06 December 2018

Remaja Yang Hilang I ( 1984)


Hidup di desa tidak semudah di bandar atau di pekan. Mungkin itu tafsiranku  kerana aku telah dibesarkan sebahagian besar remajaku di pekan. Sekitar pertengahan 1980’an keadaan amat sukar hidup di desa. Keluargaku hanya memiliki tiga ekar tanah yang ditanam getah. Pokoknya pun baru berusia tiga tahun  dan belum matang untuk ditoreh. Selain itu tidak ada aset yang boleh dijadikan hasil untuk menampung kehidupan sekeluarga. Orang kampung sebahagiannya bekerja di estet memperolehi pendapatan dengan mencabut rumput di ladang kepunyaan Sime Darby.

Sebagai remaja belasan tahun aku telah mempersiakan kehidupan remaja dengan tidak dapat berbuat banyak perkara mengenai kehidupanku. Tambahan pula hidup di kampung tidak menjanjikan peluang pekerjaan yang baik. Semua bergantung kepada tawaran kerja  jika ada dari tauke kebun atau ladang sekitar Jelebu, Negeri Sembilan atau mengikut lori getah mengangkut getah buku. Kerja-kerja yang memerlukan tenaga empat kerat. Itu yang boleh aku gambarkan kehidupanku pertengahan 1980’an dulu.

Ayah belum menerima pencen penuh dan ganjaran pencen kerana terdapat masalah yang belum selesai di peringkat jabatan Polis Di Raja Malaysia. Mungkin rekod perkhidmatan ayah tidak diselenggara dengan baik. Maklumlah ayah adalah tawanan askar yang diserap ke dalam Senoi Praaq. Setahun lebih kami hanya mengharapkan bantuan saudara sebelah ayah. Namun aku juga mengambil peluang bekerja jika ada tawaran masuk ke kampung.

Aku bersama pemuda kampung seramai 8 orang bekerja di ladang IOI di Pertang, Jelebu. Bertolak dari kampung seawal 7.00 pagi dan waktu habis kerja jam 3 atau 4 petang. Tugas kami hanya meracun anak-anak getah yang tumbuh sekaki dari tanah dengan menggunakan alat seperti kayu hoki yang diisi minyak diesel bercampur racun rumpai.  Kerjanya hanya melibas batang anak getah yang tumbuh di sekitar pohon getah. Lagak seperti bermain hoki ais. Kadang-kadang mual perut disebabkan bau minyak diesel. Kerja agak mudah kerana dilindungi redup pohon getah walaupun tidak selesa kerana jumlah nyamuk yang kerap menghurungi muka.

Begitulah yang kulalui dari hari ke hari. Kadangkala terfikir juga bila duduk sendirian di pangkal pokok getah menghilangkan lelah. Aku yang pernah menjejakkan kaki di pusat pengajian tinggi. Belajar dalam suasana aman dan tenang sambil dihembus kipas yang dingin, belajar sesuatu yang menjadi minatku kini terlantar bersandar di belukar. Berpeluh dan berpanas. Sungguh cepat masa berlalu dan aku tercampak jauh di sini. Sungguh jika terfikir saat itu, aku menjadi lemah.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...