Showing posts with label Institut Dakwah Islamiah Perkim. Show all posts
Showing posts with label Institut Dakwah Islamiah Perkim. Show all posts

29 March 2014

Rakan pena

Aku perlu berubah dan aku perlu berhijrah.Itulah tekad yang aku ambil pada penghujung tahun 1987.  Aku kembali ke ibukota Kuala Lumpur dan dengan bantuan rakan-rakan dan pertolongan seorang pegawai kerajaan aku disyorkan meneruskan pengajian. Cuma tekad aku ketika itu hanya satu. Iaitu meneruskan pengajian kefahaman Islam di Institut Dakwah Islamiah Perkim , Jalan Universiti, Petaling Jaya yang dibuka khusus untuk saudara baru sepertiku. Bangunannya terletak berhadapan Hospital Universiti. Namun hasratku itu tidak dipersetujui dan beliau mencadangkan aku meneruskan di peringkat STPM. Katanya aku seorang yang boleh dikatakan pandai kerana pernah menuntut di Institut Teknologi Mara pada tahun 1983-1984 dulu.

Kisah ini telah kuceritakan pada entry yang lalu. Lalu aku pun memilih seperti apa yang dicadangkan. Yayasan Anda Akademik, Jalan Pantai Bahru, Kuala Lumpur. Memasuki tingkatan enam bawah pada tahun 1988 hingga 1989. Tempoh dua tahun itu sebahagiannya telah kuceritakan pada "entry" yang lepas. Itulah pengalaman bergelar pelajar kembali.

Dalam masa dua  tahun itu rakan pena dari pantai timur ,M ada mengutuskan kepadaku sekeping fotonya bersama rakan sekelas dalam uniform sekolah agamanya. Apa yang aku tahu dia sedang menanti keputusan STU (Sijil Tinggi Agama). Juga seperti biasa aku tidak menyimpan lama foto itu. Lantas kukembalikan semula. Sebenarnya aku selalu berasa bersalah jika meyimpan foto dirinya. Mungkin didikan yang kuterima semasa di al- Arqam dulu membuat aku berfikir dua kali.

Selesai STPM 1989 aku terus menetap di kota Kuala Lumpur mencari rezeki. Usia pun dah mencecah 24 tahun. Bermacam-macam pekerjaan pernah aku buat. Jadi pengawal keselamatan @ jaga. Penghantar barang, pencuci bangunan, pekerja kilang di Jalan Bangsar Syarikat Lever Brothers , pekerja kilang di Nestle Sdn Bhd..semua itu pengalaman.

Selama setahun di ibukota, aku pun berfikir untuk terus mencari pekerjaan tetap di jabatan kerajaan. Berbagai jawatan kerajaan telah kupohon. Sebenarnya aku berpeluang berkhidmat bersama PDRM satu waktu dulu.  Namun di saat-saat akhir aku tidak meneruskan niat tersebut. Dan pernah juga dipanggil temuduga jawatan Pelukis Pelan di Pejabat Daerah Jelebu, N.Sembilan. Namun peluang itu juga aku sia-siakan.

Lama-kelamaan aku terfikir untuk menetap di N.Sembilan terutamanya di Seremban kerana aku mendapat tahu dari seorang rakan di jabatan kerajaan peluang pekerjaan yang ada  di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam N.Sembilan di Seremban. Aku berminat untuk mengembangkan pengetahuan Islam sebenarnya. Menetap di Taman Negeri berhadapan Tapian Gelanggang Paroi,Seremban , aku menumpang di sebuah rumah kepunyaan Ustaz Razak, kenalan lama sewaktu di al-Arqam awal 1986 dulu. Biasanya kupanggil abang. Abang Ajak mengalu-alukan kedatanganku. Penerimaannya terhadapku tidak pernah berkurang.

Di rumahnya , aku mengambil upah mengajar Muqaddam kepada anak anak jiran setaman. Dengan itu ada jugalah wang saku. Di situ , sekitar hujung tahun 1990 aku juga berkesempatan berkerja di kedai runcit kenalan Ustaz Razak di Ampangan, Seremban pada siangnya. Namun tidak lama. Aku tidak pernah dibayar upah walau sehari sekalipun. Aku nekad berhenti.

Pertengahan tahun 1991 aku meminta izin untuk pulang ke kampungku di Kampung Putra, Simpang Durian. Rindu benar rasanya dengan keluargaku. Tinggal di desa aku membantu ibu dan ayahku menebas tanah kebun getah yang semak samun. Sempat juga kuhabiskan. Itulah bakti kepada ibu ayahku sejak aku bergelar muslim. Kata ibu durian dan rambutan yang kutanam tahun 1984 dulu dan mula berbuah. Tapi tuannya tak pernah datang menjenguk. Terpukul dengan kata-kata ibu.Terharu.

Suatu hari aku terima sepucuk surat. Aku pasti surat dari M ,  rakan pena kerana kukenal tulisannya. Tapi cop di setemnya dari Kuala Lumpur. Hairan. Lantas kubuka dan baca. M menulis, dia sekarang (tahun 1991) berada di Keramat, Kuala Lumpur. Dan ayat lainnya ingin berjumpa denganku secepat mungkin kerana ada perkara ingin dibincangkan. Ada juga nombor telefon untuk dihubungi. Wah..inilah masanya aku dapat mendengar suara rakan pena yang dihubungi sejak tahun 1985 dulu. Malam itu aku tidak nyenyak tidur memikirkan bagaimana akan berjumpa dengan dirinya sedangkan satu sen pun tiada untuk dijadikan tambang...bagaimana.?



06 February 2014

Al-Arqam 1985-1986

Hampir setahun aku berada di dalam jemaah Al-Arqam.Bermula pada  bulan Oktober 1985 sehinggalah ke hujung Disember 1986.Pengisian ilmu yang kudapat sepanjang berada di dalam jemaah ini menambahkan lagi keyakinan terhadap Islam.Satu yang aku pelajari semasa tinggal bersama jemaah ini ialah keutamaan menuntut ilmu.Namun aku tidak menghadkan pencarian ilmu agama melalui jemaah ini saja.Niat itu aku teruskan dengan menghadiri kuliah-kuliah di surau dan masjid.Sebagai mencari sudut pandangan dan perbezaan amalan di luar jemaah.Alhamdulillah.mujur aku tidak fanatik dengan apa yang ku pelajari.Aku mengambil sikap terbuka dan menuntut di mana saja jika terbuka peluang dan ruang.

Penghujung tahun 1986 itulah detik dan ketikanya aku beransur-ansur menjauhkan diri dari Al-Arqam.Aku sudah boleh berdikari.Pencarian ilmu agama tidak terbatas lagi.Di mana-mana sahaja ilmu agama boleh didapati.Di masjid, surau, dewan ,kelas.Semuanya tidak terbatas hanya di dalam jemaah al-Arqam.Malah aku sudah berjinak-jinak dengan lain-lain usrah dakwah.Aku pernah mengikuti kaedah jemaah tabligh berdakwah.Aku punya ramai rakan dakwah di dalam jemaah ini.Hujung minggu kami berkumpul di Masjid India,Kuala Lumpur.Aku turut mengikut Parti Islam Se Malaysia PAS khususnya mengenai uslub dakwah mereka...ABIM..IRC.Hanya kerana mencari pengalaman amalan Islam yang suatu ketika dulu asing bagiku.

Ternyata ilmu-ilmu ini amat berguna untukku.Aku lebih berfikiran terbuka mengenai Islam tanpa meninggalkan perkara asas dalam agama ini.Aqidah mesti sejalur dengan amalan ahli sunnah waljamaah.Itu pesan guru-guruku dulu.Dan ternyata walau apapun jemaah yang aku turuti semuanya sepakat dalam hal aqidah.Cuma aku berhati-hati dalam hal yang tidak selari dengan kesepakatan ulama.Sebagai manusia yang baru mendalami Islam,aku rasa tidaklah susah memahami Islam kerana rujukan kepada ustaz-ustaz yang alim terlalu ramai.Tinggal lagi hati yang memang sudah tertutup untuk mempelajari Islam itu sendiri.

Penghijrahan ku ke utara,tempat di mana aku membesar sehingga remaja pada penghujung 1986 termakbul juga.Asing...itu yang boleh aku katakan pada awalnya.Segalanya telah sunyi tidak seperti dulu.Dan yang terlebih sunyi adalah hati.

07 February 2012

sekeping coretan buat kekasih....I

Salam sayang,

Dalam setiap hela nafas ini, ada satu rasa yang tak pernah pudar, meski waktu terus berlalu. Rasa yang bermain-main di minda, mengusik jiwa, dan kadang-kadang membuat hati ini bertanya-tanya. Sejak awal, abang tahu bahawa diri ini hanyalah persinggahan kecil dalam perjalanan hidupmu. Abang sedar, abang bukanlah insan yang sempurna, jauh sekali untuk dibandingkan dengan mereka yang pernah kau kagumi, yang pernah mewarnai duniamu dengan ceria dan bahagia.

Abang telah ceritakan segalanya sejak mula. Tentang hidup abang yang serba kekurangan, tentang perjalanan yang penuh liku, dan tentang hati yang tak pernah punya apa-apa untuk dibanggakan. Abang tahu, kehadiran abang mungkin bukanlah jawapan kepada resahmu ketika itu. Namun, abang tetap di sini, menunggu dengan sabar, kerana abang percaya pada kehendak hatimu.

Sayang, lima tahun bukanlah masa yang singkat. Dalam tempoh itu, abang tahu kau telah mengenali hati budi mereka yang pernah dekat denganmu. Abang tahu, ada kenangan indah yang tak mungkin kau lupakan. Lagu-lagu yang sering menemanimu, senyuman yang pernah menghiasi wajahmu, dan sinar mata yang penuh rahsia itu – semuanya adalah bukti bahawa hatimu pernah dimiliki.

Namun, abang tidak pernah ingin menjadi penghalang. Jika kau memilih untuk kembali kepada mereka, abang rela berundur. Tapi kau memilih untuk tetap di sini, bersama abang. Dan kerana itu, abang tahu, ada sesuatu yang kau pendam, sesuatu yang kau cuba sembunyikan dari pandangan mata.

Sayang, abang tahu, cinta pertama itu tak pernah mudah dilupakan. Abang tahu, ada luka yang masih berdarah, ada rindu yang masih bersisa. Dan abang tahu, kehadiran abang tidak pernah mampu menggantikan tempat mereka di hatimu. Abang hanya insan biasa, yang kau kenali dalam waktu yang singkat, yang tidak pernah mampu memahami dirimu seperti mereka.

Abang sedar, dalam perjalanan ini, abang telah melukaimu. Abang tidak pernah berniat untuk menyakitimu, tapi abang tahu, kehadiran abang telah membuatmu terpaksa menanggung beban yang berat. Abang hanya ingin melihatmu bahagia, meski itu bermakna abang harus melepaskanmu.

Sayang, hidup ini adalah takdir. Kita hanya mampu merancang, tapi Allah yang menentukan. Jika cinta itu bukan milik kita di dunia ini, abang berdoa agar kau menemui kebahagiaanmu di alam sana. Abang hanyalah jodoh syariatmu di dunia, sedang jodoh hakikat kita hanya Allah yang tahu.

Semoga kau terus kuat, terus tabah, dan terus melangkah ke hadapan. Abang akan sentiasa mendoakan yang terbaik untukmu, di dunia dan akhirat. 

Wallahu a'lam.

Salam kasih,  
Abang.

25 April 2009

Syukur kepada Mu

Peringkat awal aku memulakan tugas sebagai Penolong Pendaftar agak kekok juga.Rakan-rakan sejawatan terdiri dari lepasan KUSZA dan Institut Tahfiz di Pusat Islam, Kuala Lumpur.Sedangkan aku hanya lulusan STPM Syariah.Namun aku bangga kerana rakan-rakan juga yang agak sebaya tidak meninggikan diri.Aku tidak menerima didikan Islam formal waktu di sekolah menengah.Seingat aku hanya ketika di sekolah rendah aku rajin membaca buku-buku agama (tulisan jawi) dan mengambil matapelajaran Tulisan jawi juga Pendidikan Agama Islam.

Semua atas galakan Ustaz Hassan Basri dan rakan-rakan sebaya ketika itu.Walaupun ketika itu aku bukan Muslim tapi aku turut saja mempelajarinya.Masih juga ingat aku dipuji oleh Ustaz Hasan kerana mendapat markah kedua tertinggi sewaktu di darjah 5 dalam matapelajaran Agama Islam.

Masuk ke sekolah menengah aku tidak lagi meneruskan mempelajari dan mengambil pendidikan Agama Islam kerana waktu itu subjek alternatif seperti pendidikan seni lukisan boleh diganti dengan pendidikan agama Islam bagi pelajar-pelajar bukan Islam.Namun kadang-kadang aku duduk di barisan belakang waktu subjek Agama Islam mencuri-curi dengar Ustaz mengajar.Ketika dilantik sebagai Pustakawan pula aku mengambil peluang mengambil buku-buku berkaitan Islam dan membawa pulang untuk untuk dibaca di rumah.

Itulah kali terakhir aku menerima didikan agama Islam secara formal.Alhamdulillah, semuanya atas kehendak Allah juga.Aku boleh membaca jawi dan menulis.Sikit-sikit ada juga ketika itu menghafal ayat-ayat lazim yang pendek.Keluarga tidak tahu malahan rakan-rakan rapat juga tidak tahu.

Andaikata aku berterusan mengambil subjek Islam (yang kuminat) ketika itu insyaAllah mungkin aku juga boleh mendapatkannya hingga ke peringkat yang lebih tinggi.Cuma setelah bergelar Muslim 23 tahun yang lalu aku berusaha mempelajarinya.Ada juga rakan-rakan sejawatan yang bertanya di mana aku mendapatkan didikan formal.Bekas institusi mana? Persoalan itu  hanya kujawab dengan ringkas...aku lulusan STPM jer.

Aku berterima kasih kepada mereka-mereka yang membantuku meneruskan perdidikan formal dengan mengambil subjek Syariah sewaktu di Yayasan Anda Akademik.Dengan kelulusan STPM.Dengan pengalaman menghadiri kuliah-kuliah agama sebelum mendapatkan didikan formal, aku dapat juga memahami cabang-cabang ilmu dalam Islam yang menjadi asas kepada subjek Syariah.

Namun semua itu atas kehendak Allah SWT juga.Aku hanya alat yang diberi hidayah untuk berusaha mendalami ilmunya.Syukur kepada Mu ,Tuhan.

16 April 2009

sepi...


aku menyusun sepi
di tingkap hati
menjenguk dari dalam diri
mencari sinar yang terang
namun kelam.

pernah menyapa bulan
memanggil bintang
kala langit dingin sambil duduk tafakur
melafaz sepatah syukur
dan terus menjadi begini
sepi...

aku sesat di lautan rahmah
sedang sebutir bintang terang di ufuk serlah
cahaya yang tak pernah pudar
ketuklah hati yang tiada sedar
gundah hati yang tiada hilang
pimpin daku ke puncak cemerlang

sepi...
ajari aku tentang hidupmu
lemaskan daku mengenal lautan makrifahMu
moga kukenal kematian mulia
ampunan Tuhan dengan redha

10 February 2009

Monolog kasih : 1992



Hidup berdua menuntut persefahaman.Aku tidak pernah tahu sifat perempuan.Hidup serumah.Berkongsi ranjang.Ganjil.Walaupun sebelum ini kukenal rakan-rakan perempuan tetapi yang telah menjadi milik diri ini membuat aku selalu menilai kemampuanku menjadi suami.Memang indah hidup berdua, bersatu jiwa.Impian setiap gadis dan teruna .Berpasangan dengan ikatan syarak dan adat.Aku tidak tahu naluri dia sebenarnya.

Aku ingin memberi sepenuh kasih dan sayang.Rasa cinta dan belas simpati.Aku ingin tunjukkan kepada isteriku bahawa aku punyai hati yang lembut agar ia merasai dinginnya berteduh dalam pelukanku.Agar dia merasai selamat juga tenteram punyai lelaki yang akan menjagainya sehingga ke hujung usia.

Aku ingin dia merasai kagum dengan kepimpinanku.Agar dia beroleh keadilan pada ketika jiwanya memberontak.Aku ingin dia merasai damai menikmati alunan ayat-ayat suci di belakangku ketika berdua mengadap Tuhan.Aku ingin dia merasai disayangi ketika sepi berjauhan.Agar rindunya sentiasa kepadaku.Aku ingin dia menikmati haruman dari tubuhku agar ingatannya kepadaku tidak pernah pudar.

Aku selalu menginginkan dia memohon restu maaf dariku...suaminya, andaikata bertentang pandangan jiwa dan akal.Aku mahu dia tahu bahawa hidup denganku adalah keputusan terbaik yang pernah dia lakukan dalam hidupnya.

Namun aku juga ingin dia mengetahui bahawa aku hanyalah seorang lelaki, suami yang punyai sifat lemah sepertinya juga.Kadangkala tersasar cara memimpin.InsyaAllah...aku ingin dia juga mendoakanku kekal menjadi suami idamannya.

14 January 2009

Dia yang kukenal.

Gadis itu yang kukenal, biasa saja orangnya. Berkulit cerah kuning langsat kata orang. Sederhana tingginya dan bermata sepet. Wajah persis anak cina (memang anak cina pun) dan paling penting bertudung labuh. Itu yang yang memikatku kerana aku tahu seseorang yang begitu, punya keinginan yang sangat baik kepada kehidupan  ajaran Islam. Aku sangat-sangat menghormati perempuan yang bertudung labuh. Sejak dulu hati ini mudah cair dan larut dalam dimensi lain kehidupan, apabila melihat gadis yang sedemikian. Pun begitu aku juga menghormati mereka yang bercita-cita menutup aurat. Tak kisahlah apa bentuk tudungpun selagi menepati tuntutan menutup aurat.

Dari segi kecantikan pula, siapalah aku ingin memiliki gadis yang punyai raut menarik, sedang aku sendiri pun tidaklah sehebat mana. Sekadar apa yang dianugerahkan Allah sudah lebih dari baik untuk aku membawa diri dalam kehidupan dunia ini. Pendek kata bersyukurlah. Aku tidak kisah tentang rupa paras kerana aku sendiri memahami kelebihan memilih suri hidup berdasarkan agama melebihi tiga perkara yang lain. Hasil tarbiyah dan tazkirah bertahun dulu.

Kadang-kadang apa yang kita dambakan pada yang tidak ada, tidak pula kita ucapkan berlebih syukur apa yang telah kita punyai. Itulah kita. Sudah puas dalam hidupku bertemu gadis yang baik, manis dan punya ciri-ciri solehah namun ketentuan Allah juga adalah terlebih baik. Hubunganku dengan ustazah ini permulaan sekadar biasa saja. Peringkat awal perkenalan, aku pernah luahkan rasa hati di atas warkah-warkah, namun tidak sehelaipun berbalas. Aku mula berteka-teki. Mengapa ?.Tapi tidak pula terbit bosan untuk menulis pada sekelian kali berikutnya.

Gadis itu pernah berkata dia tidak pandai menyusun bahasa dan layangkan warkah balasan untukku walau sekali. Aku pula memikirkan adakah dia sedang mengujiku atau…..Aku bersangka baik. Aku tidak pernah ingat berapa helai pucuk surat telah aku berikan dan tidak sehelaipun mendapat balasan.

Di penghujung November 1991, aku akhirnya mendapat surat gembira. Namun bukan surat dari ustazah itu. Surat tawaran bekerja di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Aku bersetuju menerima tawaran kerja itu dan bermula awal Disember 1991 kehidupanku menjadi lebih baik. Aku telah berkerja  dan mula memikir-mikirkan kehidupan pada masa akan datang.

20 August 2008

Al-Arqam 1986 : Kehidupan yang lalu.

Al-Arqam, suatu nama yang membawa kesan besar dalam sejarah amalan keagamaan di Malaysia sekitar 1980'an dulu. Juga memberi kesan besar kepada diri dan jiwaku. Malah seluruh kehidupanku peringkat awal berubah 100%. Selama hampir setahun warna hidupku dicorak oleh jamaah Al-Arqam. Jauh dalam hatiku, aku amat-amat bersyukur kerana aku hidup di dalam suatu jamaah Islam yang mengamalkan konsep Islam itu sendiri.

Bayangkanlah jika aku tidak menemukan satu badan yang boleh membimbing dan mentarbiyah aku setelah aku memeluk Islam, mungkin aku hanya Islam suku-suku saja. Dalam Arqam aku mengenal banyak aspek-aspek Islam yang jarang aku lihat ketika itu. Umpamanya puasa sunat, solat sunat dan bermacam-macam ibadah sunat yang lain. Kelas-kelas fardhu ain dan kifayah tidak terbilang lagi. Segala aspek syariat Islam dirangkum dengan baik dan diterjemahkan. Aspek ibadah, muamalah, munakahah semua berjaya dilaksanakan.

Aku sangat-sangat percaya jika seseorang itu mencari ilmu untuk memahami tujuan hidupnya di akhir kalam nanti, maka selebihnya Allah akan memberi ilham untuk dia memahami dengan tepat tentang ilmu itu. Aku telah melihat banyak bukti. Padaku Islam agama yang sangat-sangat benar.

Namun aku bukanlah ahli jamaah yang tulen dalam al-Arqam. Kehadiranku sekadar menumpang, menagih ilmu-ilmu dari mereka yang lebih arif. Selebihnya kehidupanku, aku urus sendiri. Tidak seperti ahli jamaah yang lain. Mereka menjadi tanggungjawab badan itu sepenuhnya. Aku sekadar menumpang. Namun aku amat bersyukur mengenal Islam melalui Al-Arqam.

Ketika itu aku telah berubah dalam banyak aspek kehidupan. Fizikal dan mental. Aku masih ingat dalam sejarah hidupku aku mengenakan jubah dan serban sebagai pakaian harian. Bercakap menggunakan "ana" dan "anta" sebagai merujuk aku dan kamu. Aku tinggalkan minatku bermain gitar, melukis, bernyanyi dan aku hanya memikirkan tentang diriku yang masih banyak kekurangan ilmu agama. Aku habiskan masa membaca sejarah sahabat dan perkembangan Islam.

Setahun lebih aku dalam Al-Arqam akhirnya jamaah ini dilanda kontroversi kerana amalan zikirnya yang bertentangan aqidah dan difatwakan sesat. Aku mula perlahan-lahan mengundurkan diri. Pada peringkat awalnya amat berat untuk meninggalkan jemaah ini namun akhirnya aku redha kerana aku hanya menumpang. Malahan aku tidak mengamalkan sangat aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat itu.

Namun Al-Arqam telah membawa kesan kepada pengetahuan Islamku. Cabang-cabang ilmu yang menjadi teras hukum hakam agama telah dapat kufahami secara umum dan khusus. Dalam jemaah ini aku sudah boleh mengaji al-Qur'an dengan baik. Pendek kata asas sebagai seorang muslim telah sebati dengan diriku. Aku menjadi seorang pemuda yang kehausan ilmu agama. Aku ingin mendalami ilmu keagamaan di pondok-pondok agama. Ya itulah yang selalu kufikirkan pada masa itu.

Penghujung tahun 1986 aku meninggalkan al-Arqam dan 1987 aku kembara sendirian mencari ilmu. Merantau mencari pengalaman hidup. Menagih sinar pada masa hadapan.

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...