Showing posts with label 1986. Show all posts
Showing posts with label 1986. Show all posts

14 December 2019

Hilang.


            
            Aku terdiam dalam dukanya hati. Kecewanya perasaan menerima kenyataan bahawa kemeriahan hidup alam remajaku telah menuju ke arah yang bertentangan.  Suatu ketika aku terasa bagai ianya telah diragut dalam kisah perjalanan hidup itu tanpa kerelaan.  Ada satu masa aku juga turut berasakan bahawa tidak ada sesiapa yang patut dipersalahkan dalam keputusan itu kecuali ia berbalik kepada diri sendiri.  Bayangkanlah sebelum itu aku dibesarkan di sebuah penempatan kem askar. Ramai kawan dan kenalan.  Hidup aku serba mencukupi dan gembira. Sebuah rumah yang disediakan oleh ayah lengkap ( duduk berek kelamin) dengan keperluan asas.

            Kemudahan lain yang menambahkan serinya hidup remajaku apabila ayah membeli pemain rekod radiogram, alat pemain VHS. Boleh hari-hari menonton filem dengan melanggan dan membayar harga langganan VHS movie sebanyak $3.00 ringgit untuk sebuah VHS.  Hari-hari juga dapat mendengar lagu kesukaan dari album muzik dan penyanyi terkini samada rekod lp atau radio kaset atau katrij lagu yang dibeli original dari kedai muzik. Kumpulan Kembara, Black Dog Bone, Alleycats, Carefree dan beberapa lagi kumpulan muzik yang popular pertengahan  tahun 1980’an itu.

            Bila melanjutkan pelajaran di ITM di pertengahan tahun 1983, ayah langsung dapat meneka minatku lantas menghadiahkan aku sebuah gitar kapok. Aku pula pernah mendengar ibu menceritakan kepadaku yang ayah pernah berkata kepadanya bahawa aku suka menyanyi dan kemungkinan besar aku boleh jadi penyanyi. Gitar kapok itu juga pernah aku usung ke asrama Jati buat menghiburkan hati bila waktu sunyi.

            Kini segalanya telah semakin sunyi.  Hidup di perkampungan membuatkan aku pasrah. Aku tidak akan menyalahkan sesiapa pada waktu itu. Aku sedar himpitan keluarga terutama sejak ayahku pencen. Ayahku tidak mendapat pencen penuh hampir setahun ketika aku masih dalam pengajian. Ketika ayah masih berkhidmat dengan kerajaan, ayah boleh mengirimkan wang kepada ku paling banyak pun $200 ringgit dan paling kurang $ 50 ringgit dalam tahun 1983 itu.  Aku sedar ayah dan ibu pagi-pagi lagi telah ke kebun getahnya. Ayah tidak mahu duduk di rumah kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan. Menumpang pula rumah adik sepupunya.

            Kemungkinan ayah dan ibu malu. Namun sejak itu wang saku untuk belanja keperluanku telah jarang kuterima. Tapi tidak pandai merungut. Aku tak pernah menyatakan kekecewaan kepada ibu orang yang paling rapat denganku. Aku harungi saja tugas harian ku sebagai pelajar. Untungnya waktu itu pihak ITM menyediakan makan dan minum untuk pelajar. Rajin atau tidak saja untuk menapak ke dewan makan kolej Seroja yang terletak 500 meter dari Kolej Jati kediamanku.

            Sewaktu cuti semester tahun 1984 aku terdengar ayah marah-marah pada awal pagi. Aku cuba menyelidiki puncanya. Ternyata ayah memarahi adik perempuanku yang ke dua kerana lewat ke sekolah menengah. Aku terdengar ayah merungut dia terpaksa makan garam dengan nasi kerana hendak membesarkan kami. Aduh. Aku benar-benar tersentak. Aku rasa terpukul dan bagai ditikam tepat di jantung bila mendengar luahan ayah. Aku tidak pernah terkilan sedikitpun jika ayah tidak dapat membantuku dari segi kewangan. Apalagi menerima kiriman wang tiap-tiap bulan dari ayah kerana aku sudah sedia maklum kesusahan mereka. Tetapi luahan ayah begitu mengecewakan diriku. Motivasi diri semakin menurun dan melelahkan.

09 July 2017

Warkah Yang Tidak Kesampaian

Melalui alam remaja adalah suatu pengalaman yang mengasyikkan, penuh dengan kisah suka dan duka yang tidak ternilai. Ketika bergelar pelajar, setiap pengalaman itu menjadi bermakna. Saat inilah kita mengenali sahabat-sahabat yang akhirnya menjadi teman rapat, berkongsi suka, duka, gurauan, malah rahsia kehidupan. Ada tawa dan tangisan, semua itu menjadikan setiap detik begitu berharga. Sesungguhnya, tempoh remaja itu indah, terutamanya apabila mula menyukai seseorang.

Dalam rangkaian kenangan itu, aku juga tidak terkecuali. Saat-saat yang berlalu memiliki warna-warna tersendiri. Ada suatu ketika di sekolah, aku menyimpan perasaan terhadap seorang gadis bermata sepet. Dia duduk di sebelah kiriku di kelas, pada mulanya dia seorang pendiam dan jarang berbicara. Namun, setelah mengenalinya, dia sering meminta aku mengajarkannya subjek Matematik. Katanya, "aku pandai," dan aku membalas, "Tapi awak cina  lebih pandai Matematik?" Dia sering mengadu, "Bahasa Malaysia susah juga," walaupun aku tahu sebenarnya dia tidaklah begitu lemah dalam subjek tersebut. Dia hanya tersenyum, memperlihatkan lesung pipit di pipinya yang tembam.

Ada satu kenangan yang masih tersemat di ingatanku—aku masih ingat ketika kami bergambar bersama. Dalam gambar itu, aku berdiri di belakang kirinya, dan dia, dengan rambut gaya China doll, berdiri tepat di hadapanku. Walaupun aku hanya menyukainya dalam diam, tidak pernah terlintas di fikiran untuk menjadikannya cinta sejati. Pada waktu sekolah, orang menyebutnya sebagai cinta monyet. 

Ketika aku tenggelam dalam kesibukan tugas sekolah, dia memiliki cara khas untuk menarik perhatianku. Kadang-kadang, dia meniup rambut yang jatuh ke dahinya atau menyelak rambutnya lalu menyelitkannya ke telinga. Setiap kali dia melakukannya, entah mengapa, aku merasa senang melihatnya.

Detik yang paling berkesan adalah ketika dia memintaku melukis potret berdasarkan gambarnya. Dia begitu terpesona dengan lukisan guru kelas yang pernah kubuat, bahkan memujiku pandai melukis. Pada masa itu, sekadar memiliki gambar teman perempuan sudah istimewa. Rasa malu antara lelaki dan perempuan masih kental, hubungan terjaga oleh norma dan adat. Sangat berbeda dengan sekarang, di mana interaksi jauh lebih terbuka.



Ketika melangkah ke institut pengajian tinggi, iaitu ITM pada tahun1983, aku bertemu lagi dengan seorang gadis yang memiliki ciri-ciri serupa. Bermata sepet dan sering menyelitkan rambut ke telinga. Kali ini, namanya adalah KGK. Aku mengenalinya melalui seorang rakan sekolah lamanya, Meng Kee, yang turut menyimpan banyak cerita tentang KGK. Pada suatu pagi, di Kolej Jati Blok C, Meng Kee dengan sengaja mencabarku untuk mendekati KGK. Saat itu, terasa peluang yang telah lama aku nantikan akhirnya tiba.

Meng Kee terus mengusikku, "Cuba panggil dia Salmah, tengok apa reaksinya!" katanya lagi. KGK, anak kepada seorang tokeh balak, menjadi topik perbualan kami. Akhirnya, aku mengarang sepucuk surat ringkas untuk menyampaikan salam perkenalan; tiada bahasa puitis, hanya ungkapan yang sederhana untuk menyatakan minatku.

Keesokan harinya, secara kebetulan aku bertemu KGK dalam perjalanan pulang dari kafeteria. Dia tersenyum, dan aku membalas dan menyapanya dengan ramah. Namun, ketika tiba masa untuk berkata sesuatu, lidahku tiba-tiba kelu. Tanpa dirancang, aku menyebutkan usikan Meng Kee, “Meng Kee kata, panggil awak Salmah.” KGK hanya tersenyum dan menafikannya, membuatkan aku tertanya-tanya sama ada aku telah dipermainkan oleh Meng Kee.

Aku terpaku, tanpa berfikir panjang, aku memilih untuk berundur dan melihat KGK berlalu. Surat itu masih belum sampai ke tangannya, dan itulah pertemuan terakhir kami. Aku sedar ada kemungkinan untuk bertemu lagi, namun sifat pemalu pada waktu itu benar-benar menghalang langkahku.

Barangkali pada semester hadapan, aku akan lebih berani, atau setidak-tidaknya, begitulah harapan yang aku semai dalam hati yang sarat dengan angan-angan dan impian.

04 May 2013

Coretan dari seorang kenalan.



Seingat aku, selesai majlis berkhatan awal tahun 1986 dan beberapa bulan selepas itu ada ura-ura untuk menghantar aku ke sekolah tajaan Al-Arqam di Melaka.Berita itu telah sampai juga ke telingaku kerana niat jemaah Al-Arqam itu telah lama dibincangkan memandangkan aku saudara baru dan sebagai saudara baru keperluan memantapkan pengetahuan Islam menjadi wajib.Malahan jemaah Al-Arqam Kuala Pilah berasa  itu satu tanggungjawab mereka untuk menerapkan pengetahuan agama Islam kepadaku.

Pertengahan tahun itu juga aku dihantar memasuki sekolah tajaan Al-Arqam di Alai, Melaka.Kutinggalkan kenangan jemaah Al-Arqam Kuala Pilah bersama motor Yamaha Y88ku.Kepada mereka kuamanahkan  menjaga satu-satunya hartaku itu.Aku ke Alai, Melaka memasuki Sekolah Rendah Al-Arqam yang ala-ala pondok itu.Pelajar di sana tidaklah ramai seperti di Sungai Penchala, di Selangor namun suasana pembelajaran membuat aku selesa dan bertekad untuk menuntut ilmu agama sebaik mungkin.

Sebelum kepergianku ke sana aku sempat berbalas surat dengan M rakan pena dari Pantai Timur.Dan kami bersetuju untuk bertukar-tukar foto selepas itu.Tidak lama kemudian M mengirimkan sekeping fotonya yang agak kabur.Bertudung hitam.Tetapi belum sempat aku membalas surat beserta fotonya itu aku terima sepucuk lagi surat darinya.

Apabila surat yang baru diterima kubuka, aku agak celaru kerana foto yang baru ini lebih jelas wajah seorang gadis bertudung pink dan berkulit cerah.Berbanding foto sebelumnya yang agak kabur.M menjelaskan kepadaku itulah sebenar dirinya.Sambil membariskan ayat-ayat kemaafan kerana agak gementar mengirimkan foto dirinya kepada seseorang apatah lagi kepada lelaki.

Foto itu tidak kusimpan lama.Aku memulangkan kembali kepada M.Niatku hanya ingin mengenali wajahnya sahaja.Aku tidak kisah dan marah kerana faham gementar hatinya.Seminggu kemudian M membalas dan mempersoalkan mengapa aku kembalikan fotonya itu.Dengan panjang lebar aku terangkan bahawa aku tidak biasa menyimpan foto perempuan dan sementelah  lagi aku akan belajar ke sekolah pondok jadi tidak pantas bagi aku menyimpan foto itu.M faham.

M lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun 1985 dan berjaya memasuki Tingkatan 6 bawah yang bakal menduduki Sijil Tinggi Agama Malaysia dua tahun akan datang.Aku ucapkan tahniah dan  dia mengaku tidak berapa puas hati dengan keputusan SPMnya.M menceritakan bahawa dahulu dia adalah seorang pelajar yang cemerlang dalam pembelajaran tetapi tiba-tiba sahaja mendapat sakit misteri sehinggakan terpaksa tinggal di rumah berbulan-bulan lamanya untuk berubat.

Setelah aku meneruskan pengajian di Sekolah Rendah Islam Al-Arqam Alai, Melaka semua surat menyurat pun turut terhenti.Kami tidak lagi berutus surat.Tentunya aku ketika itu berasa sedikit rindu kerana perkenalan itu telah menjadi selesa dan mesra.Namun keutamaanku ketika itu adalah ilmu.

01 September 2008

Perantau 1986

Penghujung 1986 aku masih di sini mengutip sisa-sisa kenangan yang masih belum jelas di fikiran.Aku cuba menjejaki rakan-rakan sepermainan dan sepersekolahan. Hampa. Kebanyakan mereka mungkin telah berpisah arah, mencuba nasib mencari rezeki di tempat lain. Kroh pada ketika itu tidak banyak menjanjikan apa-apa. Kebanyakan mereka bukan berasal dari sini. Seperti aku juga yang berada di sini atas urusan kerja ayahku. Kecualilah mereka yang tinggal di kampong berdekatan.


Tapi mereka juga tiada, mungkin mencuba nasib sepertiku. Aku telah menjadi perantau bermula aku menjadi muslim. Bezanya aku perantau mencari diriku dalam agama suci ini. Di mana tempatku nanti. Ilmu belum begitu mantap. Masjid Iskandari tempatku beriktikaf juga kurang menganjurkan kuliah agama ketika itu. Sedang diri kehausan ilmu-ilmu itu. Memang tarbiyah di Darul Arqam dulu telah menjadikan aku seorang yang merindui ilmu-ilmu agama.

Dulu ilmu keduniaan (seni) menjadi hafalan dan fahamanku. Kini fikiranku lebih terarah mencari sesuatu yang dinamakan Islam. Aku telah faham cabang-cabang ilmu dalam Islam. Sejak itulah aku berniat untuk mendalaminya di pondok-pondok agama (kalau boleh).

Mungkin Kroh adalah stesen terakhir. Saudara jauh yang kuziarahi telah menceritakan bahawa ayahnya akan pencen hujung 1986 dan mereka akan pulang ke kampung di Gua Musang , Kelantan. Aku sudah biasa mendengar Negeri Cik Siti Wan Kembang mempunyai ratusan pondok-pondok mengaji agama tersohor di Malaysia. Kesempatan itu aku khabarkan kepada mereka bahawa aku akan mengikuti mereka untuk mencari pondok agama yang berdekatan nanti.

20 August 2008

Al-Arqam 1986 : Kehidupan yang lalu.

Al-Arqam, suatu nama yang membawa kesan besar dalam sejarah amalan keagamaan di Malaysia sekitar 1980'an dulu. Juga memberi kesan besar kepada diri dan jiwaku. Malah seluruh kehidupanku peringkat awal berubah 100%. Selama hampir setahun warna hidupku dicorak oleh jamaah Al-Arqam. Jauh dalam hatiku, aku amat-amat bersyukur kerana aku hidup di dalam suatu jamaah Islam yang mengamalkan konsep Islam itu sendiri.

Bayangkanlah jika aku tidak menemukan satu badan yang boleh membimbing dan mentarbiyah aku setelah aku memeluk Islam, mungkin aku hanya Islam suku-suku saja. Dalam Arqam aku mengenal banyak aspek-aspek Islam yang jarang aku lihat ketika itu. Umpamanya puasa sunat, solat sunat dan bermacam-macam ibadah sunat yang lain. Kelas-kelas fardhu ain dan kifayah tidak terbilang lagi. Segala aspek syariat Islam dirangkum dengan baik dan diterjemahkan. Aspek ibadah, muamalah, munakahah semua berjaya dilaksanakan.

Aku sangat-sangat percaya jika seseorang itu mencari ilmu untuk memahami tujuan hidupnya di akhir kalam nanti, maka selebihnya Allah akan memberi ilham untuk dia memahami dengan tepat tentang ilmu itu. Aku telah melihat banyak bukti. Padaku Islam agama yang sangat-sangat benar.

Namun aku bukanlah ahli jamaah yang tulen dalam al-Arqam. Kehadiranku sekadar menumpang, menagih ilmu-ilmu dari mereka yang lebih arif. Selebihnya kehidupanku, aku urus sendiri. Tidak seperti ahli jamaah yang lain. Mereka menjadi tanggungjawab badan itu sepenuhnya. Aku sekadar menumpang. Namun aku amat bersyukur mengenal Islam melalui Al-Arqam.

Ketika itu aku telah berubah dalam banyak aspek kehidupan. Fizikal dan mental. Aku masih ingat dalam sejarah hidupku aku mengenakan jubah dan serban sebagai pakaian harian. Bercakap menggunakan "ana" dan "anta" sebagai merujuk aku dan kamu. Aku tinggalkan minatku bermain gitar, melukis, bernyanyi dan aku hanya memikirkan tentang diriku yang masih banyak kekurangan ilmu agama. Aku habiskan masa membaca sejarah sahabat dan perkembangan Islam.

Setahun lebih aku dalam Al-Arqam akhirnya jamaah ini dilanda kontroversi kerana amalan zikirnya yang bertentangan aqidah dan difatwakan sesat. Aku mula perlahan-lahan mengundurkan diri. Pada peringkat awalnya amat berat untuk meninggalkan jemaah ini namun akhirnya aku redha kerana aku hanya menumpang. Malahan aku tidak mengamalkan sangat aurad Muhammadiah yang difatwakan sesat itu.

Namun Al-Arqam telah membawa kesan kepada pengetahuan Islamku. Cabang-cabang ilmu yang menjadi teras hukum hakam agama telah dapat kufahami secara umum dan khusus. Dalam jemaah ini aku sudah boleh mengaji al-Qur'an dengan baik. Pendek kata asas sebagai seorang muslim telah sebati dengan diriku. Aku menjadi seorang pemuda yang kehausan ilmu agama. Aku ingin mendalami ilmu keagamaan di pondok-pondok agama. Ya itulah yang selalu kufikirkan pada masa itu.

Penghujung tahun 1986 aku meninggalkan al-Arqam dan 1987 aku kembara sendirian mencari ilmu. Merantau mencari pengalaman hidup. Menagih sinar pada masa hadapan.

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...