Mengajar
saudara baru memahami Islam bukan satu perkara yang mudah. Mereka tidak biasa
dengan istilah-istilah 'Arab. Ada yang tercengang, melopong dan ada yang
memandang kepadaku dengan pandangan yang melucukan. Maklumlah mereka tidak
biasa mendengar perkataan-perkataan yang mudah seperti sunat, wajib, makruh, solat,
wudhu' dan sebagainya. Itu belum lagi perkataan yang amat asing bagi mereka
seperti lafaz-lafaz niat. Namun aku tetap bersabar kerana lambat laun aku yakin
Allah SWT akan memberi faham kepada mereka. Aku hanyalah alat perantara.
Alhamdulillah,
aku dapat membatu Ustaz Jaafar meringankan sedikit kerjanya. Tergambar kepuasan
di wajahnya ketika itu. Kami mencari uslub (kaedah) untuk menyampaikan maksud
pengajaran dan pemahaman supaya saudara baru dapat faham dengan lebih jelas. Kami
banyak menggunakan logik akal dan sesekali nas al-Qur'an dan hadis sebagai
bukti qat'i dalam menerangkan sesuatu kewajipan beramal. Memang berdepan dengan
saudara baru kita terpaksa lebih kepada logik.
Aku
tidak sunyi kerana sentiasa di dampingi oleh mereka baik waktu mengajar, rehat
bahkan waktu hendak melelapkan mata juga dihujani dengan pertanyaan berkaitan
Islam. Aku terangkan apa yang aku faham dan selebihnya Ustaz Jaafarlah
rujukanku. Ternyata mereka memang perlu
difahamkan bermula dari A hingga Z. Kadangkala kuselitkan juga kisah-kisah
Rasul dan Nabi yang biasa aku dengar dulu. Dan adakalanya juga aku menceritakan
bagaimana aku mula tertarik dengan agama suci ini.
Peringkat
awal mereka menyangka aku kaum Melayu yang asal Islam. Ya itulah yang
berlaku. Namun setelah aku jelaskan bahawa aku juga seperti mereka yang suatu
ketika dulu tidak ada pegangan agama. Mencari erti kehidupan sebenar dan maksud
aku dihidupkan. Kenapa ada kematian. Mengenal siapa rabbi yang sebenar. Alhamdulillah
hidayah itu telah lama bersarang dalam jiwaku cuma menunggu apakah aku akan
datang menyahut panggilanNya atau tidak.
Dan kini aku amat-amat
bersyukur.
No comments:
Post a Comment
Aku sangat berterima kasih kerana anda sudi memberi komen dalam blog aku ini namun aku perlu memberi izin dahulu sebelum ianya kupaparkan.