Jarum jam yang panjang di atas meja
berkalih ke angka dua belas. Sementara jarum yang pendek menirus datar ke angka
sembilan. Jam meja Seiko
berbentuk bulat dan berkaki pendek warna merah jambu terletak cantik. Ada dua
loceng kecil di atasnya. Comel. Tersepit di celah beberapa buah buku novel
cinta tempatan berbahasa Mandarin juga Melayu dan berselang seli dengan buku
rujukan seni kontemporari.
Paling tebal
buku Art of 20th Century terbitan Taschen setebal 840
muka surat itu disusun menegak ke kanan meja. Sebelah kiri pula deretan lima buah buku penyiasatan
popular karya Caroline Keene dalam siri Nancy Drew Mistery Stories milik
si pembaca yang obses merungkai kisah-kisah misteri. Paling diminati buku
bertajuk The Secret of Old Clock. Ada sebuah buku himpunan sajak
kontemporari karya penyair tempatan terselit antaranya. Hujung meja pula dihiasi
dengan bunga plastik Ammocallis rosea yang kecil di dalam bekas pasu
menirus yang berwarna putih. Dua kuntum semuanya. Terserlah kelopak warna merah
jambu dengan glitter perak disimbah lampu neon di atas. Di sisi kiri
meja tergantung di dinding sebuah frame kayu berwarna coklat enam kaki persegi
dengan motif bunga sakura putih berkuntum tiga, mengabadikan di tengahnya, untaian
mutiara cinta kaligrafi Mandarin di sebalik plastik lutsinarnya yang membawa
makna,
“Tidak ada kejutan yang lebih ajaib
daripada kejutan dicintai seseorang.”
Anne duduk di
kerusi menghadap meja itu. Jejari kanannya ligat memutarkan pensil.
Berpusing-pusing. Ke kiri dan ke kanan. Bermain-main di antara celah jejari
lentik itu. Pandangan matanya terarah ke catatan nota ringkas di atas meja.
Cuba mengimbas ingatan isi-isi kuliah yang telah lalu. Wajah bujur sireh yang
mulus itu tekun mentelaah sementara Nur Fatihah yang masih bertelekung putih
tersandar ke dinding dan bersila di atas katil usai Isyak tadi. Dua helai
warkah biru di tangannya menjadi tatapan. Sabar dan tenang saja dia mengamati
setiap butir perkataan. Ayat demi ayat,
baris demi baris dalam font freestyle script hitam yang bertulis
tangan. Menghayati bait-bait rindu sang
kekasih hati. Sesekali dua ulas bibir yang nipis milik pembaca itu menguntum
senyum. Ada juga ketawa kecil yang ditahan-tahan. Menampakkan lesung pipit
sebelah kiri pipi. Lucu menghadami coretan seorang penulis bahasa hati. Warkah
cinta curahan hati sang perindu.
Sebotol air di dalam bekas Tupperware berwarna kuning cair
di bawah meja yang satu lagi. Masih di situ sejak pulang petang tadi. Anne
menggapainya lalu diteguk perlahan. Setelah puas diletakkan pula di atas meja.
Radio kecil di sisi meja mengalunkan lagu-lagu dari penyanyi tempatan dan luar
negara silih berganti. Permintaan dari pendengar-pendengar yang setia saban
malam menanti. Tepat jam sembilan, sketsa Pilihan Pendengar dari KL fm.
Menunggu lagu pujaan yang akan keluar dan masanya untuk melayan perasaan. Suka, duka,
hiba dan rindu semua terangkum dalam lirik dan melodi yang mendayu. Syahdu.
Malam
kian melarut. KL fm mula bersiaran ke udara menjadi pilihan hampir
keseluruhan penghuni blok hostel. Itu saja medium hiburan yang menyeri kebisuan
malam. Sebuah lagu top duet romantis lantunan penyanyi tersohor negara seberang mula mengisi permintaan di
ruang sepi dalam dorm 2C.
Pemintaan dari seorang jejaka nun jauh di pantai timur. Rindu, katanya
kepada teman yang berada di selatan. Suara garau juruhebah lelaki melayan mesra
segera memutarkan lagu itu. Lantunan Broery Marantika dan Dewi Yull, Jangan
Ada Dusta di Antara Kita, terpasang dalam nada skala 3 mendayu keluar dari speaker
radio mini Panasonic kepunyaan Nur Fatihah.
Melodi yang romantis dengan lirik yang puitis lantuan suara jantan
penyanyi lelaki, Nur Fatihah turut memasang dengar. Liriknya mencairkan hati si
pendengar itu yang menekuni helaian warkah yang diterima siang tadi. Nur
Fatihah terus menuturkan ayat si penulis di hati. Mengulang-ulang membacanya
kembali. Sudah tiga kali diulangi. Senyum meleret lagi. Anne melontar keluar
rasa terhibur melepasi tingkap kaca, renungan kosong menerobosi sepi gelap
malam. Tiada bintang. Tiada perasaan mahu digambarkan.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.