21 November 2025

Aku Kalah

 Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia menghulurkan sebuah buku agama bertajuk Penawar Bagi Hati bersama satu kaset ceramah—tajuknya aku sudah lupa—untuk dipinjamkan. Dengan nada malu-malu, dia bertanya, “Nak baca buku ni tak?”

Aku terpaku. Dia memberi tanpa diminta. Untuk tidak mengecilkan hatinya, aku terima juga, sambil berjanji akan memulangkannya dalam beberapa hari. Katanya buku itu bagus—walhal aku sudah menghabiskannya berkali-kali. Namun untuk tidak menghampakannya, apatah lagi di hadapan rakan sekelas, aku sambut sahaja pelawaannya.

Dari cara dia berbual, aku dapat merasakan seolah-olah ada sesuatu yang ingin diluahkan, tetapi tidak kesampaian kerana ramainya rakan sekelas ketika itu. Aku nampak dia tersenyum apabila aku menerima buku dan kaset itu dengan baik. (Dalam hati aku berkata, “Ada peluang ke ni?”). Aku tahu F ingin mendekatiku, mungkin hanya sebagai rakan sekelas. Lagipun aku ini pendiam, berat mulut—mudah sangat disalah tafsir. Dan ketika itu aku memang tidak mahu dikaitkan dengan sesiapa. Malu masih menebal.

Malam itu di asrama, aku mencabar diri. Aku bertekad: bila memulangkan buku itu nanti, aku akan selitkan sepucuk surat tanda perkenalan. Namun setiap kali ke kelas, perasaanku menjadi tidak keruan bila memandang ke barisan paling belakang. Ada sesuatu yang mengganggu. Aku tidak mampu menghalang ingatan daripada kembali kepada gadis itu. Sedangkan layanannya padaku biasa sahaja. Tetapi rasa suka memang sukar ditafsir. Surat yang kononnya ingin kuselitkan itu akhirnya tidak pernah tertulis—kerana takut, kerana malu.

Dalam masa yang sama, aku dan F turut menyertai usrah anjuran sahabatku, R—kenalan sejak zaman Al-Arqam Kuala Pilah—di Universiti Malaya. Jika ada pertemuan, aku akan memaklumkan kepada F. Kami bertemu di surau Maktab Perguruan Islam Lembah Pantai, sebelum ia dipindahkan ke Bangi. Di situ kami mendengar kuliah, bermuhasabah, bertazkirah. Kadangkala aku dapat berbual dengan F di sela-sela program, tetapi hanya tentang amalan Islam dan perkembangan jemaah. F pula tidak banyak bercakap; mungkin segan kerana kehadiran rakanku.

Sampailah timbul cadangan untuk mengadakan lawatan ke Darul Al-Arqam di Sungai Penchala. Aku tidak ingat siapa punya idea, tetapi aku dipertanggungjawabkan menyelia rombongan itu. Aku maklumkan rakan-rakan lelaki di hostel, manakala dalam kalangan siswi, siapakah lagi yang aku percayai kalau bukan F. Pada mulanya aku ragu-ragu—bimbang dianggap membawa pengaruh Al-Arqam ke dalam institusi pendidikan yayasan, sedangkan ketika itu kumpulan tersebut sudah mula mendapat perhatian kerajaan. Namun semangat rakan-rakan yang ingin melihat sendiri suasana kehidupan jemaah itu membuat aku teruskan juga. Lagipun tujuan kami hanya untuk meninjau, termasuk melihat sendiri kumpulan nasyid Nada Murni (kini Rabbani).

Sehari sebelum lawatan, aku berpesan kepada dua pelajar perempuan yang baru pulang dari kedai bawah flat Kerinchi PKNS bahawa aku ingin bertemu F di koridor asrama lelaki untuk memaklumkan atur cara perjalanan. Setelah lama menunggu, aku nampak F turun. Dia memakai tudung hitam.

Aku cuba menahan diri daripada memandang tepat ke wajahnya, tetapi terasa pula bersalah jika berbincang tanpa memandang langsung. Dia berdiri agak jauh, di atas anak tangga, tapi cukup dekat untuk membuat degup jantungku berubah rentak. Aku menerangkan perancanganku dan berharap F dapat menguruskan pelajar perempuan yang mahu turut serta, sementara aku mengendalikan yang lelaki.

Waktu itu, entah mengapa, aku merasakan kelainan yang begitu kuat dalam perasaan ini. Dari jarak kira-kira lapan meter itu pun, wajahnya kelihatan lain—lebih lembut, lebih manis. Sejak hari itu, aku mula takut. Takut pada diri sendiri, pada janjiku untuk fokus mengejar ilmu. Sedangkan wajah F semakin kerap terbayang.

Memang aku akui, F manis dipandang bila mengenakan tudung hitam. Raut wajahnya kecil, comel; bibir nipis, mata redup, orangnya berkulit cerah. Kadang-kadang dia berkaca mata. Biasa sahaja pada pandangan umum, tetapi pada mataku—entah kenapa—dia membuatkan hati berdebar. Namun apa yang paling menarik ialah minatnya terhadap perbincangan agama, serta kecenderungannya pada jemaah Al-Arqam—sebahagian daripada hidupku suatu ketika dahulu. Akulah tempat dia merujuk dan bertanya itu dan ini tentang Al-Arqam.

Akhirnya aku mengaku kalah. Perasaan suka itu tidak lagi mampu kutepis.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...