28 August 2007

Ayahku seorang askar..(Senoi Praaq 1962 - 1983)



`Ini gambar yang aku jumpa sewaktu aku dan famili berkunjung ke Muzium Orang Asli Batu 12 Gombak, Selangor.Ini adalah ayahku sewaktu menjalani latihan rekrut pasukan Senoi Praaq pada tahun 1963.Waktu tu aku pun belum lahir lagi.Agaknya ibuku pun belum berjumpa  dengan ayah.Ayahku seorang yang buta huruf tetapi telah mula bekerja dengan kerajaan British.Sewaktu darurat mereka diambil bekerja kerana kepakaran yang dimiliki mereka bila berada di dalam hutan belantara.

Mengikut cerita dari ibuku dan ayahku juga, ayahku dulu adalah seorang bekas pengganas komunis yang bergerak di sempadan N.Sembilan dan Pahang.Tidak banyak yang aku ketahui cerita beliau ketika berada di dalam komunis dulu.Ibuku ada bercerita bahawa bukanlah kerelaan ayahku untuk menjadi komunis.Sebenarnya mereka adalah pemuda biasa orang asli yang mencari rezeki di dalam hutan di Jelebu, N.Sembilan.Ayahku sudah berkahwin ketika itu dengan seorang perempuan dari Kampung Sawah, Jelebu,N.Sembilan dan telah mempunyai seorang anak bernama Abas.

Ayah bersama kawan sekampungnya bernama Batin Manaf mencari hasil hutan seperti rotan dan kayu gaharu ketika mereka berdua ditahan dan dibawa lari masuk jauh dalam ke hutan.Mereka dikurung dan tidak diberi makan berhari-hari dalam usaha memaksa mereka turut sama berjuang dengan komunis.Ayah memang mengenali pengganas-penganas itu kerana mereka adalah penduduk tempatan di daerah Jelebu.

Ketika di dalam tahanan komunis ayah dan kawannya telah dikurung di dalam sebuah tahanan berupa pondok dan diikat serta diberi minum saja.Ada ketika diberi minum air sabun dan disuruh berbaring lalu dipijak perut sehingga memuntahkan kembali air sabun tadi.Tujuan komunis berbuat demikian adalah utuk memaksa mereka menjadi anggota komunis kerana mereka adalah orang asli yang mahir tentang hutan belantara.Mengikut cerita ibu mereka berdua bercadang untuk melarikan diri tetapi ayahku tidak setuju kerana takut dibunuh komunis tersebut.Bagaimanapun setelah berminggu ayah dan kawannya ditahan akhirnya tiba juga hari di mana kawan ayah dapat meloloskan diri dan melarikan diri.Ayah pernah bercerita bagaimana marahnya komunis-komunis itu bila tahu kawan ayah dapat melarikan diri.Mereka mengejar dan cuba menjejaki kawan ayah tapi sebagai seorang yang arif selok belok hutan Batin Manaf yang mempunyai ilmu kebatinan tidak dapat dikesan.

Akhirnya ayah dilarikan jauh ke dalam hutan di sekitar sempadan Jelebu dan Pahang.Semasa hayat ayah masih ada dulu ayah juga bercerita serba sedikit tentang hutan-hutan yang pernah menjadi laluan dan tempat mereka berlindung dari pasukan keselamatan.Setelah lama menurut kemahuan komunis akhirnya ayah menjadi sebahagian dari mereka.Ayah tidak mempunyai apa-apa pengetahuan tentang komunis dan apa yang mereka perjuangkan.Maklumlah tidak pernah bersekolah.Kata ibu ayah telah menjadi anak yatim ketika kecilnya.Ibu ayah iaitu nenekku setelah kematian datuk telah berkahwin dengan orang melayu di sekitar kampong  Melayu di Simpang Durian.

Tidak dapat dipastikan samada nenekku itu memeluk agama Islam atau tidak tetapi ayah memberitahu bahawa kubur nenekku itu masih dapat dikesan di Kg Jerang, Jelebu.Tapi kuburnya jauh dari kubur yang lainnya.Ketika itu ayah berusia sekitar 3 atau 4 tahun.Ayah menurut saja perintah mereka.Ada juga ayah bercerita bagaimana mereka juga dibayar seperti upah ketika menjadi anggota pengganas komunis.

Ibu melanjutkan penceritaan, ketika ayah menjadi sebahagian daripada mereka ayah pernah terlibat dengan keganasan.Pernah mereka menyerang hendap bas awam dan membunuh orang yang tidak berdosa.Tetapi kata ibu, ayah sebenarnya hanya memerhati perlakuan pengganas.Ayah memberitahu ibu bahawa ayah tidak terlibat membunuh orang awam di dalam bas tersebut tetapi sebaliknya komunislah yang bertindak membunuh dan tidak mengindahkan rayuan mereka.Habis kesemua penumpang dibunuh.Ibu memberitahu ayah pernah berasa sedih.Ayah pernah kata pada ibu dia memang menyesal dan simpati dengan mereka yang terbunuh.Selepas itu bas tersebut dibakar bersama mayat mereka.

Ayah juga pernah kata ayah hanya terlibat dengan pertempuran dengan askar.Tetapi tidak pasti ayah ada membunuh askar.

Sekitar akhir tahun 60’an ayah akhirnya berjaya merlarikan diri namun nasib ayah malang kerana ditangkap oleh pasukan keselamatan ketika masih berpakaian komunis.Ayah pernah beritahu kami, dia ditahan di lokap balai polis Kuala Klawang, dibicarakan dan didapati bersalah kerana menjadi sebahagian anggota pengganas komunis.Menurut cerita ibu ayah dijatuhi hukuman gantung tapi terlepas.Ibu bercerita sebenarnya ayah dibantu oleh seorang pakcik yang dipanggil Aki dari Gombak.Ketika ayah ditahan di Kuala Klawang.Beliau selalu melawat ayah dan memberi ayah makan sirih dan pinang yang telah dijampi.Aku tidak tahu bagaimana ayah terlepas dari hukuman tapi ayah bercerita dia hanya diberi amaran sahaja.Begitulah ceritanya. 

Selepas beberapa lama ayah telah dipanggil untuk berkhidmat dengan Senoi Praaq sebagai pertukaran di bawah tahanan yang ditawan atau SEP (Surrender Enemy Personal).Sejak itu ayahku menjadi askar dengan nombor badan AAP 112 atau Abroginal Auxiliary Police.

3 comments:

  1. Sebuah kisah realiti yg sangat menarik..

    ReplyDelete
  2. Memang menarik kisah tuan bagaimana ayah tuan menjadi komunis yang akhirnya telah berjasa kepada negara...,....untuk maklumat tuan saya mula berkhidmat dengan senoi praaq pada tahun 80an ketika itu oc saya ialah Tuan Mohd Nor iatu ayah tuan yg sekarang sudah mendapat gelaran Dato... saya berasa bangga kerana berkhidmat dengan pasukan elit dan juga the best tracker sehingga saya bersara pada 1/5/2013...

    ReplyDelete
  3. Maaf..ayah saya bukan Dato' Mohd Nor.klu tuan ingat Sarjan Yam BN 20 dulu itu adalah saya.Anak sulung Tuan Mohd Nor skrg ni ada di IPK N.Sembilan.Bhg Jenayah Perdagangan.

    ReplyDelete

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Senoi Praaq : Sejarah Penubuhan.

Penubuhan Senoi Praaq ini telah bermula di penempatan Orang Asli Batu 12 Gombak, Selangor pada 16 hb Mac 1955 di mana anggota  pertama terd...