29 May 2017

Homesick : Bertemu Kaunselor Yang Cantik

Rinduku semakin parah.Jiwaku semakin resah dan gundah.Tiapkali aku bersendiri pasti kerinduanku datang mengetuk pintu hati.Wajah-wajah mereka yang kutinggalkan di utara tanahair datang silih berganti.Menganggu tidur sedang enak dibuai mimpi.Inilah kerinduan yang tidak boleh aku tahankan.Kadangkala aku mudah mengeluarkan air mata bila rindu datang menyapa.Aku terlalu merindukan mereka.Mereka yang dekat di hati.Mereka yang kutinggalkan jauh.Setiapkali aku ke kuliah langkahan kaki tidak bermaya dan lesu.Jiwa terasa pilu.Senyumku kepada rakan-rakan sekelas kumpulan 2 hambar.

Aku terlalu merindukan keluargaku.Adik-adikku, ibu dan abahku.Itu saja yang bermain di akal fikiran ketika itu.Tidak tahu apa yang perlu kulakukan untuk menghilangkan rasa yang kian menggugah perasaan.Tidak ada bentuk perhubungan selain surat-surat kepada mereka yang pernah kutuliskan.Walaupun telah berkali-kali kulayangkan warkah berita namun tiada satupun yang boleh mengubat jiwa yang derita.

Hendak menelefon jauh sekali, kerana era itu (1983) keluargaku tidak punya telefon.Telegram bukan pilihan yang boleh meredakan rasa.Aku buntu.Kepada siapa harus aku meluahkan rasa ini.Walhal di sekelilingku ramai rakan-rakan yang boleh mengalpakan aku dari mengingati keluarga yang jauh walau sebentar.Hendak berkongsi rasa pada siapa?.Lalu aku bertanya kepada rakan bagaimakah aku dapat meredakan rinduku.


Aku tidak ingat, tetapi seseorang telah mengesyorkan kepadaku agar bertemu Kaunselor untuk berkongsi rasa dan mencari jalan untuk menoktah rindu itu.Aku keseorangan.Aku tidak tahu samada rakan-rakan sekuliahan juga turut merasa apa yang ku rasa ketika itu.Pada suatu pagi sebaik waktu rehat jam 10 pagi, aku melangkahkan kaki mencari Unit Kaunseling di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, ITM.Aku termanggu keseorangan.Tiada rakan menemankan kerana aku tidak mahu mereka tahu bahawa aku sedang mendapatkan khidmat kaunselor.

Bangunannya terletak di sebelah Perpustakaan Tun Abdul Razak tidak jauh dari art building sekolahku.Aku berjumpa dengan kakitangan unit itu dan menyatakan hasratku untuk mendapatkan khidmat kaunselor.Aku disuruh tunggu sebentar.Tidak lama kemudian kakitangan perempuan itu memanggil aku masuk bertemu dengan kaunselor.Setelah pintu kuketuk, aku masuk perlahan dan...

Seorang Kaunselor perempuan yang cantik melemparkan senyumannya yang manis kepadaku.Aku membalas senyumannya dan mengucapkan selamat pagi.Dia mempelawa aku duduk dengan mesra.Suaranya lembut lalu bertanya tentang diriku dan dari sekolah mana.Peringkat berkenalan itu aku ceritakan semuanya.Bila tiba pertanyaan tentang masalah yang ingin aku kongsikan, aku meluahkan rasa kerinduan yang tidak dapat aku bendungkan lagi.Aku menangis..ya aku menangis di hadapannya.Aku khabarkan bahawa aku sangat rindukan keluarga dan meminta untuk pulang seketika.Kaunselor yang tenang dan sentiasa tersenyum itu meminta aku banyak bersabar menghadapi situasi.Kata-katanya terasa bagai titis embun menyiram dedaunan kekeringan di waktu pagi.Inilah ujian ketika menjadi pelajar, ujarnya lembut bersahaja.Segalanya terpaksa dilakukan sendiri.Dia menasihatiku supaya bersabar dalam mengharungi dunia pelajar dan mencari rakan berbual.Aku luahkan segalanya, terasa lapang memenuhi ruang hati yang rindu bila dapat berkongsi rasa dengannya.Kaunselor itu terus senyum melihatku.Setelah hatiku sedikit lega, aku mohon untuk kembali ke kelas.Aku mengucapkan terima kasih atas kata nasihatnya.

Kembali dari sesi kaunseling, aku mendapat jalan untuk melepaskan rindu.Kalendar Ogos, 1983 kubelek dan aku meneliti satu hari cuti yang jatuh pada hari Isnin.Bermakna tidak  ada kuliah pada hari tersebut.Aku tidak sabar menanti minggu itu kerana aku akan pulang seketika untuk menjenguk mereka yang kurindukan.

Pada petang Jumaat sebaik habis kuliah aku mengusung beg menunggu bas di luar Kolej Jati.Bila bas tiba aku pun naik dan ia membawa aku ke Kelang.Setiba di highway, aku panik ! sepatutnya aku ke Bus Stand Klang dan bukan ke Klang.Aku terkhilaf.Di dalam bas aku bertanya kepada pemandunya jika ada bas ke Bus Stand Klang pada lewat petang itu.Pemandu itu memberitahuku memang sentiasa ada.Aku katakan kepadanya, aku telah tersalah menaiki bas.


Setiba di Kelang, aku segera turun dan mencari bas ke Bus Stand Klang.Setelah mendapatkan bas aku duduk dan mengira waktu untuk sampai ke KL.Masih jam 6.30 petang.Bas bergerak dan hatiku pun terasa lapang kerana bas ke utara akan bertolak jam 8.30 atau 9.00 malam.Malam itu aku keseorangan di perut bas dalam fikiran hanya ingin bertemu keluarga di utara.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...