Showing posts with label Kembara. Show all posts
Showing posts with label Kembara. Show all posts

18 June 2020

Aku dan Islam: Nota Untuk Tuhan.

          Sepanjang sekolah rendah aku mengikuti kelas pengetahuan agama Islam. Aku belajar menulis jawi, belajar rukun iman dan islam, belajar cara-cara orang Islam bersembahyang, sirah nabi dan juga belajar mengaji qur’an. Sejak dari darjah 1 memang aku telah pelajari semua itu sehingga darjah 5 dan 6. Darjah 3 aku mula belajar sembahyang di masjid berdekatan sekolahku. Aku berwudhuk dan praktikal sembahyang. Dalam ramai-ramai kawan yang bukan islam pada ketika itu, hanya aku seorang yang mengikuti kelas agama islam. Atas kerelaan sendiri. Sebenarnya aku pun tak tahu apakah mengikuti kelas itu wajib atau tidak. Mungkin pengaruh kawan-kawan Melayu yang suka berkawan dengan aku.

          Adakalanya, dalam ujian aku mendapati markah yang mengkagumkan ustaz dan kadangkala ada juga tidak. Tetapi sedikit sebanyak aku telah faham apa itu agama islam dan siapa tuhan yang disebutkan Allah di dalam Islam. Konsep ketuhanan di dalam Islam dan apa peranan nabi-nabi dalam sejarah Islam. Sebagai murid bukan Islam aku telah sedikit sebanyak memahami tentang Islam dan mempunyai tanggapan yang jelas tentang Islam peringkat awal. Ditambah lagi dengan menonton siri-siri kisah nabi-nabi sewaktu bulan puasa tahun itu telah menarik minat aku kepada agama Islam.

          Begitulah pendedahan awal aku kepada Islam. Kawan-kawan melayu pula banyak bercerita tentang Islam kepadaku. Kadang-kadang mereka bercerita sesama mereka dan aku hanya menadah telinga mendengar dengan khusyuk. Bertanya tentang itu dan ini yang tidak jelas kepadaku. Tidak hairanlah aku semakin meminati agama ini.  Sehingga ke satu masa aku pernah memberitahu ibuku bahawa aku ingin masuk Islam. Ibu terkejut. Ibu tidak tahu bahawa di sekolah aku mengambil mata pelajaran berkaitan Islam. Kalau ibu tahu pun dia mungkin tidak tahu apa-apa tentang pelajaran Islam.

          Dalam waktu yang lain, ayah pula pernah membelikan aku sepasang baju Melayu, sampin, songkok hitam dan kasut sebagai persiapan hari raya. Baju Melayu berwarna biru siap dengan butang digantung kemas dalam almari. Hari-hari aku menunggu untuk memakainya. Ayah ingin aku menyambut hari raya bersama kawan-kawan di dalam penempatan kem kami.

          Begitulah waktu berlalu, Islam sudah jelas menjadi perhatian dan keinginan untuk aku menjadi sebahagian dari kawan-kawan Islam ku. Di kalangan pelajar bukan Islam, hanya aku seorang saja yang boleh menulis dan membaca jawi dan boleh membaca ayat-ayat Muqaddam walaupun merangkak.

            Aku telah tahu siapa tuhan orang Islam yang disebut Allah pada ketika itu. Bila aku membaca buku teks Pengetahuan Agama Islam dalam tulisan jawi pasti aku akan terjumpa perkataan Alif..Lam..Lam..Ha. Aku sudah tahu orang Islam hanya menyembah satu tuhan. Kadang-kadang aku rasa aku dekat dengan tuhan orang Islam. Kadangkala aku takut menyebut Allah dan hanya bermain-main dalam benak hati perkataan itu. Begitulah fikiranku zaman kanak-kanak dahulu. 

            Satu peristiwa melucukan telah aku lakukan sekitar tahun 1977 atau lebih awal sikit. Keinginan untuk mengenal siapa itu tuhan. Adakah dia bisa berkata-kata denganku atau tuhan mampu menunjukkan keajaiban-Nya di depanku. Aku pun menulis nota kepada Allah. Ya.. seorang anak orang Asli yang tiada pegangan agama Islam mengadu kepada Allah. Aku masih ingat aku menulis dalam tulisan jawi di atas sekeping kertas yang antara lain aku menulis "Wahai Allah berilah aku kekuatan dan boleh terbang...." aku tak ingat ayat seterusnya. Kertas itu aku letakkan di atas bumbung reban ayam yang tidak digunakan lagi. Konon-konon dalam fikiranku ketika usia yang masih mentah,  Allah dapat membacalah tulisanku dalam jawi itu. Lucu pun ada bila sesekali kembali mengingati kisah zaman anak-anak dulu. 

        Keesokan pagi aku bangun dan memanjat ke atas bumbung reban ayam lama. Kalau-kalau Allah membalas permohonanku. Tiada! Jauh dalam hatiku, aku tahu tuhan tahu keterujaan aku untuk mengenal diri-Nya.

24 May 2017

Rahsia

Semasa zaman kanak-kanak, aku berbeza daripada rakan-rakan sebaya. Pada waktu petang, suasana di penempatan kem askar BN 19 dan BN 20, Senoi Praaq (Pasukan Polis Hutan), penuh dengan keriuhan suara kanak-kanak bermain di padang yang terletak tidak jauh dari rumahku. Namun, aku hanya menghabiskan waktu menonton televisyen. Semua rancangan televisyen menjadi tontonan wajibku, dari berita semasa hingga rancangan kartun.

Dalam rancangan berita, pasti ada satu berita yang melekat kuat di ingatanku. Ketika itu adalah era puncak perang antara Vietnam Utara dan Selatan. Aku mengikuti perkembangan kisahnya. Manakala rancangan kartun kegemaranku pula sudah tentu Roadrunner dan Sinbad Jr.



Namun, apabila Ramadan tiba, aku pasti akan menantikan drama bersiri Arab mengisahkan nabi-nabi terdahulu. Setiap petang di bulan Ramadan, aku tidak pernah gagal menunggu drama itu. Walaupun aku tidak memahami bahasa yang dituturkan, tetapi jalan ceritanya dapat kufahami kerana terdapat sarikata di bawah skrin. Mungkin minatku terhadap kajian sejarah nabi dan Islam semasa di sekolah membuatkan aku teruja apabila kisah yang kubaca berkaitan dengan jalan cerita di televisyen, dan itulah yang menyebabkan aku terpaku di depan skrin.

Ketika cerita dan kisah nabi menjadi kegemaranku sewaktu berusia 8 atau 9 tahun, minatku terhadap kajian Islam semakin mendalam. Selain itu, rakan-rakan Melayu yang rapat denganku sering bercerita tentang Islam. Aku juga mengambil subjek Pengetahuan Agama Islam dan bacaan jawi dari darjah satu hingga darjah lima. Oleh itu, minatku semakin bertambah kerana apa yang aku pelajari selari dengan apa yang aku tonton di televisyen. Setiap tahun, aku tidak pernah lupa menonton kisah para nabi di televisyen setiap kali menjelang bulan Ramadan.

Dalam darjah tiga (tahun 1974), aku sudah pandai membaca jawi dan mengaji sedikit-sedikit serta mengenali huruf-huruf Arab. Aku masih ingat Ustaz Hassan Basri, seorang yang selalu memberi peluang kepadaku untuk belajar tentang agama Islam. Rakan-rakan sekelasku juga sangat baik dan sentiasa membantuku memahami subjek itu. Suatu hari, Ustaz Hassan memimpin kami dalam praktikal amali solat di Masjid Iskandari yang berdekatan dengan sekolah rendahku. Namun, aku tidak dibenarkan menyertainya kerana menurut ustaz, aku bukan seorang Muslim. Rakan-rakanku tidak berpuas hati dan memujuk Ustaz Hassan agar membenarkanku turut serta dalam amali solat. Akhirnya, atas desakan rakan-rakanku, ustaz bersetuju dan memberikan izin.

Di masjid, aku berwuduk dan bersolat. Aku mengamati satu persatu apa yang dilakukan oleh rakanku ketika berwuduk, lalu aku mengikutinya. Melafazkan niat dan berwuduk. Ketika solat juga demikian. Kami berbaris bersama-sama dan melakukan amali solat. Ketika tiba waktu sujud, rakanku yang nakal tiba-tiba terkentut dan terus ketawa. Aku yang hanya mengikuti perlakuannya tidak dapat menahan lucu, lalu ikut tertawa juga.

Apabila bersendirian, aku sering merenung tentang apa yang telah aku lalui pada hari tersebut. Hidayah Allah hadir juga, aku kerap mengalami dan bermimpi sesuatu yang meninggalkan kesan mendalam dalam jiwa kanak-kanakku ketika itu. Sejak itu, aku tidak lagi berpaling. Fikiranku hanya tertumpu kepada Islam sahaja di hati. Aku bertekad untuk menjadi seperti rakan-rakanku yang beragama Islam. Mereka bukanlah rakan yang baik, kenakalannya tetap sama, tetapi bagiku ajaran Islam jauh lebih sempurna. Soal rakan, mereka bukanlah teladan bagiku. Aku hanya suka berkawan.

Aku merasa bertuah kerana Ustaz Hassan Basri merupakan seorang yang lembut dalam mendidik kami. Aku banyak memperoleh ilmu agama peringkat awal di sekolah daripadanya.

Barangkali ketika itu (belajar di ITM-1983) selama empat tahun mendatang sepanjang 8 semester yang bakal aku lalui merupakan waktu untuk aku merealisasikan keazaman dan niat untuk memeluk Islam. Siapa tahu? Aku sudah remaja. Aku bebas melakukan apa sahaja yang aku suka. Sewaktu menunggu keputusan SPM 1982 diumumkan, pernah juga aku suarakan kepada Bah (abah). Suatu hari nanti, aku akan memeluk Islam. Abah marah. Katanya, aku perlu habiskan belajar dahulu. Selepas itu, terpulanglah. Orang tua itu, dalam marah-marahnya dia tetap redha jika aku memeluk Islam.

Dan mungkin juga, apa yang NZ sampaikan dan aku akan merealisasikan hasrat hati, sambil berusaha mengajak GK arah yang sama. Gadis sentiasa ada dalam fikiranku. Mungkin juga sepanjang tempoh pengajian ini, aku akan cuba mencari rahsia tentang dirinya terlebih dahulu. Aku telah menjadi seorang pemuja dalam diam (Secret admirer). Ciri-ciri idaman memang sudah ada padanya. Cuma aku tidak pasti sama ada hatinya telah dimiliki.

Pada pertemuan pertama kali di Gombak, aku sudah jatuh hati kepadanya. Rambut panjang melepasi bahu yang sering diselitkan ke cuping telinga. Juntaian rambut menutupi dahi bak china doll (itulah yang menarik perhatian). Bermata sepet dan berkulit cerah. Tinggi lampai dan peramah. Semua ciri itu mengingatkanku kepada rakan sekelas berketurunan Tionghua sewaktu tingkatan 5 dahulu. Itulah rahsia pilihanku.

14 March 2017

Jun 1983 : Ceritaku.

Sekitar Jun 1983, aku menerima berita dari ayahku yang membuatkan hatiku berdebar-debar. Ayah menyuruhku ke pejabat Jabatan Orang Asli Perak di Ipoh. Tujuannya ada kaitan dengan permohonan menyambung pelajaran ke Institut Teknologi Mara (ITM) di Shah Alam, Selangor. Kata ayah, permohonan aku akan diuruskan dan ditaja oleh pihak JOA Perak.

Aku berasa girang kerana ini adalah peluang yang sudah lama aku impikan—kemungkinan besar aku berjaya memasuki ITM dan mendapat peluang mempelajari bidang yang aku minati. Rasa teruja menguasai diriku; bayangan akan kehidupan baru yang penuh dengan cabaran dan pengetahuan membuatkan semangatku berkobar-kobar. 

Aku dan dua orang kenalan perempuan dari kem yang sama bersetuju untuk bertolak awal pagi keesokannya. Tuan Uda Nagu, bapa kepada Y, rakan perempuan setempat, akan membawa kami dengan menggunakan kenderaannya sendiri. 

Kami mengatur persiapan dengan cermat. Sambil membayangkan kehidupan baru yang bakal dilalui di ITM, aku juga tidak dapat menahan rasa gembira kerana ini adalah langkah penting dalam pencarianku untuk masa depan yang lebih cerah.  Saat itu, harapan dan impian tentang pendidikan dan kehidupan di universiti seperti bintang-bintang yang berkelip di angkasa, bersinar terang di hadapanku.

Aku masih ingat saat kami bertolak awal pagi sebelum subuh, menaiki Toyota Corolla kepunyaan pakcik itu. Suasana sekeliling masih gelap, dan hanya bunyi enjin kereta yang memecah keheningan malam. Aku duduk di hadapan, menikmati pemandangan yang semakin cerah dengan cahaya pagi yang perlahan-lahan muncul di ufuk timur. Di belakang, dua orang kenalan perempuanku, S dan J, kelihatan teruja, berbual-bual dalam nada ceria tentang apa yang bakal mereka alami di ITM.

Satu perkara yang mengganggu fikiranku adalah kelibat Y. Mungkin Y tidak berjaya dalam permohonan atau mungkin juga dia memilih untuk menolak tawaran melanjutkan pelajaran ke ITM. Aku tidak tahu. Rasa sedikit kesunyian menyapa hatiku kerana kami bertiga seolah-olah ingin berkongsi perjalanan ini bersamanya. Namun, aku cuba menolak rasa itu jauh-jauh dan memberi tumpuan kepada momen indah yang akan datang.

Perjalanan itu terasa panjang tetapi penuh harapan. Dalam perjalanan, aku memikirkan tentang apa yang akan kutemui di ITM—kawan-kawan baru, pengalaman belajar yang berharga, dan mungkin juga penemuan jati diri yang lebih mendalam. Dengan setiap kilometer yang kami lalui, rasa keterujaan dan kebimbangan bercampur baur, namun hatiku penuh dengan semangat untuk menerokai dunia baru ini.

Kami tiba di Ipoh lebih kurang jam 11.00 pagi dan melaporkan diri di pejabat JOA Perak. Itulah kali kedua aku berurusan dengan Jabatan Orang Asli Perak. Kali pertama sewaktu aku di Gerik dulu, dan pengalaman itu masih segar dalam ingatan. Kakitangan jabatan menyambut kami dengan ramah, membuatkan hati ini sedikit tenang meskipun perasaan berdebar masih mengisi ruang dalam jiwa.

Dalam ingatanku, hanya sekali aku menerima bantuan belajar dari jabatan itu, ketika aku di darjah empat pada tahun 1975. Bantuan berupa buku tulis, alatan menulis, dan melukis yang sedikit sebanyak membantu aku pada waktu itu. Selepas itu, tiada lagi bantuan. Segala bayaran pendidikan ditanggung sepenuhnya oleh ayahku. Aku masih ingat, gaji ayah yang pernah aku lihat sekitar RM870 sebulan sewaktu ayah berpangkat sarjan. Ia bukanlah jumlah yang besar, terutamanya untuk menanggung kami sekeluarga seramai sepuluh orang. Lima orang termasuk aku masih bersekolah.

Buku-buku teks terpaksa beli sendiri kerana peraturan sekolah yang menetapkan gaji ayah yang melebihi RM800 sebulan tidak layak untuk mendapat bantuan. Rasa simpati dan kesedihan menyelubungi fikiranku ketika memikirkan pengorbanan ayah untuk memastikan pendidikan kami tidak terabai. Namun, semua itu menjadi motivasi bagiku untuk berjaya. 

Setelah melaporkan diri, kami diberikan sedikit penerangan mengenai proses dan dokumen yang perlu disediakan untuk permohonan sambung belajar. Sekali lagi, rasa harapan dan ketegangan bercampur baur dalam hatiku. Semoga segala usaha ini membuahkan hasil.

Selesai urusan dokumentasi, kami pun beransur pulang. Pegawai di jabatan tersebut memberitahu, permohonan kami besar kemungkinan diterima masuk ke ITM sesi Julai 1983. Rasa syukur menghujani hati ini mendengar berita tersebut. Pegawai itu memberi jaminan bahawa ketiga-tiga kami akan mendapat berita gembira, sambil beliau memberi nasihat supaya belajar dengan penuh dedikasi dan tekun. Nasihatnya bagaikan azimat, memacu semangatku untuk lebih berusaha.

Sebelum pulang, atas permintaan rakan perempuan, kami singgah di Super Kinta, Ipoh untuk windows shopping, katanya. Meskipun hanya melihat-lihat, suasana di dalam gedung itu sangat meriah. Aku merayau sekitar gedung sambil melihat pelbagai cenderahati berbentuk plak yang dihiasi dengan sajak berbahasa Inggeris. Sajak cinta!

Ada sesuatu yang menarik perhatian aku pada setiap cenderahati itu. Sajak-sajak tersebut memancarkan perasaan yang mendalam dan emosional, seolah-olah setiap patah kata menyimpan kisah dan rasa yang ingin dikongsikan. Teringat akan kehidupan dan perjalanan yang sedang aku lalui, aku terpesona dengan keindahan kata-kata yang mampu menggambarkan perasaan seseorang. 

Sambil menikmati suasana, aku membayangkan bagaimana nanti, di ITM, aku juga mungkin dapat mengekspresikan perasaanku melalui lukisan dan kata-kata. Mimpi dan harapan itu semakin menghampiri.

          Ayat-ayat cintanya cukup tragis, dihiasi dengan lanskap indah yang menggambarkan pelbagai emosi. Kecantikan dan kedalaman sajak-sajak itu membuatkan aku berminat untuk membelinya. Dalam hatiku, terdetik untuk memiliki satu sebagai tanda ingatan kepada perjalanan hidup yang penuh liku ini.

Di perjalanan pulang, fikiran aku melayang jauh. Aku masih cuba meneka kehidupan selepas ini, memikirkan tentang cabaran dan peluang yang menanti di ITM. Akan adakah sahabat baru? Atau mungkin pengalaman baru yang akan membentuk diriku? Rasa tidak sabar mengelilingi fikiran, tetapi di dalam hatiku, aku tahu bahawa tidak ada siapa yang dapat meramalkan masa depan.

Kehidupan ini penuh dengan misteri, dan aku hanya mampu berserah kepada takdir. Dengan harapan dan semangat yang membara, aku melangkah ke hadapan, menanti apa yang akan datang.

17 December 2016

Kembara Pertama Alam Remaja Disember 1982


Penghijrahan Pertama

Setelah tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1982, hari-hariku di rumah diisi dengan alunan muzik dari radiogram baharu ayah. Aku melayan lagu-lagu hits era 80-an dari kumpulan popular seperti Alleycats, Black Dog Bone, Carefree, Kembara, Blues Gang, dan Flybait. Meskipun aku menikmati muzik, aku bukanlah peminat fanatik yang menggantung poster artis di dinding bilik. Minatku sekadar pendengar biasa.

Aku lebih menyukai lagu-lagu berentak sentimental atau easy listening tanpa mengira genre atau penyanyi. Kebetulan, minat ini turut dikongsi dengan beberapa rakan lelaki. Salah seorang rakan rapatku, AN, mencadangkan agar kami mencari pekerjaan di kilang-kilang berhampiran kampungnya di Parit, Perak. Setelah mendapat izin dari orang tuaku, bermulalah episod penghijrahan pertamaku, melangkah keluar dari kepompong keluarga dan pengawasan mereka.

Pengalaman di Perantauan

Setibanya di kampung AN di Parit, Perak, aku ditumpangkan di rumah saudara AN, sementara dia dirumah keluarganya. Aku tinggal bersama keluarga yang tidak kukenali.

Selama tiga hari di sana, tiada perancangan untuk mencari pekerjaan. Mungkin  kesibukan mereka membuat persiapan untuk sambutan perayaan yang aku sendiri tidak pasti perayaan apa. Yang pasti, ia sangat meriah! Setiap rumah menyediakan juadah, dan mereka saling berkunjung seperti sambutan Hari Raya Aidilfitri. Di rumah tempat aku menumpang, aku mendapati keluarga itu beragama Kristian, kerana pada pagi Ahad mereka menjalankan ritual biasa penganut Kristian, dan ada bingkai gambar yang didakwa Jesus. Pada masa itu, perkara ini tidak membawa makna apa-apa bagiku kerana aku tidak berminat dan tidak mengambil tahu aktiviti mereka. Aku hanya menganggap kemungkinan ritual biasa mereka.

Aku sempat bergambar dengan anak gadis tuan rumah atas permintaan AN. Dia manis, berkulit cerah, dan berambut pendek paras bahu—sepupu kepada rakanku. Namun, aku hanya menurut dan kurang berinteraksi, mungkin kerana masih segan dengan mereka.

Pulang ke Pangkuan Keluarga

Lama-kelamaan, aku mula merasakan rindu kepada keluargaku. Hari-hari berlalu hanya dengan melepak dan merayau di perkampungan. Rasa bosan mula menguasai diri, dan aku akhirnya membuat keputusan untuk pulang ke pangkuan keluarga. Aku menyatakan hasratku kepada AN, dan dia memahami serta tidak menghalang.

Pada suatu pagi, aku dihantar oleh AN ke pekan Parit. Aku menaiki bas ke Ipoh dan kemudian kembali ke utara, ke Kroh. Aku tidak menyesal dengan pengembaraan ini. Mungkin ini pengalaman pertamaku berjauhan dari keluarga, belajar hidup berdikari di perantauan, dan mengenali pelbagai ragam manusia. Ini adalah pengajaran penting bagi seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam era 80-an.

 

11 February 2014

Pencarian.

Sepanjang kembaraku..sesekali teringat juga rakan pena yang pernah kuutuskan surat dulu.Tahun 1985 dia masih menuntut di tingkatan lima di Pantai Timur sana.Pertengahan 1986 aku terima sepucuk surat ketikanya aku berada di utara- Pengkalan Hulu.Dia memberitahu khabar gembira bahawa dia telah berjaya ke tingkatan enam .Bakal menduduki Sijil Tinggi Agama.Aku tak pernah tahu apa itu STAM.Rupa-rupanya itu peperiksaan tertinggi persekolahan bagi aliran Arab.Syukur kepadanya kerana niat ingin terus berada di kelas tertinggi dalam persekolahannya.

Dia memberiku poskad kecil.Aku tidak berapa ingat tentang isi poskad itu.Tapi aku tahu perkenalan kami berjalan seperti biasa tanpa ada cetusan  rasa bersifat peribadi.Apatah lagi itu musimnya dia perlu memberi fokus kepada matapelajaran aliran agama-Arab.Melaluinya aku tahu apa itu Balaghah,Mantiq,i'rab,Nahu Soraf,Ulum Qur'an,Ulum Hadis,mutalaah qiraah,qawaid,adab nusus dan bermacam-macam istilah pendidikan bahasa Arab yang jarang-jarang aku dengar.

Kadang-kadang dia menulis jawi kepadaku.Setakat membaca aku tiada masalah tetapi menulis jawi aku lambat sikit.Aku seronok punya rakan pena sepertinya.Cuma aku tidak berterus terang kepadanya tentang diriku.Walaupun ketika itu aku menyimpan niat akan meluahkan semuanya.Pada ketika itu rasanya tidak perlu, memandangkan dia masih belajar dan kami jarang mengutus surat satu sama lain.Biarlah keadaan yang menentukannya nanti.Tidak perlu terburu-buru fikirku.

Selepas dia mengirimkan foto dirinya pada awal tahun 1986 lalu...sejak itu aku tidak meminta dia mengirimkannya kembali.Foto itu pun telah kupulangkan.Mungkin dia terasa bila foto dirinya dipulangkan.Terpaksa aku menerangkan bahawa tujuanku hanya ingin mengenali dia sepintas lalu.Tidak mungkin aku akan menyimpan gambar seorang perempuan.Lagipun sejak di Al-Arqam lagi aku tidak menyimpan gambar-gambarku.Mungkin cara didikan al-Arqam itu telah menyebabkan aku berfikiran sebegitu.Malah, foto aku bersama dua rakan perempuan sewaktu menuntut di Institut Teknologi Mara, Shah Alam juga telah aku gunting dan buangkan gambar mereka yang berdiri di samping kiri dan kananku sewaktu presentation hasil kerja kumpulan.Walhal foto itu diambil ketika aku belum menjadi muslim.Pelik.Itulah antara fikiran ekstrimku ketika di al-Arqam.

Begitu juga nasib lain-lain foto.Sehingga sekarang yang ada cuma foto-foto lama aku bersama rakan-rakan lelaki.Ya kebanyakannya lelaki.

Mungkin M faham niatku, maka dia tidak mempersoalkan lagi.Sebenarnya aku suka menatap fotonya dulu.Orangnya sederhana.Berkulit kuning langsat.Wajahnya ada iras-iras Ustazah Norhafizah Musa, cuma matanya yang agak bundar berbanding ustazah itu.Memakai tudung agak labuh.Memang kenalah dengannya yang bersekolah agama.Anak petani di pantai timur.Punya seorang abang dan empat adik beradik dua lelaki dan dua perempuan.Waktu itu M telahpun  bersekolah di Maahad Indera Petra.Katanya sekolah lamanya di Maahad Yaakubiah,Bachok sampai tingkatan lima sahaja.Untuk menyambung ke tingkatan enam dia berpindah ke Maahad Indera Petra.

Sepanjang tahun 1986 hingga 1987 sekali sekala sahaja kami berbalas surat.Bertanya khabar.Katanya peraturan di Maahad Indera Petra ketat.Jadi tidak mungkin dapat selalu menulis.Aku faham situasinya.Lantaran aku pun tidak menulis untuknya lagi.Biarlah dia dengan dunia pelajarannya.Mungkin fokusnya pada tahun itu agak lebih sikit, jadi aku tidak membebankannya membalas surat-suratku.

Penghujung 1987 aku mula berfikir arah hidupku...apa akan aku lalui.Apa penyudahnya hidupku ini.Sedangkan usiaku ketika itu telah melewati 21 tahun.Aku masih lagi tiada pekerjaan yang tetap, yang dapat menjamin kehidupan akan datang.Aku tidak boleh berterusan begini.Ilmu agama asas telah kupelajari walaupun hakikatnya masih kurang.Aku perlu berubah...wajib berubah.Aku mesti menjadi manusia kebanggaan ayah dan ibu meskipun mereka jauh di selatan.Aku sedar aku tidak perlu lagi menjauhkan diri dari mereka semua....keluargaku.Ya sesuatu mesti berubah bermula dari diri ini. 

16 April 2009

sepi...


aku menyusun sepi
di tingkap hati
menjenguk dari dalam diri
mencari sinar yang terang
namun kelam.

pernah menyapa bulan
memanggil bintang
kala langit dingin sambil duduk tafakur
melafaz sepatah syukur
dan terus menjadi begini
sepi...

aku sesat di lautan rahmah
sedang sebutir bintang terang di ufuk serlah
cahaya yang tak pernah pudar
ketuklah hati yang tiada sedar
gundah hati yang tiada hilang
pimpin daku ke puncak cemerlang

sepi...
ajari aku tentang hidupmu
lemaskan daku mengenal lautan makrifahMu
moga kukenal kematian mulia
ampunan Tuhan dengan redha

06 November 2006

Episod 1: Pengkalan Hulu

Aku percaya, setiap insan adalah gudang kenangan—ada yang indah laksana permata, ada pula yang pahit menoreh luka. Ada yang menakutkan, membuat kita tidakut, namun tidak kurang juga yang membakar semangat, menghidupkan kembali bara harapan. Mozaik kenangan inilah yang pada akhirnya membentuk siapa kita hari ini; mendewasakan jiwa, mengarahkan langkah menuju kebaikan, atau sebaliknya. Lazimnya, kenangan selalu beriringan dengan pengalaman, dan sering kali, dari pengalaman itulah lahir makna-makna positif yang mendalam. Maka, izinkan aku membuka sedikit lembaran kisahku, berkongsi sekelumit memori dan pengalaman yang telah mengukir diriku menjadi insan yang lebih utuh.

Bukanlah sebuah kisah yang gemilang atau penuh kilau keemasan yang ingin kupersembahkan. Ini hanyalah seuntai catatan perjalanan, sebuah jejak yang kutempuh untuk mengumpulkan kenangan—sebagai santapan jiwa, sebagai diari indah yang tidak lekang oleh waktu, atau sekadar sebagai rasa baru yang ingin kubagikan dengan kalian. Izinkan aku membawa kalian melayang, kembali ke sebuah daerah di utara tanah air. Kini, aku berada jauh di selatan, di Seremban, Negeri Sembilan, namun daerah itu, ya, daerah itu menyimpan seribu satu memori yang membentuk diriku hari ini.

Ajaibnya, meskipun dua dekad sudah berlalu sejak kaki ini menjejak tanahnya, setiap pengalaman dan kenangan manis di sana masih begitu segar dalam ingatan. Seolah-olah waktu tidak berdaya menghapusnya. Kini, dengan sepenuh hati, aku ingin mencatatkan kembali permulaan kisahku di sini.

Aku ingin menceritakan bagaimana aku tiba di daerah ini, sebuah tempat yang keindahannya terasa jauh lebih dalam justeru ketika aku jauh darinya. Benarlah kata orang, sering kali kita mendengar cerita-cerita tentang keindahan tempat lain—yang belum pernah kita jejaki—ketika kita masih berada di tempat yang sekarang. Namun, anehnya, begitu kita berkesempatan menjejakkan kaki ke bumi yang didamba itu, ia terkadang terasa biasa saja, tidak seindah yang dibayangkan. Seakan khayalan melukiskan syurga, realiti hanya memperlihatkan sebidang tanah biasa.

Setelah direnungkan, keindahan yang dulu diceritakan itu sebenarnya hanyalah permainan fikiran semata, terikat erat pada kenangan-kenangan yang telah kita lalui pada masa lalu. Ia adalah cerminan dari nostalgia yang singgah, melukiskan kembali nuansa masa lampau pada kanvas fikiran kita. Ini mengajariku sebuah pengajaran penting: keindahan sejati seringkali bukan pada tempat itu sendiri, tetapi pada pengalaman dan emosi yang kita rajut di sana. Dan kadang-kadang, jaraklah yang mengukir keindahan itu menjadi lebih menawan dalam ingatan kita.

 

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...