Showing posts with label purdah. Show all posts
Showing posts with label purdah. Show all posts

22 August 2014

Pertemuan Yang Mendebarkan


Sememangnya aku merahsiakan kenangan bersama rakan pena pada entry yang lalu.Sejak dari permulaan nukilan tidak satupun kuceritakan tentang diri si gadis yang menjadi rakan penaku.Aku telah berutusan surat dengannya bertukar-tukar cerita dan pandangan tentang banyak perkara sejak 1986 hingga 1991.Tapi rahsia ini telah menjadi terlalu peribadi.Ada cerita suka dan pastinya cerita duka.

Pagi itu aku menanti M di Jalan Raja Muda Abd Aziz berdekatan Chow Kit Road.Tidak ingat hari apa tapi pagi itu Kuala Lumpur  tidak sesibuk seperti biasa.Sambil mataku memerhatikan bas Seri Jaya berlalu ke arah kiri di depan ku.Berdebar juga menanti si rakan pena, gadis yang dihubungi sejak enam tahun yang lalu.Tidak sangka sama sekali M berhijrah ke Kuala Lumpur kerana azamnya untuk memulakan perniagaan.Meninggalkan kampungnya jauh di Pantai Timur.Kata M kampungnya berdekatan pantai.Tapi bukan anak nelayan sejati kerana ayahnya mengerjakan ladang pertanian.

M pernah menjadi guru sandaran selama dua tahun sebaik tamat STAM.Ustazah la tu.Tapi tidak berminat di bidang perguruan.Minatnya terarah ke dunia perniagaan.Ahh..tentunya nanti M berjaya membuka perniagaan memandangkan saudara maranya yang ramai pasti akan menyokong.Masih teringat pujukannya agar aku menjadi rakan kongsi menguruskan perniagaan.Aku menjadi lemah seketika mendengar pujukan itu.Belum pernah perasaan itu menjalar ke seluruh tubuhku (waktu itu).Seperti aku tidak bisa menolak lagi rasanya.Namun aku sendiri belum pasti perniagaan apa yang akan diceburinya.Aku hanya bersetuju dan meminta tangguh seketika untuk memikirkannya.

Pada waktu itu aku dapat rasakan bahawa M menyukai dan mempercayai aku.Maklumlah rakan pena yang setia sejak enam tahun yang lalu.Aku ikhlas berkawan dengannya walaupun melalui surat.Sebagai menghormatinya juga aku tidak menyimpan foto-foto yang diberi.Semuanya kupulangkan kembali.Aku hanya ingin mengenali wajah dan susuk orangnya.Peringkat awal dulu M pertikaikan mengapa fotonya dikembalikan.Mungkin dia terasa.Bagiku M, punya raut persis Ustazah Norhafizah Musa.Berkulit cerah dan sederhana orangnya.

Waktu itu nada bahasaku kaku.Mungkin aku masih terkejut.Rasanya tidak ada bahasa berbunga atau gurauan mesra.Segalanya lurus "straight to the point".Aku tidak tahu mengapa terjadinya begitu.Walhal aku telah menulis kepadanya berkali-kali sejak dulu hingga kini (ketika itu) tanpa kehabisan ayat.M pun begitu.

Bas Seri Jaya berlalu satu persatu.Masih menunggu sehingga sebuah bas berlalu laju.Sempat menjengah ke tingkap bas dua gadis yang kupasti dialah orangnya, kerana masing-masing menjenguk ke luar memandangku sepintas lalu.Degup dadaku terasa laju.Kuperhatikan bas itu berlalu dan berhenti jauh di perhentian kedua sepanjang Jalan Raja Muda Abd Aziz.Satu persatu penumpangnya turun.Dan....

Di kejauhan aku lihat dua gadis turun dan memandang kepadaku.Seorang bertudung labuh yang kupasti dialah orangnya.Buat pertama kalinya aku akan bertemu dengan rakan pena.Mereka berdiri sambil berbual dan sesekali memandang ke arahku.Tiba-tiba rakannya berlalu pergi dan hilang di deretan kedai.Tak tahu kenapa.M pula berjalan menuju ke arahku.Hatiku berdegup untuk entah ke berapa kali.Tiap langkah kakinya mendebarkan.Setiba M menghampiri, aku lantas bertanya ke mana arah rakannya tadi.Konon untuk menyembunyikan debaran menatap wajahnya buat kali pertama.Kata M, sepupunya tak jadi menemaninya.Air mukanya semacam cemas.Aduhai..terpaksalah aku berdua dengannya hari itu, bisikku dalam hati.M berdiri di kiriku dengan beg disandang di bahu kanannya.

Aku pun mengajak M ke perhentian bas di Jalan Ipoh.M mengekoriku dari belakang.Kami tidak berjalan seiring.Malu mungkin.Setiba di perhentian, M berdiri di hujung di bawah pokok sementara aku duduk berseorang.Aku mengajaknya duduk sekali tetapi M tak mahu.Segan.Tiba bas yang ditunggu kami pun menaikinya ke arah Gombak.Untuk pertama kalinya aku duduk bersebelahan M.Masing-masing membisu.Lalu aku sempat juga menghulurkan majalah al-Mukminah yang memang kubeli khas untuknya.M masih bungkam kata sementara aku melayan kenangan.Aku tak tahu mengapa tiada sepatah katapun terluah ketika itu.

11 February 2014

Pencarian.

Sepanjang kembaraku..sesekali teringat juga rakan pena yang pernah kuutuskan surat dulu.Tahun 1985 dia masih menuntut di tingkatan lima di Pantai Timur sana.Pertengahan 1986 aku terima sepucuk surat ketikanya aku berada di utara- Pengkalan Hulu.Dia memberitahu khabar gembira bahawa dia telah berjaya ke tingkatan enam .Bakal menduduki Sijil Tinggi Agama.Aku tak pernah tahu apa itu STAM.Rupa-rupanya itu peperiksaan tertinggi persekolahan bagi aliran Arab.Syukur kepadanya kerana niat ingin terus berada di kelas tertinggi dalam persekolahannya.

Dia memberiku poskad kecil.Aku tidak berapa ingat tentang isi poskad itu.Tapi aku tahu perkenalan kami berjalan seperti biasa tanpa ada cetusan  rasa bersifat peribadi.Apatah lagi itu musimnya dia perlu memberi fokus kepada matapelajaran aliran agama-Arab.Melaluinya aku tahu apa itu Balaghah,Mantiq,i'rab,Nahu Soraf,Ulum Qur'an,Ulum Hadis,mutalaah qiraah,qawaid,adab nusus dan bermacam-macam istilah pendidikan bahasa Arab yang jarang-jarang aku dengar.

Kadang-kadang dia menulis jawi kepadaku.Setakat membaca aku tiada masalah tetapi menulis jawi aku lambat sikit.Aku seronok punya rakan pena sepertinya.Cuma aku tidak berterus terang kepadanya tentang diriku.Walaupun ketika itu aku menyimpan niat akan meluahkan semuanya.Pada ketika itu rasanya tidak perlu, memandangkan dia masih belajar dan kami jarang mengutus surat satu sama lain.Biarlah keadaan yang menentukannya nanti.Tidak perlu terburu-buru fikirku.

Selepas dia mengirimkan foto dirinya pada awal tahun 1986 lalu...sejak itu aku tidak meminta dia mengirimkannya kembali.Foto itu pun telah kupulangkan.Mungkin dia terasa bila foto dirinya dipulangkan.Terpaksa aku menerangkan bahawa tujuanku hanya ingin mengenali dia sepintas lalu.Tidak mungkin aku akan menyimpan gambar seorang perempuan.Lagipun sejak di Al-Arqam lagi aku tidak menyimpan gambar-gambarku.Mungkin cara didikan al-Arqam itu telah menyebabkan aku berfikiran sebegitu.Malah, foto aku bersama dua rakan perempuan sewaktu menuntut di Institut Teknologi Mara, Shah Alam juga telah aku gunting dan buangkan gambar mereka yang berdiri di samping kiri dan kananku sewaktu presentation hasil kerja kumpulan.Walhal foto itu diambil ketika aku belum menjadi muslim.Pelik.Itulah antara fikiran ekstrimku ketika di al-Arqam.

Begitu juga nasib lain-lain foto.Sehingga sekarang yang ada cuma foto-foto lama aku bersama rakan-rakan lelaki.Ya kebanyakannya lelaki.

Mungkin M faham niatku, maka dia tidak mempersoalkan lagi.Sebenarnya aku suka menatap fotonya dulu.Orangnya sederhana.Berkulit kuning langsat.Wajahnya ada iras-iras Ustazah Norhafizah Musa, cuma matanya yang agak bundar berbanding ustazah itu.Memakai tudung agak labuh.Memang kenalah dengannya yang bersekolah agama.Anak petani di pantai timur.Punya seorang abang dan empat adik beradik dua lelaki dan dua perempuan.Waktu itu M telahpun  bersekolah di Maahad Indera Petra.Katanya sekolah lamanya di Maahad Yaakubiah,Bachok sampai tingkatan lima sahaja.Untuk menyambung ke tingkatan enam dia berpindah ke Maahad Indera Petra.

Sepanjang tahun 1986 hingga 1987 sekali sekala sahaja kami berbalas surat.Bertanya khabar.Katanya peraturan di Maahad Indera Petra ketat.Jadi tidak mungkin dapat selalu menulis.Aku faham situasinya.Lantaran aku pun tidak menulis untuknya lagi.Biarlah dia dengan dunia pelajarannya.Mungkin fokusnya pada tahun itu agak lebih sikit, jadi aku tidak membebankannya membalas surat-suratku.

Penghujung 1987 aku mula berfikir arah hidupku...apa akan aku lalui.Apa penyudahnya hidupku ini.Sedangkan usiaku ketika itu telah melewati 21 tahun.Aku masih lagi tiada pekerjaan yang tetap, yang dapat menjamin kehidupan akan datang.Aku tidak boleh berterusan begini.Ilmu agama asas telah kupelajari walaupun hakikatnya masih kurang.Aku perlu berubah...wajib berubah.Aku mesti menjadi manusia kebanggaan ayah dan ibu meskipun mereka jauh di selatan.Aku sedar aku tidak perlu lagi menjauhkan diri dari mereka semua....keluargaku.Ya sesuatu mesti berubah bermula dari diri ini. 

06 May 2011

"tidak ada apa yang perlu dimaafkan,semua sudah berlalu."

Cerita Azam yang terserempak dengan F di Rantau Panjang bukan sekadar khabar biasa; ia seakan-akan satu detik yang mengejutkan aku daripada lena. Tiba-tiba, memori lama kembali menerjah—bukan memori manis, tetapi kenangan pahit tentang kata-kata tajamku yang pernah menghiris hatinya suatu ketika dahulu. Rasa bersalah yang selama ini cuba kusembunyikan di sudut hati, kini bangkit mencengkam jiwa. Aku dihimpit penyesalan yang mendalam. Aku tahu, aku mesti menjejakinya. Aku mesti memohon ampun.
Berbekalkan sesal dan tekad, aku memulakan pencarian di Facebook sekitar 2008. Namun, tiada jejak langsung atas namanya. Jalan buntu itu akhirnya menemukan aku dengan satu petunjuk samar: sebuah pertubuhan bernama Raudhatul Ikhwani di Pekan, Pahang pada tahun 2010.
Mulanya aku keliru, namun apabila meneliti galeri foto mereka, naluriku mula berkata-kata. Suasana sekolah dan pusat asuhan itu, serta logonya, mengingatkan aku pada susur galur Al-Arqam, yang kemudian menjadi Rufaqa, dan kini berevolusi di bawah Global Ikhwan (GISB). Aku meneka, mungkin di sinilah F membawa diri.
Satu demi satu wajah dalam foto guru dan pengasuh itu kutatap dengan teliti, mencari wajah yang ku kenali suatu ketika dulu. Tidak mudah kerana jarak masa telah mengubah rupa dan persona. Dan tekaanku tepat. F ada di situ, di kalangan mereka. Namun, penampilannya telah berubah—tiada lagi niqab, tiada lagi persalinan serba hitam yang sinonim dengan masa lalunya. Melihat wajahnya yang terdedah, terbit satu rasa lega yang sukar digambarkan. Ia seolah-olah satu isyarat halus bahawa pintu untukku menyapa kembali mungkin sedikit terbuka.
Dalam getar rasa berdosa, aku menadah tangan. Aku merayu kepada Tuhan dengan sepenuh hati, "Ya Allah, angkatlah beban rasa bersalah ini. Berikanlah aku peluang memohon maaf sebelum terlambat."
Allah Maha Mendengar. Peluang itu hadir jua. Aku menghubunginya, mulanya sekadar bertanya khabar. Dia kini sudah berkeluarga, seorang ibu kepada anak-anak. Dalam perbualan itu, aku kumpulkan segala kekuatan untuk meluahkan apa yang terbuku. Aku memohon maaf, sepenuh ikhlas, atas segala keterlanjuran lidahku yang pernah melukakan perasaannya dahulu.
Jawapan yang diberikannya sungguh tenang, namun cukup untuk meruntuhkan tembok ego dan rasa bersalahku:
“Tidak ada apa yang perlu dimaafkan, semuanya sudah berlalu.”
Ayat itu ringkas, tetapi kesannya seperti air sejuk yang menyiram api penyesalan. Beban berat yang kutanggung sekian lama akhirnya terlerai. Allah telah memberikan aku kesempatan emas untuk memadamkan titik hitam dalam hidupku. Tugasku selesai hanya dengan memohon maaf
Lapan bulan selepas detik kemaafan itu, aku dikejutkan dengan berita pemergian F melalui seorang rakan bekas pelajar Yayasan Anda Akademik. Dengan hati yang berat, aku segera menjejak kembali laman Facebook Raudhatul Ikhwani. Di situ, ternyata ada pengumuman penting mengenai pemergian salah seorang tenaga pengajar di pusat tersebut.
F dan rombongannya terlibat dalam kemalangan maut di laluan Mersing–Endau. Pada 30 April 2011, F meninggalkan dunia ini selamanya, meninggalkan enam cahaya mata yang masih kecil. Berita itu menimbulkan kesedihan yang mendalam, namun jauh di sudut hati, aku turut merasa syukur kepada Allah SWT kerana telah memberi kesempatan kepadaku untuk memohon kemaafan kepada F sebelum dia pergi.
Semoga mereka yang ditinggalkan—anak-anak, keluarga, dan sahabat—diberi ketabahan dan kesabaran menghadapi musibah yang amat besar ini. Dalam kesedihan itu, aku merenung kembali perjalanan hidup kami, mengenang segala kenangan dan pertemuan yang pernah berlaku. Aku menghargai detik-detik terakhir yang sempat tersisa antara kami dan detik-detik ketika kami masih naif, bersikap tidak matang, dan kadang-kadang zalim sesama manusia. Kenangan itu mengajar aku tentang kesalahan, pengampunan, dan nilai menghargai hubungan sementara yang diberikan Allah dalam hidup ini.

01 September 2009

Selamat Ulang Tahun...44: Selingkar Kisah


Hari ini (1 September 2009) genap usiaku 44 tahun.Kalau dikira aku sudah semakin matang.Entahlah.Terlalu subjektif.Ada manusia yang muda usianya tapi kematangan berfikir lebih dari orang yang seusia seperti ku.Ramai yang telah kujumpa manusia-manusia yang seperti ini.Padaku, kematangan bukan terletak kepada usia.Ada manusia yang menjangkau setengah abad tapi masih suka lepak-lepak di pusat-pusat hiburan.Minum.Menari.Berjoget dangdut.Itu yang selalu kulihat jika terdapat kes-kes tangkapan dibicarakan di tempat kerjaku.Ada yang bergelar warga emas.Rambut sudah beruban.Datang ke mahkamah ditemani cucu dan menantu.Pendek kata bukanlah usia ukuran kematangan.

Biarlah.Jangan diulas panjang.Mungkin nanti ada yang berpolemik.Terasa mungkin.Aku ingin menulis di sini berkaitan sambutan ulang tahunku.Ehem...!Siapa tidak gembira jika ada yang mengingatkan.Mengucapkan Selamat Ulang Tahun atau selamat Harijadi.Kepada isteri yang tidak pernah lupa setahun sekali.Terima kasih.Katanya senang nak ingat..lepas merdeka.Aku pulak dimerdekakan dari rahim ibuku, 44 yang lalu.Sebenarnya aku tidak mengharapkan sangat diingatkan tentang hari ulang tahunku.Mungkin terasa sudah semakin hampir nyanyuk atau bahasa lembutnya tua.Uban di kepalapun sudah boleh dikira.

Gembira...ya juga.Tidak ada manusia yang menolak rasa gembira jika diucapkan selamat harijadi.Disusuli dengan doa dan ucapan semoga panjang umur murah rezeki, rajin beramal atau bertambah amal kebajikan.Mmmm..jarang pulak didengar.Mungkin kita perlu mengubah budaya ini.Agar lebih islamik.Mengingatkan kepada diri tentang usia yang sudah lanjut.Amalannya sudah mendarah daging.Bukan lagi kerana terpaksa.Tidak terfikir diri ini hamba.

Zaman remaja, indah.Budaya mengucapkan selamat harijadi memang menjadi lumrah.Poskad dan hadiah.Seingat aku tidak pulak pernah dalam ahli keluargaku mengucapkan sebegitu.Kawan-kawan dan taulan juga sama.Sehinggalah aku meningkat remaja.

Tetapi satu peristiwa yang mengejutkan pernah terjadi kepada diriku.Tidak pernah seumur hidupku ada yang mengingatkan hari jadi kepadaku.Malah aku kadang-kadang terlupa mengucapkan kepada diri sendiri.Berlalu begitu saja.Kisah ini berlaku ketika aku di lower six sewaktu menuntut di Yayasan Anda Akademik.Aku terima sebungkus hadiah.Terkejut dan teruja.Hadiah dari rakan sekelas.Hadiah dari pelajar perempuan pulak tu.Rupa-rupanya dalam berserban (waktu tu) ada jugak yang sudi mengingatkan tarikh keramat hidupku.Sampai sekarang nama dua gadis comel itu masih aku ingat.Dan sesungguhnya ingatan kepada mereka pada setiap ulang tahunku sangat-sangat istimewa.

Dua gadis comel yang kumaksudkan adalah gadis beragama kristian.Berasal dari Sabah (Ranau).Berketurunan Kadazan Dusun.Memang aku rapat sikit dengan mereka ketika di lower six berbanding rakan perempuan sekelas beragama Islam.Aku tidak tahu rupanya mereka merancangkan sesuatu untuk aku.Sebuah lukisan pemandangan senja di lautan.Di belakang frame diabadikan nama kedua-dua gadis tadi dari Bianah dan Maura Jonip...Selamat Hari Jadi Along.

Aku selesa berbual dengan mereka.Walaupun aku memakai serban (ketika itu) aku cuba tunjukkan bahawa Islam itu sebenarnya adalah agama bertoleransi.Mudah.Malah aku pernah secara bergurau mengatakan bahawa aku punya awek (teman wanita) si Bianah ketika rakan perempuan sekelas (Normah) bertanya kepadaku secara jujur (atau sekadar menguji) apakah aku mempunyai rakan perempuan di hati....(dalam pertanyaannya ketika itu).Bianah, kulihat tercengang dengan jawapan selamber aku itu.(Kalaulah dia muslim...).Dan di penghujung tahun 1988 aku juga tidak segan menghadiahkan kepada mereka berdua sebuah buku bertajuk "Mengapa aku pilih Islam".Aku niatkan sebagai dakwah.Agar mereka faham mengapa Islam pilihanku.

Dan hadiah kepada mereka juga adalah yang teristimewa dariku.Mengapa tidak.Pada awal pagi selepas membeli sarapan di gerai makan tingkat bawah Flat Kg Kerinchi aku berjalan pulang ke asrama.Mataku terarah kepada sehelai kertas direnyuk berwarna perang.Aku pasti gumpalan kertas itu wang, lalu aku mengutipnya di tengah-tengah ramai.Kubuka gumpalan kertas itu perlahan-lahan dan memang kupastikan ianya mata wang bernilai RM 500.00 (ketika itu note RM 500.00 masih sah laku).Tidak pernah aku terjumpa wang dengan nilai sebesar itu.Dan dengan menggigil aku ke kedai runcit berdekatan.Seorang abang si tuan kedai runcit yang ku kenal kuceritakan penemuan mata wang itu.Menyerahkan kepadanya agar ada insan yang kehilangan datang mengadu dan menemukannya kembali.

Menjelang isyak rakan sebilik si Bob memanggilku sewaktu aku menatap nota-nota untuk kelas keesokannya.Katanya si tauke kedai runcit ingin berjumpa.Tanpa berlengah aku turun ke tingkat bawah.Kulihat tauke itu sedang berbual dengan seseorang yang biasa juga aku jumpa di sekitar flat itu.Abang si pekedai runcit menghadiahkan senyum diikuti dengan ucapan salam dari teman bicaranya ketika itu.Dia perkenalkan diri sebagai abang.Lalu mengucapkan terima kasih kepadaku kerana menyerahkan note RM 500.00 kepada pekedai runcit kenalannya.Kami berbual seketika dan dia menghadiahkan aku RM 50.00 sebagai hadiah dan business kadnya.Wau... seorang kontraktor.

Dengan duit itu aku menghadiahkan kepada diri sendiri kain serban baru dan sebuah buku "Mengapa aku pilih Islam" yang kemudiannya aku hadiahkan kepada Maura dan Bianah si gadis Kristian Protestan itu.

08 January 2009

Pilihanku.

     Dia seorang gadis biasa. Berkulit kuning langsat. Seorang saudara baru juga sepertiku. Beza dia mendapat pendidikan formal 4 sanawi. Bertudung labuh, itu yang menjadi tarikan kepadaku. Entahlah... dari dulu memang aku sangat menyukai dan menghormati kaum hawa yang bertudung labuh tidak mengira sama ada yang tua atau muda.

Aku sangat menyukai wanita sebegitu. Aku juga mudah menyukai gadis bermata sepet seperti anak cina dan berambut ala china doll. Sebelum aku menganut agama Islam aku juga menyukai wanita yang bertudung. Selayaknya wanita muslim berpakaian menutup aurat begitu kerana Islam itu sendiri menggalakkan kaum muslimahnya berbuat begitu. Tidak kiralah bagaimana takrifnya atau garis panduannya. Namun bagiku yang menutup aurat dengan memakai tudung labuh sangat mengujakan.

Sebelum aku mengenali Islam dan mendalaminya aku sudah tertarik dengan keindahan Islam yang dibawa. Islam itu sendiri bermaksud selamat, aman, peace, tunduk patuh. Islam menjaga kaum perempuan supaya martabat mereka tidak dipandang rendah. Aku fikir Islamlah yang meletakkan kaum wanitanya setingkat ke atas berbeza dengan wanita yang lain. Walaupun aku tidak mengetahui tingkah dan perangai mereka yang bertudung labuh namun menjaga aurat sudah dikira berpahala.

Aku sangat tertarik kepada kaum hawa yang mengenakan tudung labuh berwarna hitam. Di situ terserlah kelembutan ciptaan Tuhan. Bagiku, manis dan mententeramkan. Aku masih ingat wajah-wajah rakan waktu belajar dulu. Mereka mengenakan tudung sebegitu sehingga aku jadi malu bertentang.

Rakan perempuan, ada yang berkata aku tidak memandang perempuan. He..he..he.. tidaklah sampai macam tu. Sebenarnya (waktu zaman remaja) aku sangat malu pada perempuan. Hanya mereka yang berani mendekatiku saja yang bisa aku pamerkan kemesraan. Aku pula mudah mempercayai seseorang apabila mereka ramah padaku. Tidak hairanlah jika aku mudah jatuh hati berkali-kali. 

29 November 2008

Disember 1989...penyesalan yang tidak dapat dimaafkan!

Selepas peristiwa itu, aku kembali ke sekolah seperti biasa—atau sekurang-kurangnya berpura-pura biasa. Namun ruang kelas yang dulu terasa penuh suara kini menjadi sunyi. Ada satu kerusi kosong yang mencuri perhatianku setiap kali aku masuk: tempat F.

Tiga hari berlalu, dan khabar angin mengatakan dia sudah tidak berada di asrama perempuan. Cikgu R bertanya kepada kami, namun aku diam membatu. Kerana aku tahu… aku tahu ke mana perginya F, dan yang lebih menyakitkan, aku tahu akulah puncanya.

Waktu itu, kekesalan menyusup perlahan ke dalam dadaku, mula bertakhta tanpa mahu pergi. F telah menyerahkan kepercayaannya kepadaku—seorang rakan, seorang saudara sekelas—tetapi aku membalasnya dengan kata-kata yang melukai jiwa seorang gadis.

Dia hanya mengharapkan sokongan, sekeping bahu memahami. Tetapi egoku… ah, egoku lebih keras daripada hati yang sepatutnya mendengar. Dan aku telah mencederakan satu-satunya perempuan yang pernah meletakkan percayanya di bahuku.

Kasihan F…
Itulah kata-kata pertama yang menjelma dalam benakku, namun anehnya, itulah kata yang tidak pernah aku ucapkan kepadanya.

Itulah kali terakhir aku berbicara dengannya,
dan itulah kali pertama aku menyakiti hati seorang perempuan.

Kedatangan Dari Kuala Lipis

Berita kehilangan F sampai kepada keluarganya. Ayah dan abangnya datang dari Kuala Lipis mencari anak gadis yang tiba-tiba menghilang. Mereka bertanya kepada pihak sekolah dengan wajah bimbang yang aku sendiri segan untuk pandang.

Hati kecilku hancur waktu itu. Tetapi entah mengapa, aku masih tidak mampu berdiri di hadapan mereka dan berkata,
“Ini salah saya.”

Aku tidak memohon maaf.
Aku tidak menundukkan kepala.
Aku tidak mengerti kenapa aku begitu.

Seolah-olah ada tembok keras membatu dalam diri, memaksa aku diam ketika aku sepatutnya bertanggungjawab.

F rupa-rupanya merajuk dan mengasingkan diri di rumah sewa kakak angkatnya, seorang siswi UM di Shah Alam. Beberapa hari kemudian, dia kembali ke sekolah seperti biasa. Dari jauh aku melihatnya—langkahnya perlahan, hambar.

Kami lewatkan pandangan.
Kami menjarakkan suara.
Dan aku… aku tetap tidak meminta maaf.

Ego lelaki muda itu, benar-benar membunuh kita dari dalam.

Panggilan Ke Bilik CJ

Beberapa hari kemudian, Cikgu J—warden hostel dan guru sejarah Islam—memanggil aku, F, dan rakan kami S ke biliknya. Cerita sudah pecah, angin sudah naik ke telinganya.

Aku ceritakan apa yang berlaku.
F diam.
Suhairi diam.

Aku sendiri tidak ingat, adakah aku sempat meminta maaf pada F. Atau adakah aku hanya menyampaikan cerita tanpa jiwa.

Selepas itu, Cikgu J sering menyindir aku dan Suhairi. Katanya kami berlagak seperti “ulamak muda”, pembawa masalah, suka campur hal orang. Barangkali kerana dia tahu puncanya, maka kata-katanya semakin tajam. Aku terima semuanya dengan sabar, kerana hakikatnya aku memang bersalah.

Aku bukan ekstremis.
Aku bukan pendakwah palsu.
Aku hanya seorang pemuda yang terkeliru antara nasihat dan perasaan.
Dan antara dua itu, aku memilih cara yang salah.

Mengasingkan Diri

Cikgu J selalu menyindir aku. Tentang serban yang aku pakai, tentang sikap aku yang dikatakan berlagak seperti ulama. Sehingga dia pernah mengugutku di dalam kelas secara terbuka di hadapan rakan yang lain. Aku malu. Aku tidak mahu menjadi bahan sindiran lebih lama. Sejak dulu aku tahu F adalah pelajar "kesayangan" dan "harapan" Cikgu J kerana keaktifannya. Jadi aku mengambil keputusan yang paling mudah—lari. Aku berhenti hadir ke sekolah sebulan lebih awal. Tidak lagi bersama kumpulan study. Tidak lagi duduk dalam kelas yang mengingatkan aku kepada F.

Aku menyewa di rumah rakan, Z, staf Pembantu Makmal di Universiti Malaya. Di sana aku belajar sendirian, jauh dari semua yang menyakitkan. Hujung minggu aku dan Z akan beriktikaf di Masjid India. Waktu petang ketika menunggu bas di Jalan Lembah Pantai untuk ke sana, aku pasti terserempak dengan rakan perempuan sekelas yang lewat pulang kerana ada kelas tambahan. Aku mengelak untuk bertembung dengan mereka.

Tapi jauh mana pun aku pergi, ingatan terhadap F tetap muncul seperti bayang yang mengekori langkah. Dalam senyap aku tahu: aku ingin mencarinya selepas STPM. Jika takdir membuka ruang maaf, aku mahu ucapkan apa yang tidak pernah terucap.

Akhir Yang Tidak Pernah Selesai

Disember 1989, aku hadir ke dewan peperiksaan di SMK Pantai. Rakan sekelas menyambutku. Terutama pelajar perempuan yang pernah duduk di belakangku. Si N. Katanya dia rindu kelibat aku. Setelah lebih seminggu peperiksaan selesai. F juga selesai hilang dari hidupku. Aku cuba mencarinya di dewan peperiksaan—namun hampa. Hanya Noor Azam, pelajar tingkatan lima waktu itu, yang masih terus berhubung denganku. Sesekali kami berbual tentang kisah-kisah lama di Yayasan Anda Akademik ketika lepak di Masjid Rahman, UM.

Ada waktu Azam bertanya tentang F.
Katanya dia tahu F menyukaiku, dan dia yakin aku juga menyukainya.

Aku terdiam.

Mungkin benar.
Mungkin masa itu tidak memihak kepada kami.
Mungkin F sudah melupakan aku ketika itu.
Mungkin… memang begitulah aturan Allah.

Wallahu a’lam.
Aku biarkan dia pergi, tetapi luka kecil itu kekal membekas.

Sesetengah kenangan tidak minta untuk dipulihkan—
ia hanya meminta untuk dikenang
agar kita menjadi manusia yang lebih rendah hati.

Ogos 1989:Pertemuan di surau dan purdah...(2)


Di surau aku memberi salam sambil mencari kedudukan F.  Maklumlah di balik tabir.  Tak nampak.F menjawab salamku di hujung sudut tabir pintu masuk ke surau dan aku pun duduk bersila menghadapi tabir hijau yang tebal. Aku dengar suara F lembut di balik tabir. Aku masih ingat wajahnya yang bersih tanpa sebutirpun jerawat. Terbayang juga pertemuan di tangga dulu betapa F,  ah… susah hendak digambarkan apabila hati sudah suka!  Kini (ketika itu) aku hanya berpeluang mendengarnya dari balik tabir.

Memang F meluahkan sesuatu kepadaku tapi hanya berkisar mengenai masalah yang dihadapinya serta keputusannya memakai purdah. F minta pandanganku samada setuju dengan perubahan dirinya atau tidak (dalam hati tertanya... mengapa pula dia meminta pandangan dariku).  F menyatakan bahawa sejak beliau berpurdah rakan-rakan seakan menjauhkan diri darinya. Ada juga guru yang tidak mahu F memakai purdah.  Sebenarnya aku tidak setuju F berpurdah ketika masih belajar kerana pada pandanganku ada ulama yang mengharuskan memakainya  ketika belajar.  Namun aku hormati keputusan yang diambil.  Lepas STPM aku melepaskan keputusan pada F kerana itu haknya untuk memakai.

F menceritakan masalah peribadinya kepadaku sambil meminta nasihat serta pandangan.  Aku tahu bila F meluahkan cerita peribadi dan masalah dirinya kepadaku bermakna  dia telah mula mempercayai aku. Terasa aku dihargai ketika itu.  F menceritakan hubungan rakan-rakan yang mula dingin terhadap perubahan dirinya. Dalam diri aku terfikir F benar-benar mengharapkan sokongan dariku. Tapi aku keliru.  Dalam fikiran ada sesuatu yang menganggu. Aku serba salah. Dalam diamaku  suka F kerana dia mempamerkan ciri-ciri gadis yang solehah.  Keputusan F memakai purdah satu keputusan yang berani.  Bagiku, sudah biasa berjumpa dengan wanita berpurdah sewaktu berada dalam jemaah Al-Arqam satu ketika dulu.  Aku memang memandang tinggi wanita sebegitu.

Tapi seminggu sebelum pertemuan itu aku medengar berita kurang enak. Suhairi (kini Setiausaha Kerja PAS N.Sembilan) rakan sekelasku dimarahi F kerana ada satu perkara remeh dan salah faham berlaku.

Kejadian berpunca begini, F dan rakan seasrama bercadang mengadakan minggu silaturrahim sesama pelajar perempuan.  Mereka berpakat mengadakan sukan (outdoor sport) seperti karom, bola jaring dan sebagainya.  Ini diceritakan sendiri oleh F padaku.  Namun awalnya Suhairi tidak bersetuju berkenaan sukan bolajaring di padang bomba kerana tempat itu terbuka.  F tidak puashati dan memarahi Suhairi. Sukan tersebut diadakan juga keesokanya (hari cuti). Suhairi memaklumkan kepadaku dan sikap F. Aku hanya mendengar.

Petang itu aku dan rakan-rakan hendak solat maghrib di sekolah. Aku terlihat mereka yang baru pulang dari bersukan dan F juga melihat aku. Lebihkurang dua hari selepas itu F ingin berjumpa denganku di surau.

Aku menyelar sikap F terhadap Suhairi. Aku nyatakan bahawa F perlu sabar dengan karenah rakan yang lain.  Apalagi sebagai gadis. Mesti tunjukkan akhlak yang baik. Kemudian aku nyatakan bahawa aku dan Suhairi kurang senang dengan tindakan pelajar perempuan mengadakan sukan antara dorm di padang Balai Bomba,  Jalan Pantai Bahru yang terbuka dan disaksikan oleh ahli bomba. Aku dan Suhairi tidak setuju kerana jerit sorak perempuan akan menarik perhatian  anggota Bomba melihat mereka bermain. Aurat mereka wajib dijaga. F menjelaskan bahawa mereka mengadakan minggu taaruf dengan mengadakan sukan sesama mereka ,tempat mengadakan sukan basket ball pula terhad. Aku memaklumkan kepada F bahawa aku punyai rakan di Maktab Perguruan Islam dan jika mahu kita boleh sewa dewan tertutup mereka.

Mungkin kaedah aku menegur F agak kasar, F tertekan. Aku tidak terniat langsung hendak mengenakan F. Memang aku ada memberitahu Suhairi bahawa aku akan menegur F. Tapi bukanlah hendak membalas perbuatannya kepada Suhairi. Lama-kelamaan kedengaran esakan F di balik tabir. F sedih. Mungkin diharapkan kata-kataku sokongan jiwanya bertukar kepada batu yang menghempap. Aku tahu F sedih dengan kata-kataku. Aku tidak ingat samada meminta maaf kepadanya atau tidak. F menangis di balik tabir. Timbul pula rasa kesal di hati. Aku tinggalkan F di surau melayan remuk hatinya sementara aku kembali ke kelas dengan sedikit kesal.

Sukar hendak dinyatakan ketika itu, mungkin aku sukakan F sebab itu aku tidak mahu F menjadi tarikan mata-mata yang melihat. Cemburu mungkin...

28 November 2008

Ogos 1989 :Pertemuan di surau dan purdah...(1)


Aku mengharapkan dapat berbual dengan F atau setidak-tidaknya melihat F dari jauh. Memang ketika itu aku ingin menolak anggapan bahawa aku mempunyai hubungan dengan F tapi pada masa yang sama mengharapkan sesuatu berlaku. F punyai ciri-ciri yang menepati pencarianku. Di Darul Arqam aku lihat F banyak bertanya mengenai perkembangan jemaah. Aku tahu dia suka hidup berjemaah dan punya wadah satu hari nanti. Dalam diam aku menilai F.

Tidak lama selepas itu F telah mengenakan purdah (pakaian yang menutup muka) Aku terkejut begitu juga rakan sekelas. Rakan lelaki mula bertanya kepadaku kenapa F berubah. Sebenarnya aku pun tidak ada idea kenapa F berubah begitu. Malah aku pula tidak faham kenapa rakan sekelas merujuk kepadaku tentang perubahan F. Sejak itu juga aku tidak lagi melihat wajah F dan jauh sekali hendak berbual dengannya. Namun ia tidaklah menganggu konsentrasiku pada pelajaran.

Dua bulan sebelum STPM 1989, ketika selesai waktu rehat dan pelajar telah mula masuk ke kelas. Sedang kami duduk bersedia menunggu Cikgu Rosli (Sejarah Asia Tenggara) masuk. Tiba-tiba Meor dan Azman masuk lalu mendapatkanku. Katanya F ingin berjumpa denganku di surau. Aku tergamam. Sudah agak lama juga sejak F mengenakan purdah aku tidak berpeluang berbual dengan F. Hati tertanya-tanya juga apakah yang F mahu berkongsi cerita denganku kali ini. Antara mahu atau tidak. Pertama aku bimbang apa yang rakanku sangkakan bahawa aku dan F ada sesuatu yang dirahsiakan memang benar-benar berlaku. Kedua aku tidak mahu bertemu kerana aku nekad untuk menafikan rasa hati. Namun perasaanku ketika itu sukar hendak menolaknya.Berbelah bagi.

Meor pandai memujuk.  Jenakanya masih lagi mencuit hati. Tapi aku tetap tidak berganjak. Aku katakan bahawa tidak perlu jumpa aku. Pelajar lainkan masih ada jika ada masalah untuk diminta pertolongan. Meor dan Azman tetap memujuk kerana jawabnya tidak baik aku menghampakan hajat orang. Aku tidak sedap hati bila dikatakan begitu. Kerana memang sejak dulu aku tidak suka membuat rakan susah kerana sikapku.  Dengan alasan itu aku bersetuju tapi mengajak Meor ikut sama. Meor menolak kerana katanya F hanya ingin bertemu denganku seorang. Dalam hati berbisik apalah yang hendak diluahkan F ini. Mungkin..???

Dalam diri aku serba salah. Apakah F memang benar-benar mahu menyatakan sesuatu yang selama ini terbuku antara kami.  Aku belum mahu memulakan kerana masih berpegang pada janji. Namun aku bersedia mendengar apa yang hendak dikatakan.

27 November 2008

1989 :Pelajar baru bertudung labuh

Ketika aku di Upper Six, cabaran belajar semakin terasa berat. Aku perlu mengulang semula nota Lower Six, dan dalam masa yang sama mengejar silibus Upper Six yang makin mencabar. Rasanya seolah-olah aku kembali ke zaman universiti—mengimbau kenangan ketika menuntut di ITM dahulu. Namun, aku bersyukur kerana memiliki kumpulan belajar yang semuanya lelaki. Kadang-kadang ahli kumpulan bertukar, tetapi itulah yang membuatkan perbincangan kami dipenuhi pelbagai idea, masing-masing ada cara tersendiri menjawab soalan. Antara yang paling rapat ialah Meor Shahrom (kini wartawan TV3) dan Azman, rakan dari Kuala Kangsar yang sering menceriakan suasana bila kami mula bosan. Seorang lagi aku sudah tidak ingat namanya. Kesemua mereka berasal dari Perak.

Kesibukan bersama kumpulan belajar membuatkan aku hampir terlupa bahawa ada seorang pelajar perempuan baharu yang masuk ke kelas kami, 6 Atas 3 Syariah. Dia menyertai jejak rakan-rakannya yang “melompat” ke Upper Six untuk menamatkan STPM lebih awal. Di sekolah swasta, perkara begitu tidak menjadi masalah—tidak wajib melalui Lower Six dahulu. Asalkan boleh mengejar subjek yang dilepasi sewaktu di Lower Six. Dari rakan-rakan, aku mula mengenalinya: namanya FKA, berasal dari Padang Tengku, Kuala Lipis, Pahang. Katanya, dia anak kepada seorang anggota polis di sana.

Sebenarnya aku pernah terlihat dan perasan akan dirinya sewaktu di Tingkatan 5 pada tahun 1988 dulu. Dia bertudung labuh—dan aku memang mudah tertarik pada pelajar bertudung labuh, apatah lagi yang mengenakan warna hitam. Mungkin kerana kenangan zaman remaja, atau nostalgia ketika aku pernah bersama jemaah Al-Arqam sekitar 1985–1986. Aku tidak begitu mengikuti dirinya kerana fokus kepada tahun akhir STPM.

Hampir setahun aku di 6 Atas, aku sendiri tidak pasti sejak bila aku mula dikaitkan dengan F, rakan sekelasku itu. Rakan-rakan rapat mula bertanya, “Enta dengan F ada apa-apa ke?” Sedangkan aku langsung tidak pernah mempunyai apa-apa hubungan dengannya. Semuanya berlaku tanpa dirancang, tetapi mungkin kerana cara mereka melihat dari luar, mereka mula membuat andaian sendiri. Aku akui beberapa perkara memang berlaku di hadapan mata mereka, jadi tidak hairanlah jika mereka mula meneka.

F sebenarnya meminati perkembangan jemaah Al-Arqam. Dia selalu bertanya dan merujuk kepadaku tentang kumpulan itu. Kebetulan aku pernah terlibat, jadi sedikit sebanyak aku tahu. Namun, walaupun aku masih mempunyai ramai kenalan dalam jemaah tersebut, aku tidak mahu terlalu dikaitkan dengannya. Pengalaman bergaul dengan pelbagai kelompok Islam membuatkan aku lebih terbuka—bagiku semuanya kembali kepada niat menegakkan Islam, asalkan tidak saling dengki-mendengki.

Pada masa lapang, rakan kenalanku R dari Batu Kikir, Negeri Sembilan—pelajar Universiti Malaya (1988-1990) ketika itu—sering mengajakku menghadiri usrah dan kuliah fardu ain anjuran Al-Arqam di Jalan Universiti. Di situlah aku sering terserempak dengan F. Aku pernah memberitahu R bahawa F berminat dengan jemaah al-Arqam dan selalu bertanya kepadaku. Pada mulanya aku menganggapnya hanya pertanyaan biasa, seperti rakan-rakan lain juga. Tetapi kerana kami semakin kerap bertukar pandangan, dan beberapa rakan mula perasan, akhirnya aku mula dikaitkan dengannya.

Itulah permulaannya. Dari situ, rakan-rakan lain mula melihat kami dengan penuh tanda tanya. MS dan A pula sering mengusik, “Kenapa enta tak cuba jadikan F istimewa?” MasyaAllah, aku tidak pernah berniat belajar di situ sambil memikat anak dara orang. Tetapi bila sering sangat diusik, lama-lama hati mula terusik juga.

Tambahan pula aku memang tidak begitu petah berbicara tentang hal peribadi, pendiam dan tidak banyak bercakap jadi mungkin rakan-rakan menyangka aku menyimpan sesuatu. Hakikatnya, jauh di sudut hati, aku mula menyukai gadis bertudung labuh itu. Walaupun ada beberapa pelajar lain di kelas yang turut bertudung labuh, entah kenapa aku tidak mampu mengalihkan perhatian daripada F. Dan sejak itulah aku mula benar-benar meminatinya.

Aku Kalah

  Aku masih ingat, satu lewat petang di kelas tambahan Syariah. F menghampiriku dengan senyuman—senyuman yang, aku akui, memang cantik. Dia ...