Kisah
ini berlaku di rumahku ketika usiaku tiga belas tahun. Ketika itu musim cuti
persekolahan kalau tidak silap perkiraanku. Seperti biasa tahun-tahun cuti
persekolahan hujung tahun itu sentiasa saja bumi di daerah permukiman tempat
tinggalku disirami hujan. Kadangkala lebat sekejap kadangkala tidak terlihat
suria hingga ke petang. Suasana lembab dan dingin. Kroh yang sudah diketahui
sekitar tahun 1970’an memang suatu daerah yang dingin tambahan musim-musim
hujan ketika itu.
Apa
yang ingin aku ceritakan adalah mengenai seseorang yang kadangkala terjelma di
kotak minda. Cerita tentang seorang gadis sunti yang masih kuingat paras
rupanya lewat dulu hingga ke hari ini. Rambut lurus paras bahu, bekulit kuning
langsat, matanya yang ala-ala gadis cina, sepet tapi tidak keterlaluan. Cerita
tentang seseorang yang boleh kuanggap rakan sepermainan dan aku mengkagumi
sifat luhurnya walaupun aku amat penyegan kepada perempuan ketika itu.
Gadis
ini berkunjung ke kem PPH BN 19 ketika itu kerana mengikuti saudara
terdekatnya yang bertugas sebagai anggota polis BN 19. Apa yang aku tahu
dia berasal dari Kampung Kledang sekitar Ipoh. Aku tidak pasti anak saudara
siapa tapi sikap mudah mesranya menjadikan dia popular di kalangan kami
budak-budak lelaki. Gadis sunti itu berkawan rapat dengan anak jiranku NH yang
juga rakan perempuan yang kukenali. NH atau lebih mesra dipanggil Ani pula
berkawan baik dengan adikku Sarina (dipanggil Nina) waktu itu. Jadi seringkali
mereka bertiga dilihat bersama.
Aku
rasa bertuah ketika itu kerana dalam ramai rakan lelaki Z sudi bermain di
rumahku sekali. Mungkin kerana dia berkawan baik dengan Ani dan adikku Nina. Jadi
tidak hairanlah kadangkala mereka bermain di sekitar rumahku dan rumah Ani. Pada
masa yang lain mereka bermain di taman permainan kanak-kanak. Itu terlihat
selalu dan kami budak budak lelaki tidak mencampuri urusan dan dunia mereka. Kerana
ketika usia sudah mencapai belasan tahun, sudah ada jurang untuk bermain sama. Tidak
seperti waktu kanak-kanak dulu. Pun begitu ada juga ketikanya kami bermain
sama. Terutama dalam permainan bola tuju-tuju. Dua kumpulan berlainan jenis
diasingkan dan saling menghentamkan bola ke tubuh berlawanan jantina jika
ada peluang berbuat begitu. Selalu pihak lelakilah yang menang.
Aku
masih ingat, satu ketika sewaktu hujan di luar agak lebat. Ibuku sedang
menjahit pakaian dengan mesin jahit jenama Singernya, aku dan dua orang rakan, Sam
dan seseorang yang tidak kuingat lagi bermain di dalam bilik tidurku sambil
berbual-bual. Tiba-tiba muncul Z dan Ani berserta adikku Nina di rumahku. Mereka
seronok melihat ibuku menjahit pakaian baru. Sudah tentu jiwa mereka sesuai
melihat kerja tangan begitu yang sinonim dengan kaum perempuan. Jangan tak tahu
aku juga mahir menjahit pakaian sendiri kerana selalu menolong ibu menggunakan
mesin jahit.
Z
mengajak Ani mencabar kami yang diketahuinya berada di dalam bilik bermain
teka-teki. Oleh kerana kami teruja kerana cabaran (sememangnya budak lelaki
pantang dicabar) datang dari budak perempuan, kami menyahutnya dengan penuh
sombong. Z seorang gadis sunti yang innocent bagiku kerana
mesra dan sifat jujurnya dia kami menerima dan mengalu-alukan ajakannya. Dan
kami meminta dia mulakan soalan teka-tekinya untuk kami jawab. Soalannya
berbunyi begini.
“Apa dia?, bila kita selak kain nampak
kain, kita selak kain lagi nampak bulu, bila kita selak bulu nampak biji.”
Aku
pandang wajah Sam, Nan dan rakan yang lain. Begitu juga mereka. Ada riak dan
cuak menahan rasa. Aku malu untuk menjawab. Rasa-rasanya jawaban
ku adalah tepat dan pasti. Begitu juga yang lain. Tapi belum lagi jawapan
diberi ketawa memecah suasana di bilikku. Z yang tersandar di pintu bilikku
bersama Ani dan Nina memandang kami dengan pandangan kosong. Tak tahu apa punca
kami ketawa. Ada yang menutup mulut dengan bantalku dan terbaring seronok di
atas katil.
“Itu
soalan lucah! Kata salah seorang dari kami. Tapi
Z menafikan soalannya berunsur lucah. Malah dia terkejut dengan dakwaan rakanku
itu. Ibuku pun turut mendengar dengan minat. Aku bagai tidak percaya soalan sebegitu
keluar dari mulut seorang anak gadis. Tidak terfikirkah pada masa itu soalannya
berbaur lucah. Z menafikan sekeras-kerasnya. Pada kami sudah tentu, pemikiran
yang sudah diselaputi dengan pemikiran kuning akan menjawabnya dengan yakin
tetapi malu kerana yang menerima jawaban nanti terasa bias jawapan itu adalah
perempuan termasuk ibu yang mendengar.
Akhirnya
setelah puas berkelahi kami meminta Z memberi jawapan yang sepatutnya. Dengan
selamba dia memberi jawapan.
“Jagung!!!”
Dari
riak wajah Z aku melihat kejujurannya. Sedikitpun tidak ada rasa bersalah
dengan jawapan yang diberi malah bila kami katakan apa yang kami fikirkan
jawapannya dia malu mendengar dan tidak mahu lagi bermain teka-teki dengan
kami. Aku lihat gadis sunti itu senyum dan jelas sedikitpun tidak terfikir
baginya untuk memberi soalan lucah. Itulah kali terakhir dia bertandang ke
rumahku. Aku mempelajari sesuatu dari sifat luhur, innocent dari
seorang budak perempuan. Jujurnya dia. Itulah pemikiran yang ada pada
sebahagian anak-anak gadis zaman itu yang tidak terdedah dengan dunia bebas. Mereka
jujur, luhur, suci dari segala bentuk kejahatan jika dibanding dengan sekarang.
Dunia kini sudah jauh bezanya.
Aku melihat watak ini ada bersama anak
gadisku yang berusia lapan belas tahun. Dia bolehku katakan jujur kepada
orangtuanya kerana apa-apa kemahuannya selalu aku atau isteriku menjadi
rujukannya. Jika kukatakan "tidak" dia senyap seribu bahasa tapi
mungkin faham alasanku dan tidak mengambil jalan lain di belakangku. Moga-moga
dia juga menjadi sanjungan sebagaimana aku pernah menyanjungi kejujuran gadis
sunti bernama Z.
Assalamualaikum.
ReplyDeleteBenar sekali apa yang dinukilkan.
Kerana pada masa itu tiada diminda
tentang perkara-perkara buruk. Sebenarnya 'receiver' memainkan peranan penting . satu perkataan boleh memberi pelbagai makna bergantung kepada apa yang ada dalam
jiwa dan pemikiran seseorang.
Wallahuallam.
mmm..betul tu...kalau dah berfikiran sebegitu..maka akan terbentuklah pembawaan diri yang menyalahi norma-norma insan syumul.terima kasih atas komen.
Delete