Showing posts with label Kenangan Lalu. Show all posts
Showing posts with label Kenangan Lalu. Show all posts

18 June 2020

Aku dan Islam: Nota Untuk Tuhan.

          Sepanjang sekolah rendah aku mengikuti kelas pengetahuan agama Islam. Aku belajar menulis jawi, belajar rukun iman dan islam, belajar cara-cara orang Islam bersembahyang, sirah nabi dan juga belajar mengaji qur’an. Sejak dari darjah 1 memang aku telah pelajari semua itu sehingga darjah 5 dan 6. Darjah 3 aku mula belajar sembahyang di masjid berdekatan sekolahku. Aku berwudhuk dan praktikal sembahyang. Dalam ramai-ramai kawan yang bukan islam pada ketika itu, hanya aku seorang yang mengikuti kelas agama islam. Atas kerelaan sendiri. Sebenarnya aku pun tak tahu apakah mengikuti kelas itu wajib atau tidak. Mungkin pengaruh kawan-kawan Melayu yang suka berkawan dengan aku.

          Adakalanya, dalam ujian aku mendapati markah yang mengkagumkan ustaz dan kadangkala ada juga tidak. Tetapi sedikit sebanyak aku telah faham apa itu agama islam dan siapa tuhan yang disebutkan Allah di dalam Islam. Konsep ketuhanan di dalam Islam dan apa peranan nabi-nabi dalam sejarah Islam. Sebagai murid bukan Islam aku telah sedikit sebanyak memahami tentang Islam dan mempunyai tanggapan yang jelas tentang Islam peringkat awal. Ditambah lagi dengan menonton siri-siri kisah nabi-nabi sewaktu bulan puasa tahun itu telah menarik minat aku kepada agama Islam.

          Begitulah pendedahan awal aku kepada Islam. Kawan-kawan melayu pula banyak bercerita tentang Islam kepadaku. Kadang-kadang mereka bercerita sesama mereka dan aku hanya menadah telinga mendengar dengan khusyuk. Bertanya tentang itu dan ini yang tidak jelas kepadaku. Tidak hairanlah aku semakin meminati agama ini.  Sehingga ke satu masa aku pernah memberitahu ibuku bahawa aku ingin masuk Islam. Ibu terkejut. Ibu tidak tahu bahawa di sekolah aku mengambil mata pelajaran berkaitan Islam. Kalau ibu tahu pun dia mungkin tidak tahu apa-apa tentang pelajaran Islam.

          Dalam waktu yang lain, ayah pula pernah membelikan aku sepasang baju Melayu, sampin, songkok hitam dan kasut sebagai persiapan hari raya. Baju Melayu berwarna biru siap dengan butang digantung kemas dalam almari. Hari-hari aku menunggu untuk memakainya. Ayah ingin aku menyambut hari raya bersama kawan-kawan di dalam penempatan kem kami.

          Begitulah waktu berlalu, Islam sudah jelas menjadi perhatian dan keinginan untuk aku menjadi sebahagian dari kawan-kawan Islam ku. Di kalangan pelajar bukan Islam, hanya aku seorang saja yang boleh menulis dan membaca jawi dan boleh membaca ayat-ayat Muqaddam walaupun merangkak.

            Aku telah tahu siapa tuhan orang Islam yang disebut Allah pada ketika itu. Bila aku membaca buku teks Pengetahuan Agama Islam dalam tulisan jawi pasti aku akan terjumpa perkataan Alif..Lam..Lam..Ha. Aku sudah tahu orang Islam hanya menyembah satu tuhan. Kadang-kadang aku rasa aku dekat dengan tuhan orang Islam. Kadangkala aku takut menyebut Allah dan hanya bermain-main dalam benak hati perkataan itu. Begitulah fikiranku zaman kanak-kanak dahulu. 

            Satu peristiwa melucukan telah aku lakukan sekitar tahun 1977 atau lebih awal sikit. Keinginan untuk mengenal siapa itu tuhan. Adakah dia bisa berkata-kata denganku atau tuhan mampu menunjukkan keajaiban-Nya di depanku. Aku pun menulis nota kepada Allah. Ya.. seorang anak orang Asli yang tiada pegangan agama Islam mengadu kepada Allah. Aku masih ingat aku menulis dalam tulisan jawi di atas sekeping kertas yang antara lain aku menulis "Wahai Allah berilah aku kekuatan dan boleh terbang...." aku tak ingat ayat seterusnya. Kertas itu aku letakkan di atas bumbung reban ayam yang tidak digunakan lagi. Konon-konon dalam fikiranku ketika usia yang masih mentah,  Allah dapat membacalah tulisanku dalam jawi itu. Lucu pun ada bila sesekali kembali mengingati kisah zaman anak-anak dulu. 

        Keesokan pagi aku bangun dan memanjat ke atas bumbung reban ayam lama. Kalau-kalau Allah membalas permohonanku. Tiada! Jauh dalam hatiku, aku tahu tuhan tahu keterujaan aku untuk mengenal diri-Nya.

30 December 2019

1985: Berita gembira untuk ayah


          Awal tahun 1985. Setahun sejak aku berhenti dari pengajian ITM, satu tengahari, ketika bersendirian di rumah.  Aku terdengar bunyi kenderaan motor di luar rumah.  Aku pasti abang posmen berhenti betul-betul di tangga rumah.  Sudah pasti ada surat yang ingin diserahkan.  Dalam kampong ayah ini,  bunyi motor siapa lagi yang akan kedengaran waktu-waktu begini kalau tidak posmen.  Aku bergegas dari arah dapur ke pintu rumah yang terbuka. Aku lihat abang posmen telah sedia menanti untuk menyerahkan sepucuk sampul surat berwarna putih.  Aku mengucapkan terima kasih dan sempat melihat muka depan surat dari Jabatan Pencen!

          Aku pun membawa surat itu ke dalam rumah dan membuka.  Ya, itulah jawapan kepada penantian ayahku sejak setahun yang lalu. Sekeping cek BBMB tercatat amaun $24,000.00. Ganjaran pencen untuk ayahku.  Aku tersenyum.  Pasti ayahku akan gembira mendapatkan cek ini nanti.  Waktu itu ayahku tidak berada di rumah.  Ayah bekerja menjadi jaga di sebuah kongsi balak di jalan menghala ke Simpang Durian, lebih kurang 5 kilometer dari kampong.

          Petang itu juga aku berbasikal mendapatkan ayah untuk memberitahu cek pencennya sudah diterima.  Juga ada satu berita gembira, pencen ayah akan dibayar penuh lebih kurang $ 400 lebih pada masa itu. Iaitu separuh dari gaji pokoknya berjumlah $ 800 lebih sebagai pencen berpangkat sarjan ketika di dalam Pasukan Polis Hutan.  Ayah sedang berehat di kongsi kepunyaan tauke cina. Aku menceritakan kepadanya berkenaan cek itu dan menyerahkan cek tersebut. Senja itu ayah balik ke kampong.  Aku lihat ayah ceria.  Ayah mengajak aku ke ke pekan Kuala Pilah untuk menunaikan cek esoknya.

          Ternoktahlah penantian ayah selama setahun lebih untuk mendapatkan ganjaran pencennya.  Entah di mana silapnya pihak majikan mengemaskini rekod perkhidmatan ayah  sehingga begitu lama dia menantikan.  Telah berpucuk-pucuk surat aku menaip ke pihak Jabatan Pencen untuk meminta penjelasan berkaitan pencen ayahku. Tetapi setiap kali itulah jawapan yang kami terima mengecewakan. Hasrat untuk membuat rumah untuk kami sekeluarga tinggal dan tidak menumpang lagi rumah sepupu tertangguh.  Kini impian itu semakin jelas.  Anak saudaranya telah menawarkan tapak tanah untuk dibina rumah. 

          Aku pasti ayah akan memikirkan dengan duit itu nanti ayah akan membuat rumah yang sederhana untuk kami semua.

14 December 2019

Hilang.


            
            Aku terdiam dalam dukanya hati. Kecewanya perasaan menerima kenyataan bahawa kemeriahan hidup alam remajaku telah menuju ke arah yang bertentangan.  Suatu ketika aku terasa bagai ianya telah diragut dalam kisah perjalanan hidup itu tanpa kerelaan.  Ada satu masa aku juga turut berasakan bahawa tidak ada sesiapa yang patut dipersalahkan dalam keputusan itu kecuali ia berbalik kepada diri sendiri.  Bayangkanlah sebelum itu aku dibesarkan di sebuah penempatan kem askar. Ramai kawan dan kenalan.  Hidup aku serba mencukupi dan gembira. Sebuah rumah yang disediakan oleh ayah lengkap ( duduk berek kelamin) dengan keperluan asas.

            Kemudahan lain yang menambahkan serinya hidup remajaku apabila ayah membeli pemain rekod radiogram, alat pemain VHS. Boleh hari-hari menonton filem dengan melanggan dan membayar harga langganan VHS movie sebanyak $3.00 ringgit untuk sebuah VHS.  Hari-hari juga dapat mendengar lagu kesukaan dari album muzik dan penyanyi terkini samada rekod lp atau radio kaset atau katrij lagu yang dibeli original dari kedai muzik. Kumpulan Kembara, Black Dog Bone, Alleycats, Carefree dan beberapa lagi kumpulan muzik yang popular pertengahan  tahun 1980’an itu.

            Bila melanjutkan pelajaran di ITM di pertengahan tahun 1983, ayah langsung dapat meneka minatku lantas menghadiahkan aku sebuah gitar kapok. Aku pula pernah mendengar ibu menceritakan kepadaku yang ayah pernah berkata kepadanya bahawa aku suka menyanyi dan kemungkinan besar aku boleh jadi penyanyi. Gitar kapok itu juga pernah aku usung ke asrama Jati buat menghiburkan hati bila waktu sunyi.

            Kini segalanya telah semakin sunyi.  Hidup di perkampungan membuatkan aku pasrah. Aku tidak akan menyalahkan sesiapa pada waktu itu. Aku sedar himpitan keluarga terutama sejak ayahku pencen. Ayahku tidak mendapat pencen penuh hampir setahun ketika aku masih dalam pengajian. Ketika ayah masih berkhidmat dengan kerajaan, ayah boleh mengirimkan wang kepada ku paling banyak pun $200 ringgit dan paling kurang $ 50 ringgit dalam tahun 1983 itu.  Aku sedar ayah dan ibu pagi-pagi lagi telah ke kebun getahnya. Ayah tidak mahu duduk di rumah kerana tidak ada apa yang boleh dilakukan. Menumpang pula rumah adik sepupunya.

            Kemungkinan ayah dan ibu malu. Namun sejak itu wang saku untuk belanja keperluanku telah jarang kuterima. Tapi tidak pandai merungut. Aku tak pernah menyatakan kekecewaan kepada ibu orang yang paling rapat denganku. Aku harungi saja tugas harian ku sebagai pelajar. Untungnya waktu itu pihak ITM menyediakan makan dan minum untuk pelajar. Rajin atau tidak saja untuk menapak ke dewan makan kolej Seroja yang terletak 500 meter dari Kolej Jati kediamanku.

            Sewaktu cuti semester tahun 1984 aku terdengar ayah marah-marah pada awal pagi. Aku cuba menyelidiki puncanya. Ternyata ayah memarahi adik perempuanku yang ke dua kerana lewat ke sekolah menengah. Aku terdengar ayah merungut dia terpaksa makan garam dengan nasi kerana hendak membesarkan kami. Aduh. Aku benar-benar tersentak. Aku rasa terpukul dan bagai ditikam tepat di jantung bila mendengar luahan ayah. Aku tidak pernah terkilan sedikitpun jika ayah tidak dapat membantuku dari segi kewangan. Apalagi menerima kiriman wang tiap-tiap bulan dari ayah kerana aku sudah sedia maklum kesusahan mereka. Tetapi luahan ayah begitu mengecewakan diriku. Motivasi diri semakin menurun dan melelahkan.

13 February 2019

Madrasah Cinta

Jarum jam yang panjang di atas meja berkalih ke angka dua belas. Sementara jarum yang pendek menirus datar ke angka sembilan.  Jam meja Seiko berbentuk bulat dan berkaki pendek warna merah jambu terletak cantik. Ada dua loceng kecil di atasnya. Comel. Tersepit di celah beberapa buah buku novel cinta tempatan berbahasa Mandarin juga Melayu dan berselang seli dengan buku rujukan seni kontemporari.  

Paling tebal buku Art of 20th Century terbitan Taschen setebal 840 muka surat itu disusun menegak ke kanan meja. Sebelah kiri  pula deretan lima buah buku penyiasatan popular karya Caroline Keene dalam siri Nancy Drew Mistery Stories milik si pembaca yang obses merungkai kisah-kisah misteri. Paling diminati buku bertajuk The Secret of Old Clock. Ada sebuah buku himpunan sajak kontemporari karya penyair tempatan terselit antaranya. Hujung meja pula dihiasi dengan bunga plastik Ammocallis rosea yang kecil di dalam bekas pasu menirus yang berwarna putih. Dua kuntum semuanya. Terserlah kelopak warna merah jambu dengan glitter perak disimbah lampu neon di atas. Di sisi kiri meja tergantung di dinding sebuah frame kayu berwarna coklat enam kaki persegi dengan motif bunga sakura putih berkuntum tiga, mengabadikan di tengahnya, untaian mutiara cinta kaligrafi Mandarin di sebalik plastik lutsinarnya yang membawa makna,

“Tidak ada kejutan yang lebih ajaib daripada kejutan dicintai seseorang.”
            Anne duduk di kerusi menghadap meja itu. Jejari kanannya ligat memutarkan pensil. Berpusing-pusing. Ke kiri dan ke kanan. Bermain-main di antara celah jejari lentik itu. Pandangan matanya terarah ke catatan nota ringkas di atas meja. Cuba mengimbas ingatan isi-isi kuliah yang telah lalu. Wajah bujur sireh yang mulus itu tekun mentelaah sementara Nur Fatihah yang masih bertelekung putih tersandar ke dinding dan bersila di atas katil usai Isyak tadi. Dua helai warkah biru di tangannya menjadi tatapan. Sabar dan tenang saja dia mengamati setiap butir perkataan.  Ayat demi ayat, baris demi baris dalam font freestyle script hitam yang bertulis tangan.  Menghayati bait-bait rindu sang kekasih hati. Sesekali dua ulas bibir yang nipis milik pembaca itu menguntum senyum. Ada juga ketawa kecil yang ditahan-tahan. Menampakkan lesung pipit sebelah kiri pipi. Lucu menghadami coretan seorang penulis bahasa hati. Warkah cinta curahan hati sang perindu.

Sebotol air di dalam bekas Tupperware berwarna kuning cair di bawah meja yang satu lagi. Masih di situ sejak pulang petang tadi. Anne menggapainya lalu diteguk perlahan. Setelah puas diletakkan pula di atas meja. Radio kecil di sisi meja mengalunkan lagu-lagu dari penyanyi tempatan dan luar negara silih berganti. Permintaan dari pendengar-pendengar yang setia saban malam menanti. Tepat jam sembilan, sketsa Pilihan Pendengar dari KL fm. Menunggu lagu pujaan yang akan keluar dan  masanya untuk melayan perasaan. Suka, duka, hiba dan rindu semua terangkum dalam lirik dan melodi yang mendayu. Syahdu.


            Malam kian melarut.  KL fm mula bersiaran ke udara menjadi pilihan hampir keseluruhan penghuni blok hostel. Itu saja medium hiburan yang menyeri kebisuan malam. Sebuah lagu top duet romantis lantunan penyanyi tersohor  negara seberang mula mengisi permintaan di ruang sepi dalam dorm 2C.  Pemintaan dari seorang jejaka nun jauh di pantai timur. Rindu, katanya kepada teman yang berada di selatan. Suara garau juruhebah lelaki melayan mesra segera memutarkan lagu itu. Lantunan Broery Marantika dan Dewi Yull, Jangan Ada Dusta di Antara Kita, terpasang dalam nada skala 3 mendayu keluar dari speaker radio mini Panasonic kepunyaan Nur Fatihah.  Melodi yang romantis dengan lirik yang puitis lantuan suara jantan penyanyi lelaki, Nur Fatihah turut memasang dengar. Liriknya mencairkan hati si pendengar itu yang menekuni helaian warkah yang diterima siang tadi. Nur Fatihah terus menuturkan ayat si penulis di hati. Mengulang-ulang membacanya kembali. Sudah tiga kali diulangi. Senyum meleret lagi. Anne melontar keluar rasa terhibur melepasi tingkap kaca, renungan kosong menerobosi sepi gelap malam. Tiada bintang. Tiada perasaan mahu digambarkan.

06 September 2018

Aku budak kampong ( 1984- 1985)

Aku budak kampung. Aku cuba mendalami kehidupan suasana desa. Ia suatu yang asing bagiku walaupun  pernah juga balik ke kampong ayah dan ibu suatu waktu dulu. Sebenarnya kehidupanku banyak dihabiskan dalam suasana penempatan kem askar. Bermula dari zaman kanak-kanak hingga remaja. Walaupun di kelilingi anak-anak Orang Asli dan rakan-rakan Melayu, kami di kalangan kanak-kanak Orang Asli dan Melayu tiada beza. Berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu. Kehidupan di dalam kem berbeza dengan suasana kampong yang sunyi ditemani dengan gelap yang pekat apabila malam menjelang. Maklumlah tiada kemudahan eletrik lagi.

Aku juga suka tinggal di kampong waktu kecil-kecil dulu kerana dapat bermandi-manda di sungai bersama anak-anak kampong yang kebanyakan mereka mempunyai ikatan persaudaran denganku. Kami juga kerap menyusuri hutan dan belukar untuk berburu binatang hutan, membuat perangkap dan mengail serta menjaring ikan tetapi waktu itu aku masih di alam kanak-kanak. Aku hanya tahu keseronokan dan tidak pernah terlintas ingin mendalami kesusahan orang-orang kampong mencari rezeki.

Kini aku menjadi sebahagian daripada mereka. Aku sudah remaja dan pandai untuk menilai dalam banyak perkara. Terutama untuk mengisi perut perlukan wang dan wang hanya diperolehi dengan berkerja. Kalau tak bekerja tiadalah wang untuk membeli itu semua. Belum lagi untuk mencuba pakaian baru. Semuanya memerlukan wang. Hidup di kampong bukan mudah mencari wang dan perbelanjaan, tambahan pula pada pertengahan tahun 1980’an. Amat sukar sekali. Apalagi keluarga ku baru  menetap di kampong. Aku telah melihat kesusahan keluarga saudaraku untuk mencari rezeki. Begitu juga keluargaku yang ramai adik-beradik itu. Sebagai anak sulung aku kerap memikirkan bagaimana aku sebagai abang dapat meringankan kehidupan keluarga dan adik beradikku. Sedangkan aku sudah tidak lagi melanjutkan pendidikan. Aku kerap berfikir, hanya berkelulusan SPM 1982 dan kemudian dapat belajar di ITM tetapi sangkut di awal pengajian. Apalah yang dapat kulakukan. Kekesalan sudah tidak membawa apa-apa makna.

Sebagai budak yang baru hendak mengenal kehidupan desa kadang-kadang aku berasa kekok hendak bergaul dengan rakan-rakan. Banyak etika dan pantang larang yang aku tidak ketahui sangat tentang kehidupan yang penuh dengan adat. Kehidupan social kaumku nampak mudah tetapi sangat kuat berpegang dengan adat. Dalam banyak perkara aku hanya menjadi pemerhati dan pergaulan dengan orang-orang tua di kampong terbatas. 

24 May 2018

1984 : Segalanya Telah Berakhir.

Berakhirlah perjuanganku untuk menimba ilmu di dalam bidang seni lukis dan seni reka. Bidang yang disukai sejak zaman sekolah rendah. Menjadi  hobi masa lapang bila usia meningkat remaja. Melukis  dengan hanya menggunakan pensil 2B di atas drawing block. Apa saja objek menjadi sasaran mata pensilku. Watak-watak kartun televisyen sekitar tahun 1980 seperti siri animasi kartun dari Jepun, Blocker Corp Machine Blaster. Siri kartun yang aku minati ketika itu. Aksi pemain bola sepak menjaringkan gol, helicopter Nuri TUDM, lanskap sekitar Kroh, daerah pemukiman. 

Aku juga menggunakan teknik melukis menggunakan water color . Aku melukis kasut bola sepak ku jenama PUMA bersama buku-buku yang disusun berlapis untuk impak seni dan aku masih ingat aku melukis dalam cahaya suram yang datang dari tingkap bilik yang kubuka sedikit agar cahayanya tampak malap. Paling kuingat aku melukis seorang gadis berambut china doll, berbaju kurung dengan mata sepetnya hanya dengan menggunakan pencil. Potret diri gadis itu hanya imbasan ilham sebelum aku memasuki ITM. Mungkin kerana aku meminati ciri gadis yang sebegitu.

Segalanya telah berakhir. Kegagalan menyambung pelajaran ke semester berikutnya membenihkan kekecewaan dalam diri. Sehingga kini, jika terkenang zaman itu pasti terasa juga luka kekecewaannya. Bagaimanapun hidup di desa perlu diteruskan. Aku mula bergaul dengan pemuda kampung. Aktiviti berkumpul di rumah bujang  sambil menonton tv dan bermain gitar sedikit sebanyak mengikis kenangan menuntut ilmu di ITM dulu. Aku mula mengenali wajah-wajah anak desa itu yang juga mempunyai pertalian saudara sebelah ayahku.

Kadangkala ada juga tawaran kerja-kerja kontrak seperti memikul tebu, mengumpul getah buku atau skrap untuk dinaikkan ke atas lori. Memasang pancang kelapa sawit untuk menanda tanaman sawit di ladang. Meracun anak-anak getah di estet kepunyaan Sime Darby. Berpanas dan berhujan tidak terkira lagi. Semuanya terpaksa kulakukan demi mencari rezeki membantu keluarga. Masih kuat di ingatan satu pagi aku diajak oleh saudara ayahku berkerja mengikut lori getah. Tugasku mengaut getah buku di pusat pengumpulan dan dinaikkan ke atas lori.  

Dari satu tempat ke satu tempat sekitar daerah Jelebu dan Jempol. Dari kampung ke kampung yang lain, dari pagi hingga ke petang. Busuknya bau getah sekerap tak dapat digambarkan. Apalagi yang sudah berlendir bercampur air. Baunya meloyakan melekat di baju dan anggota tubuh. Kami mengumpul getah buku dari satu lokasi ke lokasi yang lain sambil aku berdiri di belakang lori. Panas terik menjadi teman. Terfikir olehku saat itu betapa aku dulu seorang terpelajar. 

Kini di belakang lori getah buku yang berbau busuk. Sedih. Bila habis kerja, kami diberi wang upah dan disuruh menaiki bas untuk pulang ke kampung. Dengan baju berbau busuk getah buku, kami menunggu bas. Bila bas tiba, aku tak sanggup duduk di dalam. Hanya berdiri di tangga bas. Malu kerana keadaanku yang kusut dan berbau busuk. Itulah harga diri yang terpaksa ditanggung sebagai anak kampung.

Pernah juga berkerja menggalas tebu yang diikat sebanyak 10 batang sepanjang 10 meter. Beratnya berbanding tubuhku yang kurus. Namun kugagahkan juga. Berkerja sehingga lewat senja. Bila keadaan sudah agak kelam, aku tersepak tunggul kayu dan sakitnya tak tergambar oleh perasaan. Selepas itu aku demam. Keluar urat merah menjalar dari buku lali ke pangkal paha. Tunggul kayu itu terkena tepat pada buku lali dan terkena kelenjar. Aku tak boleh berjalan hampir seminggu.

Jika tak ada tawaran mengambil upah aku hanya duduk di rumah dan mengemas apa yang perlu. Mendengar lagu di radio dan bermain gitar. Membasuh pinggan mangkuk, membasuh kain baju dan memasak menggunakan kayu api. Peritnya hidup di kampung. Namun itu terpaksa dilalui dengan tabah. Aku sudah tidak tahu ke mana arah hidup pada masa akan datang. Usia ketika itu mencecah 18 tahun dan aku sudah tidak belajar apalagi berkerja. Hidup tanpa pegangan aku hanya menurut takdir.


Bila petang, aku dan rakan sebaya pemuda sekampung bermain bola sepak di padang sekolah sehingga senja. Pulang bermain kami  beramai-ramai mandi manda di sungai sambil bercerita dan berbual kosong. Begitulah kehidupan yang kulalui dari hari ke hari pertengahan 1984 sehingga Disember tahun itu. Kebosanan mula menjalar dalam diri. Aku seorang terpelajar tetapi aku terperangkap di dalam dunia yang bukan seperti yang kuharapkan. Rindu untuk melukis semakin menghakis.

23 November 2017

1984 : Kembara Seni.

Sebagai anak muda yang baru berusia 18 tahun dan naif berkaitan persoalan kehidupan, aku menurut saja kata-kata orangtuaku.Menaiki bas dari kampong ke pekan Kuala Pilah.Dari Kuala Pilah menaiki bas United berwarna merah menuju ke bandar Seremban.Setiba di Seremban, memilih bas ekspres SKS untuk menuju ke Kuala Lumpur.Itulah yang diberitahu.Sebelum ini sewaktu ayahku masih bertugas di utara tanahair, aku berulang alik dari kem PPH di Kroh (Pengkalan Hulu) menaiki bas Setia Ekspres menuju ke ibu kota terus menerus dan berhenti di perhentian terpilih tanpa menukar bas.Inilah pengalaman pertama aku kembali ke ibu kota dari kampong di Jelebu , Negeri Sembilan.

Tidaklah sukar mencari bas walaupun pekan Kuala Pilah dan Seremban asing bagi ku pada waktu itu.Setiba di Pudu Raya di ibu kota, aku berjalan kaki menyelinap antara penghuni kota yang bertali arus ke  perhentian bas Stand Klang.Inilah pengajaran penting untuk ku dalam menyelesaikan masalah kecil dalam kehidupan remaja.Semuanya diputuskan sendiri tanpa bantuan sesiapa.Pengajaran ini menjadi pengalaman dalam menguruskan kehidupan seterusnya.Dari situ ke  perhentian bas Kelang menaiki bas Sri Jaya menuju ke Sekyen 2, Shah Alam.

Kembali ke ITM Shah Alam, terus saja aku ke asrama Kolej Jati dan menuju ke dorm di tingkat 5.Aku mendapati bilikku telah dihuni oleh pelajar lain.Rakan kepada rakan sebilik denganku.Pelajar dari Sabah dan kedua-duanya dari course yang sama.Mereka meminta aku mengambil tempat di bahagian luar bersama Azmi.Permintaan mereka walaupun secara lembut telah sedikit menyinggung perasaanku.Namun aku pasrah dan beralah.Memandangkan Azmi kawan serumah juga pelajar perakaunan yang sudah 2 sem menghuni di bahagian lobi.Sekurang-kurangnya aku mempunyai teman berbicara.

Aku memilih katil berdekatan tingkap dan meja tulis ku di tepi dinding di bahagian kepala.Sementara almari pakaian jauh sedikit dari katilku. Rakan baik sekuliahan, Sariman belum lagi tiba dari kampungnya.

Untuk hari-hari seterusnya di situlah aku berkarya dan menyelesaikan beberapa assignment yang diberikan pensyarah.Awal 1984, merupakan part 2 dalam setahun di Kajian Senilukis dan Senireka, Institut Teknologi Mara.Masih dalam peringkat pra senilukis sebelum kami diserapkan ke jabatan seni atau art department pada semester seterusnya berdasarkan kecenderungan dan markah yang diperolehi di akhir peperiksaan akhir sem nanti.

            Aku berminat dalam karya Seni Halus tetapi dalam masa yang sama tertarik dengan kerja-kerja grafik senior terdahulu.Kreatif dalam penghasilan karya yang agak teknikal walaupun ketika itu karya-karya grafik terhasil secara manual dan terhad dari segi penggunaan medium, tidak seperti era ICT.Sungguh, aku tersangat teruja untuk terus mendalami bidang senilukis dan senireka kerana dapat merasakan jiwaku sealiran dengan calitan indah warna-warna yang terpapar.Aku sentiasa mengintai calitan dan lakaran skesta berbingkai yang terletak di foyer pintu masuk.Indah.


            Maka bermulalah mainan kata-kata puitis terabadi berbentuk sajak dan puisi di atas board lukisan diperbuat daripada kayu lapis 2 x 2 kaki.Papan lukisan itu memang menjadi sasaran pelajar-pelajar untuk melepaskan skil dan perasaan dengan nukilan sajak dan lirik-lirik lagu yang menjadi siulan dan popular pada masa itu.Aku tidak terkecuali.Lagu Yesterday dan And I Love Her oleh The Beatles.Monolog hati yang merindui seseorang.


14 May 2017

Kenangan Lalu..(sebuah koleksi peribadi 1983)


Bas nombor 37 berhenti di hujung simpang.Aku turun dan mengucapkan terima kasih kepada pemandunya.Dia senyum lalu mengucapkan selamat jalan kepadaku.Ku balas ucapan itu dengan senyuman juga.Bas berlalu dan aku masih lagi terpaku buntu.Berdiri mencari arah pulang ke kampung halaman.Tidak ada siapa yang sudi menyambutku petang itu.Justeru aku juga tidak berharap akan ada sesiapa menantiku.Mereka sudah tidak lagi mengenaliku.Sedang aku telah lama di rantau. Pasti tiada sesiapapun akan mengenaliku.

Bas  berlalu pergi sambil mataku menghantarnya hingga hilang di balik jejeran pokok kelapa sawit.Bas itu masih menabur khidmat baktinya.Ada kenangan lama yang sukar ditepis melihat bas itu berlalu.Bas pergi dan aku pun melangkahkan kaki.

Kumulakan langkah dengan rasa hati yang amat berat.Bagai memikul bebanan di pundak bertan-tan rasanya.Begitupun rinduku tidak pernah reda.Rindu bertemu insan yang telah lama kutinggalkan.Mereka menanti dengan penuh senyuman.Insan-insan yang terpateri di hati. Sanggupkah aku menahan rasa duka di jiwa.

Sekilometer lagi langkahan kaki ini ke destinasi akan menemukan aku dengan istanaku.Istana yang kubina bersama gadis pujaan 16 tahun lalu.Gadis yang kugilai sejak usia remajaku.Kelembutan, kecantikan gadis desa yang tiada bandingan.Paling memikat kepandaiannya mengaji ketika kami anak desa mengadap Ustaz Hashim di suraunya.Lunak dan fasih bacaan dan rindu padanya mekar berkembang.

Aisyah, itulah dara pujaan kampung yang menjadi idaman pemuda sebayaku.Masing-masing cuba menonjolkan diri ingin mencuri perhatian gadis itu.Aku tidak mahu terjebak dalam perebutan lantaran kekurangan diri, lantas aku hanya memujanya dalam diam.Namun satu peristiwa yang tidak akan dapat aku lupakan bila gadis itu sendiri mencurahkan rahsia hidupnya yang selama itu terbuku.

Aku sangat menginginkan dirinya meskipun terpaksa bersaing dengan Azman, pemuda sebaya yang lebih bergaya dan berharta.Kawan paling rapat sejak zaman kanak-kanak lagi.Azman seorang yang berdisiplin, bercita-cita besar dan pintar.Di sekolah sering mendapat markah tertinggi di hujung setiap peperiksaan.Aku kadang-kadang cemburu namun aku akur kelemahan.Azman pula tidak pernah membezakan aku dengan rakan yang lain.Kami berkawan rapat sejak kecil sehinggalah masing-masing menamatkan SPM.Keputusan yang cemerlang membawa Azman ke menara gading dan aku masih di ceruk kampung menunggu jawapan permohonan ke jawatan kerajaan.

Aisyah pastinya akan terpikat dengan kelebihan yang ada pada Azman.Aku sudah mula pandai cemburu tika itu, lalu tidak mahu lagi meneruskan persaingan itu.Selepas itu Aisyah juga berjaya menjejakkan kaki ke maktab perguruan di ibu kota.Cita-citanya untuk menjadi pendidik akhirnya tercapai dan sejak itu desa ini menjadi sunyi kerana tiada lagi bunga yang menyerikan hari-hari kami.

Langkahan kakiku petang itu menjadi perlahan ketika sampai di jambatan kayu merentangi sungai.Di bawahnya sungai jernih mengalir.Masih macam dulu.Cuma airnya tidak lagi deras.Aku berhenti di tengah jambatan itu.Merenung jauh, sejauh kenangan yang lama tersimpan.Cerita indah pernah berlaku di bawah jambatan ini.

Di situlah aku, Azman, Din Gagap, Ali Hashim, Deris Gemuk dan Lokman mandi-manda sambil menanti anak dara kampung lalu.Di sanalah juga peristiwa kepalaku berdarah dibaling batu kerana mengusik Aisyah.Aku sangkakan Aisyah dan rakannya cuma bergurau tapi sangkaanku meleset.Aisyah pohon maaf tapi aku tidak menyalahkan dirinya.Kamilah puncanya. Aisyah dan rakannya mengadu kepada bapa masing-masing namun  kepalaku berdarah demi kerana Aisyah.

Aku kembali mengatur langkah.Rasanya tidak mahu mengenang lebih jauh peristiwa itu.Memang hatiku remuk dan kecewa ketika ini.Bayangan semalam bagaikan terasa baru berlalu.Tidak sangka begitu cepat waktu berjalan meninggalkan aku kembali mengutip sisa-sisa kenangan.Benar sepanjang jalan masuk ke kampung ini begitu banyak kenangan yang tercipta.Aku masih ingat waktu kami di sekolah rendah.Berjalan ramai-ramai pulang dari sekolah menuju rumah masing-masing.Kami telusuri jalan ini sambil bergurau dan bercerita peristiwa di sekolah yang melucukan.

Hari itu Azman kawan baikku tidak ke sekolah kerana demam.Aku yang ketinggalan bas pulang bersama pelajar perempuan sekampung. Aku melihat Aisyah berbisik sesuatu ke telinga Suhana sambil memandang ke arahku di belakang. Entah apa yang dibisikkan Aisyah hingga membuat Suhana ketawa lantas senyum menoleh kepadaku.Aku hanya diam merenung telatah mereka berdua.“Amir…Aisyah suka awak..!!” tiba-tiba Suhana menjerit lantas berlari meninggalkan Aisyah terpinga.Melihat itu Aisyah jadi malu lantas mengejar rakan baiknya dari belakang.Aku tergamam.

Mungkin itu agaknya yang dikatakan Aisyah kepada Suhana tadi.Aku lihat dari kejauhan Aisyah mencubit bahu Suhana.Gelihati melihat tingkah dua sahabat itu.Mereka dua bersahabat baik sejak darjah 1 lagi.Di mana ada Suhana di situ ada Aisyah begitulah sebaliknya.Aku kagum dengan sikap mereka berdua yang punyai ikatan sepupu itu.Tidak pernah aku terlihat mereka bermasam muka apalagi bergaduh sesama sendiri.

Sehinggalah kami melangkah ke sekolah menengah, Suhana dan Aisyah masih seperti dulu.Aku tidak lagi rapat dengan mereka seperti waktu di sekolah rendah.Mungkin masing-masing sudah tahu erti malu.Batas sempadan lelaki dan perempuan yang sudah menginjak ke alam remaja.Suhana dan Aisyah sudah mula mengenakan tudung baik ke sekolah mahupun ketika berjalan-jalan di desa ini.Mereka berdua makin manis begitu.Mereka sudah menjadi anak gadis yang menjadi bualan pemuda kampung. Sejak itu juga aku mula berangan dan berperasaan ingin berkawan dengan Aisyah.Ah cinta monyet.

Aku berjalan lagi, mencari arah mengikut hati.Hati yang pilu seperti waktu dulu ketika aku terpaksa meninggalkan desa ini.Meninggalkan seribu kenangan yang terpendam.Berhenti di bawah bayangan pohon sena petang itu hati bertambah sebak.Suatu ketika dulu di bawah rimbun pepohonan sena aku dan rakan berlindung dari basahan hujan sewaktu pulang dari sekolah.Aisyah dan sepupunya juga sudah tercegat di situ mencari teduh.Aisyah memandangku dengan senyum, mata kami bertentang lalu aku tunduk mengalah.Di situlah saat hati berbisik bahawa gadis remaja itu punya senyum yang manis berlesung pipit dan sepasang mata yang cantik di balik tudung putih.Lalu dalam diam cintapun berputik.

Deretan pohon sena menuju desa sudah tua benar.Tidak seperti dulu bila waktu kami anak desa menuju hentian bas berasa kagum dengan hamparan kuning angsana desa yang gugur lewat subuh.Kabut pagi mendingin dan hamparan sena menguning, mengajak kami menikmati keindahan itu.Bagai salji sepanjang jalan keluar desa dipenuhi bunga halus kuning apalagi ditiup angin lembut lalu gugurnya bagai panorama musim sejuk di negara barat.Indahnya waktu itu sehingga kami terpegun.

Kenangan itu sudah lama berlalu.Azman, Aisyah, Suhana sudah tidak ada di sini untuk berkongsi cerita. Setahun selepas itu akupun berjaya ditawarkan ke jawatan kerajaan.Sebagai kerani di pejabat daerah di Bandar.

Setiap inci bumi desa ini aku lewati.Setiap langkahan aku berhenti, merenung panjang pada sebuah kenangan yang lama tersimpan.Kadang-kadang semacam lelaki kurang siuman bila aku berdiri memandang sepi kepada suatu tempat yang masih kuingat.Aku mula mencari pangkal kisah mula pertama kali aku mengenal dan mencintai Aisyah.Ya di sini mulanya, di bawah pohon sena ini juga sewaktu pulang dari kerja di bandar.Aisyah juga pulang lewat bercuti tahunan dari sekolah tempat mengajarnya di ibukota.Sewaktu turun dari bas petang itu Aisyah menyapaku..“Amir…??”
“Amir..??”
Kutoleh dan senyum.Aisyah membalas senyum.Senyum yang bisa menggetarkan hatiku.Degup jantung bertambah laju ketika Aisyah mendekati.
“Aisyahhh..” balasku perlahan.“Amir boleh tolong tak?” Aisyah senyum lagi.Sedikitpun tidak pernah kulupakan senyuman berlesung pipit itu.Usia kami ketika itu sudah mencecah pertengahan dua puluhan dan saat memandang Aisyah itu hati jadi bergetaran.Masih kurindukan senyummu, Aisyah.
“Boleh..”
“Bawak beg ni,boleh.?”
“Banyak begnya ni..Aisyah”
“Ha..ah,Aisyah dapat tukar sini.Jadi bawak la sikit.Beli barang kat Bandar  tadi tak sedar dah banyak pulak.Takpakan Amir..?”
“Ok jer”
“Terima kasih”

Sepanjang jalan masuk ke kampung menemaninya, kami bercerita.Tentang kerja, tentang kawan-kawan lama Suhana, Azman ,Lokman, Din Gagap, Deris gemuk, Ali anak Ustaz Hashim dan kenangan.Aku seronok mendengar Aisyah bercerita.Ada-ada saja ceritanya.Memang patutlah dia menjadi cikgu, pandai mengolah dan menarik perhatianku.Aku bertanya padanya tentang Suhana, sahabat baiknya itu.Kata Aisyah ,Suhana sudah menjadi guru di selatan tanahair.Katanya lagi Suhana akan bertunang hujung tahun itu.Mendengar berita itu lalu aku jadi teruja ingin menguji dirinya.

“Aisyah pula bila..?”
“Bila apa…?
“Ya la..bila nak ikut jejak Suhana..?
“Aisyah tunggu Amir..!”ketawanya kecil tapi bermakna.

Aku terdiam.Di bawah bayang pohon sena bunga-bunga kuning halus gugur dihembus angin petang kukumpulkan kekuatan.Panorama dulu berulang kembali.Kali ini suasana sungguh romantis.Aku tidak tahu gurauan Aisyah itu sungguh-sungguh atau sekadar mainan.Tapi aku akui memang selalu memujanya.Meskipun Aisyah jauh di ibukota bertahun lamanya.Lalu aku luahkan bahawa aku menyukainya sejak dulu juga.Sejak bertentang mata di bawah pohon sena itu.Aisyah senyum malu.Rupanya masih segar di ingatan gadis manis itu peristiwa kami dibasahi hujan.

Aisyah, sebenarnya sudah lama menyimpan rasa.Memandangku menjadi debar, katanya, kehilanganku menjadi gusar.Satu rasa yang tiada pada rakanku yang lain.Setiap ketika hatinya dihambat rasa sayu bila mengenangkanku.Sejak dulu, katanya aku pemuda yang bertakhta di jiwa.Namun malu gadis itu menyekat niat.Aku terpaku.Alam juga kaku.Aku bungkam bahasa terdiam seribu rasa.Petang itu rahsiaku dan rahsia Aisyah bersatu.

Setahun mencurah kasih.Menitip sayang.Menyiram cinta agar kembang bugar sentiasa.Rindu yang tiada berkesudahan.Surat-surat penghubung kata, gambaran jiwa.Di sanalah ayat-ayatnya membenih cinta.Akhirnya ,Aisyah menyatakan sedianya menjadi suriku.Tahun kedua mencintainya aku paterikan ikatan itu dengan tautan syarak.Sahlah Aisyah menjadi isteriku di dunia dan akhirat selamanya.Istana yang dibina bertambah seri dengan lahirnya dua putera dan seorang puteri.

Aku tiba di laman istana waktu fikiranku ligat mengingatkan wajah putera puteriku.Tiada yang indah lagi di sini.Hanya tinggal tunggul kayu dan rimbunan lalang.Belakangnya belukar kecil telah tumbuh meliar.Aku memandang dari kejauhan dan sejauh itu juga kenangan silam yang hitam satu persatu menghentam fikiran.Malam yang jahanam memusnahkan segala yang aku miliki.Istanaku musnah dijilat api.Sedang aku longlai hanyut dalam syurga dunia.Melayan nafsu menjamu najis dadah.

“Abang ke mana dah dua malam tak balik ni?”
“Ala abang keluar sekejap saja!,kau jangan sibuklah, jaga anak kita”
“Tapi abang dah dua hari tak kerja, sudahlah bang, jangan campur dengan budak dadah tu”
“Kau jangan sibuk!,jaga rumah!”
Itulah kali terakhir aku keluar dari istana yang dibina bersama Aisyah.Tengah hari aku pulang setelah ketagihan ku reda dengan kepala yang berpinar-pinar ,aku tidak nampak lagi sergam indah istanaku.Cuma yang tinggal tiang-tiang kayu yang hangus terbakar dan asap kecil dari timbunan arang.Segalanya hilang lenyap,sunyi sepi dunia kurasakan.

“Kau ke mana Amir..? rumah kau habis terbakar.Celaka betul kau ni.Hidup tak seperti manusia, lebih baik kau yang mampus dulu.”Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telingaku.Umpatan, kejian, sumpah seranah semua dihamburkan kepadaku.Istanaku terbakar ketika aku khayal di port kebun kelapa sawit pinggir hutan.Aku tunduk menangis.Segalanya telah hancur.Petang itu juga aku ditangkap polis kerana ketagihan najis dadah.Ujian dadah positif dan aku ditahan di pusat serenti selama dua tahun.Aisyah, puteri dan puteraku dan desa itu, kutinggalkan.Belum sempat aku bertanyakan hal dan menatap wajah mereka lalu aku dibawa pergi bersama maruah diri yang telah punah.

Sebak di dada tidak tertahan lagi.Hatiku berbaur kesal.Laman istanaku kutinggalkan sepi.Aku cuba mencari silapku dulu berpunca di mana.Bermula kerana dicabar juga rasa ingin tahu nikmat berada di syurga khayalan.Mula hanya suka-suka tetapi menjadi ketagih dan semakin parah jika tidak mendapat bahan terlarang itu.Amanah tuhan telah kuabaikan.Kalaulah aku akur kata-kata Aisyah dan mentaatinya.Isteriku yang baik hati dan melayan karenahku selama itu.Tentu….ahh.

Aku tiba di laman damai destinasi terakhir.Hening petang itu dengan redup cahaya mentari tersirna di balik awan tebal.Angin semilir tidak lagi sedingin dulu.Masih membenciku agaknya.Aku pulang memujuk hati merindui kalian yang pergi.Sepi tapi dalam hati menangis kesal.Kesal yang tidak berkesudahan.

“Salam atas penghuni kubur, mukminin dan muslimin, engkau telah mendahului kami dan insyaAllah kami akan menyusulmu….”
Di hujung sebelah kanan sana tegak nisan isteriku, Aisyah dan batu-batu nisan kecil sebelahnya tersusun sepi.Mereka menungguku dengan damai.Tiada lagi salam lembut Aisyah menyapa seperti selalu ketika menyambutku pulang dari kerja.Tiada lagi laungan abah balik dari putera-puteraku.Lenyap sudah rengekan manja puteriku minta didukung kala melihatku setiap petang pulang ke pangkuan.Airmataku bergenang lalu jatuh deras membasahi janggut nipisku.Sebak dan hancur hati tidak tertahan lagi.Hilanglah kini senyuman lesung pipit yang manis dan sepasang mata yang cantik itu.Tersimpan kemas ia dalam kotak fikiranku bersama kenangan lalu.
  

01 September 2009

Selamat Ulang Tahun...44: Selingkar Kisah


Hari ini (1 September 2009) genap usiaku 44 tahun.Kalau dikira aku sudah semakin matang.Entahlah.Terlalu subjektif.Ada manusia yang muda usianya tapi kematangan berfikir lebih dari orang yang seusia seperti ku.Ramai yang telah kujumpa manusia-manusia yang seperti ini.Padaku, kematangan bukan terletak kepada usia.Ada manusia yang menjangkau setengah abad tapi masih suka lepak-lepak di pusat-pusat hiburan.Minum.Menari.Berjoget dangdut.Itu yang selalu kulihat jika terdapat kes-kes tangkapan dibicarakan di tempat kerjaku.Ada yang bergelar warga emas.Rambut sudah beruban.Datang ke mahkamah ditemani cucu dan menantu.Pendek kata bukanlah usia ukuran kematangan.

Biarlah.Jangan diulas panjang.Mungkin nanti ada yang berpolemik.Terasa mungkin.Aku ingin menulis di sini berkaitan sambutan ulang tahunku.Ehem...!Siapa tidak gembira jika ada yang mengingatkan.Mengucapkan Selamat Ulang Tahun atau selamat Harijadi.Kepada isteri yang tidak pernah lupa setahun sekali.Terima kasih.Katanya senang nak ingat..lepas merdeka.Aku pulak dimerdekakan dari rahim ibuku, 44 yang lalu.Sebenarnya aku tidak mengharapkan sangat diingatkan tentang hari ulang tahunku.Mungkin terasa sudah semakin hampir nyanyuk atau bahasa lembutnya tua.Uban di kepalapun sudah boleh dikira.

Gembira...ya juga.Tidak ada manusia yang menolak rasa gembira jika diucapkan selamat harijadi.Disusuli dengan doa dan ucapan semoga panjang umur murah rezeki, rajin beramal atau bertambah amal kebajikan.Mmmm..jarang pulak didengar.Mungkin kita perlu mengubah budaya ini.Agar lebih islamik.Mengingatkan kepada diri tentang usia yang sudah lanjut.Amalannya sudah mendarah daging.Bukan lagi kerana terpaksa.Tidak terfikir diri ini hamba.

Zaman remaja, indah.Budaya mengucapkan selamat harijadi memang menjadi lumrah.Poskad dan hadiah.Seingat aku tidak pulak pernah dalam ahli keluargaku mengucapkan sebegitu.Kawan-kawan dan taulan juga sama.Sehinggalah aku meningkat remaja.

Tetapi satu peristiwa yang mengejutkan pernah terjadi kepada diriku.Tidak pernah seumur hidupku ada yang mengingatkan hari jadi kepadaku.Malah aku kadang-kadang terlupa mengucapkan kepada diri sendiri.Berlalu begitu saja.Kisah ini berlaku ketika aku di lower six sewaktu menuntut di Yayasan Anda Akademik.Aku terima sebungkus hadiah.Terkejut dan teruja.Hadiah dari rakan sekelas.Hadiah dari pelajar perempuan pulak tu.Rupa-rupanya dalam berserban (waktu tu) ada jugak yang sudi mengingatkan tarikh keramat hidupku.Sampai sekarang nama dua gadis comel itu masih aku ingat.Dan sesungguhnya ingatan kepada mereka pada setiap ulang tahunku sangat-sangat istimewa.

Dua gadis comel yang kumaksudkan adalah gadis beragama kristian.Berasal dari Sabah (Ranau).Berketurunan Kadazan Dusun.Memang aku rapat sikit dengan mereka ketika di lower six berbanding rakan perempuan sekelas beragama Islam.Aku tidak tahu rupanya mereka merancangkan sesuatu untuk aku.Sebuah lukisan pemandangan senja di lautan.Di belakang frame diabadikan nama kedua-dua gadis tadi dari Bianah dan Maura Jonip...Selamat Hari Jadi Along.

Aku selesa berbual dengan mereka.Walaupun aku memakai serban (ketika itu) aku cuba tunjukkan bahawa Islam itu sebenarnya adalah agama bertoleransi.Mudah.Malah aku pernah secara bergurau mengatakan bahawa aku punya awek (teman wanita) si Bianah ketika rakan perempuan sekelas (Normah) bertanya kepadaku secara jujur (atau sekadar menguji) apakah aku mempunyai rakan perempuan di hati....(dalam pertanyaannya ketika itu).Bianah, kulihat tercengang dengan jawapan selamber aku itu.(Kalaulah dia muslim...).Dan di penghujung tahun 1988 aku juga tidak segan menghadiahkan kepada mereka berdua sebuah buku bertajuk "Mengapa aku pilih Islam".Aku niatkan sebagai dakwah.Agar mereka faham mengapa Islam pilihanku.

Dan hadiah kepada mereka juga adalah yang teristimewa dariku.Mengapa tidak.Pada awal pagi selepas membeli sarapan di gerai makan tingkat bawah Flat Kg Kerinchi aku berjalan pulang ke asrama.Mataku terarah kepada sehelai kertas direnyuk berwarna perang.Aku pasti gumpalan kertas itu wang, lalu aku mengutipnya di tengah-tengah ramai.Kubuka gumpalan kertas itu perlahan-lahan dan memang kupastikan ianya mata wang bernilai RM 500.00 (ketika itu note RM 500.00 masih sah laku).Tidak pernah aku terjumpa wang dengan nilai sebesar itu.Dan dengan menggigil aku ke kedai runcit berdekatan.Seorang abang si tuan kedai runcit yang ku kenal kuceritakan penemuan mata wang itu.Menyerahkan kepadanya agar ada insan yang kehilangan datang mengadu dan menemukannya kembali.

Menjelang isyak rakan sebilik si Bob memanggilku sewaktu aku menatap nota-nota untuk kelas keesokannya.Katanya si tauke kedai runcit ingin berjumpa.Tanpa berlengah aku turun ke tingkat bawah.Kulihat tauke itu sedang berbual dengan seseorang yang biasa juga aku jumpa di sekitar flat itu.Abang si pekedai runcit menghadiahkan senyum diikuti dengan ucapan salam dari teman bicaranya ketika itu.Dia perkenalkan diri sebagai abang.Lalu mengucapkan terima kasih kepadaku kerana menyerahkan note RM 500.00 kepada pekedai runcit kenalannya.Kami berbual seketika dan dia menghadiahkan aku RM 50.00 sebagai hadiah dan business kadnya.Wau... seorang kontraktor.

Dengan duit itu aku menghadiahkan kepada diri sendiri kain serban baru dan sebuah buku "Mengapa aku pilih Islam" yang kemudiannya aku hadiahkan kepada Maura dan Bianah si gadis Kristian Protestan itu.

28 May 2009

Maafkan aku....

1/3/1993...

Itulah tarikh bersejarah dalam hidupku.Saat aku mulai memegang jawatan kerajaan di Jabatan Kehakiman Syariah N.Sembilan.Maka bermulalah episod mencabar dalam setiap rutin harian kerja.Mencabar minda dan jiwa.Menuntut ketelitian pertimbangan dan budi bicara dalam menyampaikan maksud dan kehendak jabatan dan kerajaan.Segala ilmu yang kutitip sepanjang perjalanan menjadi dewasa telah menjadi asas menjayakannya.

Aku bersyukur sepanjang jalan itu.Aku telah melihat bahawa Allah tidak persiakan hidupku.Banyak cerita pahit merenggut jiwa.Aku masih di sini mempertahankan anutan yang aku yakini sejak kanak-kanak lagi.Ya sejak zaman anak-anak lagi.Mempelajari ilmu yang asing dan tidak selari dengan impian kecilku dulu.Airmata telah banyak menitis membawa cerita gembira dan sedih.

Aku keseorangan berjalan di muka dunia.Ibu dan ayah serta keluarga, sanak saudara tidak kuharapkan doa-doa dan harapan kerana mereka masih jahil.Masih tidak mengerti dan ada juga seolah mencebik tindakan aku mencari hidayah.Kini aku sangat-sangat berterima kasih.Aku telah dipertemukan dengan mereka-mereka yang mendoakanku dan meyakini bahawa aku akan menemui kejayaan dalam pencarian.Aku sedar itu semua bergerak atas izin Allah juga.Tidak sesekali aku menidakkan tauhidku.Seperti aku yakini ketika masih di alam jahiliah begitu juga keyakinanku bertambah-tambah setelah aku diislamkan.

Betapa alam ini berjalan atas izin dan kehendakMu ya Tuhan.Perkelanaanku adalah dengan jemputanMu.Ketika dulu mengetuk setiap ruang hati ini.Bangun dan sedar bahawa apa yang aku cari adalah maksud aku dihidupkan.Aku juga selalu mengharapkan kehadiranku dalam setiap persinggahan selama itu pohon dimaafkan jika ada jiwa-jiwa yang berasa tersinggung dan berkecil hati.Jika ada yang merasa terbeban dengan sikapku yang di luar jangkaku sendiri.Aku hanya ingin menumpang seketika.Sudah tentu ada yang tidak manis di mata kerana kejahilanku diri.Tidak mengerti adat dan budaya di setiap persinggahan melepas lelah.

Aku mohon keampunan kepada Tuhan jika tidak berkesempatan menyampaikan rasa bersalah.Juga kepada individu-individu istimewa yang pernah menitip harap, yang pernah berkongsi rasa sedih hiba, yang pernah mengagumi dan dikagumi, yang pernah cuba berkongsi rasa hati.Yang mahu menunggu dan menanti.Aku juga mohon dimaafkan.Benar aku seperti tidak rasa bersalah tapi ketahuilah kekesalan selalu kuadukan kepada Tuhan.Moga aku dimaafkan.Aku tahu ada jiwa yang kecewa.Tapi sedarlah kita menuju matlamat hidup yang sama.Di sana !

Aku terlalu cetek ilmu.Mungkin batin tidak seperti pandangan zahir.Teman-teman mengagumi kerana persona zahirku dulu.Hakikatnya jiwaku bagai medan peperangan.Pertembungan iman dan hasutan syaitan.Ingin jadi insan sempurna.Insan kamil.Terkadang gelincir juga.Itulah hakikat hidup manusia.Jadi maafkanlah.Aku ingin mengabadikan kerja ini sebagai ibadah.Kerana ini juga amanah.Tuhan telah memberi amanahNya.Maka aku tidak boleh lengah.

16 April 2009

sepi...


aku menyusun sepi
di tingkap hati
menjenguk dari dalam diri
mencari sinar yang terang
namun kelam.

pernah menyapa bulan
memanggil bintang
kala langit dingin sambil duduk tafakur
melafaz sepatah syukur
dan terus menjadi begini
sepi...

aku sesat di lautan rahmah
sedang sebutir bintang terang di ufuk serlah
cahaya yang tak pernah pudar
ketuklah hati yang tiada sedar
gundah hati yang tiada hilang
pimpin daku ke puncak cemerlang

sepi...
ajari aku tentang hidupmu
lemaskan daku mengenal lautan makrifahMu
moga kukenal kematian mulia
ampunan Tuhan dengan redha

14 January 2009

Dia yang kukenal.

Gadis itu yang kukenal, biasa saja orangnya. Berkulit cerah kuning langsat kata orang. Sederhana tingginya dan bermata sepet. Wajah persis anak cina (memang anak cina pun) dan paling penting bertudung labuh. Itu yang yang memikatku kerana aku tahu seseorang yang begitu, punya keinginan yang sangat baik kepada kehidupan  ajaran Islam. Aku sangat-sangat menghormati perempuan yang bertudung labuh. Sejak dulu hati ini mudah cair dan larut dalam dimensi lain kehidupan, apabila melihat gadis yang sedemikian. Pun begitu aku juga menghormati mereka yang bercita-cita menutup aurat. Tak kisahlah apa bentuk tudungpun selagi menepati tuntutan menutup aurat.

Dari segi kecantikan pula, siapalah aku ingin memiliki gadis yang punyai raut menarik, sedang aku sendiri pun tidaklah sehebat mana. Sekadar apa yang dianugerahkan Allah sudah lebih dari baik untuk aku membawa diri dalam kehidupan dunia ini. Pendek kata bersyukurlah. Aku tidak kisah tentang rupa paras kerana aku sendiri memahami kelebihan memilih suri hidup berdasarkan agama melebihi tiga perkara yang lain. Hasil tarbiyah dan tazkirah bertahun dulu.

Kadang-kadang apa yang kita dambakan pada yang tidak ada, tidak pula kita ucapkan berlebih syukur apa yang telah kita punyai. Itulah kita. Sudah puas dalam hidupku bertemu gadis yang baik, manis dan punya ciri-ciri solehah namun ketentuan Allah juga adalah terlebih baik. Hubunganku dengan ustazah ini permulaan sekadar biasa saja. Peringkat awal perkenalan, aku pernah luahkan rasa hati di atas warkah-warkah, namun tidak sehelaipun berbalas. Aku mula berteka-teki. Mengapa ?.Tapi tidak pula terbit bosan untuk menulis pada sekelian kali berikutnya.

Gadis itu pernah berkata dia tidak pandai menyusun bahasa dan layangkan warkah balasan untukku walau sekali. Aku pula memikirkan adakah dia sedang mengujiku atau…..Aku bersangka baik. Aku tidak pernah ingat berapa helai pucuk surat telah aku berikan dan tidak sehelaipun mendapat balasan.

Di penghujung November 1991, aku akhirnya mendapat surat gembira. Namun bukan surat dari ustazah itu. Surat tawaran bekerja di bawah Majlis Agama Islam Negeri Sembilan. Aku bersetuju menerima tawaran kerja itu dan bermula awal Disember 1991 kehidupanku menjadi lebih baik. Aku telah berkerja  dan mula memikir-mikirkan kehidupan pada masa akan datang.

17 July 2008

mimpi-mimpi aneh..yang sunyi di hati.

Mimpi-mimpi aneh telah mula mengangguku. Kadang-kadang aku menjadi sebahagian watak dalam mimpi bertemu Nabi. Aku bertemu Nabi Ibrahim a.s. yang berlawan dengan 3 ekor syaitan lalu menang. Aku bertemu dengan seruan suara yang menunjukkan kepadaku seorang gadis anak Rasulullah SAW bernama Fatimah r.a datang ingin bertemu dan aku tidak dapat melihatnya dengan jelas kerana ia hanya berkata-kata dari jauh. Bermimpi bagaimana malam lailatul Qadar berlaku. Pohon-pohon sujud ke arah barat dan cahaya malam terang walaupun tiada bulan mengambang. 

Dan paling terkesan aku bermimpi aku dan bapa saudara sebelah ibuku berjalan di dalam hutan tebal dan tersesat lalu kami berhenti di sebuah anak sungai yang dingin untuk melepaskan kehausan lalu tanpa disedari bapa saudaraku telah dipatuk seekor ular kecil lalu mati. Pada ketika itu aku jadi takut,keseorangan di dalam hutan dan menangis. Lalu datang satu suara menyeru supaya aku memeluk Islam.

Aku masih ingat ayat itu."Masuklah Islam,nanti kau akan selamat". Seorang tua berjubah putih dan berjanggut putih pula adalah watak yang selalu datang dalam mimpiku. Anehnya, tidak pernah ia berkata-kata. Fikirkan bagaimana aku seawal 8 hingga 10 tahun pantas bermimpi sebegitu apalagi dalam keadaan aku tidak ada pegangan agama ketika itu. Aku tidak pernah bercerita tentang mimpiku pada ibu. Aku takut. Aku hanya fikirkan sesekali saat aku keseorangan. Inilah hidayah. Aku tidak menganggap mimpi-mimpi itu sekadar mainan tidur.

Hidayah boleh jadi datang dengan berbagai bentuk dan keadaan. Perkataan, perbuatan, suasana peristiwa atau mimpi sekalipun. Aku pasti Allah telah memilihku ketika itu. Cuma …bagaimana aku seusia sebegini muda akan zahir bertauhid dan menyaksikan bahawa "Tiada Tuhan Selain Allah dan Muhammad itu Pesuruh Allah" Kenapa aku didatangi mimpi-mimpi aneh ketika itu. Kenapa mimpiku itu berkaitan dengan agama Islam. Adakah aku selalu memikirkan mengenai agama suci ini.

Aku kini bekerja sebagai pegawai kerajaan di institusi keagamaan. Ada client memanggilku ustaz. Ya la kalau dah bekerja di institusi agama Islam, tentu selayaknya dipanggil ustaz. Satu panggilan yang asing pada asalnya. Tidak selari dengan apa yang aku pelajari waktu usia remajaku. Tidak pernah terlintas dalam cita-cita nak jadi ustaz. Satu panggilan yang cukup tinggi martabatnya dalam ertikata yang sebenar.

Jika aku renung kembali ke belakang dan mengutip butir-butir kenangan, terlalu jauh antara impian zaman remaja dan realiti kehidupanku kini. Apatah lagi aku tidak pernah menerima pendidikan agama Islam secara formal. Betapa aku telah dilorong oleh Tuhan mengenal siapa penciptaku. Kebaikan-kebaikan yang telah kuzahirkan adalah titisan ilham yang jatuh ke dalam hati yang masih bersih satu waktu dulu.

Dengan hidayah dan bimbinganMu Tuhan telah sampaikan aku ke matlamat hidup yang sebenar. Menjadikan aku sesempurna mungkin. Kini telah hampir suku abad aku bergelar muslim. Impian sejak aku kanak-kanak, untuk menunaikan janjiku tercapai. Kroh telah menemukan aku dengan manusia yang banyak mencorakkan peribadiku. Tidak mungkin kenangan itu luput di ingatan ini kecuali mati. Hanya jasadku saja nun di kejauhan namun jiwa ini hidup bersama pengalaman lalu.

Andaikata aku pernah jatuh cinta sehingga siang dan malamku terganggu oleh gambaran nikmat indahnya cintaku itu. Sehingga rinduku menjadi semakin dalam atau setinggi terbangnya burung di angkasa atau lebih tinggi daripada itu , pastilah bukan kepada gadis yang dicintai. Pastilah bukan kepada senyuman dan lirikan matanya yang memikat. Pastilah ia sebuah kedaerahan, sebuah daerah yang sunyi di celahan hati. Sewaktu aku membawa ibu menjejaki kembali daerah ini. Ibu ada berkata-kata kepada cucunya. Inilah tempat ayah kamu “membesar”. Anak-anakku tercengang. Aku pasti mereka tidak faham maksud ibuku itu. Aku duduk di kerusi besi yang mengadap tasik.

Satu waktu dulu kerusi besi itu menjadi tempat berlabuhnya punggungku ketika menunggu baur pancing disentap ikan dari dalam takung. Waktu aku sebaya mereka. Kini kerusi itu masih di situ. Betullah kata pujangga. Jika ada orang menceritakan tentang betapa indahnya tempat itu sehingga membuatkan hati kita memberontak untuk menikmati keindahan yang sama.

Tetapi apabila kita berpeluang sampai di kedaerahan itu, pastinya ia biasa saja. Yang indah dan cantik itu bukan pada zahir tapi kenangan-kenangan indah yang mengimbau. Biasanya manusia akan menyebut kenangan manis ketika berada di kedaerahan tersebut. Syukur kepada Tuhan,...Allah Yang Maha Agung !


Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...