Aku bergegas kembali ke dewan serbaguna. Hari mulai gelap. Suasana sudah sunyi dan tiada lagi kedengaran anak-anak penghuni kuaters bermain-main di luar. Semua sudah kembali ke rumah masing-masing. Sampai di bilik, ku perhatikan kawan-kawanku ada yang terbaring, ada yang mengelamun dan membaca sesuatu di tangan. Nampaknya mereka semua sudah mandi dan bersantai merehatkan diri. Hanya menunggu malam berlalu. Tak tahu apa yang hendak dilakukan pada ketika itu. Tiada televisyen. Tidak ada apa-apa. Bosan. Semuanya bungkam sepi.
Aku menyelongkar beg pakaianku dan mencapai tuala mandi. Beberapa peralatan mandian, aku bawa bersama dan dengan senang hati aku menuju ke bilik air di hujung bangunan. Sambil mengalunkan lagu-lagu dari album pertama Sohaimi Mior Hassan, berjudul Prolog. Penyanyi dan pemuisi yang menjadi pujaan ketika itu. Lagu Epilog Cinta Dari Bromley merupakan lagu yang amat popular dan selalu kedengaran di corong radio sekitar tahun 1983. Tapi, bagiku, semua lagu-lagu dari album itu menjadi nyanyian ku. Kebanyakan lagunya berbentuk puisi dan aku meminati puisi.
Di bilik air, ibarat studio seni bagi remaja sepertiku. Di situlah tempat menunjukkan skill nyanyian. Aku berlolong-lolong bernyanyi. Habis sebuah lagu, dikuti dengan lagu lain. Aku meminati lagu-lagu sentimental dan bertemakan cinta. Tidak mengira siapa penyanyinya. Bila penyanyi seperti Sohaimi Mior Hassan muncul membawa genre sebegitu, aku lantas meminati nyanyiannya. Tidak ada lagu lain yang aku nyanyikan selain lagu penyanyi itu. Sehinggakan aku digelar Sohaimi ketika berada di kem tempat tinggalku dan juga di kalangan kawan-kawan. Iras-iras tu adalah sikit.
Semua lagu dari album Prolog habis aku nyanyikan. Puas. Selesai mandi aku kembali ke bilik dengan menutupi bahagian pinggang ke bawah dengan tuala mandian. Ketika menuju ke bilik, mataku terpandang dua susuk gadis siang tadi sedang duduk-duduk di hujung ruangan rehat dewan. Jarak lebih kurang 30 meter dari bilikku. Mereka memandang kembali ke arahku namun disebabkan kurangnya cahaya kemungkinan mereka tidak pasti siapa aku. Aku mempercepatkan langkah dan terus masuk ke bilik.
Di dalam bilik, aku dapati James sedang menunggu. Tiba-tiba pintu diketuk dan Dahalan meminta kami semua berkumpul di ruangan rehat dewan. Katanya, R hendak mengenali kami semua. Aku meminta dia pergi dulu kerana aku baru saja selesai mandi. Selesai bersiap dan merapi rambut ala Hail Amir, aku mengajak James yang agak malu-malu dari tadi. Kami yang terakhir ke sana. Di situ sudah ada Sariman, Meng Kee, Dahalan dan dua rakan perempuan Juwita dan Sopiah. Ada kerusi rotan beralas span lembut, kerusi yang biasa terdapat tahun itu. Aku mengambil tempat menghadapi mereka. Di hadapanku gadis berambut lurus panjang melepasi bahu dan bermata sepet. Hati kecilku mulai berbisik. Aduhai.
Malam itu kami bersuai kenal. Perkumpulan anak-anak Orang Asli pelbagai suku. Lebih kurang 10 orang. 4 perempuan dan 6 lelaki. Berkenalan dan bercerita perihal diri masing-masing. R pula menjadi jurucakapnya. Bila tiba giliran gadis di hadapanku, aku memandang tepat raut wajah chinese looks itu. Tiba-tiba aku dapat rasakan satu perasaan yang lain. Aku suka melihat rambut berjuntaian yang menutupi dahinya yang ala-ala china doll dan rambut panjang diselitkan di belakang cuping telinganya, matanya yang agak kecil dan sepet seperti gadis tionghua dan bertubuh langsing. Berkulit cerah orangnya serta mengenakan pakaian berwarna terang. Sinar lampu neon menyerlahkan lagi kecantikan semulajadinya. Gadis itu memperkenalkan namanya KGK (bunyi nama cina) berketurunan Jakun mixed chinese berasal dari Pahang. Bila dia memandang ke arahku, aku lekas-lekas mengalih pandangan. Rasanya tak sanggup bertentang mata. Malu. Selepas itu aku tidak lagi dapat focus kepada bualannya. Fikiranku telah melayang jauh. Debar, gementar, suka, resah semua rasa bersatu bila sesekali mencuri pandang.
Pada ketika yang lain, aku menyedari bahawa aku telah jatuh cinta pandang pertama. Aku sememangnya menyukai raut wajah seperti anak cina. Sejak dulu lagi. Kemungkinan pengaruh ayahku yang suka membeli album EP penyanyi wanita berketurunan tionghua ketika zaman kanak-kanak. Album lagu dengan wajah manis penyanyinya menghiasi kulit album. Masih ingat ketika itu, aku hafal lagu-lagu mereka. Membelek-belek kulit album sambil mendengar lagunya.
KGK memeritahu dia juga mengambil jurusan Art Design. Sekali lagi cetusan rasa di dalam bagai ingin menjerit kegembiraan. Namun perasaan itu aku tahankan. Dalam hati, dapatlah nanti selalu berjumpa dengannya.
R pula banyak bercerita dan mesra juga orangnya. Dia telah lama menetap di Batu 12 kerana ayah dan ibunya kakitangan hospital Jabatan Orang Asli Gombak. Kediamannya terletak di dalam kawasan hospital. Satu yang dirisaukannya ialah penyakit “homesick”. Buat pertamakalinya aku mendengar perkataan itu. Rumah sakit? Apa tu..? Rupa-rupanya perkataan yang menggambarkan kerinduan yang amat sangat kepada keluarga yang berjauhan. Mmm..
Malam itu kami berbual panjang, diselang-seli dengan gurauan terutamanya rakanku Sariman. Dia cuba mengusik R. Aku hanya tersenyum memerhatikan gelagatnya. Sementara gadis di depanku lebih banyak mendiamkan diri. Aku pun segan hendak bertanya. Esok kami akan ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan, pesan R pada kami semua. Sehari selepas itu kami akan ke Shah Alam.