11 March 2009

Hidayah


Aku bukanlah manusia yang sempurna, namun aku menginginkan kesempurnaan itu hadir dalam hidupku dan mewarnai setiap langkah yang akan aku tempuh di masa hadapan. Tuhan, aku telah mencari-Mu dan Engkau telah memilihku. Aku telah mencuba memahami pengertian di sebalik nama-Mu yang agung. Sejak kecil, aku sering berharap dapat mengenali-Mu, seperti rakan-rakanku yang sering menyebut nama-Mu saat mereka teringatkan-Mu.

Aku adalah anak kecil itu yang akan merenung langit, baik di malam mahu pun siang, mencari bukti kehadiran-Mu. Di mana Engkau ketika itu? Aku memandang hijau bukit dan biru langit, mencari ayat-ayat-Mu. Ya Tuhan, Engkau lebih tahu bahawa aku adalah anak kecil yang selalu memikirkan tentang agama-Mu, yang ingin merasai nikmat kasih sayang-Mu dan mencintai nama-Mu. Kadang-kadang aku merasa takut untuk menyebut nama-Mu yang agung, namun di dalam hati, degupan jantung ini berani mengucapkannya.

Perjalanan mencari hidayah-Mu pasti telah Engkau takdirkan akan sampai ke noktahnya. Di hujung sana, bahkan sepanjang perjalanan ini, Engkau telah menyiapkan segala-galanya untukku. Aku yang buta, akhirnya telah Engkau lembutkan hati ini untuk tunduk dan patuh kepada-Mu.

Selama ini, yang ku renungkan adalah ayat-ayat-Mu. Engkau adalah Pemilik alam semesta yang maha luas, hingga langit ke tujuh. Engkaulah segala-galanya, Raja di alam ini. Setiap yang tersimpan dalam kenangan ini adalah bukti kasih sayang-Mu, wahai Tuhan. Dan aku ingin menjadi insan yang sempurna lagi kamil, di sisi-Mu.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...