13 July 2011

kenangan lalu:jujurnya dia

Kisah ini berlaku di rumahku ketika usiaku tiga belas tahun. Ketika itu musim cuti persekolahan kalau tidak silap perkiraanku. Seperti biasa tahun-tahun cuti persekolahan hujung tahun itu sentiasa saja bumi di daerah permukiman tempat tinggalku disirami hujan. Kadangkala lebat sekejap kadangkala tidak terlihat suria hingga ke petang. Suasana lembab dan dingin. Kroh yang sudah diketahui sekitar tahun 1970’an memang suatu daerah yang dingin tambahan musim-musim hujan ketika itu.

Apa yang ingin aku ceritakan adalah mengenai seseorang yang kadangkala terjelma di kotak minda. Cerita tentang seorang gadis sunti yang masih kuingat paras rupanya lewat dulu hingga ke hari ini. Rambut lurus paras bahu, bekulit kuning langsat, matanya yang ala-ala gadis cina, sepet tapi tidak keterlaluan. Cerita tentang seseorang yang boleh kuanggap rakan sepermainan dan aku mengkagumi sifat luhurnya walaupun aku amat penyegan kepada perempuan ketika itu.

Gadis ini berkunjung ke kem PPH BN 19 ketika itu kerana mengikuti saudara terdekatnya yang bertugas sebagai anggota polis BN 19. Apa yang aku tahu dia berasal dari Kampung Kledang sekitar Ipoh. Aku tidak pasti anak saudara siapa tapi sikap mudah mesranya menjadikan dia popular di kalangan kami budak-budak lelaki. Gadis sunti itu berkawan rapat dengan anak jiranku NH yang juga rakan perempuan yang kukenali. NH atau lebih mesra dipanggil Ani pula berkawan baik dengan adikku Sarina (dipanggil Nina) waktu itu. Jadi seringkali mereka bertiga dilihat bersama.

Aku rasa bertuah ketika itu kerana dalam ramai rakan lelaki Z sudi bermain di rumahku sekali. Mungkin kerana dia berkawan baik dengan Ani dan adikku Nina. Jadi tidak hairanlah kadangkala mereka bermain di sekitar rumahku dan rumah Ani. Pada masa yang lain mereka bermain di taman permainan kanak-kanak. Itu terlihat selalu dan kami budak budak lelaki tidak mencampuri urusan dan dunia mereka. Kerana ketika usia sudah mencapai belasan tahun, sudah ada jurang untuk bermain sama. Tidak seperti waktu kanak-kanak dulu. Pun begitu ada juga ketikanya kami bermain sama. Terutama dalam permainan bola tuju-tuju. Dua kumpulan berlainan jenis diasingkan dan saling menghentamkan bola ke tubuh berlawanan jantina jika ada peluang berbuat begitu. Selalu pihak lelakilah yang menang.

Aku masih ingat, satu ketika sewaktu hujan di luar agak lebat. Ibuku sedang menjahit pakaian dengan mesin jahit jenama Singernya, aku dan dua orang rakan, Sam dan seseorang yang tidak kuingat lagi bermain di dalam bilik tidurku sambil berbual-bual. Tiba-tiba muncul Z dan Ani berserta adikku Nina di rumahku. Mereka seronok melihat ibuku menjahit pakaian baru. Sudah tentu jiwa mereka sesuai melihat kerja tangan begitu yang sinonim dengan kaum perempuan. Jangan tak tahu aku juga mahir menjahit pakaian sendiri kerana selalu menolong ibu menggunakan mesin jahit.

Z mengajak Ani mencabar kami yang diketahuinya berada di dalam bilik bermain teka-teki. Oleh kerana kami teruja kerana cabaran (sememangnya budak lelaki pantang dicabar) datang dari budak perempuan, kami menyahutnya dengan penuh sombong. Z seorang gadis sunti yang innocent bagiku kerana mesra dan sifat jujurnya dia kami menerima dan mengalu-alukan ajakannya. Dan kami meminta dia mulakan soalan teka-tekinya untuk kami jawab. Soalannya berbunyi begini.

“Apa dia?, bila kita selak kain nampak kain, kita selak kain lagi nampak bulu, bila kita selak bulu nampak biji.”

Aku pandang wajah Sam, Nan dan rakan yang lain. Begitu juga mereka. Ada riak dan cuak menahan rasa. Aku  malu untuk menjawab. Rasa-rasanya jawaban ku adalah tepat dan pasti. Begitu juga yang lain. Tapi belum lagi jawapan diberi ketawa memecah suasana di bilikku. Z yang tersandar di pintu bilikku bersama Ani dan Nina memandang kami dengan pandangan kosong. Tak tahu apa punca kami ketawa. Ada yang menutup mulut dengan bantalku dan terbaring seronok di atas katil.

“Itu soalan lucah! Kata salah seorang dari kami. Tapi Z menafikan soalannya berunsur lucah. Malah dia terkejut dengan dakwaan rakanku itu. Ibuku pun turut mendengar dengan minat. Aku bagai tidak percaya soalan sebegitu keluar dari mulut seorang anak gadis. Tidak terfikirkah pada masa itu soalannya berbaur lucah. Z menafikan sekeras-kerasnya. Pada kami sudah tentu, pemikiran yang sudah diselaputi dengan pemikiran kuning akan menjawabnya dengan yakin tetapi malu kerana yang menerima jawaban nanti terasa bias jawapan itu adalah perempuan termasuk ibu yang mendengar.

Akhirnya setelah puas berkelahi kami meminta Z memberi jawapan yang sepatutnya. Dengan selamba dia memberi jawapan.

“Jagung!!!”

Dari riak wajah Z aku melihat kejujurannya. Sedikitpun tidak ada rasa bersalah dengan jawapan yang diberi malah bila kami katakan apa yang kami fikirkan jawapannya dia malu mendengar dan tidak mahu lagi bermain teka-teki dengan kami. Aku lihat gadis sunti itu senyum dan jelas sedikitpun tidak terfikir baginya untuk memberi soalan lucah. Itulah kali terakhir dia bertandang ke rumahku. Aku mempelajari sesuatu dari sifat luhur, innocent dari seorang budak perempuan. Jujurnya dia. Itulah pemikiran yang ada pada sebahagian anak-anak gadis zaman itu yang tidak terdedah dengan dunia bebas. Mereka jujur, luhur, suci dari segala bentuk kejahatan jika dibanding dengan sekarang. Dunia kini sudah jauh bezanya.

         Aku melihat watak ini ada bersama anak gadisku yang berusia lapan belas tahun. Dia bolehku katakan jujur kepada orangtuanya kerana apa-apa kemahuannya selalu aku atau isteriku menjadi rujukannya. Jika kukatakan "tidak" dia senyap seribu bahasa tapi mungkin faham alasanku dan tidak mengambil jalan lain di belakangku. Moga-moga dia juga menjadi sanjungan sebagaimana aku pernah menyanjungi kejujuran gadis sunti bernama Z.

2 comments:

  1. Assalamualaikum.

    Benar sekali apa yang dinukilkan.
    Kerana pada masa itu tiada diminda
    tentang perkara-perkara buruk. Sebenarnya 'receiver' memainkan peranan penting . satu perkataan boleh memberi pelbagai makna bergantung kepada apa yang ada dalam
    jiwa dan pemikiran seseorang.
    Wallahuallam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. mmm..betul tu...kalau dah berfikiran sebegitu..maka akan terbentuklah pembawaan diri yang menyalahi norma-norma insan syumul.terima kasih atas komen.

      Delete

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...