22 August 2014

Pertemuan Yang Mendebarkan


Sememangnya aku merahsiakan kenangan bersama rakan pena pada entry yang lalu.Sejak dari permulaan nukilan tidak satupun kuceritakan tentang diri si gadis yang menjadi rakan penaku.Aku telah berutusan surat dengannya bertukar-tukar cerita dan pandangan tentang banyak perkara sejak 1986 hingga 1991.Tapi rahsia ini telah menjadi terlalu peribadi.Ada cerita suka dan pastinya cerita duka.

Pagi itu aku menanti M di Jalan Raja Muda Abd Aziz berdekatan Chow Kit Road.Tidak ingat hari apa tapi pagi itu Kuala Lumpur  tidak sesibuk seperti biasa.Sambil mataku memerhatikan bas Seri Jaya berlalu ke arah kiri di depan ku.Berdebar juga menanti si rakan pena, gadis yang dihubungi sejak enam tahun yang lalu.Tidak sangka sama sekali M berhijrah ke Kuala Lumpur kerana azamnya untuk memulakan perniagaan.Meninggalkan kampungnya jauh di Pantai Timur.Kata M kampungnya berdekatan pantai.Tapi bukan anak nelayan sejati kerana ayahnya mengerjakan ladang pertanian.

M pernah menjadi guru sandaran selama dua tahun sebaik tamat STAM.Ustazah la tu.Tapi tidak berminat di bidang perguruan.Minatnya terarah ke dunia perniagaan.Ahh..tentunya nanti M berjaya membuka perniagaan memandangkan saudara maranya yang ramai pasti akan menyokong.Masih teringat pujukannya agar aku menjadi rakan kongsi menguruskan perniagaan.Aku menjadi lemah seketika mendengar pujukan itu.Belum pernah perasaan itu menjalar ke seluruh tubuhku (waktu itu).Seperti aku tidak bisa menolak lagi rasanya.Namun aku sendiri belum pasti perniagaan apa yang akan diceburinya.Aku hanya bersetuju dan meminta tangguh seketika untuk memikirkannya.

Pada waktu itu aku dapat rasakan bahawa M menyukai dan mempercayai aku.Maklumlah rakan pena yang setia sejak enam tahun yang lalu.Aku ikhlas berkawan dengannya walaupun melalui surat.Sebagai menghormatinya juga aku tidak menyimpan foto-foto yang diberi.Semuanya kupulangkan kembali.Aku hanya ingin mengenali wajah dan susuk orangnya.Peringkat awal dulu M pertikaikan mengapa fotonya dikembalikan.Mungkin dia terasa.Bagiku M, punya raut persis Ustazah Norhafizah Musa.Berkulit cerah dan sederhana orangnya.

Waktu itu nada bahasaku kaku.Mungkin aku masih terkejut.Rasanya tidak ada bahasa berbunga atau gurauan mesra.Segalanya lurus "straight to the point".Aku tidak tahu mengapa terjadinya begitu.Walhal aku telah menulis kepadanya berkali-kali sejak dulu hingga kini (ketika itu) tanpa kehabisan ayat.M pun begitu.

Bas Seri Jaya berlalu satu persatu.Masih menunggu sehingga sebuah bas berlalu laju.Sempat menjengah ke tingkap bas dua gadis yang kupasti dialah orangnya, kerana masing-masing menjenguk ke luar memandangku sepintas lalu.Degup dadaku terasa laju.Kuperhatikan bas itu berlalu dan berhenti jauh di perhentian kedua sepanjang Jalan Raja Muda Abd Aziz.Satu persatu penumpangnya turun.Dan....

Di kejauhan aku lihat dua gadis turun dan memandang kepadaku.Seorang bertudung labuh yang kupasti dialah orangnya.Buat pertama kalinya aku akan bertemu dengan rakan pena.Mereka berdiri sambil berbual dan sesekali memandang ke arahku.Tiba-tiba rakannya berlalu pergi dan hilang di deretan kedai.Tak tahu kenapa.M pula berjalan menuju ke arahku.Hatiku berdegup untuk entah ke berapa kali.Tiap langkah kakinya mendebarkan.Setiba M menghampiri, aku lantas bertanya ke mana arah rakannya tadi.Konon untuk menyembunyikan debaran menatap wajahnya buat kali pertama.Kata M, sepupunya tak jadi menemaninya.Air mukanya semacam cemas.Aduhai..terpaksalah aku berdua dengannya hari itu, bisikku dalam hati.M berdiri di kiriku dengan beg disandang di bahu kanannya.

Aku pun mengajak M ke perhentian bas di Jalan Ipoh.M mengekoriku dari belakang.Kami tidak berjalan seiring.Malu mungkin.Setiba di perhentian, M berdiri di hujung di bawah pokok sementara aku duduk berseorang.Aku mengajaknya duduk sekali tetapi M tak mahu.Segan.Tiba bas yang ditunggu kami pun menaikinya ke arah Gombak.Untuk pertama kalinya aku duduk bersebelahan M.Masing-masing membisu.Lalu aku sempat juga menghulurkan majalah al-Mukminah yang memang kubeli khas untuknya.M masih bungkam kata sementara aku melayan kenangan.Aku tak tahu mengapa tiada sepatah katapun terluah ketika itu.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Kembali menulis.

 Kembali menulis. Dalam usia yang telah mencecah 58 tahun, banyak nostalgia tidak lagi diingati dengan jelas dan tepat. Minat menulis masih ...