Menjelang
pagi aku dan rakanku menuju ke warung milik kakitangan JOA Gombak untuk
bersarapan.Selesai sarapan kami menuju ke Hospital Orang Asli Gombak untuk sesi pemeriksaan kesihatan
sebagai syarat untuk ke ITM nanti.Kami bergilir-gilir diperiksa oleh staff hospital.Aku menanti giliran di
luar klinik luar sambil memerhati sekitar.Di hadapan klinik aku dapat melihat
tapak pendaratan helikopter suatu masa dahulu.Aku tersenyum sendirian bila
mengenangkan di sinilah aku dilahirkan dan di sinilah aku berlari ketakutan
lantas menyorok di dalam kain orang.Akhirnya dapat jugak menjejak kaki ke tanah
kelahiranku.
Tidak
lama kemudian namaku dipanggil untuk pemeriksaan biasa.Aku berdiri di muka
pintu dan masuk ke dalam dengan debar.Di dalam bilik terdapat seorang doktor berbangsa
India.Apabila aku mengambil tempat duduk dia menegur aku.Nadanya sedikit marah
kerana aku tidak menunjukkan adab yang sepatutnya apabila bertandang ke tempat
orang.Aku tidak mengucapkan ucapan selamat pagi.Sesuatu yang aku terlupa
sebenarnya.Dia kemudian menasihati aku supaya belajar menghormati orang apabila
sudah bergelar pelajar nanti.Aku akur kesilapan kerana tidak berbuat seperti dikehendaki.
Sebenarnya
aku seorang yang mudah menghormati orang.Di kalangan rakan dan guru-guru
sekolah mereka memandang aku sebagai pelajar yang tidak bermasalah dan mudah
apabila diminta pertolongan.Aku dilantik sebagai Pengawas, Pustakawan dan Pengerusi
Persatuan Bahasa Malaysia sekolah.Masih teringat peristiwa dilantik Pengerusi
Bahasa Malaysia waktu di sekolah dulu.Selepas waktu rehat
pelajar-pelajar diminta berkumpul di kantin sekolah untuk sesi pemilihan AJK persatuan.Pada
sesi pemilihan pengerusi ada dua nama yang memang popular di kalangan pelajar.Mereka pula terdiri dari
rakanku berbangsa Melayu.Seorang dari kelas aliran sains dan seorang lagi
aliran sastera yang juga ketua kelasku.Tiba-tiba seorang rakan sekelas yang lain
juga mencalonkan namaku.Aku panik.Aku bukanlah menonjol di kalangan rakan
disebabkan sikap pendiamku dan low profile.Aku
cuba memberi alasan supaya tidak terpilih, tapi guru penaung memasukkan juga
namaku.
Semasa
pengundian, nama kami disebut dan para pelajar memilih pelajar yang mereka
sukai.Dua rakanku mendapat bilangan undi yang ramai.Terasa lega hati melihat
angka yang tercatat.Tetapi apabila namaku disebut aku dapat melihat jumlah
mereka yang mengangkat tangan lebih
ramai dan hampir kesemuanya mengangkat tangan termasuk rakan-rakan perempuan.Hendak
atau tidak aku terpaksa menerima hakikat bahawa mereka juga menyukai aku
sebagai calon pengerusi yang baru.
Aku
juga pernah dipilih oleh guru sainsku untuk mempersembahkan kajian sains
mengenai penghasilan sabun dari sodium klorid.Aku meminati sains dan selalu
berbincang dengan penuh minat berkenaan subjek tersebut.Apabila ada pertandingan
dan pertunjukan sains di Sekolah Menengah Baru Lenggong, Perak pada awal tahun 1982,
(sekarang SMK Tan Sri Abd Aziz, Lenggong, Perak), guru sains memilih aku kerana
aku selalu mendapat markah tertinggi dalam subjek itu.Tetapi kemungkinan
pengalaman kami bertanding dari sekolah Hulu Perak amat kurang maka aku tidak
berjaya meraih tempat.Sedikit terubat bila rakan dari aliran sains berjaya
mendapat tempat ketiga dalam persembahan matematik mereka.
Begitulah
keadaan ketika di sekolah.Di tempat tinggalku yang biasa, aku juga bukan remaja
yang membawa masalah kepada keluarga dan jiran-jiran.Mungkin nasibku tidak
berapa baik hari itu aku ditegur oleh doktor berbangsa India itu.Namun bagiku
ia menjadi pengajaran yang amat berguna sehinggalah aku dewasa dan menjawat
jawatan kerajaan.Aku masih ingat peristiwa itu dan ia membawa makna yang baik
dalam pembentukan sikapku.
Selesai
ujian pemeriksaan kesihatan, aku tercari-cari rakan gadis yang lain terutamanya
GK, tapi tidak kelihatan.Kata kawanku mereka telah membuat pemeriksaan lebih
awal.Usai semua aktiviti, kami balik ke dewan dan berkira-kira untuk melakukan
aktiviti apa yang sebaiknya untuk mengisi waktu yang ada.Sariman mencadangkan
kami ke Batu Caves dan mendaki tangga untuk naik ke atas.Aku setuju kerana ia
berdekatan dan mudah dituju.Selesai makan tengahari kami berlima pun ke Batu
Caves.Kami turun di Greenwood dan berjalan kaki ke sana.Sesuatu yang tidak
susah bagi anak remaja pada masa itu.Itulah pengalaman pertamaku menaiki anak
tangga Batu Caves.Sampai di atas kami memasuki lubang gua yang banyak terdapat
di atas sana.Sayangnya kami tidak mengabadikan gambar-gambar sewaktu berada di situ.
Esok
adalah hari terakhir kami di batu 12, Gombak.Selesai menuruni Batu Caves kami
kembali untuk makan malam.Malam itu aku akan menginap di rumah mak cikku.Sebagai
menunaikan hajatnya kerana sudah lama tidak bertemu.Sebelah tengahari keesokkannya
pula, kami akan bertolak ke Shah Alam.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.