28 April 2017

Minggu Orientasi

 Aku tidak banyak mengingati minggu orientasi.Mungkin kerana tidak ada perkara serious berlaku semasa tempoh itu.Tidak ketara perkara yang kami risaukan sebagai freshies seperti budaya ragging yang selalu didengar berlaku di pusat pengajian tinggi.Memang sekitar tahun 1980’an selalu juga terbaca budaya itu bercambah bebas di pusat pengajian tinggi.Tapi kenyataannya ketika itu, aku dan pelajar  baru tidak pun melalui detik-detik cemas seperti yang dirisaukan.Walaupun terdapat insiden penderaan tetapi ia tidaklah begitu ketara sangat.

          Minggu orientasi memang memenatkan.Aku dan rakan-rakan non muslim ditempatkan di asrama Perindu untuk sementara selama seminggu. Penginapan sementara minggu orientasi. Aku, Sariman, Meng Kee dan James masih lagi sebilik.

Selepas sarapan kami berkumpul di hadapan bangunan Menara, sebuah lapangan luas beralaskan simen.Biasanya itulah tempat berkumpul pelajar-pelajar baru.Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil.Aku terpisah dengan rakan-rakan yang lain.Dengan pakaian batik biru tua bercorak ITM berlengan panjang.Nampak kelakar kerana jenis kain itu agak kasar dan tidak boleh diseterika.

Pelajar-pelajar baru dibawa mengelilingi kampus induk, sambil senior lelaki menunjukkan beberapa lokasi dan menerangkan nama-nama tempat tersebut.Kami berbaris seperti askar pelatih yang baru melaporkan diri.Sekejap berlari dan sekejap berjalan.Apabila berselisih dengan barisan pelajar perempuan kami diminta  tundukkan kepala dan jangan memandang kepada barisan pelajar tersebut.Pada masa yang lain, kami juga diminta bersiul dan menyanyikan lagu cinta bila berselisih dengan mereka.Pelik.

Sebelah malam program berjalan di dalam Dewan Seri Budiman bersebelahan bangunan Menara.Mendengar penerangan dan penjelasan dari seniors apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan di dalam kampus.Selama mengharungi  minggu orientasi tidak ada perkara ragging  yang mencemaskan kami.Hanya deraan yang biasa dan tidak serious.Selepas tamat mendengar penerangan kami kembali ke asrama Perindu dan ketika itulah kami diarahkan memeluk tiang lampu dan mencium tiang tersebut.Diarahkan mendukung rakan dan membawa menaiki bukit.

Cuma ada satu peristiwa yang aku tidak lupa berlaku kepada kami pelajar non muslim.Malam itu program terakhir mendengar ceramah agama di Dewan Seri Budiman.Semua pelajar muslim diwajibkan hadir dan tinggallah kami di bilik.Pelajar seniors mengarahkan kami duduk di dalam bilik dan  tidak memadam lampu.Setelah jam lebih 10.00 malam, tiba-tiba seorang senior mengarahkan kami menutup lampu.Pelik dengan dua arahan yang berbeza, kami tertanya-tanya sesama sendiri.Sariman yang agak bengang bertindak memberitahu supaya kami tidak mematuhi arahan senior itu.Berlakulah jeritan ancaman seniors kepada kami.Antaranya mereka tidak takut dengan ilmu kebatinan kami ( orang asli). “kami pun ada power” katanya.

Bila arahan mereka tidak kami layan seorang senior memberi amaran akan datang ke bilik kami sambil mengira dari sepuluh sampai satu.Senior itu melangkah ke arah dorm kami  dan mengira satu persatu.Namun bila sampai ke pintu dorm.Kami tetap berdegil tidak mahu menutup lampu.Oleh kerana kami masih berdegil dan tidak mahu memadam lampu, akhirnya mereka tidak dapat berbuat apa-apa lagi dan membiarkan saja kami.

Lebih kurang jam 3.00 pagi, malam itu, tiba-tiba satu bunyi isyarat bergema dan aku tidak pasti punca bunyi kuat itu.Di luar asrama senior terjerit-jerit meminta semua pelajar baru keluar dan berkumpul di kawasan lapang terletak tengah-tengah asrama Perindu.Kami diminta berbaris dan berdiri selama 30 minit sebelum kembali ke dorm masing-masing.Bayangkanlah tengah enak melayan mimpi tiba-tiba diarahkan berdiri dalam kedinginan awal pagi.Waktu itu aku sempat merenung langit berkabus dan cahaya bulan samar-samar di balik kabus.Indahnya.Hatiku merasa tenang melihat bulan itu.


Setelah itu, tahulah aku, kami semua didera kerana pelajar senior tidak puas hati dengan sikap kami yang tidak melayan arahan mereka menutup lampu. 

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...