Aku
mengharapkan dapat berbual dengan F atau setidak-tidaknya melihat F dari jauh. Memang
ketika itu aku ingin menolak anggapan bahawa aku mempunyai hubungan dengan F
tapi pada masa yang sama mengharapkan sesuatu berlaku. F punyai ciri-ciri yang
menepati pencarianku. Di Darul Arqam aku lihat F banyak bertanya mengenai
perkembangan jemaah. Aku tahu dia suka hidup berjemaah dan punya wadah satu
hari nanti. Dalam diam aku menilai F.
Tidak
lama selepas itu F telah mengenakan purdah (pakaian
yang menutup muka) Aku terkejut begitu juga rakan sekelas. Rakan lelaki mula
bertanya kepadaku kenapa F berubah. Sebenarnya aku pun tidak ada idea kenapa F
berubah begitu. Malah aku pula tidak faham kenapa rakan sekelas merujuk
kepadaku tentang perubahan F. Sejak itu juga aku tidak lagi melihat wajah F dan
jauh sekali hendak berbual dengannya. Namun ia tidaklah menganggu konsentrasiku
pada pelajaran.
Dua
bulan sebelum STPM 1989, ketika selesai waktu rehat dan pelajar telah mula
masuk ke kelas. Sedang kami duduk bersedia menunggu Cikgu Rosli (Sejarah Asia
Tenggara) masuk. Tiba-tiba Meor dan Azman masuk lalu mendapatkanku. Katanya F
ingin berjumpa denganku di surau. Aku tergamam. Sudah agak lama juga sejak F
mengenakan purdah aku tidak berpeluang berbual dengan F.
Hati tertanya-tanya juga apakah yang F mahu berkongsi cerita denganku kali ini.
Antara mahu atau tidak. Pertama aku bimbang apa yang rakanku sangkakan bahawa
aku dan F ada sesuatu yang dirahsiakan memang benar-benar berlaku. Kedua aku
tidak mahu bertemu kerana aku nekad untuk menafikan rasa hati. Namun perasaanku
ketika itu sukar hendak menolaknya.Berbelah bagi.
Meor
pandai memujuk. Jenakanya masih lagi
mencuit hati. Tapi aku tetap tidak berganjak. Aku katakan bahawa tidak perlu
jumpa aku. Pelajar lainkan masih ada jika ada masalah untuk diminta
pertolongan. Meor dan Azman tetap memujuk kerana jawabnya tidak baik aku
menghampakan hajat orang. Aku tidak sedap hati bila dikatakan begitu. Kerana
memang sejak dulu aku tidak suka membuat rakan susah kerana sikapku. Dengan alasan itu aku bersetuju tapi mengajak
Meor ikut sama. Meor menolak kerana katanya F hanya ingin bertemu denganku
seorang. Dalam hati berbisik apalah yang hendak diluahkan F ini. Mungkin..???
Dalam
diri aku serba salah. Apakah F memang benar-benar mahu menyatakan sesuatu yang
selama ini terbuku antara kami. Aku
belum mahu memulakan kerana masih berpegang pada janji. Namun aku bersedia
mendengar apa yang hendak dikatakan.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.