Minggu orientasi menuju penghujungnya.Hari terakhir itu kami diasingkan
mengikut bidang pengajian yang kami pilih atau terpilih.Aku dan Sariman mengambil
barisan paling kanan.Barisan yang menghimpunkan pelajar-pelajar senilukis dan
senireka.Di situ aku mula mengenali wajah rakan-rakan sekuliahan yang akan
berjuang di bidang yang sama.Oleh kerana masih baru kami tidak banyak berbual
dan rata-rata membisu dan menantikan saja arahan selanjutnya.Paling belakang
pula barisan pelajar perempuan.
Setelah beberapa penerangan ringkas kami dimaklumkan akan dipimpin oleh
senior Art And Design untuk ke bangunan senilukis dan senireka.Yeaayyy..tak
sabar rasanya melihat bangunan senilukis yang gah dan terhimpun di situ
berbagai karya seni pelajar-pelajar terdahulu.Antara mereka telah mencipta nama
besar di bidang senilukis.Aku meminati seni halus dan aku akan mempelajari
banyak perkara tentang subjek yang aku minati itu nanti.
Pagi itu kami pun bergerak perlahan ke arah bangunan yang dimaksudkan.Melalui
bukit yang dikelilingi pohon-pohon dan
suasana pagi yang panas sedikit.Dari jauh aku dapat melihat bangunan seni yang
tersergam di bawah bukit itu.Sepanjang melalui jalan pintas ada antara
rakan-rakan yang sempat bergurau dan mengusik sesama kami.Katanya laluan itu ada
pacatlah.Aku hanya tersenyum melihat tingkah mereka.Semua mereka itu terdiri
dari anak-anak muda Melayu.Sementara aku , Sariman dan GK dari kaum Orang Asli
Semenanjung.
Kami memasuki bangunan itu melalui pintu di kiri bangunan dan melalui
beberapa studio dan jabatan.Sangat teruja melihat karya-karya seni yang sedang
dipamer, sambil mataku mengelak dari memandang senior yang kelihatannya seperti
bengis dan mengecutkan ulu hati itu.Senior yang memimpin menerangkan suasana
yang ada pada ketika itu.Kami diterangkan mengenai beberapa studio dan jabatan
seni.Ada jabatan seni halus, grafik, textile, fesyen, seni industry, seni halus
logam dan seni halus pottery.Pandangan yang mengagumkan pada perkiraanku kerana
segalanya bermain dengan warna-warna dan dipersembahkan dengan karya yang
tersendiri.Sebelum ini aku tidak pernah tahu cabang seni yang pelbagai yang
boleh dipelajari.Bagiku yang daif ini, senilukis hanyalah melukis saja.
Kami dibawa berjalan di sekitar dalam bangunan sambil diterangkan
jabatan seni yang wujud pada masa itu.Seronok melihat setiap studio-studio seni
ada saja karya seni yang indah pada pandangan mata.Ada juga arca logam pelbagai
bentuk dan paling menarik semua hasil karya seni pelajar terdahulu dipamer di
ruangan yang dipanggil foyer.Pelbagai hasil kerja seni ada di situ.Ukiran,
lukisan, pintalan,anyaman dan catan.Tapi kami pelajar baru lebih tertarik
kepada objek biasa yang terdapat di rumah dan pusat membeli belah.Ada seterika,
peti sejuk, rice cooker turut dipamer.Tetapi apabila didekati ternyata ia
adalah hasil kerja tangan yang amat halus yang dihasilkan melalui medium kertas
saja.Semuanya dihasilkan dari bahan-bahan biasa untuk projek industrial
design.Mengagumkan.
Di foyer itu kami asyik memerhati karya seni setiap satu yang
dipamerkan.Aku rasa sungguh bertuah kerana telah memilih bidang yang sesuai
dengan jiwaku.Aku berazam untuk mendalami bidang ini sejauh yang mungkin.Aku telah
berada di dunia yang aku idamkan.Aku berada di institusi yang disanjung tinggi
oleh pada pengkarya kerana di sini lahirnya insan-insan seni yang dipimpin oleh
mereka yang hebat dalam sejarah kesenian tampak Malaysia.
Di akhir aktiviti, pelajar senior memaklumkan bahawa sebagai tradisi art
and design kami akan melalui pula minggu suaikenal di peringkat kajian atau
sekolah.Aku tidak berapa ingat berapa hari, minggu suaikenal yang akan
dijalankan.Kami akan dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan akan dipimpin
oleh sekurang-kurangnya dua orang senior lelaki dan perempuan sebagai fasilitator.Kebanyakan
aktiviti lebih kepada latihan dalam kumpulan.Kami juga diasingkan kepada grup study
atau kelas selepas tamat minggu suaikenal nanti.Aku telah dipilih masuk ke
kumpulan 2 dan kelasku terletak di tingkat bawah bersebelahan grup 1.
Kami juga diminta memberikan persembahan atau sketsa di akhir minggu itu
sebagai hiburan santai dan penutup minggu suaikenal.Begitu juga pelajar
perempuan diminta untuk memberikan satu sketsa.Terpulang bagaimana kami
menyelaraskan dan mengaturkan sketsa yang melibatkan semua pelajar baru.Kecut perut
bila mendengar arahan dari senior yang kadangkala lagak seperti pegawai
tentera.Bermula dari situ hubunganku dan pelajar lain semakin mesra.Kami berbincang
mengenai idea sketsa yang akan dipersembahkan dan melantik seseorang sebagai leader , pengarah sketsa.
Dalam kumpulan latihan dalam kumpulan atau biasa disebut LDK aku bersama dengan pelajar lelaki dari kumpulan lain dan pelajar perempuan juga.LDK
satu wadah yang menyatukan kami dari segi hubungan dan toleransi komunikasi.Kadang-kadang
timbul perasaan malu dan segan kerana ketika itu aku masih berasa rendah diri.Namun
ia juga satu perkara yang baik kerana aku dapat mengenali rakan-rakan
seperjuangan dalam bidang yang ku minati.Mujur GK tidak sekumpulan denganku.Jika
tidak pasti aku tidak akan jemu menatap wajah chinese looks itu.Rakanku,
Sariman aku pun tak ingat lagi.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.