasil karyaku. Perubahan warna membezakan gelap dan terang kehidupan. Stroke lukisan yang tajam halus mengasyikkan. Aku berjaya beradaptasi dengan seni yang kupelajari walaupun masih di peringkat asas.

Teringat di satu pagi ketika sedang seronok melukis warung mamakteria, rakan memuji dan lukisanku itu diabadikan melalui lensa kameranya. Foto lukisanku itu aku simpan dan menjadi tatapan kala sendirian. Memang benar dengan sedikit teguran pensyarah dan pujian kerana perbezaan mainan pigmen menghasilkan sebuah karya yang hidup. Begitu kehendak pensyarah muda itu. Pelajar perlu focus supaya dapat membezakan mainan warna untuk membezakan sisi gelap terang sebuah lukisan dan mencari sorotan cahaya yang datang.

Memang aku sangat focus kepada bidang lukisan. Aku bisa menjadi tenang kala melukis. Aku sedar aku punya bakat yang boleh digilap. Aku belajar mengenali dunia seni tampak dan sejarahnya. Aku menghargai seni lukisan kerana jujur pengkaryanya. Aku banyak mengenali segala keperluan peralatan di samping segala teknik dalam dunia seni tampak. Fikirku, inilah akhirnya  perjalanan dan matlamat kerjayaku nanti, menjadi insan seni.

Si gadis mata sepet, aku tidak lagi ternampak dia di mana-mana. Sudah jarang. Kali terakhir tersua sewaktu menghadiri kelas Tamadun Islam. Itupun hanya memandang dari kejauhan. Malu bertentang. Entah mengapa rakan sekuliahan  itu selalu membuat aku terpaku bisu bila berhadapan. Mahu tapi malu.

Aku tidak menafikan menyukai gadis berwajah kecinaan itu.  Sejak pertama kali aku memandang wajahnya ketika di Gombak dulu. Aku pernah tuliskan di blog ini,  mengapa aku menyukai wajah chinese looks itu. Aku cuba merisik tentang gadis itu melalui seorang kawan.  MK namanya. Apa yang aku diberitahu, MK amat mengenali gadis itu kerana mereka datang dari daerah dan sekolah yang sama. Malah ibu bapa mereka saling mengenali dan berkawan.

Aku cuba mengorek latar belakang peribadi gadis mixed chinese itu dari MK. MK memberitahu aku, di sekolahnya dulu di sebuah daerah di Pahang, mereka mengusik dan memanggil nama gadis itu dengan nama "Salmah". MK mengesyorkan aku memanggil nama KGK, "Salmah" jika berjumpa dengannnya. Aku turutkan saja kerana mungkin itu nama panggilan kampungnya.

MK juga memberitahu aku latar keluarga KGK. Katanya, bapa KGK tokey balak. Itulah antara apa yang aku ingat ketika ini.  Sebenarnya banyak yang aku sudah tak ingat tentang KGK. Di bangunan kuliah, aku sangat jarang bertemu KGK kerana kami berlainan kelas. Aku kelas 2 sementara KGK kelas 4 atau 6. Cuma ketika waktu rehat, ramai pelajar akan turun ke kafeteria dan tentunya akan melalui kelas 2.

Satu pagi selepas aku minum ala kadar di kafeteria, aku pun bergerak menuju ke kelas. Setibanya aku betul-betul di penjuru jalan ke kelasku, tiba-tiba KGK terpacul dan kami berdua agak terkejut. Itulah pertama kali aku berhadapan dengannya. Wajah chinese looks itu sudah benar-benar di hadapanku. Kami berbalas senyum. Aku agak gugup kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Lantas aku teringat pesan MK.  Aku menegur KGK dan tidak menyangka KGK melayan sapaanku. Ringkas saja bualan kami. Ketika itulah aku cuba bertanya KGK benarkah nama panggilannya Salmah? Aku tidak mengingati apa reaksi KGK ketika itu.

Sebenarnya aku ingin berbual lama dengannya tapi aku tidak tahu apa yang hendak aku kongsikan. Gugup dan segan. Idea aku hilang sedangkan aku sudah berkira-kira menyusun idea jika bertemu KGK. Itulah kali terakhir aku bertemu KGK.  Rindu kepadanya memang tidak dinafikan. Tapi untuk golongan introvert seperti aku, agak susah hendak memulakan perbualan yang lebih lancar. 

Berakhirnya semester aku kembali ke kampung halaman. Menghabiskan cuti sem sementara menanti keputusan untuk ke semester seterusnya. Semester seterusnya merupakan penetapan jabatan atau department mana akan ditempatkan sesuai dengan keputusan nanti. Berdebar-debar rasanya. Manalah tahu, mungkin nanti diletakkan bersama gadis itu. Alahai.

Bersama rakan sekampung kerja harianku hanya memetik gitar. Belajar dari mereka yang lebih berpengalaman sambil melalak siang dan malam.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...