Showing posts with label jiwa remaja. Show all posts
Showing posts with label jiwa remaja. Show all posts

29 December 2020

1980 : Cinta Monyet a.k.a Puppy Love ( Episod 2)

          

 

          Sebenarnya keluarga S memang telah lama menetap di perumahan keluarga polis di kem BN 19/20. Aku saja yang tak perasan. Sebabnya, setelah barrack kelamin itu siap pada penghujung tahun 1975 atau awal 1976, aku jarang bermain-main di sekitar perumahan itu yang dulunya adalah tapak padang bolasepak dan taman permainan kanak-kanak.  Kalau tidak, itulah port kami anak-anak polis bermain-main sampai tak nampak lagi rumput padang. 



    
    Sehinggalah barrack kelamin itu siap aku memang jarang ke sana. Kebanyakan masa bermain bolasepak telah berpindah keluar kawasan kem. Padang itu bersebelahan dengan kem kami. Jadi saban petang di situlah kami menghabiskan waktu petang dengan bermain bola. Sebab itu aku selalu juga bermimpi bermain bolasepak bersama kawan-kawan di tempat yang sama. Mimpi itu selalunya berakhir dengan kesepian dan kesedihan.

Imej dari Google. Jalan lurus di tengah menghala ke sekolah dari pintu gate kem. Sementara padang bolasepak sebelah kiri. Perhatikan kawasan lapang tu.

          Port di dalam kem yang biasa menjadi tempat anak-anak polis bermain adalah di sebuah dewan terbuka yang dipanggil drillshed. Memang hampir semua anak-anak polis pasti akan berkumpul di situ. Happening setiap petang. Dalam satu poll yang aku sendiri kendalikan di laman facebook anak-anak kem BN 19, tempat bermain mana yang paling popular di kalangan member anak-anak kem, lebih 80% memilih drillshed. Setiap orang mempunyai nostalgia dan kenangan manis di situ. Termasuk aku.

Drillshed imej tahun 2011 (masih kekal sejak 1983)
Imej Drillshed terkini (setelah diambilalih oleh ATM)

          Berbalik kepada S, lama dulu aku pernah ternampak S pulang dari sekolah sewaktu dia di tingkatan 1 dan aku tingkatan 2  ketika itu pada tahun 1979. Waktu itu tingkatan 1 berjalan di sesi petang. Ketika bermain bolasepak pada waktu petang di luar kem, S dan rakan-rakan akan berlalu di pinggir padang untuk ke pulang ke rumah (kem) Aku tidak pernah cuba ambil tahu siapa S kerana apa yang aku ketahui S keturunan Melayu. Aku hanya memandang S dari jauh saja.

          Segalanya berubah pada tahun 1980, ketika aku naik ke tingkatan 3 dan S naik ke tingkatan 2. Masih sekolah yang  sama. Keluar pagi ke sekolah pun sama. Balik pun sama. Pasti aku sangat-sangat ingin balik ke rumah bersaing dengan pelajar perempuan satu penempatan kerana ada yang nakal di kalangan kami akan mengusik rakan-rakan perempuan. Tapi kenakalan kami taklah ketara. Masing-masing tahu batas pergaulan pada waktu itu. Lagipun usik-mengusik diterima positif pihak yang satu lagi. S yang berada dalam perjalanan balik pun tak terkecuali terkena tempias usikan rakan yang nakal. Tapi tidak aku, kerana aku seorang pendiam dan hanya memerhati gelagat rakan-rakan.

          Sejak itu aku mula berminat untuk mengenali S. Aku suka rambutnya yang lurus panjang melepasi bahu dan ala-ala chinese doll yang menutupi dahinya itu. Setiap waktu pulang sekolah terutama hari Jumaat pasti saat yang ditunggu-tunggu kerana semua sesi sekolah akan tamat pada jam 12.15 tengahari. Penuhlah jalanraya dengan kenderaan dan pejalan kaki pelajar-pelajar sekolah. Saat yang ditunggu untuk bersaing dengan S di laluan sama untuk kembali ke rumah.

          Kenangan paling indah ketika S melemparkan senyuman pertamanya kepadaku. Waktu pulang tengahari itu,  kami disirami hujan yang sangat lebat di pertengahan jalan. Habis lencun pakaian seragam sekolah. S dan rakan perempuan berjalan di hadapan sementara aku dan rakan lelaki di belakang. Ketika hujan mencurah dengan sangat lebat. S dan rakan mengambil keputusan untuk berteduh di bawah pohon mengkudu. Aku dan rakan lelaki yang di belakang melewati mereka. Ketika berlalu aku sempat menoleh kepada S yang kebasahan. Mata kami bertentang dan S pun melemparkan senyumannya di balik rambut panjang yang hitam lebat itu. Fuhhh… aku sudah berada di planet Marikh. Sudah terbang melintasi bulan bintang rasanya. Tenungannya itu membuat aku semakin hari semakin rindu untuk melihatnya lagi pada hari-hari persekolahan. Sejak  itu aku semakin rajin ke kawasan perumahan kelamin baru untuk bertandang ke rumah rakan kami yang juga berjiran dengan S semata-mata ingin melihat S.

14 December 2019

Hilang.


            
            Aku terdiam dalam dukanya hati. Kecewanya perasaan menerima kenyataan bahawa kemeriahan hidup alam remajaku telah menuju ke arah yang bertentangan.  Suatu ketika aku terasa bagai ianya telah diragut dalam kisah perjalanan hidup itu tanpa kerelaan.  Ada satu masa aku juga turut berasakan bahawa tidak ada sesiapa yang patut dipersalahkan dalam keputusan itu kecuali ia berbalik kepada diri sendiri.  Bayangkanlah sebelum itu aku dibesarkan di sebuah penempatan kem askar. Ramai kawan dan kenalan.  Hidup aku serba mencukupi dan gembira. Sebuah rumah yang disediakan oleh ayah lengkap ( duduk berek kelamin) dengan keperluan asas.

            Kemudahan lain yang menambahkan serinya hidup remajaku apabila ayah membeli pemain rekod radiogram, alat pemain VHS. Boleh hari-hari menonton filem dengan melanggan dan membayar harga langganan VHS movie sebanyak $3.00 ringgit untuk sebuah VHS.  Hari-hari juga dapat mendengar lagu kesukaan dari album muzik dan penyanyi terkini samada rekod lp atau radio kaset atau katrij lagu yang dibeli original dari kedai muzik. Kumpulan Kembara, Black Dog Bone, Alleycats, Carefree dan beberapa lagi kumpulan muzik yang popular pertengahan  tahun 1980’an itu.

            Bila melanjutkan pelajaran di ITM di pertengahan tahun 1983, ayah langsung dapat meneka minatku lantas menghadiahkan aku sebuah gitar kapok. Aku pula pernah mendengar ibu menceritakan kepadaku yang ayah pernah berkata kepadanya bahawa aku suka menyanyi dan kemungkinan besar aku boleh jadi penyanyi. Gitar kapok itu juga pernah aku usung ke asrama Jati buat menghiburkan hati bila waktu sunyi.

            Kini segalanya telah semakin sunyi.  Hidup di perkampungan membuatkan aku pasrah. Aku tidak akan menyalahkan sesiapa pada waktu itu. Aku sedar himpitan keluarga terutama sejak ayahku pencen. Ayahku tidak mendapat pencen penuh hampir setahun ketika aku masih dalam pengajian. Ketika ayah masih berkhidmat dengan kerajaan, ayah boleh mengirimkan wang kepada ku paling banyak pun $200 ringgit dan paling kurang $ 50 ringgit dalam tahun 1983 itu.  Aku sedar ayah dan ibu pagi-pagi lagi telah ke kebun getahnya. Ayah tidak mahu duduk di rumah kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan. Menumpang pula rumah adik sepupunya.

            Kemungkinan ayah dan ibu malu. Namun sejak itu wang saku untuk belanja keperluanku telah jarang kuterima. Tapi tidak pandai merungut. Aku tak pernah menyatakan kekecewaan kepada ibu orang yang paling rapat denganku. Aku harungi saja tugas harian ku sebagai pelajar. Untungnya waktu itu pihak ITM menyediakan makan dan minum untuk pelajar. Rajin atau tidak saja untuk menapak ke dewan makan kolej Seroja yang terletak 500 meter dari Kolej Jati kediamanku.

            Sewaktu cuti semester tahun 1984 aku terdengar ayah marah-marah pada awal pagi. Aku cuba menyelidiki puncanya. Ternyata ayah memarahi adik perempuanku yang ke dua kerana lewat ke sekolah menengah. Aku terdengar ayah merungut dia terpaksa makan garam dengan nasi kerana hendak membesarkan kami. Aduh. Aku benar-benar tersentak. Aku rasa terpukul dan bagai ditikam tepat di jantung bila mendengar luahan ayah. Aku tidak pernah terkilan sedikitpun jika ayah tidak dapat membantuku dari segi kewangan. Apalagi menerima kiriman wang tiap-tiap bulan dari ayah kerana aku sudah sedia maklum kesusahan mereka. Tetapi luahan ayah begitu mengecewakan diriku. Motivasi diri semakin menurun dan melelahkan.

24 May 2018

1984 : Segalanya Telah Berakhir.

Berakhirlah perjuanganku untuk menimba ilmu di dalam bidang seni lukis dan seni reka. Bidang yang disukai sejak zaman sekolah rendah. Menjadi  hobi masa lapang bila usia meningkat remaja. Melukis  dengan hanya menggunakan pensil 2B di atas drawing block. Apa saja objek menjadi sasaran mata pensilku. Watak-watak kartun televisyen sekitar tahun 1980 seperti siri animasi kartun dari Jepun, Blocker Corp Machine Blaster. Siri kartun yang aku minati ketika itu. Aksi pemain bola sepak menjaringkan gol, helicopter Nuri TUDM, lanskap sekitar Kroh, daerah pemukiman. 

Aku juga menggunakan teknik melukis menggunakan water color . Aku melukis kasut bola sepak ku jenama PUMA bersama buku-buku yang disusun berlapis untuk impak seni dan aku masih ingat aku melukis dalam cahaya suram yang datang dari tingkap bilik yang kubuka sedikit agar cahayanya tampak malap. Paling kuingat aku melukis seorang gadis berambut china doll, berbaju kurung dengan mata sepetnya hanya dengan menggunakan pencil. Potret diri gadis itu hanya imbasan ilham sebelum aku memasuki ITM. Mungkin kerana aku meminati ciri gadis yang sebegitu.

Segalanya telah berakhir. Kegagalan menyambung pelajaran ke semester berikutnya membenihkan kekecewaan dalam diri. Sehingga kini, jika terkenang zaman itu pasti terasa juga luka kekecewaannya. Bagaimanapun hidup di desa perlu diteruskan. Aku mula bergaul dengan pemuda kampung. Aktiviti berkumpul di rumah bujang  sambil menonton tv dan bermain gitar sedikit sebanyak mengikis kenangan menuntut ilmu di ITM dulu. Aku mula mengenali wajah-wajah anak desa itu yang juga mempunyai pertalian saudara sebelah ayahku.

Kadangkala ada juga tawaran kerja-kerja kontrak seperti memikul tebu, mengumpul getah buku atau skrap untuk dinaikkan ke atas lori. Memasang pancang kelapa sawit untuk menanda tanaman sawit di ladang. Meracun anak-anak getah di estet kepunyaan Sime Darby. Berpanas dan berhujan tidak terkira lagi. Semuanya terpaksa kulakukan demi mencari rezeki membantu keluarga. Masih kuat di ingatan satu pagi aku diajak oleh saudara ayahku berkerja mengikut lori getah. Tugasku mengaut getah buku di pusat pengumpulan dan dinaikkan ke atas lori.  

Dari satu tempat ke satu tempat sekitar daerah Jelebu dan Jempol. Dari kampung ke kampung yang lain, dari pagi hingga ke petang. Busuknya bau getah sekerap tak dapat digambarkan. Apalagi yang sudah berlendir bercampur air. Baunya meloyakan melekat di baju dan anggota tubuh. Kami mengumpul getah buku dari satu lokasi ke lokasi yang lain sambil aku berdiri di belakang lori. Panas terik menjadi teman. Terfikir olehku saat itu betapa aku dulu seorang terpelajar. 

Kini di belakang lori getah buku yang berbau busuk. Sedih. Bila habis kerja, kami diberi wang upah dan disuruh menaiki bas untuk pulang ke kampung. Dengan baju berbau busuk getah buku, kami menunggu bas. Bila bas tiba, aku tak sanggup duduk di dalam. Hanya berdiri di tangga bas. Malu kerana keadaanku yang kusut dan berbau busuk. Itulah harga diri yang terpaksa ditanggung sebagai anak kampung.

Pernah juga berkerja menggalas tebu yang diikat sebanyak 10 batang sepanjang 10 meter. Beratnya berbanding tubuhku yang kurus. Namun kugagahkan juga. Berkerja sehingga lewat senja. Bila keadaan sudah agak kelam, aku tersepak tunggul kayu dan sakitnya tak tergambar oleh perasaan. Selepas itu aku demam. Keluar urat merah menjalar dari buku lali ke pangkal paha. Tunggul kayu itu terkena tepat pada buku lali dan terkena kelenjar. Aku tak boleh berjalan hampir seminggu.

Jika tak ada tawaran mengambil upah aku hanya duduk di rumah dan mengemas apa yang perlu. Mendengar lagu di radio dan bermain gitar. Membasuh pinggan mangkuk, membasuh kain baju dan memasak menggunakan kayu api. Peritnya hidup di kampung. Namun itu terpaksa dilalui dengan tabah. Aku sudah tidak tahu ke mana arah hidup pada masa akan datang. Usia ketika itu mencecah 18 tahun dan aku sudah tidak belajar apalagi berkerja. Hidup tanpa pegangan aku hanya menurut takdir.


Bila petang, aku dan rakan sebaya pemuda sekampung bermain bola sepak di padang sekolah sehingga senja. Pulang bermain kami  beramai-ramai mandi manda di sungai sambil bercerita dan berbual kosong. Begitulah kehidupan yang kulalui dari hari ke hari pertengahan 1984 sehingga Disember tahun itu. Kebosanan mula menjalar dalam diri. Aku seorang terpelajar tetapi aku terperangkap di dalam dunia yang bukan seperti yang kuharapkan. Rindu untuk melukis semakin menghakis.

03 April 2018

Sketsa Merisik Yang Tidak Kesampaian.

          April datang lagi.  34 tahun dulu ia membawa kenangan yang sukar dilepaskan. Semakin menjarak usia meniti hari, semakin terhakis jua kenangan. Sedikit demi sedikit ia hilang bersama mereka yang tidak mahu aku ingatkan lagi. Walaupun, adakalanya hati menafikan kewujudan mereka tetapi ia tetap segar dalam usia bergelar remaja. Keseronokan melalui zaman itu pasti tidak mudah luput begitu saja. Apatah lagi wajah seorang gadis bermata sepet yang kupuja dalam diam itu.

Tahun itu, tahun penuh keseronokan. Aku menikmati alam remaja dan kerja harian sebagai pelajar seni. Bidang lukisan yang sangat diminati. Aku menulis sajak dan bernyanyi. Aku dapat rasakan aku telah menyempurnakan segala assignment dengan hasil kerja terbaik. Rakan sekuliahan memuji hasil karyaku. Perubahan warna membezakan gelap dan terang kehidupan. Stroke lukisan yang tajam halus mengasyikkan. Aku berjaya beradaptasi dengan seni yang kupelajari walaupun masih di peringkat asas.

Teringat di satu pagi ketika sedang seronok melukis warung mamakteria, rakan memuji dan lukisanku itu diabadikan melalui lensa kameranya. Foto lukisanku itu aku simpan dan menjadi tatapan kala sendirian. Memang benar dengan sedikit teguran pensyarah dan pujian kerana perbezaan mainan pigmen menghasilkan sebuah karya yang hidup. Begitu kehendak pensyarah muda itu. Pelajar perlu focus supaya dapat membezakan mainan warna untuk membezakan sisi gelap terang sebuah lukisan dan mencari sorotan cahaya yang datang.

Memang aku sangat focus kepada bidang lukisan. Aku bisa menjadi tenang kala melukis. Aku sedar aku punya bakat yang boleh digilap. Aku belajar mengenali dunia seni tampak dan sejarahnya. Aku menghargai seni lukisan kerana jujur pengkaryanya. Aku banyak mengenali segala keperluan peralatan di samping segala teknik dalam dunia seni tampak. Fikirku, inilah akhirnya  perjalanan dan matlamat kerjayaku nanti, menjadi insan seni.

Si gadis mata sepet, aku tidak lagi ternampak dia di mana-mana. Sudah jarang. Kali terakhir tersua sewaktu menghadiri kelas Tamadun Islam. Itupun hanya memandang dari kejauhan. Malu bertentang. Entah mengapa rakan sekuliahan  itu selalu membuat aku terpaku bisu bila berhadapan. Mahu tapi malu.

Aku tidak menafikan menyukai gadis berwajah kecinaan itu.  Sejak pertama kali aku memandang wajahnya ketika di Gombak dulu. Aku pernah tuliskan di blog ini,  mengapa aku menyukai wajah chinese looks itu. Aku cuba merisik tentang gadis itu melalui seorang kawan.  MK namanya. Apa yang aku diberitahu, MK amat mengenali gadis itu kerana mereka datang dari daerah dan sekolah yang sama. Malah ibu bapa mereka saling mengenali dan berkawan.

Aku cuba mengorek latar belakang peribadi gadis mixed chinese itu dari MK. MK memberitahu aku, di sekolahnya dulu di sebuah daerah di Pahang, mereka mengusik dan memanggil nama gadis itu dengan nama "Salmah". MK mengesyorkan aku memanggil nama KGK, "Salmah" jika berjumpa dengannnya. Aku turutkan saja kerana mungkin itu nama panggilan kampungnya.

MK juga memberitahu aku latar keluarga KGK. Katanya, bapa KGK tokey balak. Itulah antara apa yang aku ingat ketika ini.  Sebenarnya banyak yang aku sudah tak ingat tentang KGK. Di bangunan kuliah, aku sangat jarang bertemu KGK kerana kami berlainan kelas. Aku kelas 2 sementara KGK kelas 4 atau 6. Cuma ketika waktu rehat, ramai pelajar akan turun ke kafeteria dan tentunya akan melalui kelas 2.

Satu pagi selepas aku minum ala kadar di kafeteria, aku pun bergerak menuju ke kelas. Setibanya aku betul-betul di penjuru jalan ke kelasku, tiba-tiba KGK terpacul dan kami berdua agak terkejut. Itulah pertama kali aku berhadapan dengannya. Wajah chinese looks itu sudah benar-benar di hadapanku. Kami berbalas senyum. Aku agak gugup kerana tidak tahu apa yang hendak dilakukan. Lantas aku teringat pesan MK.  Aku menegur KGK dan tidak menyangka KGK melayan sapaanku. Ringkas saja bualan kami. Ketika itulah aku cuba bertanya KGK benarkah nama panggilannya Salmah? Aku tidak mengingati apa reaksi KGK ketika itu.

Sebenarnya aku ingin berbual lama dengannya tapi aku tidak tahu apa yang hendak aku kongsikan. Gugup dan segan. Idea aku hilang sedangkan aku sudah berkira-kira menyusun idea jika bertemu KGK. Itulah kali terakhir aku bertemu KGK.  Rindu kepadanya memang tidak dinafikan. Tapi untuk golongan introvert seperti aku, agak susah hendak memulakan perbualan yang lebih lancar. 

Berakhirnya semester aku kembali ke kampung halaman. Menghabiskan cuti sem sementara menanti keputusan untuk ke semester seterusnya. Semester seterusnya merupakan penetapan jabatan atau department mana akan ditempatkan sesuai dengan keputusan nanti. Berdebar-debar rasanya. Manalah tahu, mungkin nanti diletakkan bersama gadis itu. Alahai.

Bersama rakan sekampung kerja harianku hanya memetik gitar. Belajar dari mereka yang lebih berpengalaman sambil melalak siang dan malam.

21 January 2018

Menulis

Sebatang round brush bersaiz lima di jari sedang meratakan warna hijau bercampur beberapa titis air di atas palette lalu membentuk warna sap green yang nipis. Disapu perlahan di atas kertas kasar putih buku sketch water color untuk membentuk dedaunan pohon sena yang berjurai. 

Bila berus lembab itu menyentuh kertas, alam menjadi senyap. Sepi mula menyelimuti diri. Hanya terdengar bunyi geseran daun-daun disapa angin bertiup lembut. Melambai-lambai. Kedengaran suasana mencipta lagu dan puisi. Terlukislah warna-warna alam menuruti jejari sang pelakar. 

Telinga Johan menangkap lagu-lagu alam itu ketika ia sedang riang bernyanyi. Besiulan-siulan dalam ritma yang syahdu. Sebuah persembahan orkestra alam yang menghiburkan. Melagukan dalam melodi yang bertempo perlahan sambil mengiringi catan warna kehijauan. Stroke pigmen hijau yang menyegarkan itu diharmonikan dengan warna biru langit yang nipis lalu menghasilkan tona yang  indah dipandangan. 

Disapu lembut selembut sentuhan jiwa yang tenang. Pigmen langit yang biru nipis atau cobalt blue diserasikan pula dengan payne’s gray  membentuk tompokan awan hitam kelabu. Gambaran awan mendung menyimpan hujan. Rangkuman irama dan motif terlukis dalam nuansa imiginasi Johan. Mata hatinya terus dihujani ilham. 

Tiba-tiba jari Johan terhenti dari terus menompok awan. Stroke  awannya memudar tidak keruan. Tidak menjadi. Hatinya diketuk resah. Perasaan mula menjadi gundah. Lagu merdu yang tadi riang bernyanyi telah hilang sudah. Perhatiannya kepada objek awan kelabu itu mengajak fikiran mengimbas mimpi malam tadi. 

Tenang jiwa kini mendung pula mengganti. Fokus telah berpecah arah lalu berus setengah inci sederhana itu diletak kasar masuk ke bekas berisi air. Pandangan dilemparkan jauh menjangkau. Di balik bukit berjejeran kebiruan di situ hati membentuk kerinduan. Rindunya kepada ibu.


“Apa khabar ibu..?”, bisik hati kecilnya dalam dalam nada perlahan.

03 August 2017

Dapat Hadiah Dari Ayah

Sejak dulu lagi aku terpaut pada beberapa lagu hits The Beatles, bertajuk And I Love Her , I Will dan Till There Was You dan Yesterday .Mungkin seawal 1981.Bukan kerana hati telah terisi dengan kehadiran seseorang yang digelar teman sejiwa .Tapi ia lebih kepada irama gitar di dalam lagu-lagu itu.Sejak dari itu aku berangan-angan  untuk memiliki sebuah gitar.Sebelum aku berangkat ke ITM, aku telah membeli banyak kaset-kaset The Beatles yang kuminat itu.Muzik yang catchy , lirik yang puitis dan romantis dengan lagu yang sentimental itulah, sebenarnya memikat hati untuk turut sama menyanyi.

Cuti semester pertama pertengahan Disember 1983, kulepaskan kerinduan mendengar lagu-lagu The Beatles.Tetapi aku bukan jenis peminat fanatik sampai menampal atau menggantung gambar kumpulan atau penyanyi yang diminati di dinding kamar.Hanya suka-suka mendengarkan.

Sewaktu pulang ke rumah cuti itu, aku dapat tahu kawan-kawan lama sedang kemaruk bermain dan berlatih dengan alat muzik itu.Aku pun , saban hari berulang-alik ke rumah kenalan lama, Anuar namanya hanya kerana ingin turut serta berlatih berjinak-jinak dengan alat muzik itu.

Kami bergilir-gilir memetik gitar dan mempelajari kod asas gitar.Antaranya Am, G, C, D dan F.Irama yang terhasil dari kod-kod itu menambah lagi kegilaan untuk memahirkan jari jemari memetik gitar.

Sejak aku pulang, aku jarang berada di rumah sedari pagi hingga tengahari.Balik ke rumah hanya untuk makan tengahari dan selepas itu berehat sambil mendengar lagu.Begitulah dari hari ke hari.Ayah perasan aku kerap tiada di rumah.Bila dia keluar berkerja  dan pulang jam 10 pagi, pasti ayah tercari-cari di mana aku berada.Ibu pun bercerita bahawa aku ke rumah kawan untuk bermain gitar.

Tidak terduga dan tidak tergamak untuk aku meminta sesuatu yang tidak mampu ayah sediakan.Sikapku sejak dulu memang tidak mengharapkan atau meminta orangtuaku menyediakan atau membeli sesuatu yang kuhajati.Tetapi itulah sikap ayahku.Bagai tidak percaya pada suatu hari, sewaktu pulang untuk makan tengahari, aku ternampak sebuah bungkusan besar di atas tv.Dari bentuknya sudah kutahu, sebuah gitar.Tetapi siapa yang punya? Diceritakan pada entry yang lepas

Zaman alam kanak-kanak, ayah juga membuat suprise dengan membeli mainan pistol Cowboy dan disangkutkan ke dinding yang tidak tercapai oleh tangan.Mainan yang masih berbungkus cantik dalam plastic memang sengaja diletak tinggi supaya aku tidak dapat mencapainya.Tiap-tiap hari aku hanya memandang tetapi tidak berani meminta dari ibu.Sebabnya ibu telah diamanahkan oleh ayahku supaya tidak menurunkan mainan itu.Kata ayah, kalau nak mainan tu, kena belajar sampai pandai.Itulah antara pesan ayah yang masih kuingat.Tiap kali selepas mandi atau pulang dari bermain, pasti aku akan ke bilik ibu dan memerhati pistol yang tergantung di dinding itu dengan penuh minat.


Waktu itu, aku tahu untuk siapa ayah belikan gitar itu. Tidak tergambar betapa gembiranya hati mendapat hadiah dari ayah.Maka bermulalah satu hari yang panjang, melaluinya dengan memetik gitar kapok pemberian ayah.

23 July 2017

Retrospektif

Aku masih ingat berkawan baik dengan  seorang pelajar lelaki dari Brunei Darus Salam sewaktu menuntut dulu.Namanya Awang Abdul Rahman, nama panggilan biasa bagi lelaki dari sebelah sana.Kami satu kumpulan iaitu Kumpulan 2.Dia seorang yang kurang bercakap tapi lembut berbicara dengan slang Brunei. Oleh sebab Awang pendiam dan kurang bercampur dengan rakan-rakan sekumpulan yang lain dia lebih rapat denganku berbanding yang lain.Aku pula suka berkawan dengannya disebabkan sikapku yang tidak gila-gila seperti rakan yang lain.
Kumpulan 2 AD 10


Perkenalanku dengannya banyak membuka pengalaman bergaul dengan rakan dari negara lain.Awang memberitahuku bahawa mereka pelajar-pelajar dari Brunei ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negara tersebut.Memang betul-betul mewah.Apa yang diberitahu olehnya, mereka diberi wang tajaan sebanyak lebih kurang 7000 Brunei Dollar.Tidak hairanlah mereka tidak makan di dewan makan yang disediakan oleh pihak asrama.Mereka menyewa rumah sewa di sekitar seksyen 2.Rumah sewa pula lengkap dengan perabut asas seperti peti tv, peti ais dan dapur.Aku pernah sekali menziarahi Awang dan rakan-rakannya di rumah sewa itu.

Aku masih ingat aku juga meminati  penyanyi Sohaimi Mior Hassan pada tahun 1983 kerana lagu-lagu berbentuk puisinya itu.Kaset dari album Prolog memang kubawa bersama dan tersimpan di almariku.Bila rindu untuk mendengarnya aku meminjam walkman kepunyaan rakan sebilik.Selepas itu aku larut dalam lagu puisi yang romantis itu.

Dalam minggu kuliah sesekali aku menjenguk surat khabar yang jarang dapat dibaca dek kerana kesibukan dengan assignment.Aku terbaca tajuk hiburan bahawa penyanyi yang kuminati itu akan keluar di kaca televisyen dalam rancangan Hiburan Malam Minggu.Wauuu..waktu itu belum pernah SMH menyanyi di kaca tv.Aku teruja yang amat sangat, lantas terus berjumpa Awang dan meminta untuk ke rumahnya pada malam itu hanya semata-mata ingin melihat penyanyiku ke udara.

Malam itu, itulah kali pertama aku melihat penyanyi yang kuminati, Sohaimi Mior Hassan menyanyi di kaca tv.Sungguh nostalgia.Puas rasanya.Walaupun berseorangan di depan tv.

Aku juga berkawan dengan seorang pelajar jurusan Kuantiti Survey, James Daniel Fridolin.Orang Asli suku semai.Entry yang lepas, aku ceritakan sedikit tentang dirinya.James mengajak aku ke Batu 12, Gombak.Mungkin boring duduk di hostel, aku pun mengikutinya.Kami berjalan kaki menyusuri perumahan di Shah Alam.Sambil membawa kamera,James mengabadikan beberapa gambar sekitar perumahan.
Taman Perumahan Seksyen 2 Shah Alam



Aku sempat bergambar di Padang Kelab Selangor dan sekitar Batu 12, Gombak tahun 1983.Buat pertama kalinya aku mengenal Bandar besar Kuala Lumpur dan mengenal kehidupan serta jenis manusia yang menghuninya.

Padang Kelab Selangor (1983) / Dataran Merdeka

09 July 2017

Warkah Yang Tidak Kesampaian

Melalui alam remaja adalah suatu pengalaman yang mengasyikkan, penuh dengan kisah suka dan duka yang tidak ternilai. Ketika bergelar pelajar, setiap pengalaman itu menjadi bermakna. Saat inilah kita mengenali sahabat-sahabat yang akhirnya menjadi teman rapat, berkongsi suka, duka, gurauan, malah rahsia kehidupan. Ada tawa dan tangisan, semua itu menjadikan setiap detik begitu berharga. Sesungguhnya, tempoh remaja itu indah, terutamanya apabila mula menyukai seseorang.

Dalam rangkaian kenangan itu, aku juga tidak terkecuali. Saat-saat yang berlalu memiliki warna-warna tersendiri. Ada suatu ketika di sekolah, aku menyimpan perasaan terhadap seorang gadis bermata sepet. Dia duduk di sebelah kiriku di kelas, pada mulanya dia seorang pendiam dan jarang berbicara. Namun, setelah mengenalinya, dia sering meminta aku mengajarkannya subjek Matematik. Katanya, "aku pandai," dan aku membalas, "Tapi awak cina  lebih pandai Matematik?" Dia sering mengadu, "Bahasa Malaysia susah juga," walaupun aku tahu sebenarnya dia tidaklah begitu lemah dalam subjek tersebut. Dia hanya tersenyum, memperlihatkan lesung pipit di pipinya yang tembam.

Ada satu kenangan yang masih tersemat di ingatanku—aku masih ingat ketika kami bergambar bersama. Dalam gambar itu, aku berdiri di belakang kirinya, dan dia, dengan rambut gaya China doll, berdiri tepat di hadapanku. Walaupun aku hanya menyukainya dalam diam, tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadikannya cinta sejati. Pada waktu sekolah, orang menyebutnya sebagai cinta monyet. 

Ketika aku tenggelam dalam kesibukan tugas sekolah, dia memiliki cara khas untuk menarik perhatianku. Kadang-kadang, dia meniup rambut yang jatuh ke dahinya atau menyelak rambutnya lalu menyelitkannya ke telinga. Setiap kali dia melakukannya, entah mengapa, aku merasa senang melihatnya.

Detik yang paling berkesan adalah ketika dia memintaku melukis potret berdasarkan gambarnya. Dia begitu terpesona dengan lukisan guru kelas yang pernah kubuat, bahkan memujiku pandai melukis. Pada masa itu, sekadar memiliki gambar teman perempuan sudah istimewa. Rasa malu antara lelaki dan perempuan masih kental, hubungan terjaga oleh norma dan adat. Sangat berbeda dengan sekarang, di mana interaksi jauh lebih terbuka.



Ketika melangkah ke institut pengajian tinggi, iaitu ITM pada tahun1983, aku bertemu lagi dengan seorang gadis yang memiliki ciri-ciri serupa. Bermata sepet dan sering menyelitkan rambut ke telinga. Kali ini, namanya adalah KGK. Aku mengenalinya melalui seorang rakan sekolah lamanya, Meng Kee, yang turut menyimpan banyak cerita tentang KGK. Pada suatu pagi, di Kolej Jati Blok C, Meng Kee dengan sengaja mencabarku untuk mendekati KGK. Saat itu, terasa peluang yang telah lama aku nantikan akhirnya tiba.

Meng Kee terus mengusikku, "Cuba panggil dia Salmah, tengok apa reaksinya!" katanya lagi. KGK, anak kepada seorang tokeh balak, menjadi topik perbualan kami. Akhirnya, aku mengarang sepucuk surat ringkas untuk menyampaikan salam perkenalan; tiada bahasa puitis, hanya ungkapan yang sederhana untuk menyatakan minatku.

Keesokan harinya, secara kebetulan aku bertemu KGK dalam perjalanan pulang dari kafeteria. Dia tersenyum, dan aku membalas dan menyapanya dengan ramah. Namun, ketika tiba masa untuk berkata sesuatu, lidahku tiba-tiba kelu. Tanpa dirancang, aku menyebutkan usikan Meng Kee, “Meng Kee kata, panggil awak Salmah.” KGK hanya tersenyum dan menafikannya, membuatkan aku tertanya-tanya sama ada aku telah dipermainkan oleh Meng Kee.

Aku terpaku, tanpa berfikir panjang, aku memilih untuk berundur dan melihat KGK berlalu. Surat itu masih belum sampai ke tangannya, dan itulah pertemuan terakhir kami. Aku sedar ada kemungkinan untuk bertemu lagi, namun sifat pemalu pada waktu itu benar-benar menghalang langkahku.

Barangkali pada semester hadapan, aku akan lebih berani, atau setidak-tidaknya, begitulah harapan yang aku semai dalam hati yang sarat dengan angan-angan dan impian.

29 May 2017

Homesick : Bertemu Kaunselor Yang Cantik

Rinduku semakin parah.Jiwaku semakin resah dan gundah.Tiapkali aku bersendiri pasti kerinduanku datang mengetuk pintu hati.Wajah-wajah mereka yang kutinggalkan di utara tanahair datang silih berganti.Menganggu tidur sedang enak dibuai mimpi.Inilah kerinduan yang tidak boleh aku tahankan.Kadangkala aku mudah mengeluarkan air mata bila rindu datang menyapa.Aku terlalu merindukan mereka.Mereka yang dekat di hati.Mereka yang kutinggalkan jauh.Setiapkali aku ke kuliah langkahan kaki tidak bermaya dan lesu.Jiwa terasa pilu.Senyumku kepada rakan-rakan sekelas kumpulan 2 hambar.

Aku terlalu merindukan keluargaku.Adik-adikku, ibu dan abahku.Itu saja yang bermain di akal fikiran ketika itu.Tidak tahu apa yang perlu kulakukan untuk menghilangkan rasa yang kian menggugah perasaan.Tidak ada bentuk perhubungan selain surat-surat kepada mereka yang pernah kutuliskan.Walaupun telah berkali-kali kulayangkan warkah berita namun tiada satupun yang boleh mengubat jiwa yang derita.

Hendak menelefon jauh sekali, kerana era itu (1983) keluargaku tidak punya telefon.Telegram bukan pilihan yang boleh meredakan rasa.Aku buntu.Kepada siapa harus aku meluahkan rasa ini.Walhal di sekelilingku ramai rakan-rakan yang boleh mengalpakan aku dari mengingati keluarga yang jauh walau sebentar.Hendak berkongsi rasa pada siapa?.Lalu aku bertanya kepada rakan bagaimakah aku dapat meredakan rinduku.


Aku tidak ingat, tetapi seseorang telah mengesyorkan kepadaku agar bertemu Kaunselor untuk berkongsi rasa dan mencari jalan untuk menoktah rindu itu.Aku keseorangan.Aku tidak tahu samada rakan-rakan sekuliahan juga turut merasa apa yang ku rasa ketika itu.Pada suatu pagi sebaik waktu rehat jam 10 pagi, aku melangkahkan kaki mencari Unit Kaunseling di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, ITM.Aku termanggu keseorangan.Tiada rakan menemankan kerana aku tidak mahu mereka tahu bahawa aku sedang mendapatkan khidmat kaunselor.

Bangunannya terletak di sebelah Perpustakaan Tun Abdul Razak tidak jauh dari art building sekolahku.Aku berjumpa dengan kakitangan unit itu dan menyatakan hasratku untuk mendapatkan khidmat kaunselor.Aku disuruh tunggu sebentar.Tidak lama kemudian kakitangan perempuan itu memanggil aku masuk bertemu dengan kaunselor.Setelah pintu kuketuk, aku masuk perlahan dan...

Seorang Kaunselor perempuan yang cantik melemparkan senyumannya yang manis kepadaku.Aku membalas senyumannya dan mengucapkan selamat pagi.Dia mempelawa aku duduk dengan mesra.Suaranya lembut lalu bertanya tentang diriku dan dari sekolah mana.Peringkat berkenalan itu aku ceritakan semuanya.Bila tiba pertanyaan tentang masalah yang ingin aku kongsikan, aku meluahkan rasa kerinduan yang tidak dapat aku bendungkan lagi.Aku menangis..ya aku menangis di hadapannya.Aku khabarkan bahawa aku sangat rindukan keluarga dan meminta untuk pulang seketika.Kaunselor yang tenang dan sentiasa tersenyum itu meminta aku banyak bersabar menghadapi situasi.Kata-katanya terasa bagai titis embun menyiram dedaunan kekeringan di waktu pagi.Inilah ujian ketika menjadi pelajar, ujarnya lembut bersahaja.Segalanya terpaksa dilakukan sendiri.Dia menasihatiku supaya bersabar dalam mengharungi dunia pelajar dan mencari rakan berbual.Aku luahkan segalanya, terasa lapang memenuhi ruang hati yang rindu bila dapat berkongsi rasa dengannya.Kaunselor itu terus senyum melihatku.Setelah hatiku sedikit lega, aku mohon untuk kembali ke kelas.Aku mengucapkan terima kasih atas kata nasihatnya.

Kembali dari sesi kaunseling, aku mendapat jalan untuk melepaskan rindu.Kalendar Ogos, 1983 kubelek dan aku meneliti satu hari cuti yang jatuh pada hari Isnin.Bermakna tidak  ada kuliah pada hari tersebut.Aku tidak sabar menanti minggu itu kerana aku akan pulang seketika untuk menjenguk mereka yang kurindukan.

Pada petang Jumaat sebaik habis kuliah aku mengusung beg menunggu bas di luar Kolej Jati.Bila bas tiba aku pun naik dan ia membawa aku ke Kelang.Setiba di highway, aku panik ! sepatutnya aku ke Bus Stand Klang dan bukan ke Klang.Aku terkhilaf.Di dalam bas aku bertanya kepada pemandunya jika ada bas ke Bus Stand Klang pada lewat petang itu.Pemandu itu memberitahuku memang sentiasa ada.Aku katakan kepadanya, aku telah tersalah menaiki bas.


Setiba di Kelang, aku segera turun dan mencari bas ke Bus Stand Klang.Setelah mendapatkan bas aku duduk dan mengira waktu untuk sampai ke KL.Masih jam 6.30 petang.Bas bergerak dan hatiku pun terasa lapang kerana bas ke utara akan bertolak jam 8.30 atau 9.00 malam.Malam itu aku keseorangan di perut bas dalam fikiran hanya ingin bertemu keluarga di utara.

24 May 2017

Rahsia

Semasa zaman kanak-kanak, aku berbeza daripada rakan-rakan sebaya. Pada waktu petang, suasana di penempatan kem askar BN 19 dan BN 20, Senoi Praaq (Pasukan Polis Hutan), penuh dengan keriuhan suara kanak-kanak bermain di padang yang terletak tidak jauh dari rumahku. Namun, aku hanya menghabiskan waktu menonton televisyen. Semua rancangan televisyen menjadi tontonan wajibku, dari berita semasa hingga rancangan kartun.

Dalam rancangan berita, pasti ada satu berita yang melekat kuat di ingatanku. Ketika itu adalah era puncak perang antara Vietnam Utara dan Selatan. Aku mengikuti perkembangan kisahnya. Manakala rancangan kartun kegemaranku pula sudah tentu Roadrunner dan Sinbad Jr.



Namun, apabila Ramadan tiba, aku pasti akan menantikan drama bersiri Arab mengisahkan nabi-nabi terdahulu. Setiap petang di bulan Ramadan, aku tidak pernah gagal menunggu drama itu. Walaupun aku tidak memahami bahasa yang dituturkan, tetapi jalan ceritanya dapat kufahami kerana terdapat sarikata di bawah skrin. Mungkin minatku terhadap kajian sejarah nabi dan Islam semasa di sekolah membuatkan aku teruja apabila kisah yang kubaca berkaitan dengan jalan cerita di televisyen, dan itulah yang menyebabkan aku terpaku di depan skrin.

Ketika cerita dan kisah nabi menjadi kegemaranku sewaktu berusia 8 atau 9 tahun, minatku terhadap kajian Islam semakin mendalam. Selain itu, rakan-rakan Melayu yang rapat denganku sering bercerita tentang Islam. Aku juga mengambil subjek Pengetahuan Agama Islam dan bacaan jawi dari darjah satu hingga darjah lima. Oleh itu, minatku semakin bertambah kerana apa yang aku pelajari selari dengan apa yang aku tonton di televisyen. Setiap tahun, aku tidak pernah lupa menonton kisah para nabi di televisyen setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Dalam darjah tiga (tahun 1974), aku sudah pandai membaca jawi dan mengaji sedikit-sedikit serta mengenali huruf-huruf Arab. Aku masih ingat Ustaz Hassan Basri, seorang yang selalu memberi peluang kepadaku untuk belajar tentang agama Islam. Rakan-rakan sekelasku juga sangat baik dan sentiasa membantuku memahami subjek itu. Suatu hari, Ustaz Hassan memimpin kami dalam praktikal amali solat di Masjid Iskandari yang berdekatan dengan sekolah rendahku. Namun, aku tidak dibenarkan menyertainya kerana menurut ustaz, aku bukan seorang Muslim. Rakan-rakanku tidak berpuas hati dan memujuk Ustaz Hassan agar membenarkanku turut serta dalam amali solat. Akhirnya, atas desakan rakan-rakanku, ustaz bersetuju dan memberikan izin.

Di masjid, aku berwuduk dan bersolat. Aku mengamati satu persatu apa yang dilakukan oleh rakanku ketika berwuduk, lalu aku mengikutinya. Melafazkan niat dan berwuduk. Ketika solat juga demikian. Kami berbaris bersama-sama dan melakukan amali solat. Ketika tiba waktu sujud, rakanku yang nakal tiba-tiba terkentut dan terus ketawa. Aku yang hanya mengikuti perlakuannya tidak dapat menahan lucu, lalu ikut tertawa juga.

Apabila bersendirian, aku sering merenung tentang apa yang telah aku lalui pada hari tersebut. Hidayah Allah hadir juga, aku kerap mengalami dan bermimpi sesuatu yang meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa kanak-kanakku ketika itu. Sejak itu, aku tidak lagi berpaling. Fikiranku hanya tertumpu kepada Islam sahaja di hati. Aku bertekad untuk menjadi seperti rakan-rakanku yang beragama Islam. Mereka bukanlah rakan yang baik, kenakalannya tetap sama, tetapi bagiku ajaran Islam jauh lebih sempurna. Soal rakan, mereka bukanlah teladan bagiku. Aku hanya suka berkawan.

Aku merasa bertuah kerana Ustaz Hassan Basri merupakan seorang yang lembut dalam mendidik kami. Aku banyak memperoleh ilmu agama peringkat awal di sekolah daripadanya.

Barangkali ketika itu (belajar di ITM-1983) selama empat tahun mendatang sepanjang 8 semester yang bakal aku lalui merupakan waktu untuk aku merealisasikan keazaman dan niat untuk memeluk Islam. Siapa tahu? Aku sudah remaja. Aku bebas melakukan apa sahaja yang aku suka. Sewaktu menunggu keputusan SPM 1982 diumumkan, pernah juga aku suarakan kepada Bah (abah). Suatu hari nanti, aku akan memeluk Islam. Abah marah. Katanya, aku perlu habiskan belajar dahulu. Selepas itu, terpulanglah. Orang tua itu, dalam marah-marahnya dia tetap redha jika aku memeluk Islam.

Dan mungkin juga, apa yang NZ sampaikan dan aku akan merealisasikan hasrat hati, sambil berusaha mengajak GK arah yang sama. Gadis sentiasa ada dalam fikiranku. Mungkin juga sepanjang tempoh pengajian ini, aku akan cuba mencari rahsia tentang dirinya terlebih dahulu. Aku telah menjadi seorang pemuja dalam diam (Secret admirer). Ciri-ciri idaman memang sudah ada padanya. Cuma aku tidak pasti sama ada hatinya telah dimiliki.

Pada pertemuan pertama kali di Gombak, aku sudah jatuh hati kepadanya. Rambut panjang melepasi bahu yang sering diselitkan ke cuping telinga. Juntaian rambut menutupi dahi bak china doll (itulah yang menarik perhatian). Bermata sepet dan berkulit cerah. Tinggi lampai dan peramah. Semua ciri itu mengingatkanku kepada rakan sekelas berketurunan Tionghua sewaktu tingkatan 5 dahulu. Itulah rahsia pilihanku.

22 May 2017

Latihan Dalam Kumpulan (Minggu Suaikenal) : Rahsia Diri

Aku dan Sariman ditempatkan di Kolej Jati, Blok D, di tingkat lima, yang terletak jauh dari kampus ITM. Jenuh juga menaiki anak tangga setiap kali pulang dari kuliah. Rakan sebilikku, James, seorang pelajar dari Sarawak yang beragama Kristian. Apa yang aku perhatikan, dia kurang bergaul dengan rakan serumah, mungkin kerana majoriti penghuni bilik itu terdiri daripada kaum Melayu dan beragama Islam. 

Aku dan James menghuni bahagian dapur yang terdapat katil dua tingkat. Aku mengambil katil di atas sementara James di bawah. Aku jenis yang tidak kisah dengan siapa aku berkawan. Rakan-rakan lain dalam bilik itu termasuklah Taib, seorang cikgu dan pelajar dari Johor, Zakaria atau Pak Ya dari Pasir Mas, Kelantan, Azmi dari Melaka, serta Shahrul Zaman dari Batu 5 Gombak, yang terkenal sebagai pelakon drama era 1990-an. Juga ada Zakaria atau Zek dari Johor Bahru yang terkenal dengan motor scramblernya, serta Sariman dari Layang-Layang, Johor. Seorang lagi rakan tidak ingat namanya tetapi juga berasal dari Melaka. 

Kehidupan di kolej memang meriah dengan pelbagai karakter dan latar belakang. Meskipun kami berbeza, hubungan kami tetap akrab, dan setiap hari adalah peluang baru untuk berkongsi cerita dan pengalaman.




Aku telah terbiasa bergaul dengan rakan-rakan dari pelbagai kaum, jadi aku boleh masuk dari celah manapun. Namun, sebagai Orang Asli Semenanjung, banyaklah persoalan berkaitan dengan orang asli dilontarkan kepadaku. Mungkin rakan-rakan sebilikku tidak pernah melihat rupa fizikal orang asli, dan ini membuatkan mereka curious.

Setiap kali soalan-soalan itu diajukan, aku dengan sabar menjelaskan tentang budaya, adat, dan cara hidup kami. Ada kalanya, soalan-soalan itu mengundang gelak tawa, tetapi ada juga yang membuatkan aku berfikir tentang identiti dan cara orang melihat kami. Dalam perbincangan itu, aku melihat betapa pentingnya untuk saling memahami dan menghargai perbezaan, walaupun kami berasal dari latar belakang yang berbeza.

Melalui pergaulan ini, aku tidak hanya berkongsi tentang diriku, tetapi juga belajar tentang budaya dan pengalaman mereka. Ini adalah satu perjalanan yang indah, mengukuhkan ikatan persahabatan yang tidak terhad kepada bangsa dan agama.

Di sekolah pengajianku, aku dan beberapa rakan yang sealiran disatukan dalam satu kumpulan LDK. Seingatku, hanya tiga orang sahaja yang sekelas denganku, iaitu dalam kumpulan 2. Rakan-rakan lain terdiri daripada pelajar dari kelas berlainan. Antara mereka yang masih aku ingat adalah Abdul Halim dari Kedah, Ibrahim dari Melaka, dan NZ, seorang pelajar perempuan dari Pasir Mas, Kelantan.

Kumpulan ini membawa pelbagai warna dan latar belakang, menjadikan setiap sesi LDK penuh dengan perbincangan dan perkongsian yang menarik. Kami sering bertukar pandangan dan pengalaman, saling belajar dari satu sama lain. Rasa kekeluargaan semakin kuat dalam kumpulan ini, dan kadang-kadang kami berkumpul selepas sesi untuk berbual dan berseronok bersama.

Pengalaman dalam kumpulan LDK ini bukan sahaja membentuk hubungan persahabatan, tetapi juga memberikan ruang untuk kami mengembangkan kemahiran sosial dan kepimpinan. Momen-momen ini akan kekal dalam ingatan sebagai satu perjalanan berharga dalam menempuh liku-liku pendidikan.

Dalam kumpulan LDK, seperti biasa, kami memperkenalkan diri masing-masing. Apabila giliran aku tiba, dan aku memperkenalkan diriku sebagai Orang Asli Semenanjung, ada antara rakan-rakan yang terkejut dan tidak menyangka. Pada pandangan mereka, aku kelihatan seperti kaum Melayu. Bagiku, itu bukanlah sesuatu yang luar biasa, kerana dari segi fizikal, tiada banyak beza antara kami.

Namun, antara rakan-rakan, ada seorang yang benar-benar ingin mengetahui tentang diriku, iaitu NZ, pelajar dari pantai timur. Dia seorang pelajar yang bertudung labuh dan kadangkala berjubah. Rasa ingin tahunya membuatkan dia bertanya pelbagai soalan tentang budaya dan cara hidupku sebagai Orang Asli. 

Percakapan kami menjadi lebih mendalam, membentuk jalinan persahabatan yang lebih erat. Dia menunjukkan minat yang tulus, dan aku berasa dihargai kerana dapat berkongsi tentang identiti dan pengalaman hidupku. Momen-momen seperti ini membuatkan aku sedar betapa pentingnya untuk saling memahami antara satu sama lain, walaupun datang dari latar belakang yang berbeza.

Setiap kali ada waktu terluang, NZ selalu mendekatiku untuk bertanyakan itu dan ini. Banyak juga yang aku ceritakan tentang diriku kepadanya, termasuklah persoalan pegangan hidupku. Dia memang seorang pendengar yang baik dan sangat terbuka. 

Pernah juga NZ bertanya tentang agama yang aku anuti. Pada ketika itu, aku menjawab bahawa aku berfahaman free thinker, sambil menerangkan bahawa masyarakat Orang Asli lebih percaya kepada semangat, dan kebanyakan mereka tergolong dalam golongan atheis atau animisma. 

Dia mendengar dengan penuh perhatian, dan aku menghargai kesungguhannya untuk memahami latar belakangku. Perbualan kami tidak hanya menjelajah tentang kepercayaan dan agama, tetapi juga mencakupi banyak aspek lain tentang kehidupan kami sebagai Orang Asli. Aku rasa ini adalah satu peluang yang baik untuk merapatkan jurang antara kami dan memberi gambaran yang lebih jelas tentang budaya dan cara hidupku. 

Percakapan kami seringkali berlanjutan hingga ke waktu petang, dan setiap sesi itu memberikan aku peluang untuk mengenali NZ dengan lebih dekat. Dia benar-benar menghargai keunikan yang ada pada diriku dan membuka mataku kepada cara pandang yang berbeza.

Bila perbualan kami menjadi lebih peribadi, aku mengambil keberanian untuk berkongsi satu rahsia yang selama ini tersimpan rapi. Aku terangkan kepadanya bahawa aku telah berniat sejak kecil untuk memeluk agama Islam. Itu adalah satu keinginan yang dalam, dan hanya beberapa orang terdekat yang tahu tentangnya.

NZ mendengar dengan penuh perhatian, dan aku dapat melihat kilauan minat di matanya. Aku menjelaskan tentang perjalanan hidayahku, bagaimana ketertarikan terhadap pendidikan Islam bermula sejak usia tujuh atau lapan tahun. Dia terkejut, namun tidak ada tanda-tanda penolakan. Sebaliknya, dia menunjukkan rasa ingin tahu yang mendalam tentang apa yang mendorongku untuk membuat keputusan itu.

Perbualan kami bertukar menjadi lebih bermakna. Aku merasa lebih lega dapat berkongsi cerita ini dengannya. Dalam situasi ini, aku merasakan jalinan persahabatan kami semakin erat, dan NZ menjadi seorang teman yang memahami, menghargai, dan menyokong impianku untuk memeluk agama Islam.

Pada ketika itu, hanya NZ sahaja yang tahu tentang pandanganku terhadap Islam. Dia telah menjadi satu-satunya tempat untuk aku meluahkan isi hati dan harapan yang terpendam. Semangat dan sokongan yang diberikan NZ sangat bermakna bagiku, seolah-olah dia menjadi pendorong dalam mengejar cita-cita yang telah aku impikan sejak zaman kanak-kanak.

Kadangkala, aku merasa segan dengan NZ. Rasa segan itu muncul kerana dia beriya-iya untuk mengetahui tentang diriku dan pandanganku tentang Islam, berbanding dengan rakanku yang lain yang lebih santai dan tidak terlalu mengambil peduli. Namun, di sebalik rasa segan itu, aku juga merasakan bahawa perhatiannya itu adalah satu tanda penghargaan yang tulus. 

Dia tidak hanya ingin tahu tentang identitiku, tetapi juga tentang impianku. Perbualan-perbualan kami bukan sahaja mempereratkan hubungan kami tetapi juga membantuku untuk lebih mengenali diriku sendiri. Setiap kali aku bercakap dengan NZ, aku merasa seolah-olah aku lebih mendekati impian dan matlamatku untuk memeluk agama Islam.

Sewaktu sesi LDK, kami diminta untuk menamakan objek sebagai perlambangan diri atau mewakili diri. Objek tersebut hendaklah dilukis di papan hitam dan kami diminta untuk menerangkan kisah di sebalik objek itu yang berkaitan dengan kehidupan masing-masing.

Aku memilih sehelai daun berwarna hijau, melukiskan urat-uratnya yang lurus, bercampur aduk, dan bersimpang siur. Dalam lukisan itu, aku juga melukiskan lubang-lubang kecil dan besar di atas daunku. Setiap inci lukisan itu mewakili perjalanan hidupku yang penuh dengan pelbagai liku dan pengalaman.

Daun hijau itu simbolik bagi kehidupanku yang sentiasa berusaha untuk tumbuh dan berkembang, meskipun terdapat cabaran dan kesukaran yang mungkin mengganggu perjalanan tersebut. Urat-urat yang bercampur aduk melambangkan pelbagai pengalaman yang telah aku lalui—baik manis maupun pahit—yang membentuk siapa aku hari ini. Lubang-lubang kecil dan besar itu pula menggambarkan kesilapan dan dugaan yang aku hadapi, namun tetap memberi ruang untuk aku belajar dan memperbaiki diri.

Ketika aku menjelaskan maksud lukisanku, aku merasakan ada sekelumit kelegaan. Ini adalah cara untuk aku menceritakan kisah hidupku kepada rakan-rakan, dan seolah-olah memberi mereka peluang untuk lebih memahami diriku. Sesi itu bukan hanya tentang lukisan, tetapi juga tentang saling berkongsi dan mendalami kehidupan masing-masing.




Aku diminta menerangkan maksud lukisan daun itu. Dengan penuh semangat, aku menggambarkan diriku seperti sehelai daun yang hijau, melambangkan masa muda remajaku. Urat yang lurus mewakili garis kehidupan yang aku inginkan—sebuah kehidupan yang lurus, tulus, dan memiliki arah tujuan yang benar. Itulah kehidupan yang aku cari selama ini.

Namun, di sebalik keindahan daun hijau itu, urat-urat yang bersimpang siur mencerminkan jaluran kehidupanku yang kadang-kadang tidak mempunyai pegangan dan sentiasa berubah-ubah mengikut masa. Ia menggambarkan perjalanan yang penuh ketidakpastian, di mana setiap keputusan dan pengalaman membentuk diriku tetapi tidak selalu menjamin kejelasan arah.

Sementara itu, lubang-lubang yang menembusi daunku menggambarkan jurang-jurang yang pernah aku lalui—jatuh dan merasakan kekecewaan, serta kenangan pahit yang mungkin tidak akan pernah hilang. Salah satu lubang itu juga mewakili memori hitam tentang sahabatku yang kehilangan ayahnya. Kesedihan itu tetap ada, menjadi pengingat betapa rapuhnya kehidupan ini dan betapa pentingnya menghargai setiap detik yang ada.

Dalam setiap lapisan lukisan itu, ada cerita yang ingin aku sampaikan—cerita tentang harapan, cabaran, dan kenangan yang membentuk diriku sebagai seorang remaja yang sedang mencari jati diri. Momen itu bukan hanya tentang lukisan, tetapi tentang memperkenalkan diri kepada rakan-rakan dan membuka ruang untuk perbincangan yang lebih dalam mengenai kehidupan kami.

Aku yakin ketika itu NZ memahami perasaanku mengenai pencarian kehidupan yang benar. Sejak perbualan itu, NZ juga berkongsi tentang kehidupannya sebelum memasuki pengajian seni lukis, tetapi itu adalah rahsia peribadi yang tidak aku ketahui sepenuhnya.

Dalam sesi LDK itu, pelajar lelaki diuji dengan menyerahkan dompet masing-masing, dan dompet tersebut dikumpulkan. Fasilitator meminta pelajar perempuan memilih satu daripadanya dan melihat apa isi yang ada di dalam dompet itu. Tak sangka, NZ mengambil dompetku! Saat itu, aku berdebar. Namun, apalah sangat yang ada di dalam dompetku—hanya kad pengenalan dan duit yang tidak sampai RM30.00. Lebih banyak yang tersimpan adalah nama dan alamat rakan-rakanku.

Kejadian itu mencetuskan gelak tawa dalam bilik LDK. Kami semua berasa gembira dan santai. Permainan ini bukan sekadar menguji kami, tetapi juga mengeratkan lagi hubungan di antara kami. Dengan setiap perbualan dan gelak tawa, kami semakin dekat, merasai ikatan persahabatan yang kuat meskipun dari latar belakang yang berbeza. Momen-momen ini menjadi asas untuk saling memahami dan menghargai perjalanan hidup masing-masing, termasuklah pencarian hidayahku yang belum selesai.

Hal itu mungkin ada benarnya, kerana setelah masuk minggu kuliah, aku semakin rapat dengan Abdul Halim. Setiap kali kami melukis bersama, suasana itu menjadikan kami lebih akrab. Kebersamaan itu juga diteruskan ke waktu makan tengahari; pasti aku akan mencari Halim dan mengajaknya makan di dewan makan Kolej Seroja.

Di situlah kami sering bertukar cerita dan berkongsi pengalaman. Halim seorang yang lucu dan mempunyai pandangan yang unik tentang dunia. Perbualan kami tidak pernah kering dengan gurauan dan idea-idea yang segar, menambah kehangatan persahabatan kami. Makan tengahari bersama Halim bukan sekadar tentang makanan, tetapi lebih kepada saat-saat berharga yang kami lalui. 

Kami berdua saling menyokong dalam pelajaran, terutama ketika menghadapi cabaran dalam seni lukis. Ketika Halim menghadapi kesukaran untuk menyiapkan lukisan, aku ada di sampingnya memberi dorongan. Begitu juga sebaliknya, kami saling melengkapi. Halim bukan sekadar rakan pelukis; dia juga menjadi tempat aku berkongsi kisah dan perasaan, terutama ketika teringatkan perjalanan pencarian hidayah yang masih berlarutan dalam hidupku.

NZ pula bagiku seorang pelajar yang taat pada amalan keagamaan. Cara pakaiannya memang amat asing pada pandanganku ketika itu kerana aku tidak pernah melihat gadis Muslim yang berpakaian sebegitu. Jadi, hubungan kami agak terbatas. Namun, pada suatu hari, aku tidak menyangka NZ datang menyapa dan melihat aku dan Halim melukis. 

Secara tiba-tiba, NZ meminta Halim beralih tempat kerana ingin duduk di sisiku dan melihat aku melukis. Katanya, cara aku melukis cantik dan NZ berhasrat ingin mempelajarinya. Dia sebelum itu bersekolah aliran sains, jadi mungkin seni lukis bukanlah bidang utamanya. Aku tidak kisah, tetapi terasa janggal apabila ada gadis di sebelah melihat aku melukis. 

Kami mula bersembang tentang teknik melukis dan inspirasi di sebalik karya. NZ menunjukkan minatnya yang mendalam dan bertanya pelbagai soalan. Di saat itu, aku merasakan ada satu jalinan baru dalam persahabatan kami. Dengan NZ di sampingku, aku berusaha memberikan yang terbaik dalam setiap lukisan, berasa terinspirasi oleh perhatian dan minatnya. 

Pertemuan itu mengubah dinamik dalam hubungan kami. Walaupun ada batasan disebabkan perbezaan latar belakang dan kepercayaan, NZ membuatku merasa selesa untuk berkongsi bakat dan minatku dalam seni. Setiap kali kami berlatih bersama, terasa seperti ada satu ikatan yang terjalin, memberikan semangat baru dalam pencarian hidayah dan identitiku.

NZ dan Halim rupa-rupanya sekelas, tetapi aku tidak ingat mereka berdua kelas apa. NZ juga menceritakan di kelasnya ada seorang pelajar perempuan Orang Asli yang namanya seakan nama Cina. Aku pasti pelajar yang dimaksudkan itu adalah GK. Kata NZ, dia hairan kerana GK berketurunan Orang Asli tetapi bernama Cina. 

Semasa sesi LDK dulu, NZ pernah mengusikku tentang GK, katanya, "Cubalah ajak GK ke arah Islam. GK tu boleh tahan juga orangnya," lanjutnya lagi. 

Mendengar kata-kata NZ, aku terdiam. Mmm... bagaimana aku harus memulakannya, sedangkan aku sendiri masih belum punya apa-apa? Rahsia itu akan tersemat kemas di sanubari. Aku hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata NZ, tetapi jauh di dalam hati, rasa cemas dan bimbang melanda. 

Kekaguman terhadap GK yang manis dan lembut itu memang ada, tetapi merasakan diri ini belum bersedia untuk menjalin hubungan yang lebih serius. Aku bimbang jika terlampau cepat, akan menimbulkan pelbagai masalah. Namun, pandangan NZ membuatku terfikir—apakah mungkin suatu hari nanti aku bisa berjumpa dengan GK dan berkongsi pemikiran yang lebih mendalam tentang kehidupan dan pencarian hidayahku? 

Walaupun keraguan masih membelenggu, namun hati ini tetap berdegup kencang setiap kali memikirkan GK. Dalam perjalanan ini, aku sedar bahawa setiap pertemuan dan perbualan yang berlaku dapat menjadi satu langkah ke arah perjalanan yang lebih baik.

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...