Berakhirlah perjuanganku untuk menimba
ilmu di dalam bidang seni lukis dan seni reka. Bidang yang disukai sejak zaman
sekolah rendah. Menjadi hobi masa lapang
bila usia meningkat remaja. Melukis dengan
hanya menggunakan pensil 2B di atas drawing block. Apa saja objek menjadi
sasaran mata pensilku. Watak-watak kartun televisyen sekitar tahun 1980 seperti
siri animasi kartun dari Jepun, Blocker Corp Machine Blaster. Siri kartun yang
aku minati ketika itu. Aksi pemain bola sepak menjaringkan gol, helicopter Nuri
TUDM, lanskap sekitar Kroh, daerah pemukiman.
Aku juga menggunakan teknik
melukis menggunakan water color . Aku melukis kasut bola sepak ku jenama
PUMA bersama buku-buku yang disusun berlapis untuk impak seni dan aku masih
ingat aku melukis dalam cahaya suram yang datang dari tingkap bilik yang kubuka
sedikit agar cahayanya tampak malap. Paling kuingat aku melukis seorang gadis
berambut china doll, berbaju kurung dengan mata sepetnya hanya dengan
menggunakan pencil. Potret diri gadis itu hanya imbasan ilham sebelum aku
memasuki ITM. Mungkin kerana aku meminati ciri gadis yang sebegitu.
Segalanya telah berakhir. Kegagalan menyambung
pelajaran ke semester berikutnya membenihkan kekecewaan dalam diri. Sehingga kini,
jika terkenang zaman itu pasti terasa juga luka kekecewaannya. Bagaimanapun hidup
di desa perlu diteruskan. Aku mula bergaul dengan pemuda kampung. Aktiviti berkumpul
di rumah bujang sambil menonton tv dan
bermain gitar sedikit sebanyak mengikis kenangan menuntut ilmu di ITM dulu. Aku
mula mengenali wajah-wajah anak desa itu yang juga mempunyai pertalian saudara
sebelah ayahku.
Kadangkala ada juga tawaran kerja-kerja
kontrak seperti memikul tebu, mengumpul getah buku atau skrap untuk dinaikkan
ke atas lori. Memasang pancang kelapa sawit untuk menanda tanaman sawit di
ladang. Meracun anak-anak getah di estet kepunyaan Sime Darby. Berpanas dan
berhujan tidak terkira lagi. Semuanya terpaksa kulakukan demi mencari rezeki
membantu keluarga. Masih kuat di ingatan satu pagi aku diajak oleh saudara
ayahku berkerja mengikut lori getah. Tugasku mengaut getah buku di pusat
pengumpulan dan dinaikkan ke atas lori.
Dari
satu tempat ke satu tempat sekitar daerah Jelebu dan Jempol. Dari kampung ke
kampung yang lain, dari pagi hingga ke petang. Busuknya bau getah sekerap tak
dapat digambarkan. Apalagi yang sudah berlendir bercampur air. Baunya meloyakan
melekat di baju dan anggota tubuh. Kami mengumpul getah buku dari satu lokasi
ke lokasi yang lain sambil aku berdiri di belakang lori. Panas terik menjadi
teman. Terfikir olehku saat itu betapa aku dulu seorang terpelajar.
Kini di
belakang lori getah buku yang berbau busuk. Sedih. Bila habis kerja, kami
diberi wang upah dan disuruh menaiki bas untuk pulang ke kampung. Dengan baju
berbau busuk getah buku, kami menunggu bas. Bila bas tiba, aku tak sanggup duduk
di dalam. Hanya berdiri di tangga bas. Malu kerana keadaanku yang kusut dan
berbau busuk. Itulah harga diri yang terpaksa ditanggung sebagai anak kampung.
Pernah juga berkerja menggalas tebu yang
diikat sebanyak 10 batang sepanjang 10 meter. Beratnya berbanding tubuhku yang
kurus. Namun kugagahkan juga. Berkerja sehingga lewat senja. Bila keadaan sudah
agak kelam, aku tersepak tunggul kayu dan sakitnya tak tergambar oleh perasaan.
Selepas itu aku demam. Keluar urat merah menjalar dari buku lali ke pangkal
paha. Tunggul kayu itu terkena tepat pada buku lali dan terkena kelenjar. Aku tak
boleh berjalan hampir seminggu.
Jika tak ada tawaran mengambil upah aku
hanya duduk di rumah dan mengemas apa yang perlu. Mendengar lagu di radio dan
bermain gitar. Membasuh pinggan mangkuk, membasuh kain baju dan memasak
menggunakan kayu api. Peritnya hidup di kampung. Namun itu terpaksa dilalui
dengan tabah. Aku sudah tidak tahu ke mana arah hidup pada masa akan datang. Usia
ketika itu mencecah 18 tahun dan aku sudah tidak belajar apalagi berkerja. Hidup
tanpa pegangan aku hanya menurut takdir.
Bila petang, aku dan rakan sebaya pemuda
sekampung bermain bola sepak di padang sekolah sehingga senja. Pulang bermain kami
beramai-ramai mandi manda di sungai
sambil bercerita dan berbual kosong. Begitulah kehidupan yang kulalui dari hari
ke hari pertengahan 1984 sehingga Disember tahun itu. Kebosanan mula menjalar dalam
diri. Aku seorang terpelajar tetapi aku terperangkap di dalam dunia yang bukan
seperti yang kuharapkan. Rindu untuk melukis semakin menghakis.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.