Awal 1990 aku masih lagi berada di kota Kuala Lumpur.Bersama teman dari jemaah Tabligh.Aku hanya mengikuti aktiviti anjuran mereka kerana aku ingin merasai pengalaman berdakwah dengan jemaah Tabligh.Banyak perbezaan jika dibandingkan dengan corak dakwah bil-hal al-Arqam.Masing-masing punyai kelebihan sendiri.Namun bagiku,aku hanya mengambil yang terbaik sahaja.Aku tidak mahu taksub kepada sesuatu amalan dan menjadikan hujah dalam berdakwah.Aku lebih suka cara bil-hal.Menunjukkan contoh-contoh terbaik.Oleh kerana aku jenis yang kurang bercakap jadi berdakwah dengan pebuatan adalah lebih utama dan aku fokuskan ke situ.
Tabligh merupakan satu cabang dakwah dan sifat wajib bagi Rasulullah SAW.Jemaah ini dinamakan tabligh kerana mereka keluar berdepan orang awam dan menyampaikan risalah thoyibbah terus kepada masyarakat.Di sinilah ujian sebenar dalam menyampaikan dakwah secara lisan.Tidak tahu samada yang mendengarnya suka atau tidak.Benci atau minat.Aku pernah merasakan ujian-ujian itu.Beginilah rupanya secebis ujian yang pernah dirasai oleh Nabi-nabi terdahulu.Malah bagiku ini adalah terlalu jauh dengan ujian yang pernah ditimpakan kepada para Rasul.
Selain itu aktiviti mingguan ialah beriktikaf di Masjid India,Kuala Lumpur.Memang penuh sesak dengan jemaah dari dalam dan luar negeri.Terutama jemaah yang datang dari Pakistan dan India.Semuanya berpakaian putih.Terdapat juga watak-watak popular tempatan yang pernah biasa terlihat di kaca tv.Tidak sangka mereka juga aktif berdakwah malah mesra bila ditegur.
Itulah kehidupanku yang biasa.Pada pagi Sabtu pula, aku dan rakan dari sekitar Kuala Lumpur akan ke Kampung Baru untuk mendengar kuliah agama di rumah Pak Yazid.
Untuk menampung kehidupan di sini (KL) aku bekerja di kilang Lever Brothers ,Jalan Bangsar.Cukuplah untuk lepaskan aku seorang.Aku biasa tinggal di masjid jadi Masjid al-Rahman,Universiti Malaya semacam rumah bagiku.Tambah lagi kulihat ramai juga golongan fuqara' yang menumpang tidur dan iktikaf di situ.Alhamdulillah ramai juga kenalan.Pihak pengurusan masjid tidak menghadapi masalah dengan golongan itu kerana di samping dapat membuat amalan malam sekurang-kurangnya masjid mempunyai pengawalnya di malam hari.
Itulah kehidupanku di awal 1990 dulu.Bekas rakan dari Yayasan Anda Akademik,Noor Azam kadangkala singgah di masjid dan menziarahiku jika kelapangan.Kami berbual dan adakala Azam turut iktikaf di masjid berkenaan.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.