29 November 2008

Noor Azam Abdul Aziz


Aku kenali pelajar ini lebih dulu dari rakan-rakan yang lain. Ia bermula pada satu pagi ketika hari pertama mendaftarkan diri. Aku baru sampai ke Bangunan Sri Pantai dan terus berjalan mundar-mandir di kaki lima bangunan tersebut sambil memerhati kehadiran pelajar-pelajar baru yang lain. Pagi itu begitu sibuk. Mataku meliar, cuba mengingat setiap sudut bangunan sebagai tanda untuk dikenang nanti.


Tak lama kemudian, mataku tertancap pada seorang pelajar lelaki berpakaian serba putih. Pada fikiranku, dia mestilah pelajar baru juga sepertiku. Pelajar tersebut menegurku dan memberi salam. Kami bertukar salam dan senyum. Dia memperkenalkan diri sebagai Azam, begitu juga aku. Perkenalan singkat itu berakhir di situ kerana kami perlu mendaftar segera untuk mengetahui kelas masing-masing.


Sebulan kemudian, barulah aku tahu Azam juga tinggal di asrama di Kg Kerinchi dan dia masuk di tingkatan 5. Azam yang kukenal seorang yang smart, murah dengan senyum dan suka berjenaka. Kadang-kadang, kami berbual tentang hal-hal semasa. Aku tak pasti apakah benar Azam juga sepupu kepada rakan sekelasku, R.


Hinggalah aku menamatkan STPM pada akhir 1989, aku masih berhubung dengan Azam. Pada waktu itu, aku bekerja di sebuah kilang di Jalan Bangsar dan sering beriktikaf di Masjid al-Rahman, Universiti Malaya. Kadang-kadang, kami berjumpa di masjid tersebut. Ada sekali, Azam dan aku beriktikaf dan tidur di situ. Malam itu, kami berbaring sambil bercerita pengalaman peribadi. Ada juga kami menyentuh tentang F, yang juga rakan sekelas Azam waktu di tingkatan 5. Fikiranku pada waktu itu memang tidak dapat melupakan F, namun takdir mengarahkanku untuk melupakannya. Aku mengakui kesal kerana menyebabkan gadis itu kecewa dengan sikapku. Azam pernah memberitahu bahawa dia terserempak dengan F di Kota Bharu, Kelantan.


Kini, hampir 18 tahun berlalu, aku masih dapat berhubung dengan Azam. Dia sudah berkeluarga dan mempunyai tiga orang anak. Perangainya masih seperti dulu; sentiasa ceria dan suka berjenaka. Kepada Azam, terima kasih kerana masih mengingatiku dan berhubung. InsyaAllah, jika umur dipanjangkan, kita pasti akan bertemu lagi.

No comments:

Post a Comment

Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.

Menulis.

Sudah lama tidak menulis. Rindu hendak menulis kadang-kadang datang. Namun sejak bertukar tempat kerja, masa menjadi halangan. Segalanya mer...