24 May 2017

Rahsia (Secret Admirer-1983)

Ketika melalui zaman kanak-kanak, aku tidak seperti kawan-kawan sebaya.Apabila petang suasana di penempatan kem askar BN 19 dan BN 20, Senoi Praaq (Pasukan Polis Hutan) riuh rendah dengan suara kanak-kanak bermain di padang permainan yang terletak tidak jauh dari rumahku.Aku hanya menonton rancangan televisyen.Semua rancangan tv menjadi tontonanku.Dari berita semasa sehingga ke rancangan kartun.

Kalau rancangan berita pasti satu berita antara berita-berita yang disebut melekat kuat di ingatan.Waktu itu era kemuncak perang Vietnam utara dan selatan.Aku mengikuti kisahnya.Rancangan kartun kegemaran pula tentulah Roadrunner dan Sinbad Jr.



Tetapi apabila Ramadan menjelma, aku pasti akan tertunggu-tunggu drama bersiri arab.Kisah nabi-nabi terdahulu.Pada setiap petang bulan Ramadan aku pasti akan menanti drama itu.Walaupun tak memahami apa yang dituturkan, tapi jalan ceritanya kufaham kerana ada sarikata di bawah skrin.Mungkin aku minat mengkaji sejarah nabi dan islam di sekolah dan apabila kisah yang kubaca ada kaitan dengan jalan cerita di tv, itu yang membuatkan aku lekat di depan tv.

Apabila cerita dan kisah nabi menjadi kesukaan ketika aku berusia 8 atau 9 tahun, aku semakin berminat mengkaji islam.Tambahan pula kawan-kawan  dari kaum melayu  memang rapat denganku dan mereka selalu bercerita tentang islam.Aku pula mengambil subjek Pengetahuan Agama Islam dan bacaan jawi sejak darjah satu hingga ke darjah 5.Jadi minatku bertambah kerana apa yang aku belajar selari dengan apa yang aku tonton di tv. Tahun ke tahun, memang aku tak pernah lupa menonton kisah para nabi di tv setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Sewaktu darjah 3 (tahun 1974) aku telah pandai membaca jawi dan mengaji sikit-sikit.Kenal huruf-huruf arab.Aku masih ingat ustaz Hassan Basri adalah orang yang selalu memberi peluang kepadaku untuk belajar tentang agama islam.Rakan-rakan sekelas pula memang amat baik dan sentiasa memimpin aku dalam memahami subjek itu. Pada suatu hari Ustaz Hassan akan memimpin kami praktikal amali solat di masjid Iskandariah berdekatan dengan sekolah rendahku.Aku tidak dibenarkan kerana kata ustaz aku bukan islam.Rakan-rakanku tak puas hati dan memujuk ustaz Hassan supaya membenarkan aku turut sama amali solat.Atas desakan rakan-rakanku, akhirnya ustaz setuju dan membenarkan.

Di masjid aku belajar berwudhuk dan bersolat.Aku perhatikan satu persatu apa yang rakanku lakukan ketika berwudhuk dan aku hanya turut saja.Melafazkan niat dan berwudhuk.Ketika solat juga begitu.Kami berbaris beramai-ramai dan melakukan amali solat.Bila tiba waktu sujud, rakanku yang nakal tiba-tiba terkentut langsung ketawa.Aku yang ikut saja perlakuan tersebut tidak dapat menahan lucu lantas ikut sama ketawa.

Bila bersendirian, aku banyak memikirkan tentang apa yang telah aku lalui pada hari itu.Hidayah Allah datang juga, aku kerap mengalami dan bermimpi sesuatu yang terkesan dalam jiwa kanak-kanak ketika itu. Sejak itu aku tidak berpaling lagi.Fikiranku hanya islam sahaja di hati.Aku bertekad akan menjadi seperti rakan-rakanku yang islam.Mereka bukanlah rakan yang baik.Kenakalannya sama saja tetapi bagiku ajaran islam lebih sempurna.Soal rakan, mereka bukanlah contoh bagiku.Aku hanya suka berkawan.

Aku bertuah kerana ustaz Hassan Basri seorang yang lembut dalam mendidik kami.Aku banyak belajar ilmu agama peringkat awal di sekolah darinya.

Mungkin ketika itu (belajar di ITM-1983) selama empat tahun mendatang selama 8 semester yang bakal aku lalui adalah masanya untuk aku kotakan keazaman dan niat untuk memeluk islam.Siapa tahu?.Aku telah remaja.Aku telah bebas melakukan apa yang aku suka. Sewaktu menanti keputusan SPM 1982 keluar dulu, pernah juga aku suarakan kepada Bah (abah).Suatu hari nanti, aku akan masuk islam.Abah marah.Katanya aku perlu habiskan belajar dulu.Selepas itu terpulanglah.Orang tua itu, dalam marah-marah dia redha juga andaikata aku islam.

Dan mungkin juga, apa yang NZ beritahu kepadaku jika aku telah mengotakan hasrat hati, cuba juga mengajak GK ke arah yang sama.Gadis itu memang selalu kufikirkan.Mungkin juga selama tempoh belajar aku akan cuba dulu mencari rahsia tentang dirinya.Aku telah menjadi pemuja dalam diam (Secret admirer).Ciri-ciri pilihan memang telah ada pada dirinya.Cuma aku tidak tahu adakah hatinya sudah dimiliki.

Ketika pertama kali mengenalinya secara zahir sewaktu perjumpaan di Gombak dulu aku telah jatuh hati padanya.Rambut panjang melepasi bahu selalu diselitkan ke cuping telinganya.Juntaian rambut menutupi dahi bak china doll (itu yang suka dipandang).Bermata sepet dan berkulit cerah.Tinggi lampai dan peramah.Semua ciri itu mengingatkan aku pada  rakan sekelas berketurunan tionghua ketika tingkatan 5 dulu.Itulah rahsia pilihanku.Rahsia seorang secret admirer. 

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...