Showing posts with label Pondok. Show all posts
Showing posts with label Pondok. Show all posts

12 April 2013

kenangan lalu: Rakan Pena.

Kehidupan di dalam jemaah Al-Arqam kuteruskan seperti biasa.Bangun untuk bersolat subuh pada waktu awal paginya dan lazimnya berjemaah sehinggalah ke waktu Isyak pada malamnya .Siang hari adakalanya  aku mengisi jadualku dengan  membantu ahli jemaah menguruskan perniagaan barang-barang runcit atau mengaji kitab feqah yang ringan bersama ustaz-ustaz yang ada di markas Al-Aqram Kuala Pilah ketika itu.Boleh dikatakan banyak masaku ketika itu mengaji kitab.Kebanyakan kitabnya pula kitab-kitab lama karangan Syeikh Daud Fathani dan sebahagian yang tidak dapat kuingati lagi.

Dari situ minat mendalami agama semakin membuak-buak.Aku pasti akan mengaji pondok satu hari nanti.Itu tekadku ketika itu.Hujung tahun 1985, lewat tengah hari seusai solat Zohor , ketika ramai rakan jemaah telah berpergian dan ada antaranya beristirahat,aku mengambil majalah tabloid mingguan (yang tidak kuingat lagi nama akhbarnya).Satu-persatu helaiannya kubelek.Sehingga ke muka surat terakhir ruangan sahabat pena (macam Facebook jugakla).Ruangan itu kutatapi penuh minat dan satu persatu nama dan alamat kuteliti untuk mencari sesuai dengan pencarianku.

Aku teruja dengan satu alamat di Bachok Kelantan,Madrasah Yaakubiah namanya.Empunya nama alamat itu M Mat Jusoh (sebenarnya aku tak berapa ingat nama bapanya..hanya agakkan saja).Wah ini pencarian yang amat berguna buatku untuk mencari maklumat mengenai madrasah tersebut. Lama juga aku berfikir untuk menulis surat kepada rakan pena itu bertanyakan berkenaan madrasah tersebut. Akhirnya dalam minggu itu juga aku  menulis sepucuk surat menghulur salam perkenalan dan selebihnya ingin rakan pena baruku menceritakan perihal madrasah tersebut.

Alhamdulillah..kurang sebulan M menjawab suratku.Kesudian dia menjawab dan menjadi rakan penaku seterusnya sudi berkongsi maklumat tentang madrasah itu membuat aku semakin yakin dengan pencarian pondok pengajian agama di Kelantan ketika itu.Nada tulisannya ikhlas menceritakan suasana pembelajaran dan tarbiyah yang dijalani.Dia menggunakan alamat madrasah kerana mereka tinggal di asrama sekitar madrasah.Dia sendiri adalah pelajar tingkatan lima yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia tahun itu.Madrasah Yaakubiah di Nipah, Bachok itu bertukar nama kepada SMU (Arab) Bachok dan kini Maahad Yaakubiah, Bachok.Kelantan.

Agak lama juga selepas surat kali pertama kulayangkan, kami tidak berhubung.Kemungkinan jadual peperiksaan SPM sudah semakin hampir membuatkan kesibukkan M dan aku berutusan , sementara aku pula masih tercari-cari maklumat persekolahan pondok.Aku faham semua itu tidak memungkinkan aku bertanya lebih lanjut. Sehingga ke hujung tahun 1985 tiada lagi surat daripada rakan pena begitu juga aku.

01 September 2008

Perantau 1986

Penghujung 1986 aku masih di sini mengutip sisa-sisa kenangan yang masih belum jelas di fikiran.Aku cuba menjejaki rakan-rakan sepermainan dan sepersekolahan. Hampa. Kebanyakan mereka mungkin telah berpisah arah, mencuba nasib mencari rezeki di tempat lain. Kroh pada ketika itu tidak banyak menjanjikan apa-apa. Kebanyakan mereka bukan berasal dari sini. Seperti aku juga yang berada di sini atas urusan kerja ayahku. Kecualilah mereka yang tinggal di kampong berdekatan.


Tapi mereka juga tiada, mungkin mencuba nasib sepertiku. Aku telah menjadi perantau bermula aku menjadi muslim. Bezanya aku perantau mencari diriku dalam agama suci ini. Di mana tempatku nanti. Ilmu belum begitu mantap. Masjid Iskandari tempatku beriktikaf juga kurang menganjurkan kuliah agama ketika itu. Sedang diri kehausan ilmu-ilmu itu. Memang tarbiyah di Darul Arqam dulu telah menjadikan aku seorang yang merindui ilmu-ilmu agama.

Dulu ilmu keduniaan (seni) menjadi hafalan dan fahamanku. Kini fikiranku lebih terarah mencari sesuatu yang dinamakan Islam. Aku telah faham cabang-cabang ilmu dalam Islam. Sejak itulah aku berniat untuk mendalaminya di pondok-pondok agama (kalau boleh).

Mungkin Kroh adalah stesen terakhir. Saudara jauh yang kuziarahi telah menceritakan bahawa ayahnya akan pencen hujung 1986 dan mereka akan pulang ke kampung di Gua Musang , Kelantan. Aku sudah biasa mendengar Negeri Cik Siti Wan Kembang mempunyai ratusan pondok-pondok mengaji agama tersohor di Malaysia. Kesempatan itu aku khabarkan kepada mereka bahawa aku akan mengikuti mereka untuk mencari pondok agama yang berdekatan nanti.

20 August 2008

Al-Arqam 1986 : Kehidupan yang lalu.

Al-Arqam, suatu nama yang membawa kesan besar dalam sejarah amalan keagamaan di Malaysia sekitar 1980'an dulu. Juga memberi kesan besar kepada diri dan jiwaku. Malah seluruh kehidupanku peringkat awal berubah 100%. Selama hampir setahun warna hidupku dicorak oleh jamaah Al-Arqam. Jauh dalam hatiku, aku amat-amat bersyukur kerana aku hidup di dalam suatu jamaah Islam yang mengamalkan konsep Islam itu sendiri.

Bayangkanlah jika aku tidak menemukan satu badan yang boleh membimbing dan mentarbiyah aku setelah aku memeluk Islam, mungkin aku hanya Islam suku-suku saja. Dalam Arqam aku mengenal banyak aspek-aspek Islam yang jarang aku lihat ketika itu. Umpamanya puasa sunat, solat sunat dan bermacam-macam ibadah sunat yang lain. Kelas-kelas fardhu ain dan kifayah tidak terbilang lagi. Segala aspek syariat Islam dirangkum dengan baik dan diterjemahkan. Aspek ibadah, muamalah, munakahah semua berjaya dilaksanakan.

Aku sangat-sangat percaya jika seseorang itu mencari ilmu untuk memahami tujuan hidupnya di akhir kalam nanti, maka selebihnya Allah akan memberi ilham untuk dia memahami dengan tepat tentang ilmu itu. Aku telah melihat banyak bukti. Padaku Islam agama yang sangat-sangat benar.

Namun aku bukanlah ahli jamaah yang tulen dalam al-Arqam. Kehadiranku sekadar menumpang, menagih ilmu-ilmu dari mereka yang lebih arif. Selebihnya kehidupanku, aku urus sendiri. Tidak seperti ahli jamaah yang lain. Mereka menjadi tanggungjawab badan itu sepenuhnya. Aku sekadar menumpang. Namun aku amat bersyukur mengenal Islam melalui Al-Arqam.

Ketika itu aku telah berubah dalam banyak aspek kehidupan. Fizikal dan mental. Aku masih ingat dalam sejarah hidupku aku mengenakan jubah dan serban sebagai pakaian harian. Bercakap menggunakan "ana" dan "anta" sebagai merujuk aku dan kamu. Aku tinggalkan minatku bermain gitar, melukis, bernyanyi dan aku hanya memikirkan tentang diriku yang masih banyak kekurangan ilmu agama. Aku habiskan masa membaca sejarah sahabat dan perkembangan Islam.

Setahun lebih aku dalam Al-Arqam akhirnya jamaah ini dilanda kontroversi kerana amalan zikirnya yang bertentangan aqidah dan difatwakan sesat. Aku mula perlahan-lahan mengundurkan diri. Pada peringkat awalnya amat berat untuk meninggalkan jemaah ini namun akhirnya aku redha kerana aku hanya menumpang. Malahan aku tidak mengamalkan sangat aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat itu.

Namun Al-Arqam telah membawa kesan kepada pengetahuan Islamku. Cabang-cabang ilmu yang menjadi teras hukum hakam agama telah dapat kufahami secara umum dan khusus. Dalam jemaah ini aku sudah boleh mengaji al-Qur'an dengan baik. Pendek kata asas sebagai seorang muslim telah sebati dengan diriku. Aku menjadi seorang pemuda yang kehausan ilmu agama. Aku ingin mendalami ilmu keagamaan di pondok-pondok agama. Ya itulah yang selalu kufikirkan pada masa itu.

Penghujung tahun 1986 aku meninggalkan al-Arqam dan 1987 aku kembara sendirian mencari ilmu. Merantau mencari pengalaman hidup. Menagih sinar pada masa hadapan.

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...