Sepanjang sekolah rendah aku mengikuti
kelas pengetahuan agama Islam. Aku belajar menulis jawi, belajar rukun iman dan
islam, belajar cara-cara orang Islam bersembahyang, sirah nabi dan juga belajar
mengaji qur’an. Sejak dari darjah 1 memang aku telah pelajari semua itu
sehingga darjah 5 dan 6. Darjah 3 aku mula belajar sembahyang di masjid
berdekatan sekolahku. Aku berwudhuk dan praktikal sembahyang. Dalam ramai-ramai
kawan yang bukan islam pada ketika itu, hanya aku seorang yang mengikuti
kelas agama islam. Atas kerelaan sendiri. Sebenarnya aku pun tak tahu apakah
mengikuti kelas itu wajib atau tidak. Mungkin pengaruh kawan-kawan Melayu yang
suka berkawan dengan aku.
Adakalanya, dalam ujian aku mendapati
markah yang mengkagumkan ustaz dan kadangkala ada juga tidak. Tetapi sedikit
sebanyak aku telah faham apa itu agama islam dan siapa tuhan yang disebutkan Allah
di dalam Islam. Konsep ketuhanan di dalam Islam dan apa peranan nabi-nabi dalam
sejarah Islam. Sebagai murid bukan Islam aku telah sedikit sebanyak memahami
tentang Islam dan mempunyai tanggapan yang jelas tentang Islam peringkat awal. Ditambah
lagi dengan menonton siri-siri kisah nabi-nabi sewaktu bulan puasa tahun itu
telah menarik minat aku kepada agama Islam.
Begitulah pendedahan awal aku kepada Islam.
Kawan-kawan melayu pula banyak bercerita tentang Islam kepadaku. Kadang-kadang
mereka bercerita sesama mereka dan aku hanya menadah telinga mendengar dengan
khusyuk. Bertanya tentang itu dan ini yang tidak jelas kepadaku. Tidak hairanlah
aku semakin meminati agama ini. Sehingga
ke satu masa aku pernah memberitahu ibuku bahawa aku ingin masuk Islam. Ibu
terkejut. Ibu tidak tahu bahawa di sekolah aku mengambil mata pelajaran
berkaitan Islam. Kalau ibu tahu pun dia mungkin tidak tahu apa-apa tentang
pelajaran Islam.
Dalam waktu yang lain, ayah pula
pernah membelikan aku sepasang baju Melayu, sampin, songkok hitam dan kasut
sebagai persiapan hari raya. Baju Melayu berwarna biru siap dengan butang
digantung kemas dalam almari. Hari-hari aku menunggu untuk memakainya. Ayah
ingin aku menyambut hari raya bersama kawan-kawan di dalam penempatan kem kami.
Begitulah waktu berlalu, Islam sudah jelas menjadi perhatian dan keinginan untuk aku menjadi sebahagian dari kawan-kawan Islam ku. Di kalangan pelajar bukan Islam, hanya aku seorang saja yang boleh menulis dan membaca jawi dan boleh membaca ayat-ayat Muqaddam walaupun merangkak.
Aku telah tahu siapa tuhan orang Islam yang disebut Allah pada ketika itu. Bila aku membaca buku teks Pengetahuan Agama Islam dalam tulisan jawi pasti aku akan terjumpa perkataan Alif..Lam..Lam..Ha. Aku sudah tahu orang Islam hanya menyembah satu tuhan. Kadang-kadang aku rasa aku dekat dengan tuhan orang Islam. Kadangkala aku takut menyebut Allah dan hanya bermain-main dalam benak hati perkataan itu. Begitulah fikiranku zaman kanak-kanak dahulu.
Satu peristiwa melucukan telah aku lakukan sekitar tahun 1977 atau lebih awal sikit. Keinginan untuk mengenal siapa itu tuhan. Adakah dia bisa berkata-kata denganku atau tuhan mampu menunjukkan keajaiban-Nya di depanku. Aku pun menulis nota kepada Allah. Ya.. seorang anak orang Asli yang tiada pegangan agama Islam mengadu kepada Allah. Aku masih ingat aku menulis dalam tulisan jawi di atas sekeping kertas yang antara lain aku menulis "Wahai Allah berilah aku kekuatan dan boleh terbang...." aku tak ingat ayat seterusnya. Kertas itu aku letakkan di atas bumbung reban ayam yang tidak digunakan lagi. Konon-konon dalam fikiranku ketika usia yang masih mentah, Allah dapat membacalah tulisanku dalam jawi itu. Lucu pun ada bila sesekali kembali mengingati kisah zaman anak-anak dulu.
Keesokan pagi aku bangun dan memanjat ke atas bumbung reban ayam lama. Kalau-kalau Allah membalas permohonanku. Tiada! Jauh dalam hatiku, aku tahu tuhan tahu keterujaan aku untuk mengenal diri-Nya.
salam, baru ini terhadir disini. semoga bahagia hendaknya, salam sehobi sahabat!
ReplyDeletesalam pesahabatan semua.
ReplyDeletesalam persahabatan ke atas kamu juga
Delete